UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

KENALI CARA KITA BERTUTUR


Limpah rahmat, barakah dan kesejahteraan untuk setiap diri yang sentiasa menyuburkan


silaturrahim!


WAHAI SETIAP DIRI YANG SENTIASA DI PERHATI...,


Ketahuilah ,

Nilai maruah dan harga diri seseorang dapat diukur pada kemampuannya mengawal lidah serta

pertuturan. Ini seperti maksud sabda Rasulullah SAW:

"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik

atau diam."(HR Bukhari dan Muslim).



Ada berbagai ragam dan gaya pertuturan terdapat pada diri setiap orang. Ada beberapa ciri

yang perlu diambil perhatian supaya ciri-ciri yang baik terus dikekalkan dan ditingkatkan.

Manakala ciri-ciri yang buruk pula, dihentikan dan dihindari.


Gaya lazim dalam pertuturan;

1. Orang yang gaya pertuturannya padat dengan buah fikiran matang, hikmah dan ilmu.

- setiap kata-katanya membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Dalam apa jua cabaran yang dihadapi, tidak disambut dengan keluhan.

Setiap cabaran dianggap peluang untuk menambah keteguhan iman.


2. Orang yang sukar berhenti jika berbicara.

- apa saja yang terlihat pasti dikritik dan diulas. Sepatutnya pada setiap perkara mesti dilihat

hikmahnya, bukan dikritik.

Sia-sia sahaja mengkritik tanpa mengambil pengajaran dari sesuatu perkara.


3. Orang yang bicaranya penuh keluhan, celaan maupun penghinaan.

- apa saja yang dialaminya susah maupun senang, disambut dengan keluhan. Seakan-akan tiada

hari yang dilalui tanpa keluh-kesah. Seperti hidup dalam penderitaan, tidak dapat membezakan

antara nikmat dan musibah.


4. Orang yang sangat suka menonjolkan diri dalam apa jua topik.

- sentiasa menyebut-nyebut kehebatan dan kebaikan diri sendiri. Ingin sentiasa nampak hebat

dan unggul. Sekiranya ada orang lain yang lebih menonjol, dia sangat berharap orang itu ditimpa

musibah dan hilang kehebatan.



Ketahuilah wahai setiap diri yang perlukan perhatian Allah!


Lidah kita adalah amanah Allah yang akan dipertanggung jawabkan di hadapan pengadilanNya

kelak. Setiap ucapan kita sepatutnya menepati keredhaan Allah. Elakkan memperkatakan

sesuatu yang membawa kemurkaan Alah. Ucapan yang kita lahirkan sebaiknya umpama

mutiara yang sangat berharga yang membawa manfaat kepada sesiapa yang mendengarnya.

Elakkan dan jauhi perkataan tercela yang lahir dari sangkaan buruk. Bukanlah daripada akhlak

muslim untuk mendedahkan rahsia manusia, menyelam ke dalam persoalan pribadi dan

mencemarkan maruah sesama saudara muslim.



Wallahu'alam.

SEMUA KITA BERSAUDARA



Teristimewa untuk setiap diri yang dikasihi kerana Allah...,

Moga dilimpahi kesejahteraan, rahmat serta keberkatan.

Mari sama-sama kita hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang

perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling

kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang

yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."



Dalam ayat tersebut, Allah menjelaskan manusia diciptakanNya bermacam-macam bangsa dan

suku supaya saling mengenal dan tolong menolong dalam kehidupan bermasyarakat. Kemuliaan

dan ketinggian seseorang di sisi Allah dinilai pada ketakwaannya. Ayat ini juga menjelaskan

persaudaraan Islam berlaku untuk seluruh umat manusia tanpa dibatasi oleh bangsa, warna

kulit, kekayaan dan wilayah. Melainkan didasari oleh ikatan akidah. Dengan lain perkataan

setiap diri Muslim itu bersaudara, meliputi seluruh pelusuk dunia tanpa mengira sempadan

geografi.



Untuk lebih jelas dalam memahami hakikat ini, mari kita singkap satu peristiwa yang pernah

berlaku di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW...



Suatu hari Abu Dzar dan Bilal bin Rabah memperdebatkan satu permasaalahan. Disebabkan

terlalu marah, Abu Dzar pantas berkata:

"Hai anak si kulit hitam!"


Dengan pantas juga Rasulullah SAW menegur:

"Hentikan segera! Tidak ada satu kelebihan pun bagi sikulit hitam melainkan dengan beramal

soleh."


Abu Dzar segera menyedari kesilapannya, lalu meletakkan pipinya di atas tanah. Dia meminta

Bilal menamparnya.



Juga pernah berlaku dalam peristiwa yang lain, Suhail bin Amru, Harits bin Hisham, Abu

Sufiyan dan para pembesar Quraisy berdiri di hadapan pintu rumah Umar Al-Khattab. Tetapi

Saidina Umar lebih suka mempersilakan Suhaib Ar-Rumi dan Bilal Al-Habsyi masuk dahulu,

walau kedua-duanya dari golongan miskin.



Wahai saudara-saudaraku se aqidah...,


Dengan meneliti peristiwa-peristiwa tersebut, ternyata kepada kita tidak ada perbedzaan

antara miskin dan kaya maupun warna kulit hitam maupun putih. Keutamaan di sisi Allah

terletak pada nilai iman dan takwa. Pada hakikatnya semua lapisan muslimin dan muslimat

adalah bersaudara. Dianjurkan supaya saling berkasih sayang dan tolong menolong kepada

kebaikan dengan kejujuran dan tulus ikhlas.



Ini menepati sabda Rasulullah SAW:

"Orang Islam adalah bersaudara sesama Islam. Tidak boleh menzaliminya dan membebankan

sesuatu yang memberatinya. Dan siapa yang menunaikan suatu hajat saudaranya, maka Allah

akan menunaikan hajatnya. Dan siapa yang melepaskan satu bala orang Islam, Allah akan

melepaskan bala kesusahannya di akhirat. dan sesiapa yang menutup keaiban mana-mana

orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di akhirat." (HR Bukhari)


Wallahu'alam.

YANG KITA HARAPKAN

MASA DEPAN YANG KITA HARAPKAN



Marilah seluruh Muslim dan Muslimah yang sedar!

Kita tegaskan pendirian kita...


KITA TIDAK MAHU;


*Kaum lelaki hari ini memandang wanita seperti mana kaum lelaki jahiliyah yang menganggap

wanita sebagai barang yang dijumpai di jalanan.


*Kaum wanita diwarisi seperti mewarisi barang-barang keperluan.


*Wanita dihindar dari berpeluang menuntut ilmu.


*Bapa sendiri pun memandang hina bila mengetahui bahawa anak yang dilahirkan oleh

isterinya, anak perempuan.


*Tergamak juga si bapa mengatakan: "Anak perempuan bukanlah sebaik-baik anak, kalau dapat menolong pun hanya sekadar tangisan."



YANG KITA MAHU;


*Semua orang bersikap sedar mencabut aib dari kaum wanita.


*Islam memandang kelahiran anak perempuan sebagai anugerah dari Allah.


* Allah mewajibkan setiap wanita menuntut ilmu seperti mana yang juga diwajibkan ke atas

lelaki.


*Hinggakan Islam memberi hak kepada anak perempuan untuk menentukan jodohnya.


DEMI KEGEMILANGAN MASA DEPAN...,


SETIAP DIRI WANITA ISLAM, MESTILAH;


*Wajib menuntut ilmu dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Berilah keutamaan pada

bidang dan sudut yang bertepatan dengan batas fitrah serta peranan wanita.


*Kembalilah kepada kefahaman Islam sebagaimana yang dihayati generasi awal, generasi

unggul yang berjaya memperlihatkan contoh dalam mentaati perintah Allah. Serta mewarnai

kehidupan dengan keredhaan Allah semata-mata.


*Memperteguhkan pendirian, supaya tidak terikut-ikut dengan arus yang tidak pasti

kebenarannya. Iman mesti mantap dan akhlak mesti luhur.


*Kembali kepada keaslian Islam serta waspada dengan pengaruh yang mengelirukan. Apabila

berhadapan dengan berbagai budaya asing, mestilah mampu membuat pilihan dan keputusan

bijak samaada bersesuaian dengan kepribadian Islam.


*Sentiasa berpegang teguh dengan tradisi Islam. Yakin dan redha menerima Allah sebagai Rabb,

Islam sebagai deen(cara hidup),

Al-Quran sebagai kitab yang diimani,

Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang mesti diikuti dan dicontohi.



ITULAH ARAH TUJU; yang mesti diikuti oleh setiap wanita Islam...


*Kita mahu wanita Islam kembali kepada kegemilangan muslimah awwal yang hidup pada

zaman al-nubuwwah dan zaman para sahabat Rasulullah SAW, juga zaman tabiin.


*Zaman keemasan di mana wanita Islam seluruhnya telah menunaikan kewajipannya dan

mengetahui haknya yang sebenar.


wallahu'alam.



HATI YANG INDAH

WAHAI SETIAP DIRI YANG DIPERHATI!



Renungi dengan teliti kisah berikut, yang dipetik dari seerah Rasulullah SAW...


Semoga dapat kita fahami hakikat hati yang tulus murni lagi indah yang diharap layak mewarisi

nikmat syurgawi...


Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad Hasan dan oleh Nasa'i dari Anas bin Malik r.a:


Ketika Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, baginda bersabda; "Sekarang datang ahli

syurga kepadamu."

Ketika itu muncul seorang lelaki Ansar. janggutnya kelihatan dibasahi air wuduk'. Di tangan

kirinya menjinjing sepasang selipar.


Esok harinya, berlaku keadaan begitu dan Rasulullah SAW masih menyatakan bahawa lelaki itu

ahli syurga. begitulah lagi hingga hari yang ketiga...


Sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah bin Amru bin Ash ingin benar mengetahui

dengan mendalam hal keistimewaan lelaki tersebut. Lantas Abdullah bin Amru mengikuti lelaki

itu dan berkata:

"Saya telah bertengkar denagn bapa saya dan mengambil keputusan tidak balik ke rumah

selama tiga hari. Bolehkah saya menumpang di rumah saudara?"

Lelaki itu dengan senang hati menjawab:

"Silakan."



Abdullah menceritakan kepada sahabat-sahabat Rasulullah yang lain....


Selama tiga hari beliau di rumah lelaki itu, tidak kelihatan sesuatu apa pun perlakuan luarbiasa.

Hinggakan solat sunat waktu dinihari pun, tidak dilakukan oleh lelaki itu.


Hanya yang disedari Abdullah, lelaki itu bercakap perkara-perkara yang baik-baik sahaja.



Akhirnya Abdullah bin Amru berterus-terang kepada lelaki itu, kedatangannya adalah untuk

melihat apakah keistimewaan yang membuat Rasulullah menyatakan dia (lelaki

itu)...merupakan ahli syurga.


Lelaki itu menjawab dengan tenang:


"Tidak ada apa-apa pun yang saya lakukan, melainkan seperti yang anda lihat. Hanya saya

tidak menyimpan sedikit pun di dalam hati keinginan untuk menipu sesiapa jua atau menaruh

hasad dengki atas kebaikan orang lain."


Kemudian Abdullah bin Amru berkata:

"Inilah rupanya yang mengangkat darjatmu setinggi itu!"


WAHAI SEMUA HATI YANG DIKASIHI...

Bagaimana bentuk hati kita?

Apa yang sering terasa di hati kita?

Indahkah gambaran yang menguasai hati kita?

Kita tahu dan maklum bentuk hati kita..., malah bau dan rasanya juga telah sebati dalam hidup kita...

Bagaimana sekarang tindakan kita...

Untuk membentuk hati kita seindah mungkin,

Dan harum mewangi sepanjang masa??

LIHAT PADA HATI


WAHAI SETIAP HATI YANG DIKENALI,


WAHAI SETIAP HATI YANG DIINGATI,

WAHAI SETIAP HATI YANG DIRINDUI...

Semuanya daku dekati dengan sepenuh hatiku semata-mata demi menggarap redha Ilahi!



Pagi tadi pertama kali dalam kesibukan rutin harianku sebagai penulis bebas, ku bawa diri

kerdil ini mengadap jendela di satu daerah asing...sendirian. Tidak ditemani sesiapa pun...,

hanya laptop yang sentiasa berada di sisi ku dan masih juga kawasan yang ada capaian talian

internet. Lalu daku mencoret sesuatu bebas lepas dari timbunan buku-buku dan kitab-kitab

yang sering kujadikan bahan rujukan. Daku mencoret dan terus mencoret dengan dada lapang

dan tangan ringan, sebebas burung layang-layang yang melayah bebas di udara...jauh, tapi

masih tercapai pandangan mataku.




Sambil memandang-mandang sekitar yang sunyi sepi, daku pandang pada diri kerdil ini....

Terdetak dalam hati; apakah lagi ada padaku yang paling berharga dan tidak jadi usang sejauh

usiaku yang hanya tinggal baki ini? Kuteliti setiap yang kumiliki sehingga ke usia setengah abad

ini sudah berada di tahap usang...oh! alangkah ngerinya...jika sudah usang, hujungnya akan

bubar, akan pupus! Tapi bagaimana dengan satu yang Allah berikan pada diriku...yang akan

dilihat dan dinilai di hadapanNya itu? HATI?? Bagaimana hatiku ini?...Bila di bawa kehadapan

Allah, bagaimana keadaan nya? INDAH atau HODOH; HARUM atau BUSUK? Oh Tuhan!,

tunjukilah daku dan semua yang kukasihi kepada jalan redhaMu yang membawa hati ini

menjadi INDAH dan HARUM.



Sering kita dengar kata-kata orang...;HATI MESTI BAIK. Oh...Berbagai persoalan

menerjahbenakku... Bagaimana yang dimaksudkan hati yang baik itu? Cukupkah dengan tanda

manis tuturkata dibibir? Memadaikah dengan bersimpati pada kesedihan teman-teman rapat?

Atau turut bersedih tatkala sahabat karib ditimpa musibah? Bagaimana sifat HATI YANG

BAIK?Ingin sekali daku miliki hati yang baik itu, kerana pastinya...HATI YANG BAIK AKAN

MEMBAWA KEBAIKAN DAN MEMBUAT ORANG LAIN MELAKUKAN KEBAIKAN.



Teringat pula daku satu pernyataan yang menyebut; ALLAH TIDAK MELIHAT PADA RUPA

SESEORANG, TAPI ALLAH MELIHAT HATINYA. Oh Tuhan! Aku takut!!...Tersangat takut!!!

Bagaimana hatiku??? Layakkah untuk dilihat Tuhanku...Bagaimana rupa bentuk hatiku di

hadapanMu, Rabbi? Ke mana akan kuhadapkan wajahku yang dapat menggambarkan rupa

bentuk dan bau hatiku? Sehingga aku merasa tenang, lapang, ringan dan bebas berterbangan di

jagat raya ini sebebas burung layang-layang itu... Tanpa khuatir tetap juga mampu terbang

meraih rezeki, di rimba batu. Mampukah aku beribadah tenang ikhlas walau dalam berbagai

kemelut arus gawat ujian hidup? Atau istiqamah munajat walau dalam deras arus rahmat.

Untuk terus sabar memburu redhaNya dalam pasrah.



Oh Tuhanku! Ampunilah kami.

Tunjuki kami jalan keredhaanMu. Lihatlah hati kami yang sangat berhajat belas kasihMu...


Isnin
10/05/10

TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN

Wahai setiap diri yang dikasihi...



Teristimewa Pemuda-pemudi Harapan!



Sering kita mendengar ungkapan yang berbunyi ;


TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN AKAN MENGGONCANG DUNIA


Ungkapan ini memang tepat dan menggambarkan pengaruh kuat seorang ibu terhadap

perkembangan dan pendidikan anak-anaknya.


Malah begitu besar peranan seorang ibu dalam menentukan corak masa hadapan anaknya

bertepatan kata-kata seorang penyair ;


Sang ibu itu samalah dengan sekolah,


Jika anda pandai menyediakannya,


Seumpama dia membangunkan umat yang baik keturunannya.



Tugas seorang ibu bukanlah mudah, sepanjang hayatnya dikorbankan untuk kebahagiaan anak.


Setiap perkara yang dilakukannya dalam membesarkan anaknya akan meninggalkan kesan ke

atas pribadi anak itu.


Semestinya seorang ibu melengkapkan dirinya dengan;

* iman yang mendalam

* ilmu yang luas

* ketaqwaan yang tinggi.



Semua ini mesti IKHLAS dan semata-mata mengharapkan KEREDHAAN ALLAH.


Di sinila tersimpan rahsia kejayaan dalam membentuk anak menjadi individu cemerlang dan

mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan.


Seorang penyair Arab ada mengungkapkan dalam bait-bait syairnya;


TIDAK SAMA TUMBUHAN SUBUR DALAM TAMAN,


DENGAN TUMBUHAN YANG TUMBUH LIAR DI PADANG YANG TERBIAR,


BOLEHKAH DIHARAPKAN SIANAK,


MENCAPAI KESEMPURNAAN,


JIKA MENYUSU DARIPADA WANITA YANG LIAR.



Setiap ibu menjadi lambang wanita yang mewah dengan naluri kelembutan dan kasih sayang.


Fitrah kelembutan dan kasih sayang ini berkekalan sepanjang hayat dan besar peranannya

dalam menjamin kesejahteraan hidup insan.


Kehidupan seorang anak tidak lengkap dan sempurna tanpa wujud kasih seorang ibu.


Sekadar pelukan dan ciuman seorang ibu, sudah cukup membawa erti yang besar dan

mendalam kepada diri seorang anak.

MENGAPA SEORANG IBU ISTIMEWA?


WAHAI SETIAP DIRI YANG MEMPUNYAI IBU!


Renungilah dan fikirkanlah...


MENGAPA SEORANG IBU ISTEMEWA?



Ya! sudah tentu dia/ibu begitu istimewa...


Dialah yang mengandungkan anak selama sembilan bulan. Melalui pelbagai kesakitan dan penderitaan serta dalam keadaan lemah.


Ditambah lagi dengan perasaan cemas dan sakit ketika melahirkan anak yang memang sukar digambarkan.


Setimpal denagn penanggungan tersebut, Allah SWT menjanjikan ganjaran mati syahid kepada ibu yang meninggal dunia semasa melahirkan anak.


Rasulullah SAW juga turut menganjurkan kepada umatnya supaya memberi keutamaan berbakti terhadap ibu.


Darjat berbakti kepada ibu begitu istimewa, tiga darjat melebihi bapa.


Secara tidak langsung, di sini kelihatan setiap diri wanita tidak rugi dengan berada satu darjat di bawah mentaati suami.


Islam mengangkat kedudukan wanita/ibu dua darjat lebih tinggi, jika dia menjadi ibu sejati!


Peranan wanita sebagai isteri dan ibu, meletakkannya setaraf dengan peranan pejuang fisabilillah!


KEISTIMEWA IBU MEMANG TERBUKTI DAN NYATA...
Renungilah selalu hakikat ini, kerana setiap diri kita sememangnya punya ibu.


Ibnu Katsir di dalam tafsirnya telah meriwayatkan daripada Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya:


"Seorang lelaki didapati sewaktu tawafnya sedang mendokong ibunya. Lelaki itu bertanya kepada Rasulullah SAW, 'Adakah ini bererti aku telah membalas jasa ibuku?' Jawab baginda: Tidak! Walau untuk satu kali penderitaan."


Begitulah besarnya nilai penanggungan dan penderitaan seorang ibu tiada taranya dibalasi dengan apa jua keupayaan kita...., melainkan didatangkan ganjaran oleh Allah SWT.

HIDUP BERKAT

Setiap diri yang kukasihi,


Setiap diri yang kurindui...

Teristimewa barisan pemuda pemudi harapan watan!

Mari kita renungi dengan hati,

Mari kita fikirkan dengan jiwa...

Agar akal dan jasad terpimpin menuju redhaNya!


* APAKAH YANG KITA FAHAM TENTANG KEBERKATAN DALAM HIDUP?

Apakah ia kemewahan material

atau

Kebahagian jiwa?

Lihat di sekitar kita...

MENGAPA WANG YANG BANYAK TIDAK DAPAT MENJAMIN KEBAHAGIAAN PEMILIKNYA?

RUMAH YANG BESAR DAN INDAH TIDAK MEMBERI KEBAHAGIAAN TUAN PUNYA?

ILMU YANG LUAS TIDAK BERFUNGSI MENGANGKAT DARJAT INDIVIDU YANG MENGUASAINYA?

MENGAPA DEMIKIAN???

* Inikah yang dikatakan hidup tidak berkat?

* Apa puncanya?


Hakikat sebenarnya...

HANYA IMAN DAN TAKWA YANG DAPAT MEMANCARKAN KEBAHAGIAAN KE DALAM HATI.

KEBAHAGIAAN WUJUD JIKA JIWA MERASA TENANG DAN TENTERAM.


Fahami maksud firman Allah;

"Dan siapa yang mengerjakan perbuatan baik, laki-laki atau perempuan , sedang dia beriman, nescaya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik." (QS An-Nahl: 97)


TIADA KEBAHAGIAAN JIKA TIADA KETENANGAN.


TIADA KETENANGAN JIKA TIADA IMAN.


* IMAN + TAQWA = KEBAHAGIAAN + KEBERKATAN