Anak-anak remajaku yang dikasihi kerana Allah!
Mari sama-sama kita berdoa;
"Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.
Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
KepadaMu kami menyembah
Dan kepadaMu sahajalah kami memohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat,
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai,
Dan bukan jalan orang-orang yang sesat."
Anak-anakku,
Sedarilah satu hakikat yang berlangsung setiap saat...iman itu kekuatannya sering berubah-ubah dan mudah pudar. Sepertimana pakaian, segera lusuh dan buruk. Justru itu kekuatan iman perlukan perhatian serius. Perlu sentiasa dinilai dan dibaiki. Dengan lain perkataan, perlu sentiasa berlangsung muhasabah atau koreksi diri...
Ulamak Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara muhasabah(koreksi diri), telah menggariskan 10 dasar yang praktikal;
1. Qiyamulail - merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat lain.
2. Solat subuh berjamaah - akan mendapat jaminan perlindungan dari Allah seperti maksud hadis:"Siapa yang sembahyang subuh berjamaah, maka dia berada daalm jaminan Allah. allah sekali-kali tidak meminta sesuatu dari kamu kerana jaminanNya."(HR Muslim)
3. Sentiasa mendampingi Al-Quran - Ia penawar dan kita sangat berhajatkan rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya hati tenang dan dapat merasai suasana hening bening. Menghayati ayat-ayatnya sambil berlinangan airmata.
4. Makanan dari sumber halal - pastikan makanan dan rezeki datang dari sumber yang halal dan tidak dicampuri yang haram. Mesti juga diingat, kita makan untuk tujuan beroleh tenaga bagi memudahkan beribadah, bukanya melakukan keburukan.
5. Hindari malas - Islam tidak menyukai pengangguran. Sepatutnya setiap muslim bersungguh-sungguh dalam melakukan sebarang pekerjaan. Di samping sentiasa membersihkan rezeki dengan sedekah dan zakat.
6. Mengawal pandangan dan perasaan - sewaktu berada di khalayak, sentiasalah berwaspada mengawal pandangan dan berhati-hati daripada tergoda dan digoda.
7. Sentiasa memelihara akhlak - laraskan setiap tingkah laku bertepatan akhlak Islam. Sedapatnya menjadi contoh kebaikan kepada orang lain. Sekiranya orang lain beroleh hidayah dari mencontohi pribadi mulia kita, maka kita juga beroleh ganjaran seperti mana orang itu.
8. Sentiasa menuntut ilmu - pastikan setiap detik sepanjang hayatmu di isi dengan kegiatan menambahkan ilmu. Perhatikan maksud hadis: "Pelajarilah ilmu!. Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah taqwa. Menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya jadi sedekah. Mewariskanya kepada ahli keluarga menjadi ibadah kurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan yang halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat di jalanan ahli syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."(Riwayat Ibnu Adil Barri)
9. Melaksanakan tuntutan syarak - sentiasa bertekad dan benar-benar mengutamakan cara hidup Islam.
10. Menunaikan hak jasad - memelihara kesihatan dan kekuatan fizikal. Hindari diri dari aktiviti yang sangat mengganggu ketangkasan badan dan berpada-pada dalam beriadhah secara lasak. Juga bersederhana dalam urusan makan minum.
Begitulah wahai setiap remaja yang dikasihi kerana Allah!
Pada hakikatnya muhasabah diri mesti berlangsung setiap saat dalam denyutan nadi kalian. Ia tidak hanya pada waktu tertentu sahaja. Dengannya iman yang bertapak di hati dapat dikawal keteguhannya. Juga hati yang sifatnya mudah berbolak balik dapat dilaraskan kestabilannya.
Wallahu'alam.
ummu anas.
1 ulasan:
Assalamu'alaikum Ummi yang amat saya kasihi kerana Allah...
4 Februari 2010 pada 10:40 PTGJazakillah khair diatas perkongsian ini Ummi...Sangat terkesan membacanya...Akan saya muhasabah diri dalam setiap detik nafas ini...Moga Allah redha..
Doa anakanda, moga Ummi dan keluarga sentiasa berada di dalam pelihara serta limpah rahmat Allah SWT...Ameen
Jaga diri Ummi baik-baik ye...saya sayang Ummi...
Salam sayang dari anakanda yg jauh di bumi UK:
-Faiza-
Catat Ulasan