UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MANUSIA tidak makan DAGING MANUSIA



"Eh! Tengok tu... itu Lia kan? Semalam pun aku nampak dia dengan budak laki tu."


"Ish, apa halnya Lia tu... Selama ni dia tak pernah gini. Elokje perangainya. Dah dekat nak exam ni buang tebiat ke?"


"Farah, Noni, sini kan perpustakaan. Kalau ye pun jom kita ke kafetaria. Nanti bolehlah cakap lebih lanjut."


Dialog di atas boleh membawa wujudnya gosip. Ia lahir dari perasaan curiga dan berprasangka buruk. Awas! Tabiat itu jika tidak dikawal akan merosakkan hubungan baik antara orang yang berkawan rapat.


Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w.: 'Hati-hatilah kamu dengan sangkaan, sesungguhnya sangkaan itu adalah yang paling dusta.' Anda mungkin boleh menggambarkan pelbagai andaian dan melabelkan orang lain dengan keaiban dan tohmahan yang tidak pasti. Oleh itu, Rasulullah amat melarang sebarang sangkaan yang akan meletakkan orang lain jauh dari hakikat kebenaran.

"Ida, Noni, kalau tak silap aku...budak lelaki tu kan si Farid dari Sarawak, yang pendiam tu..."

"Ya! Memang tak silap...Farid dari Sarawak. Pendiam dan tak suka campur orang. Dengan budak lelaki lain yang sekuliah dengan kita semua pun dia tak rapat."

"Farid tu kan tunang si Huda, pun dari Sarawak...Huda yang sebilik dengan Lia."


Setiap hari tanpa kita sedari, sebaik mata melihat berbagai gelagat dan ragam manusia, mulut lantas berbicara. Menyebut perlakuan orang lain memang menarik, mudah, malah adakalanya menyeronokkan. Ini didorong oleh nafsu dan bisikan syaitan. Awas, ia menjurus kepada dosa yang perit seksaannya.


Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Siapa mengumpat bermaksud menghina saudaranya, Allah meletakkannya di jambatan neraka pada hari Kiamat hingga bebas dari apa yang dikatakan.'
Menyedari ungkapan hadis tersebut, setiap wanita Islam yang bertakwa sentiasa berhati-hati pada setiap butir perkataan yang dipertuturkan. Sepatutnya tidak tercetus dari lidah Muslimah solehah kata-kata dusta apalagi yang berbentuk penghinaan kepada saudaranya.


"Kau tau Noni, semalam aku nampak sendiri Lia dan Farid makan tengah hari di sini. Bukan main mesra nampaknya."

"Huda tunang Farid tu ada sama tak? Kau jangan nak buat cerita bukan-bukan."

"Eh kau ni Ida, kalau tak percaya terpulanglah. Aku bukan apa, kesian pada Huda. Takut-takut dia tak tau lagi perkembangan baru tunangnya."

"Kalau pecah tembelang si Farid tu, takut pula nanti patah hati si Huda. Lebih parah kalau Huda berselisih faham pula dengan Lia."

"Aku rasa Ida, elok kau jumpa Huda dan ceritakan hal ni padanya. Kalau dia terserempak dengan Farid dan Lia nanti, tidaklah meletus perang."

"Cukuplah Farah, Noni, dari tadi aku ikuti dan mendengar dengan baik cerita kau berdua. Semua cerita ni termasuk mengumpat, memfitnah dan gosip semata. Besar dosanya tau, walau lancar je lidah menyebut, tapi hakikat sebenar macam makan bangkai daging manusia."


Ketahuilah apa jua bentuk celaan termasuk mengumpat, mengadu domba dan memfitnah akan memburukkan harga diri seseorang yang boleh disamakan mencemarkan harta dan darahnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Setiap Muslim terhadap yang lainnya adalah haram darahnya, hartanya dan harga dirinya.'

Sabdanya lagi, 'Janganlah kamu saling mendengki, membenci atau berpaling. Janganlah pula setengah kamu mengumpat yang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang saling bersaudara.'


Diceritakan dari Amir bin Dinar: Seorang lelaki Madinah mempunyai seorang adik perempuan. Suatu hari, adikperempuannya itu jatuh sakit, tenat, lalu meninggal dunia. Si abang turut sama mengebumikan jenazah adiknya. Setelah pulang ke rumah, lelaki itu menyedari yang dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur. Dia segera berpatah balik ke tanah perkuburan. Tiada cara lain untuk mendapatkan semula dompetnya kecuali dengan menggali semula kubur adik perempuannya.
Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati api menyala-nyala dari dalam kubur itu. Setelah pulang ke rumah, dia bertanya kepada ibunya mengapa boleh berlaku sedemikian. Ibunya memberitahu, si adik sewaktu hidupnya suka benar pergi ke rumah jiran menceritakan keburukan orang dan menyebar fitnah.


Tabiat buruk itu jelas menyebabkan seksa kubur. Oleh itu, sesiapa yang ingin hidup dan mati dalam keadaan baik, maka hendaklah meninggalkan perbuatan mengumpat dan memfitnah.


"Apa yang kamu semua bualkan ni? Farah, Ida, Noni? Kamu mengumpat ye?"

"Sebenarnya Lia, kami memang ada sebut-sebut pasal kau..."

"Ini mesti pasal aku dengan Farid kan? Aku dah agak sesiapa yang terlihat aku dua tiga hari ini akan menyebut dan tertanya-tanya. Aku sibuk sangat sampai tak sempat cerita apa-apa khabar baru pada kawan-kawan."

"Ada apa halnya Lia? Ceritalah pada kami supaya kami tak buat andaian yang menimbulkan salah faham."

"Sebenarnya, Farid tu sepupu dan juga saudara sesusuan aku. Kamu semua ingat lagi tak? Dulu kan aku pernah cerita yang ayah aku ada seorang saja adik. Mereka tu kembar. Pak cik aku tu guru dan berkahwi dengan guru perempuan yang berasal dari Sarawak. Sepupu aku tu pula anak pertama dan lahir sebulan lebih awal daripada aku. Sewktu ibunya mula bekerja selepas cuti bersalin, dia dijaga oleh nenek aku. Emak aku pun masih dalam pantang selepas kelahiran aku. Farid tu pula tak mau menyusu botol. Jadi ibu aku bersetuju menyusuinya. Jadilah dia saudara sesusuan aku!"

"Jadi kau tak bolehlah bernikah dengan Farid, kan Lia?"

"Kau ni nampak cemas sangat kenapa, Noni?"

"Kan Farid tu tunang Huda, kawan sebilik kau tu."

"Macam mana kamu dua bersaudara ni boleh berpisah begitu lama?"

"Sabar ye, aku ceritakan satu persatu. Umur pak cik aku tu tak panjang. Dia meninggal dunia semasa umur Farid dua tahun. Kemudian Farid dan ibunya pulang ke Sarawak. Sejak itu kami berpisah. Hinggalah minggu lepas, Huda tunjukkan gambar bakal ibu mertuanya yang aku rasa seiras dengan gambar isteri pak cik aku. Sebab tulah dua tiga hari ini aku sibuk bercerita dengan Farid tentang kisah yang berlaku dalam keluarga kami."

"Oh, begitu...Kami semua ni Lia, nak minta maaf daripada kau sebab dah banyak emngumpat kau. Hampir-hampir saja membuat fitnah."

"Tak mengapalah Farah, Ida, Noni. Salah aku juga tak beritahu kamu semua lebih awal tentang ini semua."


Begitulah akibatnya jika sebarang sangkaan cepat dilahirkan dalam bentuk sebutan. Tambahan pula, lidah memang gemar mengatakan keburukan orang lain. Sepatutnya, setiap Muslimah solehah lebih waspada setiap kali ingin meyebut perihal rakan yang tidak hadir bersama. Elakkan juga daripada menyebut keburukan rakan itu.


Lazimnya, umpatan dan fitnah berlaku apabila wujud dua pihak, yang bercerita dan mendengar. Apabila ada orang yang memulakan cerita, maka yang mendengar itu mesti menghindarkan diri dan terus meninggalkan perbualan berkenaan. Sememangnya keadaan sebegini sukar dielakkan. Namun, tindakan tegas mesti dimulakan segera untuk menghindari kemurkaan Allah SWT.

2 ulasan:

Atiqah berkata...

MasyaAllah peringatan yg baik utk sy..terima kasih ummu anas..

17 Oktober 2009 pada 7:12 PTG  
nazeerah berkata...

Terima kasih atiqah,
Moga kita sntiasa saling ingat mempringati kpd kebenaran.
Bab gossip...mmg sukar kita tepis, apatah lagi skarang mnjadi santapan sntiasa trhidang! moga Allah bantu kita mmelihara lidah.

18 Oktober 2009 pada 9:17 PG