UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

DAKAPAN RAMADHAN


WAHAI SETIAP DIRI YANG DIKASIHI!


Kini kita berada dalam dakapan Ramadhan Al-Mubarak. Bersamanya berarak lembayung rahmat dari Allah, seluas langit dan bumi. Sekiranya digambarkan kepada sesuatu yang indah, Ramadhan umpama taman untuk istirehat sebentar bagi musafir dunia yang dalam perjalanan menuju kampung akhirat. Sudah tentu masa istirehat sebentar itu sangat berharga untuk menambah bekalan guna menyambung perjalanan yang jauh. Pada hakikat sebenarnya, ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak merupakan bekalan penting untuk menjalani kehidupan pada 11 bulan berikutnya. Dengannya nanti seluruh perjalanan hidup terjurus kepada matlamat mencari keredhaan Allah. Puasa juga merupakan latihan yang dapat meluruskan disiplin diri. Kebiasaan buruk seumpama malas dan suka menangguhkan tanggungjawab juga akan dapat di ubah sekiranya puasa yang dijalani merupakan puasa yang berkualiti.

Pemuda-pemudi yang didik dengan iman,
Perlu diingat, diwajibkan ibadah puasa bagi setiap mukmin adalah untuk tujuan besar;
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 83)

Taqwa itu sesuatu yang besar peranannya dalam kehidupan setiap diri mukmin sepertimana maksud firman Allah dalam surah At-Thalaq: 2-3); “Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan dan diberi rezeki dari arah yang tidak diduga.”

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW ditanya; “Siapakah manusia yang paling mulia?”
Baginda menjawab; “Yang paling bertaqwa.”
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a , Nabi SAW mengajarkan doa: “
Ya Allah aku mohon kepadaMu hidayah, jiwa yang bertaqwa, kesopanan dan kekayaan.”(HR Muslim)

Sedarilah pemuda-pemudi harapan!
Di bulan yang barakah ini, kejahatan berkurangan di muka bumi kerana seluruh kaum muslimin sedang sibuk menunaikan ibadah puasa yang mengekang hawa nafsu.

Syaitan yang sentiasa sibuk menggoda manusia pula telah dirantai sepanjang bulan mulia ini, seperti maksud sabda rasulullah SAW; “Pintu-pintu rahmat di buka, pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dirantai.”

Setiap diri mukmin yang berpuasa sememangnya mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menyekat kemasukan syaitan melalui aliran darah manusia. Rasa haus dan lapar itu sendiri sebenarnya dapat menimbulkan kesabaran untuk menawan syahwat dalam diri. Sedangkan lazimnya di bulan-bulan lain di mana syaitan bebas berkeliaran, manusia sentiasa terperangkap antara bisikan syaitan dan dorongan syahwat.

Dalam suasana tenang dan penuh barakah di bulan mulia ini, apa jua usaah untuk mendipsiplinkan diri beribadah kepada Allah akan menjadi lebih mudah. Semestinya kesempatan sedemikian digunakan sebaik-baiknya untuk memperoleh puasa berkualiti.

Untuk tujuan itu, puasa mestilah dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi sudut-sudut berikut:

1. Sudut Jasmani

Puasa jasmani tidak hanya menahan rasa lapar dan dahaga, malahan menahan anggota tubuh kita dari sebarang perbuatan buruk dan tidak diredhai Allah. Perkara-perkara buruk yang dimaksudkan lazimnya menguasai lidah, mata dan telinga. Lidah dapat menjurus kita ke syurga sekiranya digunakan untuk zikrullah. Lidah juga boleh menjerumuskan kita ke neraka sekiranya digunakan untuk mengumpat, memfitnah serta menyakiti hati orang lain. Dari itu sewaktu berpuasa lidah semestinya dicegah dari berbohong, mencela dan berkata kotor.

Pandangan mata pula akan mempengaruhi dan merosakkan hati jika tidak dikawal dan ditundukkan. Tatkala berpuasa, pandangan mata mesti sentiasa diarah melihat perkara-perkara baik. Elakkan dari melihat sebarang bentuk keburukan.

Orang yang berpuasa juga sepatutnya mengarahkan telinganya mendengar ayat-ayat Allah serta kata-kata peringatan dan kebaikan. Usah dibiarkan kata-kata keji dan nyayian yang diharamkan menyelinap masuk pendengaran yang sedang menjalani ibadah puasa.

2.Sudut Rohani

Ibadah puasa mampu menghaluskan perasaan dan memurnikan hati. Juga dapat menimbulkan rasa terikat dan pengharapan yang tinggi terhadap ganjaran dan pertolongan Allah. Setelah menjalani latihan mengekang nafsu secara intensif, iman mudah berfungsi secara amali. Tidak sekadar pengakuan semata-mata.

Di siang hari jiwa mukmin dilatih bersabar menanggung kesusahan dan kekurangan. Juga menghindarkan diri dan jiwa dari terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dusta.
Malamnya pula jiwa diteguhkan dengan megerjakan solat-solat sunat. Ditambah lagi dengan keistimewaan dan rahmat malam Lailatul Qadar. Semua ini memantapkan keyakinan dan ketaatan kepada Allah.

Meskipun demikian, hati orang yang berpuasa benar-benar diuji perihal kejujurannya.dalam terang-terangan, maupun sembunyi. Keikhlasan kerana Allah mesti diberi perhatian. Perasaan sombong dan angkuh mesti dihindari. Hal inilah yang sering digalakkan oleh syaitan. Begitu juga dengan sifat iri-hati dan hasad-dengki, kedua-duanya menghancurkan segala amalan yang telah dilakukan. Dari itu setiap diri mukmin hendaklah membersihkan jiwanya dengan menunaikan ibadah puasa semata-mata untuk beroleh keredhaan Allah.

3. Sudut Akal

Ibadah puasa bukan sekadar mampu membersihkan jiwa mukmin malahan turut dapat menjernihkan akal fikiran mukmin. Dengan itu kita mampu untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Seterusnya mampu berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah.

Di samping mampu untuk berterusan berjuang melawan nafsu yang bertentangan dengan sifat sabar. Fikiran yang bersih sewaktu berpuasa dapat menerbitkan pandangan penuh belas kasihan terhadap orang lain yang memerlukan bantuan. Bersedekah akan menjadi mudah kerana fikiran yang sentiasa peka terhadap kesusahan orang lain.

Ketika berpuasa juga, fikiran mudah menghitung kebaikan serta nikmat-nikmat yang Allah berikan. Sebagai mensyukuri segala anugerah Allah, mukmin yang taat akan mengisi masa siang dan malam di bulan Ramadhan dengan membanyakkan zikir dan membaca Al-Quran. Suasana begini berfungsi memelihara akal dari kecenderungan memikirkan perkara yang melalaikan.

Pemuda-pemudi yang bertakwa!
Sebagai kesimpulan, semoga pada Ramadhan tahun ini kita mampu menyemak dengan teliti satu-persatu secara menyeluruh sudut-sudut yang berkaitan kesempurnaan ibadah puasa. Semuanya perlulah benar-benar berkualiti;
Bermula dengan sahur hinggalah kepada berbuka yang teratur dengan baik.
Memersihkan pancaindera dari pandangan terlarang,
Pendengaran kepada perkara tidak berguna,
Perkataan dan tindakan sia-sia.
Kemudian perbanyakkanlah;
Zikir dan doa,
Tingkatkan ibadah malam,
Bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.

Anak-anakku yang di kasihi dengan kasih-sayang Islam,
Kesemua ini semestinya dapat kita laksanakan sebaik-baiknya seolah-olah inilah Ramadhan terakhir yang kita temui. Sesengguhnya kita tidak mengetahui samaada kita masih berpeluang menyempurnakan puasa pada tahun hadapan seperti yang kita lalui kini….

Perkara utama yang kita hajati dari puasa yang berkualiti ini adalah keredhaan Allah beserta taqwa yang tertingkat. Dengan taqwa itu kita berharap untuk sentiasa berada di dalam petunjuk Allah yang memampukan kita membedzakan yang haq dan yang bathil. Keredhan Allah sangat kita hajati kerana kita mengharapkan kebahagiaan juga keampunan Allah di dunia dan di akhirat.

Wassalam.
Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian

2 ulasan:

halawatul iman berkata...

salam mck..lama rasanya ana tak singgah ke sini...setiap kali singgah ada saja mutiara yang boleh dikutip..izinkan ana copy yer mck..
moga kita dapat mencapai darjat taqwa di akhir ramadhan insyaAllah..

12 Ogos 2010 pada 8:45 PG  
Noraini Eslah berkata...

wkmsalam halawatul iman,
makcik juga rindukan anakda...,syukur kita masih bertemu ramadhan tahun ini. moga peluang ni menjadikan kita lbih baik dari thn sebelumnya...amiin!

12 Ogos 2010 pada 10:07 PTG