UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

JADILAH ANAK SOLEH/SOLEHAH

Wahai setiap remaja harapan!

Kalian merupakan pententeram hati dan penyejuk pandangan ayah bonda,

Berbagai cabaran di hadapan kalian disulami berbagai pilihan dan pujukan untuk mewarnai masa depan kalian...

Namun ingatlah! Ayah bonda menaruh harapan besar buat kalian, usah kecewakan mereka. Usah merasa mereka tidak memahami/tak tahu hal yg terbaik buat kalian...

Berbincanglah dgn ayah ibu dlm urusan masa depan kalian, moga Allah tunjuki jln yang barakah...


Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa mematuhi perintah Allah,

Sewajarnya selaku hamba Allah yang menepati tugas berubudiyah (beribadah) sepanjang hayat, kita mestilah mematuhi garis panduan yang Allah tetapkan. Berikut dipaparkan disiplin yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak yang soleh dan solehah,

  • Berlaku ihsan dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa seiring dengan perlaksanaan ibadah sepanjang hayat. “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (QS AN-Nisaa’: 36)
  • Berterimakasih kepada ibu bapa selepas bersyukur kepada Allah. “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Dan ingatlah kepada-Ku tempat kembali.” (QS Luqman:14)
  • Berbakti kepada ibu bapa menduduki tempat kedua terbaik setelah solat tepat pada waktunya. Dari Abdur Rahman bin Mas’ud r.a. katanya, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW: Amal apa yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Saya bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baiklah kepada ibu bapa. Saya bertanya lagi: Selepas itu apa? Baginda menjawab: Berjuanglah di jalan Allah.”
  • Menderhakai ibubapa merupakan dosa besar yang kedua setelah mensyirikkan Allah. Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al’Ash r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah, menderhakai ibu bapa, membunuh orang dan bersumpah palsu.” (HR Bukhari dan Muslim)
  • Keredhaan dan kemurkaan ibu bapa dikaitkan juga dengan keredhaan dan kemarahan Allah. Jika ibu bapa redha, Allah turut redha. Begitu juga, sekiranya ibu bapa murka, Allah juga murka.

Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa mengasihani kedua ibubapa,

Seterusnya wajarlah setiap anak melaksanakan kebaktian berikut dalam rangka mencari keredhaan Allah SWT.

  1. Mentaati perintah ibu bapa, kecuali dalam perkara-perkara maksiat.
  2. Berbicara dengan ibu bapa dengan lembut dan sopan.
  3. Berdiri menghormati ibu bapa semasa mereka menghampiri anak-anak.
  4. Mencium tangan ibu bapa setiap kali bersalaman dengan mereka.
  5. Memuliakan ibu bapa dengan memenuhi hajat dan permintaan mereka yang tidak bercanggah dengan syarak.
  6. Menjaga nama baik, kehormatan dan harta-benda kepunyaan ibu bapa.
  7. Mengajak ibu bapa berbincang pada apa jua perkara yang kita putuskan.
  8. Sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keampunan untuk kedua ibu bapa.
  9. Semasa ibu bapa didatangi tetamu, bantulah mereka melayani para tetamu dengan rela hati.
  10. Melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati ibu bapa tanpa disuruh.
  11. Jangan melaung-laung sewaktu memanggil ibu bapa di muka pintu.
  12. Jangan menyampuk ketika ibu bapa sedang berbicara.
  13. Jangan keluar rumah tanpa izin kedua-dua ibu bapa.
  14. Jangan menganggu sewaktu ibu bapa tidur.
  15. Elakkan mencela ketika ibu bapa melakukan kesilapan dan perkara-perkara tidak menyenangkan.
  16. Tidak mendahului ibu bapa sewaktu makan dan mengambil makanan.
  17. Segera menyahut panggilan ibu bapa dan tidak ketawa di hadapan mereka tanpa sebarang perkara yang munasabah.
  18. Menghormati sahabat-sahabat ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitu juga setelah mereka meninggal dunia.

Wahai pemuda-pemudi Islam yang mentaati ibu bapa.

Awaslah! Jangan sampai kalian menderhakai mereka:

  1. Anak memandang dengan tajam kepada ibu bapa ketika marah.
  2. Anak menganggap dirinya sama taraf kemuliaan dengan ibu bapanya.
  3. Anak malu untuk dikenali dengan nama ayahnya, terutama setelah punya kedudukan mulia dalam masyarakat.
  4. Anak tidak menunaikan hak dan tanggungjawab menyara ibu bapa hingga mereka memohon bantuan para dermawan.
  5. Anak membantah dan membentak hingga terpantul perkataan “ah”.
  6. Anak merasa bosan melayani kedua-dua ibu bapa. Menyombong diri dan menyakiti hati mereka.

Ketahuilah anak-anak yang melakukan penderhakaan kepada ibu bapa, bukan saja mendapat dosa besar, malahan semua amalannya menjadi sia-sia. Diberikan balasan buruk oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda,

“Ada tiga macam orang yang diharamkan oleh Allah SWT untuk memasuki syurga iaitu peminum arak, orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapanya dan orang yang hina meletakkan keburukan dalam keluarganya.”

Perlu juga dimaklumi,

Meskipun kedua ibu-bapa bukan muslim dan masih lagi musyrik, mesti juga dihormati dan dimuliakan. Ini berdasarkan kisah Asma’ binti Abu Bakar:

“Aku telah pergi bertemu ibuku yang belum lagi masuk Islam ketika itu, lalu aku meminta fatwa daripada Rasulullah SAW: Ibuku yang masih musyrik telah aku ziarahi, dia meminta sesuatu dariku. Bolehkah aku menunaikannya? Jawab Rasulullah: “Ya boleh. Pergilah hubungi ibumu, ianya dikira berbakti kepada ibu.”

Begitu juga dalam mentaati kedua-dua ibu bapa, ibu mesti didahulukan berbanding bapa kerana:

  • Perhatian ibu kepada anak ketika mengandung, melahirkan, menyusui dan mengurus keperluan anak lebih banyak bebanannya berbanding bapa.
  • Ibu dalam memberi dan mencurahkan kasih sayang dan perahtiannya terhadap anak adalah lebihi daripada bapa.

Kelebihan dan keutamaan ibu telah diperjelaskan dalam sabda Rasulullah SAW

Seorang lelaki telah bertanya kepada baginda: Siapakah yang lebih berhak menerima khidmatku? Rasulullah menajwab: ’Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Rasulullah SAW menjawab: ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi; Kemudian siapa selepas itu. Jawab Rasulullah SAW: ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi; Kemudian siapa lagi?

Rasulullah menjawab: ‘Bapamu’.

Sudah sewajarnyalah selaku remaja muslim yang bertaqwa, kalian mesti mampu melengkapkan diri dengan pelaksanaan tanggungjawab yang utama tersebut. Dengan itu setiap gerak-geri kalian akan menjadi contoh kepada remaja seangkatan.


MEMBINA TAQWA

Wahai Semua Yg Dikasihi Kerana Allah!


Perhalusilah dengan teliti hakikat ini...

Sedarilah taqwa itu sendiri telah mendapat pengiktirafan mutlak dan tinggi dari Allah s.w.t; “... Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”. (Al-Baqarah: 197)

http://www.haluan.org.my/v3/images/stories/haluanita-taqwa-2.jpgDarjat manusia selaku hamba Allah turut tertingkat sekiranya taqwa memenuhi jiwa; “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa”. (Al-Hujuraat:13)

Dengan taqwa juga kita akan beroleh perisai paling kebal dan petunjuk paling jelas bagi menangkis berbagai godaan dan bisikan syaitan bertepatan maksud firman Allah; “Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu apabila ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (Al-A’raaf:201)

Juga perhatikan dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Al-Hadidayat 28; “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya supaya Dia memberi kepadamu dua kali ganda dari rahmatNya dan memberikan kepadamu cahaya yang kamu perlukan untuk berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam;

Pada setiap perintah Allah ke atas kita pasti mengandungi hikmah yang sungguh besar dan sangat kita hajatkan di sepanjang hayat kita di dunia. Malahan akan menentukan pula tempat kembali kita di akhirat kelak. Begitu juga dengan taqwa yang sedang kita teliti, merupakan bekalan utama yang dapat memastikan kelancaran perjalanan hidup kita pada landasan kebenaran. Justru itu, marilah sama-sama kita dalami hakikat taqwa;

· * Taqwa adalah buah (natijah/hasil) dari keimanan yang kukuh/mendalam yang dipupuk dengan rasa pengawasan Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

· * Taqwa menghindarkan setiap mukmin dari melakukan larangan Allah, juga mendorong terlaksananya segala perintah yang dituntut.

· * Taqwa dapat mencegah diri mukmin dari azab Allah dengan sentiasa berbuat amal soleh. Juga khuatir terhadap kemurkaan Allah, disamping sentiasa mengharap rahmat dan keredhaanNya.

· Seterusnya yang lebih penting dalam persoalan taqwa adalah bagaimana dapat kita bina taqwa dalam diri secara praktik?

Bagi memastikan taqwa berjaya terbina di dalam diri setiap mukmin, perlulah diwujudkan beberapa keadaan berikut:

1. Mu’ahadah - mengingati perjanjian. (Q. S. 16:9)
Seseorang mukmin perlu selalu berkhalwat (menyendiri/hanya antara dia dan Allah,) untuk menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah. Ingatlah setiap hari paling minima kita berjanji sebanyak 17 kali dalam solat-solat fardhu sebanyak lima waktu; “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah”.

2. Muraqabatullah - merasakan pengawasan Allah. (Q. S. 26: 218-219)
Merasakan Allah sentiasa bersama, melihat dan mengawasi setiap pergerakan hamba-hambaNya dalam sembunyi maupun terang-terangan.Oleh itu, setiap kali seorang mukmin ingin melakukan apa jua perkara mestilah dipastikan samaada perlakuan itu semata-mata kerana Allah, atau sebaliknya kerana kepentingan pribadi dan memperoleh pujian manusia.

3. Muhasabah - koreksi diri. (Q. S. 59:18)
Setiap mukmin hendaklah menghisab/menghitung selepas selesai mengerjakan apa jua amal perbuatan, samada perlakuannya semata-mata untuk beroleh redha Allah atau dikuasai rasa riya’dan takabbur.

4. Mu’aqabah - menebus dan membersihkan kesalahan. (Q. S. 2:197)
Setiap kali diri mukmin tergelincir melakukan kesalahan, bersegeralah pula memperbaiki diri dan menebus kesilapan. Usah dibiarkan bertompoknya kesalahan demi kesalahan hingga terperangkap dalam dosa yang menyukarkannya membersihkan maruah diri.

5. Mujahadah - bersungguh-sungguh berjihad untuk beroleh keredhaan Allah, terutama melawan hawa nafsu sendiri. (Q. S. 29:69)
Bilamana seseorang mukmin dikuasai kemalasan, suka istirehat, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab dan perintah Allah tepat pada waktunya, mestilah memaksa diri melakukan segala bentuk amalan lebih banyak dari sebelumnya.

Pemuda-pemudi yang gigih membina taqwa!
Yakinlah janji-janji Allah pasti benar. Hakikat taqwa sebagai sebaik-baik bekalan Allah tambahkan pula dengan ganjaran istimewa khusus bagi barisan muttaqin…
• Diberikan furqon (petunjuk yang membezakan antara yang hak dan bathil) dan diampuni dosa-dosa.
• Diberikan rahmat dan hidayah.
• Diberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
• Dimudahkan oleh Allah segala urusan.
• Ditutupi Allah segala kesalahannya dan dilipatgandakan pahala.
• Sentiasa beroleh barakah.

Anak-anakku;

Sebagai kesimpulan, sematkan di hati kalian kata-kata hikmah dari Khalifah Umar Abdul Aziz; “Bukanlah taqwa itu sekadar melakukan solat sunnat di malam hari dan berpuasa sepanjang siang hari. Atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi taqwa ialah melaksanakan segala yang difardhukan serentak dengan meninggalkan laranganNya. Jika diiringi amal-amal soleh yang lain..., maka ia akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.”

Akhirnya kita tangguhkan dahulu bicara kali ini dengan memohon keampunan dari Allah s.w.t; “Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji bagiMu. Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat padaMu”.

DAKAPAN RAMADHAN


WAHAI SETIAP DIRI YANG DIKASIHI!


Kini kita berada dalam dakapan Ramadhan Al-Mubarak. Bersamanya berarak lembayung rahmat dari Allah, seluas langit dan bumi. Sekiranya digambarkan kepada sesuatu yang indah, Ramadhan umpama taman untuk istirehat sebentar bagi musafir dunia yang dalam perjalanan menuju kampung akhirat. Sudah tentu masa istirehat sebentar itu sangat berharga untuk menambah bekalan guna menyambung perjalanan yang jauh. Pada hakikat sebenarnya, ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak merupakan bekalan penting untuk menjalani kehidupan pada 11 bulan berikutnya. Dengannya nanti seluruh perjalanan hidup terjurus kepada matlamat mencari keredhaan Allah. Puasa juga merupakan latihan yang dapat meluruskan disiplin diri. Kebiasaan buruk seumpama malas dan suka menangguhkan tanggungjawab juga akan dapat di ubah sekiranya puasa yang dijalani merupakan puasa yang berkualiti.

Pemuda-pemudi yang didik dengan iman,
Perlu diingat, diwajibkan ibadah puasa bagi setiap mukmin adalah untuk tujuan besar;
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 83)

Taqwa itu sesuatu yang besar peranannya dalam kehidupan setiap diri mukmin sepertimana maksud firman Allah dalam surah At-Thalaq: 2-3); “Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan dan diberi rezeki dari arah yang tidak diduga.”

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW ditanya; “Siapakah manusia yang paling mulia?”
Baginda menjawab; “Yang paling bertaqwa.”
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a , Nabi SAW mengajarkan doa: “
Ya Allah aku mohon kepadaMu hidayah, jiwa yang bertaqwa, kesopanan dan kekayaan.”(HR Muslim)

Sedarilah pemuda-pemudi harapan!
Di bulan yang barakah ini, kejahatan berkurangan di muka bumi kerana seluruh kaum muslimin sedang sibuk menunaikan ibadah puasa yang mengekang hawa nafsu.

Syaitan yang sentiasa sibuk menggoda manusia pula telah dirantai sepanjang bulan mulia ini, seperti maksud sabda rasulullah SAW; “Pintu-pintu rahmat di buka, pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dirantai.”

Setiap diri mukmin yang berpuasa sememangnya mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menyekat kemasukan syaitan melalui aliran darah manusia. Rasa haus dan lapar itu sendiri sebenarnya dapat menimbulkan kesabaran untuk menawan syahwat dalam diri. Sedangkan lazimnya di bulan-bulan lain di mana syaitan bebas berkeliaran, manusia sentiasa terperangkap antara bisikan syaitan dan dorongan syahwat.

Dalam suasana tenang dan penuh barakah di bulan mulia ini, apa jua usaah untuk mendipsiplinkan diri beribadah kepada Allah akan menjadi lebih mudah. Semestinya kesempatan sedemikian digunakan sebaik-baiknya untuk memperoleh puasa berkualiti.

Untuk tujuan itu, puasa mestilah dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi sudut-sudut berikut:

1. Sudut Jasmani

Puasa jasmani tidak hanya menahan rasa lapar dan dahaga, malahan menahan anggota tubuh kita dari sebarang perbuatan buruk dan tidak diredhai Allah. Perkara-perkara buruk yang dimaksudkan lazimnya menguasai lidah, mata dan telinga. Lidah dapat menjurus kita ke syurga sekiranya digunakan untuk zikrullah. Lidah juga boleh menjerumuskan kita ke neraka sekiranya digunakan untuk mengumpat, memfitnah serta menyakiti hati orang lain. Dari itu sewaktu berpuasa lidah semestinya dicegah dari berbohong, mencela dan berkata kotor.

Pandangan mata pula akan mempengaruhi dan merosakkan hati jika tidak dikawal dan ditundukkan. Tatkala berpuasa, pandangan mata mesti sentiasa diarah melihat perkara-perkara baik. Elakkan dari melihat sebarang bentuk keburukan.

Orang yang berpuasa juga sepatutnya mengarahkan telinganya mendengar ayat-ayat Allah serta kata-kata peringatan dan kebaikan. Usah dibiarkan kata-kata keji dan nyayian yang diharamkan menyelinap masuk pendengaran yang sedang menjalani ibadah puasa.

2.Sudut Rohani

Ibadah puasa mampu menghaluskan perasaan dan memurnikan hati. Juga dapat menimbulkan rasa terikat dan pengharapan yang tinggi terhadap ganjaran dan pertolongan Allah. Setelah menjalani latihan mengekang nafsu secara intensif, iman mudah berfungsi secara amali. Tidak sekadar pengakuan semata-mata.

Di siang hari jiwa mukmin dilatih bersabar menanggung kesusahan dan kekurangan. Juga menghindarkan diri dan jiwa dari terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dusta.
Malamnya pula jiwa diteguhkan dengan megerjakan solat-solat sunat. Ditambah lagi dengan keistimewaan dan rahmat malam Lailatul Qadar. Semua ini memantapkan keyakinan dan ketaatan kepada Allah.

Meskipun demikian, hati orang yang berpuasa benar-benar diuji perihal kejujurannya.dalam terang-terangan, maupun sembunyi. Keikhlasan kerana Allah mesti diberi perhatian. Perasaan sombong dan angkuh mesti dihindari. Hal inilah yang sering digalakkan oleh syaitan. Begitu juga dengan sifat iri-hati dan hasad-dengki, kedua-duanya menghancurkan segala amalan yang telah dilakukan. Dari itu setiap diri mukmin hendaklah membersihkan jiwanya dengan menunaikan ibadah puasa semata-mata untuk beroleh keredhaan Allah.

3. Sudut Akal

Ibadah puasa bukan sekadar mampu membersihkan jiwa mukmin malahan turut dapat menjernihkan akal fikiran mukmin. Dengan itu kita mampu untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Seterusnya mampu berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah.

Di samping mampu untuk berterusan berjuang melawan nafsu yang bertentangan dengan sifat sabar. Fikiran yang bersih sewaktu berpuasa dapat menerbitkan pandangan penuh belas kasihan terhadap orang lain yang memerlukan bantuan. Bersedekah akan menjadi mudah kerana fikiran yang sentiasa peka terhadap kesusahan orang lain.

Ketika berpuasa juga, fikiran mudah menghitung kebaikan serta nikmat-nikmat yang Allah berikan. Sebagai mensyukuri segala anugerah Allah, mukmin yang taat akan mengisi masa siang dan malam di bulan Ramadhan dengan membanyakkan zikir dan membaca Al-Quran. Suasana begini berfungsi memelihara akal dari kecenderungan memikirkan perkara yang melalaikan.

Pemuda-pemudi yang bertakwa!
Sebagai kesimpulan, semoga pada Ramadhan tahun ini kita mampu menyemak dengan teliti satu-persatu secara menyeluruh sudut-sudut yang berkaitan kesempurnaan ibadah puasa. Semuanya perlulah benar-benar berkualiti;
Bermula dengan sahur hinggalah kepada berbuka yang teratur dengan baik.
Memersihkan pancaindera dari pandangan terlarang,
Pendengaran kepada perkara tidak berguna,
Perkataan dan tindakan sia-sia.
Kemudian perbanyakkanlah;
Zikir dan doa,
Tingkatkan ibadah malam,
Bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.

Anak-anakku yang di kasihi dengan kasih-sayang Islam,
Kesemua ini semestinya dapat kita laksanakan sebaik-baiknya seolah-olah inilah Ramadhan terakhir yang kita temui. Sesengguhnya kita tidak mengetahui samaada kita masih berpeluang menyempurnakan puasa pada tahun hadapan seperti yang kita lalui kini….

Perkara utama yang kita hajati dari puasa yang berkualiti ini adalah keredhaan Allah beserta taqwa yang tertingkat. Dengan taqwa itu kita berharap untuk sentiasa berada di dalam petunjuk Allah yang memampukan kita membedzakan yang haq dan yang bathil. Keredhan Allah sangat kita hajati kerana kita mengharapkan kebahagiaan juga keampunan Allah di dunia dan di akhirat.

Wassalam.
Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian

HERO UMMAT


Wahai Pemuda Harapan!

Pada hari ini perkataan pahlawan sudah jarang digunakan, sedangkan istilah “hero” seolah-olah lebih mudah difahami. Hero apabila dirujuk kepada maknanya di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, bermaksud orang yang terkenal atau disegani kerana keberanian termasuk gagah dan berperibadi mulia. Di samping itu ada makna yang kedua yang juga bermaksud: watak lelaki utama dalam cerita drama dan filem. Dengan kata lain, hero merupakan seseorang yang sangat dikagumi kerana memiliki keunggulan. Hinggakan ada yang meletakkannya sebagai idola yang dipuja dan menjadi ikutan.

Pemuda-pemuda yang dikasihi kerana Allah!

Bagaimanakah sepatutnya kedudukan hero ini dalam kaca mata Islam?

Jika dihalusi di sudut Islam, akan jelas gambaran watak yang sepatutnya:

  • mempunyai sifat-sifat Rabbani – mentauhidkan Allah dalam setiap tindakan.
  • merealisasikan tanggungjawab khalifah di muka bumi – memartabatkan cara hidup Islam.
  • seimbang rohani, jasmani dan aklinya dalam mentaati perintah Allah.
  • sentiasa merujuk kepada panduan al-quran dan as-sunah.
  • sentiasa berjuang untuk agama – menyebarkan kebenaran Islam.

Sebagai remaja muslim, sewajarnyalah kalian mengkaji dan menghayati sejarah pejuang-pejuang Islam yang telah mengharumkan sejarah kegemilangan Islam. Dengan cara ini kita akan turut terdorong untuk menjejaki ketinggian semangat juang mereka!

“Tak kenal maka tak cinta”…Ayuh! Kita kenali mereka, agar kita jatuh cinta untuk menjadi pahlawan ataupun hero.

Antara sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang dianggap hero dan nama mereka harum di persada perjuangan ialah:

1. Mus’ab bin Umair

Tampan, mewah dan kaya sebelum memeluk Islam. Menjadi idaman gadis-gadis remaja ketika itu. Namun hatinya lebih terikat dengan haruman syurga Allah. Mus’ab sanggup menjalani hidup zuhud. Ditepis segala godaan duniawi. Sebagai ganti, Allah anugerahi syahid di medan Uhud.

  1. Abdur Rahman bin Auf

Jutawan beriman yang kuat beramal. Dermawan dan tidak ketinggalan berjuang di medan perang. Hingga mendapat lebih daripada 70 parut luka dibadannya serta patah gigi semasa berjuang mempertahankan Islam.

  1. Abdullah bin Rawahah

Merupakan penyair Islam yang mampu menaikkan semangat tentera Islam berjuang menegakkan syiar Islam. Dia sendiri menemui syahid semasa berjuang menentang pasukan Rom.

  1. Abu Dujanah

Pejuang yang tangkas melindungi Rasulullah SAW di medan Perang Uhud. Mengangkat pedang baginda dan berjaya membunuh ramai musuh sebelum gugur syahid.

  1. Zaid bin Thabit

Mampu menguasai bahasa asing untuk menjaga umat Islam supaya tidak ditipu oleh musuh Islam.

  1. Abu Ubaidah

Pahlawan Islam dan gabenor Syam yang sanggup hidup zuhud. Tiada perabot, hanya sedikit pakaian dan peralatan perang di rumahnya.

7. Ikrimah bin Abu Jahal

Berjuang untuk Islam kerana menebus dosa-dosanya setelah menyeksa orang-orang Islam sewaktu bersama bapanya Abu Jahal. Sanggup bertempur dalam peperangan Yarmuk dan akhirnya beroleh syahid.

Selain yang disebutkan, ramai lagi dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang memiliki ciri-ciri peribadi hero yang patut dicontohi. Malah pada setiap zaman yang datang dan pergi, bersamanya diiringi keunggulan hero yang tetap dikenang. Antara yang menonjol dan bukan saja dikenali oleh umat Islam, malahan orang-orang kafir turut mengaguminya ialah Salahuddin Al-Ayubi.

Lebih dikenali dengan nama Salah Al-Din Yusuf ibnu Ayyub, dilahirkan di Tikrit, Iraq. Pada usia 14 tahun telah berkhidmat dalam kerajaan yang diperintah oleh Sultan Nuruddin. Beliau mewarisi sifat mulia ayahnya dan ketokohan bapa saudaranya Asadudin Shirkhu.

Antara tahun 1164-1169 M, Salahuddin menyertai tiga ekspedisi ketenteraan bersama bapa saudaranya Asadudin. Setelah Sultan Nuruddin meninggal dunia pada tahun 1174 M, Salahuddin dilantik menjadi ketua negara. Beliau dengan kebijaksanaannya telah memulihkan ekonomi Mesir. Di samping itu menubuhkan pasukan tentera laut untuk menghadapi tentangan tentera Salib yang berpengkalan di Palestin. Beliau sendiri merupakan tentera yang gagah perkasa sewaktu bertempur di medan perang.

Pada tahun 1187 M, Salahuddin dapat menguasai Jeruselam serta menawan beribu-ribu tentera Salib. Pada hari Jummat 27 Rejab 583 Hijrah setelah 80 tahun dalam kesuraman, berkumandang kembali azan dari Masjidil Aqsa.

Pada tahun 1189 M, pakatan bangsa Eropah telah melancarkan Perang Salib Ketiga untuk merampas semula Baitul Maqdis, tetapi gagal. Pada 4 Mac 1193 Salahuddin telah kembali ke rahmatullah di Damascus dengan tidak meninggalkan apa jua pun harta. Hanya tanah suci Jurusalem yang berjaya dibebaskan daripada cengkaman Kristian.

Salahuddin tetap segar di mata dunia selaku pahlawan berhati mulia. Beliau telah melayan dengan baik setiap tawanan perang, tanpa kekasaran dan senjata. Beliau juga merupakan pahlawan yang taat beribadat dan mencontohi Rasulullah SAW dalam pentadbiran dan peperangan dan pemerintahan. Peribadi beliau melambangkan hero sebenar umat Islam.


Begitulah sebahagian yg dipaparkan di sini agar kalian terdorong untuk mengenali lebih lanjut kegemilangan pribadi-pribadi yg melakar sejarah kegemilangan Islam.