UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

CONTOHI RASULULLAH




Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam.
Selawat dan salam untuk rasul junjungan, Muhammad SAW. Para sahabat dan seisi keluarga baginda, juga buat seluruh pendokong agama Allah hingga datang hari pembalasan.

Pemuda-pemudi harapan!
Tarikh 12 Rabiul Awwal datang kembali...mengingatkan kita kepada peristiwa besar kelahiran rasul junjungan. Mendengarkan semarak lafaz selawat setiap tahun pada tarikh besar itu, pasti sayu perasaan kita...lantaran menyedari...sejauh mana bukti kasih dan taat kita pada ajaran baginda junjungan??

Anak-anakku yang dikasihi kerana Allah,
Mari sama-sama kita renungi kembali kata-kata Saydatina Aisyah r.a;
"Akhlak Rasulullah SAW adalah Al-Quran."

Ini bermakna segala yang tersirat dan tersurat dalam Al-Quran itulah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Bertepatan pula sememangnya isi Al-Quran mengajar seluruh umat manusia menuju ketinggian budi dan keluhuran kesopanan.
Mari kita teliti sebahagian isi Al-Quran yang mengandungi adab kesopanan dan akhlak mulia, antaranya;

* Al-A'raf ayat 199: Berikan kemaafan kepada orang yang bersalah _ kerjakan kebaikan dan berpaling dari percakapan orang yang jahil.

* An-Nahl ayat 90: Berlaku adil dan berbuat baik. Menunaikan zakat dan bersedekah kepada orang yang masih mempunyai hubungan kekeluargaan. Jauhi perbuatan keji dan mungkar dan apa saja sifat yang melampaui batas.

* Luqman ayat17: Bersabar terhadap musibah _ termasuk keteguhan hati dalam menghadapi semua perkara.

* As-Syura ayat 43: Sabar dan memaafkan _ juga keteguhan hati menghadapi berbagai keadaan.

* Al-Maidah ayat 13: Tidak membalas keburukan yang dilakukan orang lain _ Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.

* An-Nur ayat 22: Suka memaafkan dan tidak membalasi perbuatan orang lain sepertimana suka Allah mengampuni kesalahanmu.

* Ali-Imran ayat 134: Orang yang bertaqwa suka menahan marah dengan memberi maaf _ Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.

* Fushilat ayat 34: Tolak kejahatan dengan cara sebaik-baiknya _ sehingga orang yang bermusuhan menjadi teman setia.

* Al-Hujurat ayat 12: Jauhi prasangaka kerana berprasangka itu berdosa. Jangan mengintip keburukan orang dan menghina sebahagian orang yang lain.

Begitulah antara banyak lagi contoh-contoh akhlak yang terkandung di dalam Al-Quran yang kesemuanya terbina di dalam diri Rasulullah SAW, kemudian memancarkan didikan luhur terhadap seluruh umat manusia.

Wallahu'alam.
ummu anas.

AWAS! HATI DICEMARI MAKSIAT...



Salam ukhwah dan mahabbah yang dilimpahi rahmat dan barakah,
Istimewa untuk pemuda-pemudi harapan!

Dengan keizinan Allah jua dapat ibu paparkan sekali lagi isu yang menyentuh kesan maksiat ke atas hati. Paparan ini juga sebagai menambah sedikit lagi penjelasan berkaitan kesan maksiat ke atas hati. Lazimnya dalam menyampaikan tazkirah, ibu lebih condong membicarakan hal-hal yang bercorak positif. Pada hakikatnya persoalan berkaitan hati terlalu seni dan sering bertembung isu negatif yang mengganggu kesejahteraan hati. Kerana itu ibu ingin berkongsi satu pemerhatian bersama-sama anak-anak semua...

Semestinya kita sedari,
Maksiat lawan kepada taat.
Taat yang dimaksudkan di sini ialah taat mematuhi perintah Allah. Manakala maksiat sudah tentu gambaran keengkaran manusia terhadap perintah Tuhannya. Maksiat menyerang seluruh anggota jasad. Akal fikiran, perasaan hati, tingkah laku dan adap sopan.

Dalam mencapai kejayaan di dunia ini, semuanya mesti berpaksikan iman dan takwa. Jalannya memperoleh setiap yang dihajati mesti dalam batasan syarak. Fizikal pula sedaya upaya mejauhi maksiat. Tidak leka dalam kemewahan material. Malah tidak hanyut dalam asyikan memenuhi tuntutan beribadah. Penuhi hak Rabb dan hak diri kalian. Juga hak keluarga dan hak masyarakat. Imbangilah antara dunia dan akhirat. Tidak melarikan diri dari hakikat hidup di dunia, , tetapi usah rakus dengan kemewahan dunia. Seumpama anjing berebut tulang.

Pemuda-pemudi harapan!
Jadilah kalian termasuk generasi 'awwabun taibun" - yang sangat takut dirinya bermaksiat kepada Allah. Mereka lebih takut maksiat kalbu berbanding maksiat fizikal. Maksiat kalbu yang dimaksudkan umpama ujub, sombong, riya', angkuh, suka menonjol diri, bersangka buruk serta hasad dengki.

Ketahuilah anak-anakku,
Apabila hati mula dicemari maksiat...,kembalilah kepada ketaatan kepada Allah dengan bertaubat dan beristigfar. Yakinlah Allah tidak akan membiarkan kalian hanyut dalam kegelinciran selagi kalian mengharapkan rahmat Allah. Hayatilah maksud firman Allah dlm surah Ali-Imran, ayat 135-136;
"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka . Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah dan itulah sebaik-baik pahala orang yang beramal."

Pemuda-pemudi yang ibu kasihi kerana Allah,

Perhatikan dengan teliti senarai semak ke atas kesejahteraan hati, agar maksiat tidak mencemari hati!...

* Syirik _ meletakkan selain Allah dalam pemujaan, pengharapan dan kecintaan.
* Dosa_ dosa-doa kecil, bila banyak terhimpun akan mematikan hati.

* Ghoflah_ Lalai dan leka yang sangat disukai nafsu, juga meringankan perkara yang Allah perintahkan.

*Memandang kecil perkara yang Allah sukai.

* Tidak berserah diri dan tidak bergantung harap kepada Allah.

* Tidak puas hati dengan ketentuan Allah.

* Tunduk dan patuh selain daripada Allah.

Apabila anggota jasad mendorong maksiat, hati di anggap berpenyakit dan terganggu kesejahteraannya. Sedaya upaya mesti diusahakan kesembuhannya. Yakinlah ubat paling mujarab ialah tauhid dan taubat. Dengannya hati akan sedar, perjalanan hidup yang dilalui menuju untuk kembali kepada Allah. Kemudian akan tertutup pintu taubat, dan berakhirlah sebuah kehidupan.

Wallahu'alam.

MAKSIAT MENGGELAPKAN HATI DAN MEMBAWA KESUSAHAN

Salam kasih sayang kerana Allah,

istimewa untuk seluruh pemuda-pemudi harapan di serata pelusuk bumi tercinta.

Beberapa hari ini ibu agak terpanggil untuk meneliti tentang persoalan hati, khasnya cara-cara yang berkaitan meransang hati untuk sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah. Sedang mengemaskan catatan lama terbelek pula tajuk MAKSIAT MENGGELAPKAN HATI DAN MEMBAWA KESUSAHAN...terasa ngeri pula di hati. Lazimnya ibu lebih suka menuliskan tajuk-tajuk yang nampak positif. Tapi pagi ini hati ini tepanggil pula untuk memaparkan tajuk sedemikian ...Moga Allah tunjuki sebaik-baik perkataan untuk ibu menghuraikannya. Semoga hati ibu sendiri mampu membaiki kesalahan yang Allah perintah untuk dihindari...

Maksiat adalah lawan taat. Kita bicarakan di ruang ini dalam sudut amalan kita terhadap Allah. Setiap diri mukmin sewajarnya berhati-hati dalam setiap langkahnya agar tidak terperangkap di dalam melakukan maksiat. Kerana maksiat akan memberi kesan buruk dalam kehidupan;
1. Tidak beroleh ilmu bermanfaat.
Ilmu adalah cahaya yang Allah SWT letakkan ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar ilmu.
Imam Malik pernah menasihatkan Imam Syafie:
"Saya mengetahui Allah telah meletakkan cahaya dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat."

2. Sukar beroleh rezeki yang berkat.
Pada hakikatnya ketakwaan seorang hamba akan membawa kepada kemurahan rezekinya. Sedangkan meninggalkan takwa akan mendorong kepada kefakiran dan kemiskinan sebenar.

3. Kerunsingan dan kesepian hati.
Hati seorang yang melakukan maksiat tiada kedamaian . Dipenuhi kerunsingan dan keresahan. Walau tertompok harta kekayaan kepadanya, tetap juga dia gelisah dan tidak merasai kebahagiaan.

4. Mendapat banyak kesulitan.
Orang yang tidak bertakwa dan sentiasa melakukan maksiat akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran dan kebuntuan dalam urusan hidupnya.

5. Kegelapan hati.
Perbandingan ini menggambarkan hatinya tertutup dari beroleh dan menerima pertunjuk ke jalan kebenaran. Jika ditunjuki jalan kebenaran, hatinya menolak dan terus ingkar.

6. Melemahkan hati dan badan.
Kekuatan diri mukmin terletak pada hatinya yang sihat dan disinari cahaya kebenaran.
Sedangkan hati yang bermaksiat, gelap, rosak dan lemah. Dari itu anggota badan orang yang bermaksiat juga terjejas kekuatannya. Telah terbukti sekian lama diri yang gagah tapi hati bermaksiat tidak dapat mengalahkan diri kerdil yang teguh dan taat hatinya.

7. Kehilangan taat.
Dosa dan maksiat yang dilakukan menghalang diri dari terus taat. Sekiranya sudah tiada ketaatan, terputuslah jalan-jalan kebaikan dalam diri seseorang.

8. Memendekkan umur dan mengikis keberkatan.
Umur seseorang dikurangi dan menjadi pendek jika keberkatan hidupnya berkurangan. Keberkatan umur itu pula terletak pada hati yang sihat dan baik. Bermakna hati yang hidup, memberi hayat pada jasad. Jika hati mati, hidup jasad juga tidak membawa erti yang baik.

Dari itu anak-anakku, sedapatnya hindarilah maksiat. Dan berlaku taatlah kepada Rabbmu, agar sentiasa disianari kebaikan seperti yang diucapkan oleh Abdullah bin Abbas;
"Sesungguhnya kebaikan itu memberi cahaya kepada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan. Serta kecintaan ramai orang terhadap dirinya. Ada pun maksiat/perbuatan buruk memberi warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan,kekurangan rezeki dan rasa benci orang ramai kepadanya."

Wassalam
ummu anas.


SETIAP DETIK MEMPERBAIKI DIRI


Anak-anak remajaku yang dikasihi kerana Allah!

Mari sama-sama kita berdoa;
"Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.
Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
KepadaMu kami menyembah
Dan kepadaMu sahajalah kami memohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat,
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai,
Dan bukan jalan orang-orang yang sesat."

Anak-anakku,
Sedarilah satu hakikat yang berlangsung setiap saat...iman itu kekuatannya sering berubah-ubah dan mudah pudar. Sepertimana pakaian, segera lusuh dan buruk. Justru itu kekuatan iman perlukan perhatian serius. Perlu sentiasa dinilai dan dibaiki. Dengan lain perkataan, perlu sentiasa berlangsung muhasabah atau koreksi diri...

Ulamak Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara muhasabah(koreksi diri), telah menggariskan 10 dasar yang praktikal;

1. Qiyamulail - merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat lain.

2. Solat subuh berjamaah - akan mendapat jaminan perlindungan dari Allah seperti maksud hadis:"Siapa yang sembahyang subuh berjamaah, maka dia berada daalm jaminan Allah. allah sekali-kali tidak meminta sesuatu dari kamu kerana jaminanNya."(HR Muslim)

3. Sentiasa mendampingi Al-Quran - Ia penawar dan kita sangat berhajatkan rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya hati tenang dan dapat merasai suasana hening bening. Menghayati ayat-ayatnya sambil berlinangan airmata.

4. Makanan dari sumber halal - pastikan makanan dan rezeki datang dari sumber yang halal dan tidak dicampuri yang haram. Mesti juga diingat, kita makan untuk tujuan beroleh tenaga bagi memudahkan beribadah, bukanya melakukan keburukan.

5. Hindari malas - Islam tidak menyukai pengangguran. Sepatutnya setiap muslim bersungguh-sungguh dalam melakukan sebarang pekerjaan. Di samping sentiasa membersihkan rezeki dengan sedekah dan zakat.

6. Mengawal pandangan dan perasaan - sewaktu berada di khalayak, sentiasalah berwaspada mengawal pandangan dan berhati-hati daripada tergoda dan digoda.

7. Sentiasa memelihara akhlak - laraskan setiap tingkah laku bertepatan akhlak Islam. Sedapatnya menjadi contoh kebaikan kepada orang lain. Sekiranya orang lain beroleh hidayah dari mencontohi pribadi mulia kita, maka kita juga beroleh ganjaran seperti mana orang itu.

8. Sentiasa menuntut ilmu - pastikan setiap detik sepanjang hayatmu di isi dengan kegiatan menambahkan ilmu. Perhatikan maksud hadis: "Pelajarilah ilmu!. Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah taqwa. Menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya jadi sedekah. Mewariskanya kepada ahli keluarga menjadi ibadah kurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan yang halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat di jalanan ahli syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."(Riwayat Ibnu Adil Barri)

9. Melaksanakan tuntutan syarak - sentiasa bertekad dan benar-benar mengutamakan cara hidup Islam.

10. Menunaikan hak jasad - memelihara kesihatan dan kekuatan fizikal. Hindari diri dari aktiviti yang sangat mengganggu ketangkasan badan dan berpada-pada dalam beriadhah secara lasak. Juga bersederhana dalam urusan makan minum.


Begitulah wahai setiap remaja yang dikasihi kerana Allah!
Pada hakikatnya muhasabah diri mesti berlangsung setiap saat dalam denyutan nadi kalian. Ia tidak hanya pada waktu tertentu sahaja. Dengannya iman yang bertapak di hati dapat dikawal keteguhannya. Juga hati yang sifatnya mudah berbolak balik dapat dilaraskan kestabilannya.

Wallahu'alam.
ummu anas.