UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HERO UMMAT


Wahai Pemuda Harapan!

Pada hari ini perkataan pahlawan sudah jarang digunakan, sedangkan istilah “hero” seolah-olah lebih mudah difahami. Hero apabila dirujuk kepada maknanya di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bermaksud orang yang terkenal atau disegani kerana keberanian termasuk gagah dan berperibadi mulia. Di samping itu ada makna yang kedua yang juga bermaksud: watak lelaki utama dalam cerita drama dan filem. Dengan kata lain, hero merupakan seseorang yang sangat dikagumi kerana memiliki keunggulan. Hinggakan ada yang meletakkannya sebagai idola yang dipuja dan menjadi ikutan.

Pemuda-pemuda yang dikasihi kerana Allah!

Bagaimanakah sepatutnya kedudukan hero ini dalam kaca mata Islam?

Jika dihalusi di sudut Islam, akan jelas gambaran watak yang sepatutnya:

  • mempunyai sifat-sifat Rabbani – mentauhidkan Allah dalam setiap tindakan.
  • merealisasikan tanggungjawab khalifah di muka bumi – memartabatkan cara hidup Islam.
  • seimbang rohani, jasmani dan aklinya dalam mentaati perintah Allah.
  • sentiasa merujuk kepada panduan al-quran dan as-sunah.
  • sentiasa berjuang untuk agama – menyebarkan kebenaran Islam.

Sebagai remaja muslim, sewajarnyalah kalian mengkaji dan menghayati sejarah pejuang-pejuang Islam yang telah mengharumkan sejarah kegemilangan Islam. Dengan cara ini kita akan turut terdorong untuk menjejaki ketinggian semangat juang mereka!

“Tak kenal maka tak cinta”…Ayuh! Kita kenali mereka, agar kita jatuh cinta untuk menjadi pahlawan ataupun hero.

Antara sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang dianggap hero dan nama mereka harum di persada perjuangan ialah:

1. Mus’ab bin Umair

Tampan, mewah dan kaya sebelum memeluk Islam. Menjadi idaman gadis-gadis remaja ketika itu. Namun hatinya lebih terikat dengan haruman syurga Allah. Mus’ab sanggup menjalani hidup zuhud. Ditepis segala godaan duniawi. Sebagai ganti, Allah anugerahi syahid di medan Uhud.

  1. Abdur Rahman bin Auf

Jutawan beriman yang kuat beramal. Dermawan dan tidak ketinggalan berjuang di medan perang. Hingga mendapat lebih daripada 70 parut luka dibadannya serta patah gigi semasa berjuang mempertahankan Islam.

  1. Abdullah bin Rawahah

Merupakan penyair Islam yang mampu menaikkan semangat tentera Islam berjuang menegakkan syiar Islam. Dia sendiri menemui syahid semasa berjuang menentang pasukan Rom.

  1. Abu Dujanah

Pejuang yang tangkas melindungi Rasulullah SAW di medan Perang Uhud. Mengangkat pedang baginda dan berjaya membunuh ramai musuh sebelum gugur syahid.

  1. Zaid bin Thabit

Mampu menguasai bahasa asing untuk menjaga umat Islam supaya tidak ditipu oleh musuh Islam.

  1. Abu Ubaidah

Pahlawan Islam dan gabenor Syam yang sanggup hidup zuhud. Tiada perabot, hanya sedikit pakaian dan peralatan perang di rumahnya.

7. Ikrimah bin Abu Jahal

Berjuang untuk Islam kerana menebus dosa-dosanya setelah menyeksa orang-orang Islam sewaktu bersama bapanya Abu Jahal. Sanggup bertempur dalam peperangan Yarmuk dan akhirnya beroleh syahid.

Selain yang disebutkan, ramai lagi dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang memiliki ciri-ciri peribadi hero yang patut dicontohi. Malah pada setiap zaman yang datang dan pergi, bersamanya diiringi keunggulan hero yang tetap dikenang. Antara yang menonjol dan bukan saja dikenali oleh umat Islam, malahan orang-orang kafir turut mengaguminya ialah Salahuddin Al-Ayubi.

Lebih dikenali dengan nama Salah Al-Din Yusuf ibnu Ayyub, dilahirkan di Tikrit, Iraq. Pada usia 14 tahun telah berkhidmat dalam kerajaan yang diperintah oleh Sultan Nuruddin. Beliau mewarisi sifat mulia ayahnya dan ketokohan bapa saudaranya Asadudin Shirkhu.

Antara tahun 1164-1169 M, Salahuddin menyertai tiga ekspedisi ketenteraan bersama bapa saudaranya Asadudin. Setelah Sultan Nuruddin meninggal dunia pada tahun 1174 M, Salahuddin dilantik menjadi ketua negara. Beliau dengan kebijaksanaannya telah memulihkan ekonomi Mesir. Di samping itu menubuhkan pasukan tentera laut untuk menghadapi tentangan tentera Salib yang berpengkalan di Palestin. Beliau sendiri merupakan tentera yang gagah perkasa sewaktu bertempur di medan perang.

Pada tahun 1187 M, Salahuddin dapat menguasai Jeruselam serta menawan beribu-ribu tentera Salib. Pada hari Jummat 27 Rejab 583 Hijrah setelah 80 tahun dalam kesuraman, berkumandang kembali azan dari Masjidil Aqsa.

Pada tahun 1189 M, pakatan bangsa Eropah telah melancarkan Perang Salib Ketiga untuk merampas semula Baitul Maqdis, tetapi gagal. Pada 4 Mac 1193 Salahuddin telah kembali ke rahmatullah di Damascus dengan tidak meninggalkan apa jua pun harta. Hanya tanah suci Jurusalem yang berjaya dibebaskan daripada cengkaman Kristian.

Salahuddin tetap segar di mata dunia selaku pahlawan berhati mulia. Beliau telah melayan dengan baik setiap tawanan perang, tanpa kekasaran dan senjata. Beliau juga merupakan pahlawan yang taat beribadat dan mencontohi Rasulullah SAW dalam pentadbiran dan peperangan dan pemerintahan. Peribadi beliau melambangkan hero sebenar umat Islam.


Begitulah sebahagian yg dipaparkan di sini agar kalian terdorong untuk mengenali lebih lanjut kegemilangan pribadi-pribadi yg melakar sejarah kegemilangan Islam.

0 ulasan: