UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BAHAGIA YANG BERKEKALAN



Wahai setiap diri yang sentiasa diperhati,

Lazimnya kita suka mendengar cerita. Tanpa kita sedari setiap cerita yang kita dengar akan mempengaruhi kehidupan kita. Dari itu lebih baik kita peruntukkan masa untuk merenungi kisah-kisah yang bermanfaat, agar kita juga berfungsi membawa manfaat.

Renungi kisah ini...

Dari Abbas r.a menceritakan:
"Telah datang seorang seorang pemuda menemui Rasulullah SAW dan bertanya; 'Ya Rasulullah, apakah seseorang akan terhalang untuk masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?'

Lalu Rasulullah menjawab; 'Tidak, demi Allah yang jiwaku di tanganNya dan selama kamu yakin dengan Tuhanmu dan ajaran rasulNya."

Pemuda itu namanya Saad Assulami dan masih baru memeluk Islam. Dia datang kepada Rasulullah dengan tujuan mengadu nasibnya yang agak malang.

Saad Assulami: "Ya Rasulullah, demi Allah yang memuliakanmu dengan kenabian, saya baru saja memeluk Islam lapan bulan yang lalu. Saya datang ke sini bertujuan meminang wanita untuk dijadikan isteri. Malangnya semua pinangan saya ditolak, kerana alasan saya hitam dan hodoh. Sebenarnya saya adalah keturunan yang baik dari suku Sulaim."

Rasulullah bertanya; "Adakah kamu mengenali Amr bin Wahab dari suku Tsaqief yang juga baru memeluk Islam?"

Saad Assulami:"Ya, saya kenal dia dan tahu di mana rumahnya".

Rasulullah berkata lagi; "Pergilah kamu ke rumah Amr bin Wahab dengan baik dan mendapat izin untuk masuk ke rumahnya. Katakan kepadanya bahawa Rasulullah telah menikahkan kamu Saad Assulami dengan anaknya Atiqah".

Sebenarnya anak perempuan Amr bin Wahab yang bernama Atiqah itu merupakan gadis cantik yang pintar. Kedatangan Saad Assulami yang membawa salam dari Rasulullah s.a.w kepada keluarga Amr, disambut baik pada mulanya. Apabila diberi tahu perihal Rasulullah telah menikahkan anaknya Atiqah menjadi isteri Saad Assulami yang hitam lagi hodoh, Amr dengan marah menghalau Saad. Saad bergegas menuju kepada Rasulullah untuk mengadukan nasibnya yang masih malang.

Sebaliknya pula di pihak Atiqah anak perempuan Amr, dia merayu kepada ayahnya;
"Wahai ayah, patuhilah perintah Rasulullah sebelum diturunkan wahyu yang mendedahkan perbuatan ayah. Bagi diriku, aku rela kepada apa jua yang telah Allah dan RasulNya tetapkan untukku."

Mendengar pengakuan anak perempuannya, Amr bin Wahab segera menemui Rasulullah. Dia dan keluarganya memohon ampun dan maaf di atas kesalahannya. Juga menyatakan sangat khuatir akan beroleh murka Allah dan RasulNya. Amr bersetuju anaknya dikahwinkan dengan mas kahwin sebanyak 400 dirham.

Rasulullah SAW kemudiannya memberitahu perihal mas kahwin tersebut kepada Saad Assulami. Dengan sedih Saad menjawab; "Saya sesungguhnya tidak ada wang maupun saudara mara untuk saya minta jumlah sebanyak itu.

Rasulullah berkata; "Sebenarnya untukmu mahar sebanyak itu telah ditanggung oleh 3 orang saudara mukminmu. Pergilah kepada Usman bin Affan, Abdurrahman bin Auf dan Ali. Setiap mereka akan memberikan 200 dirham kepada kamu."

Saad Assulami pun pergi mendapatkan sahabat-sahabat yang telah Rasulullah sebutkan. Mereka pula telah memberikan yang lebih dari yang disebutkan. Dengan wang yang diberikan kepadanya, Saad pergi ke pasar bertujuan membelikan hadiah perkahwinan untuk isterinya. Tiba-tiba Saad seolah-olah mendengar dari langit kata-kata yang menyerunya;
"Wahai kuda Allah, berkenderaanlah! Keluarlah untuk berjihad!"
Saad lantas mengangkat tangan berdoa;
"Ya Allah! Tuhan pencipta langit dan bumi, akan aku gunakan wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih Allah dan RasulNya sukai."
Saad telah menggunakan wang itu untuk membeli kuda perang, pedang, tombak dan perisai. Dia lantas berpakaian seorang tentera selengkapnya. Lalu menyertai pasukan tentera Muhajirin yang sedang berperang ketika itu. Semua orang yang belum mengenalinya bertanya-tanya kerana mereka merasai baru sahaja dia menyertai mereka. Dia mara ke barisan hadapan dengan begitu tangkas dan berani. Akhirnya ditakdirkan dia gugur syahid.

Demi terlihat saja lengannya yang hitam tersingsing, Rasulullah SAW segera mengenali, rupanya pejuang yang berani itu adalah Saad Assulami. Rasulullah segera memangku kepala Saad sambil mengusap tanah yang melekat di mukanya dan baginda bersabda; "Alangkah harum baumu dan alangkah kasihnya Allah dan Rasul padamu."
Kemudian Rasulullah menangis diikuti pula dengan tertawa. Lalu memalingkan muka baginda diiringi sabdanya; "Kini dia telah sampai di Haudh, demi Tuhan yang mempunyai Kaabah."

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW jadi kehairanan dan tertanya-tanya; apakah haudh. Mengapa Rasulullah menangis, tertawa dan diikuti berpling muka...

Lalu Rasulullah bersabda menjawab soalan yang bertalu-talu;
"Haudh itu ialah telaga yang diberikan Allah SWT kepadaku. Lebarnya di antara Shan'an Yaman hingga Bushra. Di tepi telaga itu dihiasi permata dan mutiara. Airnya lebih putih dari susu dan lebih manis dari madu. barangsiapa meminumnya sekali, dia tidak akan haus selama-lamanya. Aku menangis kerana rindu kepada Saad. Aku tertawa kerana melihat kemuliaan yang Allah berikan kepadanya. Aku memalingkan muka, kerana melihat isteri-isterinya dari kalangan bidadari berebut-rebut menghampiri Saad hingga terselak betis mereka, jadi aku merasa malu."

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh sahabat-sahabat baginda mengumpulkan pedang, tombak dan kuda Saad untuk diserahkan kepada isteri yang sudah dinikahinya. Rasulullah turut memberitahu Amr bin Wahab perihal menantunya yang telah syahid; "Sesungguhnya Allah SWT telah mengahwinkan Saad Assulami dengan bidadari yang lebih cantik daripada puterimu."

Demikianlah secebis dari banyak lagi kisah-kisah seumpama itu yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Kisah tersebut dapat dijadikan panduan dalam kita melayari pengembaraan hidup menuju redha Ilahi. Sebagai hamba Allah, kita hanya mampu merancang sesuatu yang difikirkan baik menurut kemampuan ilmu dan akal yang sangat terbatas. Segala ketentuan yang terbaik adalah tertakluk kepada izin Allah untuk berlaku dalam kehidupan kita. Tidak semua yang kita rasakan baik, sebenarnya baik di sisi Allah untuk kehidupan kita. Apa pun keadaan yang kita hadapi, kepuasan akan dirasai bilamana kita benar-benar meyakini Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak menzalimi hamba-hambaNya. Dengan mensyukuri segala anugerah dan ketentuan Allah akan membuat kita merasa bahagia yang berkekalan.

Wallahu'alam.




1 ulasan:

Subhanallah.
Betapa besarnya pengorbanan Saad.
Kisah yang mampu mrnitiskan air mata.

1 November 2009 pada 11:26 PG