UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MAKSIAT MENGGELAPKAN HATI DAN MEMBAWA KESUSAHAN

Salam kasih sayang kerana Allah,

istimewa untuk seluruh pemuda-pemudi harapan di serata pelusuk bumi tercinta.

Beberapa hari ini ibu agak terpanggil untuk meneliti tentang persoalan hati, khasnya cara-cara yang berkaitan meransang hati untuk sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah. Sedang mengemaskan catatan lama terbelek pula tajuk MAKSIAT MENGGELAPKAN HATI DAN MEMBAWA KESUSAHAN...terasa ngeri pula di hati. Lazimnya ibu lebih suka menuliskan tajuk-tajuk yang nampak positif. Tapi pagi ini hati ini tepanggil pula untuk memaparkan tajuk sedemikian ...Moga Allah tunjuki sebaik-baik perkataan untuk ibu menghuraikannya. Semoga hati ibu sendiri mampu membaiki kesalahan yang Allah perintah untuk dihindari...

Maksiat adalah lawan taat. Kita bicarakan di ruang ini dalam sudut amalan kita terhadap Allah. Setiap diri mukmin sewajarnya berhati-hati dalam setiap langkahnya agar tidak terperangkap di dalam melakukan maksiat. Kerana maksiat akan memberi kesan buruk dalam kehidupan;
1. Tidak beroleh ilmu bermanfaat.
Ilmu adalah cahaya yang Allah SWT letakkan ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar ilmu.
Imam Malik pernah menasihatkan Imam Syafie:
"Saya mengetahui Allah telah meletakkan cahaya dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat."

2. Sukar beroleh rezeki yang berkat.
Pada hakikatnya ketakwaan seorang hamba akan membawa kepada kemurahan rezekinya. Sedangkan meninggalkan takwa akan mendorong kepada kefakiran dan kemiskinan sebenar.

3. Kerunsingan dan kesepian hati.
Hati seorang yang melakukan maksiat tiada kedamaian . Dipenuhi kerunsingan dan keresahan. Walau tertompok harta kekayaan kepadanya, tetap juga dia gelisah dan tidak merasai kebahagiaan.

4. Mendapat banyak kesulitan.
Orang yang tidak bertakwa dan sentiasa melakukan maksiat akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kebuntuan dalam urusan hidupnya.

5. Kegelapan hati.
Perbandingan ini menggambarkan hatinya tertutup dari beroleh dan menerima pertunjuk ke jalan kebenaran. Jika ditunjuki jalan kebenaran, hatinya menolak dan terus ingkar.

6. Melemahkan hati dan badan.
Kekuatan diri mukmin terletak pada hatinya yang sihat dan disinari cahaya kebenaran.
Sedangkan hati yang bermaksiat, gelap, rosak dan lemah. Dari itu anggota badan orang yang bermaksiat juga terjejas kekuatannya. Telah terbukti sekian lama diri yang gagah tapi hati bermaksiat tidak dapat mengalahkan diri kerdil yang teguh dan taat hatinya.

7. Kehilangan taat.
Dosa dan maksiat yang dilakukan menghalang diri dari terus taat. Sekiranya sudah tiada ketaatan, terputuslah jalan-jalan kebaikan dalam diri seseorang.

8. Memendekkan umur dan mengikis keberkatan.
Umur seseorang dikurangi dan menjadi pendek jika keberkatan hidupnya berkurangan. Keberkatan umur itu pula terletak pada hati yang sihat dan baik. Bermakna hati yang hidup, memberi hayat pada jasad. Jika hati mati, hidup jasad juga tidak membawa erti yang baik.

Dari itu anak-anakku, sedapatnya hindarilah maksiat. Dan berlaku taatlah kepada Rabbmu, agar sentiasa disianari kebaikan seperti yang diucapkan oleh Abdullah bin Abbas;
"Sesungguhnya kebaikan itu memberi cahaya kepada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan. Serta kecintaan ramai orang terhadap dirinya. Ada pun maksiat/perbuatan buruk memberi warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan,kekurangan rezeki dan rasa benci orang ramai kepadanya."

Wassalam
ummu anas.


0 ulasan: