Istimewa untuk seluruh putera-puteri Islam di segenap sudut dan pelosok bumi tercinta...,
Salam sejahtera dengan penuh kasih sayang dan kerinduan kerana Allah.
Sentiasa ibu doakan agar kalian meletakkan puncak tertinggi kecintaan hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Meletakkan sepenuh ketaatan serta kepatuhan kepada titah perintah Allah. Juga menjadikan Ar-Rasul Muhammad SAW sebagai contoh
dan ikutan sepanjang hayat.
Putera-puteri Islam harapan!
Ke arah mana jua pun kalian hadapkan pandangan mata dan pandangan hati, ketahuilah Allah berada bersama-sama kalian. Dengan itu anak-anakku, tumpukan segenap jiwa dan raga kalian kepada bersegera melaksanakan suruhan-Nya serentak menjauhi larangan-Nya. Sentiasalah ingat kepada ikrar kalian: “sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.”
Dengan yang demikian akan kalian perolehi hati yang sempurna dan sejahtera. Juga berjaya memenuhi fitrah dan keperluan hati bagi insan yang bernyawa.
Ibnu Taimiyah berkata, “Hati manusia secara tabii berhajat kepada Allah kerana dua sebab iaitu untuk beribadat dan untuk berserah diri. Hati tidak akan menjadi baik dan berjaya, tidak selesa dan gembira, tidak bersih dan tenang, selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan
sepenuh cinta berpaut kepada Allah. Keadaan ini benar-benar menepati maksud sebaris dari doa yang terkandung di dalam surah Al-Fatihah,
“Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.”
Anak-anakku,
Yakinlah… apabila telah kita ikhlaskan seluruh hidup ini untuk berubudiyah (mengabdi diri/ beribadah) kepada Allah, akan tersingkaplah hijab dari hati dan akan sempurna sifat insaniah kita;
- mengenali diri
- menemui rahsia kewujudan
- merasai kebahagiaan rohani
Begitulah juga yang dimaksudkan dengan “kemanisan iman.” Ianya hanya akan dirasai setelah kita mengenali Allah dan mengutamakan Allah daripada segala yang lain.
Kata Ibnu Qayyim, "Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada Penciptanya kerana;
· penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya
· penciptanya memberi rezeki
· penciptanya menghidup dan mematikan cinta kepada Allah adalah;
· kebahagiaan semua jiwa
· kehidupan segala roh
· makanan setiap hati
· cahaya bagi akal dan mata"
Imam Fakhru Al-Razi berkata, "Orang yang memahami faedah beribadat akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah."
Hal demikian berlaku kerana hati yang sihat sejahtera menyedari,
1. Beribadat merupakan perkara sempurna yang memberi kebaikan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.
2. Ibadat merupakan amanah terbesar seperti maksud firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 72:
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah mempelawakan amanah (tugas beribadah) kepada isi langit dan bumi serta bukit-bukau, semuanya enggan memikul bebannya dan merasa takut hendak memikul, tetapi manusia sanggup memikulnya.”
Melalui kenyataan ini dapat difahami memenuhi amanah juga merupakan kesempurnaan yang digemari oleh hati yang sejahtera dan sempurna. Bukankah lazimnya jika satu pihak menunaikan amanah terhadap pihak yang lain, kedua-dua pihak akan saling memenuhi amanah.
Seorang sahabat Rasulullah SAW menceritakan;
“Pada suatu ketika, aku terlihat seorang Arab desa datang ke masjid lalu segera masuk untuk menunaikan solat. Sedangkan untanya tidak ditambat dan dibiarkan begitu saja.
Dia sendiri agak lama solat dan duduk berdoa di dalam masjid. Kami semua hairan melihatkan telatahnya.
Apabila dia keluar dari masjid didapati untanya sudah tidak ada. Lalu katanya, “Aku telah menyempurnakan amanah-Mu ya Allah, maka di manakah amanahku?”
Tidak lama kemudian datang seorang lelaki memulangkan unta lelaki tersebut.
Dari kisah ini dapat dilihat satu pengajaran yang menarik - bila lelaki tersebut memelihara amanah Allah, maka Allah memelihara pula amanah lelaki itu. Keadaan sedemikian menjelaskan lagi maksud sabda Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas,
“Peliharalah amanah Allah dengan baik nescaya Allah memelihara kamu.”
Putera-puteri Islam sejati!
Begitulah hasil yang bakal kita perolehi dari hati yang sejahtera dan sempurna.
Apabila ibadah telah disempurnakan, bererti kita berpindah dari alam tipu daya dan khayalan ke alam kehidupan sebenar yang membahagiakan. Juga mengeluarkan diri dari kesibukan yang memenuhi naluri makhluk kepada matlamat keredhaan Allah. Dengan yang demikian akan terasa semakin mendalam kemanisan iman. Disitulah letaknya keistimewaan hati yang sempurna. Ayoh bangun dan realisasikan!
Wassalam.
Ummu Anas.