UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

KECANTIKAN ITU SATU UJIAN


Wahai setiap diri yang memerhati dan diperhati,
Sentiasalah berhati-hati ...
Sebagai insan, diri wanita Islam tidak dapat lari daripada kealpaan yang mendorongnya
tergelincir ke lembah keingkaran. Namun, iman yang mendalam akan memancarkan sinar
kesedaran yang mendorongnya memohon keampunan. Bertaubat serta kembali kepada
ketaatan kepada Allah SWT. Wanita Islam yang bertaqwa sepatutnya sentiasa sedar dan
terbuka untuk menerima petunjuk serta peringatan. Sikap sedemikian akan memastikannya
berada dalam rahmat dan keberkatan.
Begitulah juga yang telah dialami oleh Atiqah binti Zaid bin Amru bin Nufail al-Quraisyiah. Dia
padalah adik kepada Said bin Zaid iaitu suami Fatimah binti al-Khattab. Fatimah binti al-
Khattab
pula ialah adik Ummar bin al-Khattab. Seperti juga abangnya Said, Atiqah termasuk di kalangan
yang awal memeluk Islam. Dia beruntung kerana terdidik dalam suasaan Islam pada usia yang
masih remaja. Maruahnya terpelihara berbanding dengan remaja jahiliyah seusia dengannya.Di
samping ketaqwaan yang tinggi, Atiqah memiliki berbagai keistimewaan yang jarang-jarang
dimiliki oleh gadis lain se zamannya. Dia dikurniakan Allah kecantikan yang menawan. Disertai
kepetahan menyusun bait-bait syair. Keistimewaan ini telah membuatkan ramai pemuda
tergila-gilakan Atiqah. Paduan antara kejelitaan, kebijaksanaan dan ketaqwaan telah mendorong
beberapa pemuda ayng bertaqwa melamar Atiqah, termasuklah Abdullah bin Abu Bakar.
Setiap yang berlaku di alam semesta ini adalah dengan qada' dan qadar Allah SWT. Atiqah juga
tidak mampu menjangkakan apakah yang akan berlaku pada hari-hari mendatang. Dalam usia
yang masih muda Atiqah telah menerima lamaran Abdullah bin Abu Bakar as-Siddiq. Dia
merasa inilah sebaik-baik keputusan dengan harapan Abdullah bin Abu Bakar akan menjadi
penunjuk ajar serta pembimbing sepanjang hayatnya. Dia sungguh-sungguh berazam ingin
menjadi isteri yang sentiasa menghibur dan menyenangkan hati suaminya.
Sedangkan di pihak Abdullah pula, terlalu terpikat dan terpegun atas kejelitaan Atiqah sehingga
melalaikan ibadahnya. Untuk berenggang sebentar dari Atiqah tidak sanggup dilakukannya.
Perlahan-lahan imannya kian kendur, hingga dia mula meninggalkan sembahyang berjaamah di
masjid, tidak seperti sebelum berkahwin.
Suatu hari, dalam perjalanan ke masjid Abu Bakar melintasi rumah Abdullah. Terdengar
Abdullah sedang berbual mesra dan bergurau senda dengan Atiqah. Beliau berlalu ke masjid.
Setelah selesai solat Saydina Abu Bakar melintasi rumah Abdullah sekali lagi. Kedengaran
Abdullah masih bergurau senda dengan Atiqah. Sedangkan waktu sembahyang telah lama
berlalu. Abu Bakar lantas memanggil Abdullah;
"Wahai Abdullah, apakah kamu telah sembahyang?
Barulah Abdullah menyedari kesalahannya, melalaikan sembahyang hingga liput waktu.
Abu Bakar telah berkata lagi;
"Atiqah telah melalaikan kamu daripada kewajipan, malah dia melalaikan kamu dari bersolat.
Ceraikan dia!"
Begitu tegas sikap dan pribadi Saydina Abu Bakar as-Siddiq dalam soal ibadah. baru terhalang
dari menunaikan solat berjamaah di masjid, sudah disuruh menceraikan isteri. Saydina Abu
Bakar sememang teliti dalam mematuhi perintah Allah. Kerana itu beliau merasa wajar dia
bertindak tegas terhadap anaknya. Beliau tidak mahu anaknya dipersoalkan di akhirat dan
disiksa kerana isterinya. Lebih baik anaknya menerima hukuman di dunia daripada menerima
hukuman di akhirat kelak.
Abdullah bin Abu Bakar sememangnya anak yang taat dan patuh kepada orang tuanya. Meski
pun hatinya merasa keberatan untuk menceraikan Atiqah, tetapi disebabkan ketaatannya,
Abdullah tetap menceraikan Atiqah. Ini bertujuan untuk menyedarkannya terhadap dosa yang
dilakukan. Ujian ini memang sangat berat bagi Atiqah dan Abdullah melaluinya. Mereka baru
saja berkahwin dan dalam keadaan saling menyayangi.
Sehinggalah ke waktu hampir berakhir iddah penceraian mereka, kedua-duanya saling
menginsafi dosa masing. Kedenagran kepada Saydina Abu Bakar akan rintihan-rintihan anaknya
Abdullah. Sememangnya dia tahu penanggungan hati anaknya Abdullah. Tapi hukuman itu
diperintahkan bagi menyedarkan kedua-duanya. Setelah keduanya bertaubat dan benar-benar
insaf, mereka dibenarkan rujuk semula.
Setelah peristiwa itu kembalilah mereka berdua menjadi suami-isteri. Mereka sama-sama gigih
bertaubat dan beribadat. Kedua-duanya saling ingat-mengingatkan terhadap tanggungjawab
mereka. Begitulah hanya iman yang mendalam yang dapat memampukan wanita Islam
berhadapan dengan apa jua bentuk ujian dan musibah. Di samping itu wanita Islam mesti
menyedari peranannya membantu kaum lelaki mentaati Allah SWT dalam semua keadaan. Juga
sedaya upaya berusaha untuk mengelakkan diri daripada menjadi alat yang menjerumuskan
orang lain kepada kemungkaran.

BAHAGIA YANG BERKEKALAN



Wahai setiap diri yang sentiasa diperhati,

Lazimnya kita suka mendengar cerita. Tanpa kita sedari setiap cerita yang kita dengar akan mempengaruhi kehidupan kita. Dari itu lebih baik kita peruntukkan masa untuk merenungi kisah-kisah yang bermanfaat, agar kita juga berfungsi membawa manfaat.

Renungi kisah ini...

Dari Abbas r.a menceritakan:
"Telah datang seorang seorang pemuda menemui Rasulullah SAW dan bertanya; 'Ya Rasulullah, apakah seseorang akan terhalang untuk masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?'

Lalu Rasulullah menjawab; 'Tidak, demi Allah yang jiwaku di tanganNya dan selama kamu yakin dengan Tuhanmu dan ajaran rasulNya."

Pemuda itu namanya Saad Assulami dan masih baru memeluk Islam. Dia datang kepada Rasulullah dengan tujuan mengadu nasibnya yang agak malang.

Saad Assulami: "Ya Rasulullah, demi Allah yang memuliakanmu dengan kenabian, saya baru saja memeluk Islam lapan bulan yang lalu. Saya datang ke sini bertujuan meminang wanita untuk dijadikan isteri. Malangnya semua pinangan saya ditolak, kerana alasan saya hitam dan hodoh. Sebenarnya saya adalah keturunan yang baik dari suku Sulaim."

Rasulullah bertanya; "Adakah kamu mengenali Amr bin Wahab dari suku Tsaqief yang juga baru memeluk Islam?"

Saad Assulami:"Ya, saya kenal dia dan tahu di mana rumahnya".

Rasulullah berkata lagi; "Pergilah kamu ke rumah Amr bin Wahab dengan baik dan mendapat izin untuk masuk ke rumahnya. Katakan kepadanya bahawa Rasulullah telah menikahkan kamu Saad Assulami dengan anaknya Atiqah".

Sebenarnya anak perempuan Amr bin Wahab yang bernama Atiqah itu merupakan gadis cantik yang pintar. Kedatangan Saad Assulami yang membawa salam dari Rasulullah s.a.w kepada keluarga Amr, disambut baik pada mulanya. Apabila diberi tahu perihal Rasulullah telah menikahkan anaknya Atiqah menjadi isteri Saad Assulami yang hitam lagi hodoh, Amr dengan marah menghalau Saad. Saad bergegas menuju kepada Rasulullah untuk mengadukan nasibnya yang masih malang.

Sebaliknya pula di pihak Atiqah anak perempuan Amr, dia merayu kepada ayahnya;
"Wahai ayah, patuhilah perintah Rasulullah sebelum diturunkan wahyu yang mendedahkan perbuatan ayah. Bagi diriku, aku rela kepada apa jua yang telah Allah dan RasulNya tetapkan untukku."

Mendengar pengakuan anak perempuannya, Amr bin Wahab segera menemui Rasulullah. Dia dan keluarganya memohon ampun dan maaf di atas kesalahannya. Juga menyatakan sangat khuatir akan beroleh murka Allah dan RasulNya. Amr bersetuju anaknya dikahwinkan dengan mas kahwin sebanyak 400 dirham.

Rasulullah SAW kemudiannya memberitahu perihal mas kahwin tersebut kepada Saad Assulami. Dengan sedih Saad menjawab; "Saya sesungguhnya tidak ada wang maupun saudara mara untuk saya minta jumlah sebanyak itu.

Rasulullah berkata; "Sebenarnya untukmu mahar sebanyak itu telah ditanggung oleh 3 orang saudara mukminmu. Pergilah kepada Usman bin Affan, Abdurrahman bin Auf dan Ali. Setiap mereka akan memberikan 200 dirham kepada kamu."

Saad Assulami pun pergi mendapatkan sahabat-sahabat yang telah Rasulullah sebutkan. Mereka pula telah memberikan yang lebih dari yang disebutkan. Dengan wang yang diberikan kepadanya, Saad pergi ke pasar bertujuan membelikan hadiah perkahwinan untuk isterinya. Tiba-tiba Saad seolah-olah mendengar dari langit kata-kata yang menyerunya;
"Wahai kuda Allah, berkenderaanlah! Keluarlah untuk berjihad!"
Saad lantas mengangkat tangan berdoa;
"Ya Allah! Tuhan pencipta langit dan bumi, akan aku gunakan wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih Allah dan RasulNya sukai."
Saad telah menggunakan wang itu untuk membeli kuda perang, pedang, tombak dan perisai. Dia lantas berpakaian seorang tentera selengkapnya. Lalu menyertai pasukan tentera Muhajirin yang sedang berperang ketika itu. Semua orang yang belum mengenalinya bertanya-tanya kerana mereka merasai baru sahaja dia menyertai mereka. Dia mara ke barisan hadapan dengan begitu tangkas dan berani. Akhirnya ditakdirkan dia gugur syahid.

Demi terlihat saja lengannya yang hitam tersingsing, Rasulullah SAW segera mengenali, rupanya pejuang yang berani itu adalah Saad Assulami. Rasulullah segera memangku kepala Saad sambil mengusap tanah yang melekat di mukanya dan baginda bersabda; "Alangkah harum baumu dan alangkah kasihnya Allah dan Rasul padamu."
Kemudian Rasulullah menangis diikuti pula dengan tertawa. Lalu memalingkan muka baginda diiringi sabdanya; "Kini dia telah sampai di Haudh, demi Tuhan yang mempunyai Kaabah."

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW jadi kehairanan dan tertanya-tanya; apakah haudh. Mengapa Rasulullah menangis, tertawa dan diikuti berpling muka...

Lalu Rasulullah bersabda menjawab soalan yang bertalu-talu;
"Haudh itu ialah telaga yang diberikan Allah SWT kepadaku. Lebarnya di antara Shan'an Yaman hingga Bushra. Di tepi telaga itu dihiasi permata dan mutiara. Airnya lebih putih dari susu dan lebih manis dari madu. barangsiapa meminumnya sekali, dia tidak akan haus selama-lamanya. Aku menangis kerana rindu kepada Saad. Aku tertawa kerana melihat kemuliaan yang Allah berikan kepadanya. Aku memalingkan muka, kerana melihat isteri-isterinya dari kalangan bidadari berebut-rebut menghampiri Saad hingga terselak betis mereka, jadi aku merasa malu."

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh sahabat-sahabat baginda mengumpulkan pedang, tombak dan kuda Saad untuk diserahkan kepada isteri yang sudah dinikahinya. Rasulullah turut memberitahu Amr bin Wahab perihal menantunya yang telah syahid; "Sesungguhnya Allah SWT telah mengahwinkan Saad Assulami dengan bidadari yang lebih cantik daripada puterimu."

Demikianlah secebis dari banyak lagi kisah-kisah seumpama itu yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Kisah tersebut dapat dijadikan panduan dalam kita melayari pengembaraan hidup menuju redha Ilahi. Sebagai hamba Allah, kita hanya mampu merancang sesuatu yang difikirkan baik menurut kemampuan ilmu dan akal yang sangat terbatas. Segala ketentuan yang terbaik adalah tertakluk kepada izin Allah untuk berlaku dalam kehidupan kita. Tidak semua yang kita rasakan baik, sebenarnya baik di sisi Allah untuk kehidupan kita. Apa pun keadaan yang kita hadapi, kepuasan akan dirasai bilamana kita benar-benar meyakini Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak menzalimi hamba-hambaNya. Dengan mensyukuri segala anugerah dan ketentuan Allah akan membuat kita merasa bahagia yang berkekalan.

Wallahu'alam.




MANUSIA tidak makan DAGING MANUSIA



"Eh! Tengok tu... itu Lia kan? Semalam pun aku nampak dia dengan budak laki tu."


"Ish, apa halnya Lia tu... Selama ni dia tak pernah gini. Elokje perangainya. Dah dekat nak exam ni buang tebiat ke?"


"Farah, Noni, sini kan perpustakaan. Kalau ye pun jom kita ke kafetaria. Nanti bolehlah cakap lebih lanjut."


Dialog di atas boleh membawa wujudnya gosip. Ia lahir dari perasaan curiga dan berprasangka buruk. Awas! Tabiat itu jika tidak dikawal akan merosakkan hubungan baik antara orang yang berkawan rapat.


Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w.: 'Hati-hatilah kamu dengan sangkaan, sesungguhnya sangkaan itu adalah yang paling dusta.' Anda mungkin boleh menggambarkan pelbagai andaian dan melabelkan orang lain dengan keaiban dan tohmahan yang tidak pasti. Oleh itu, Rasulullah amat melarang sebarang sangkaan yang akan meletakkan orang lain jauh dari hakikat kebenaran.

"Ida, Noni, kalau tak silap aku...budak lelaki tu kan si Farid dari Sarawak, yang pendiam tu..."

"Ya! Memang tak silap...Farid dari Sarawak. Pendiam dan tak suka campur orang. Dengan budak lelaki lain yang sekuliah dengan kita semua pun dia tak rapat."

"Farid tu kan tunang si Huda, pun dari Sarawak...Huda yang sebilik dengan Lia."


Setiap hari tanpa kita sedari, sebaik mata melihat berbagai gelagat dan ragam manusia, mulut lantas berbicara. Menyebut perlakuan orang lain memang menarik, mudah, malah adakalanya menyeronokkan. Ini didorong oleh nafsu dan bisikan syaitan. Awas, ia menjurus kepada dosa yang perit seksaannya.


Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Siapa mengumpat bermaksud menghina saudaranya, Allah meletakkannya di jambatan neraka pada hari Kiamat hingga bebas dari apa yang dikatakan.'
Menyedari ungkapan hadis tersebut, setiap wanita Islam yang bertakwa sentiasa berhati-hati pada setiap butir perkataan yang dipertuturkan. Sepatutnya tidak tercetus dari lidah Muslimah solehah kata-kata dusta apalagi yang berbentuk penghinaan kepada saudaranya.


"Kau tau Noni, semalam aku nampak sendiri Lia dan Farid makan tengah hari di sini. Bukan main mesra nampaknya."

"Huda tunang Farid tu ada sama tak? Kau jangan nak buat cerita bukan-bukan."

"Eh kau ni Ida, kalau tak percaya terpulanglah. Aku bukan apa, kesian pada Huda. Takut-takut dia tak tau lagi perkembangan baru tunangnya."

"Kalau pecah tembelang si Farid tu, takut pula nanti patah hati si Huda. Lebih parah kalau Huda berselisih faham pula dengan Lia."

"Aku rasa Ida, elok kau jumpa Huda dan ceritakan hal ni padanya. Kalau dia terserempak dengan Farid dan Lia nanti, tidaklah meletus perang."

"Cukuplah Farah, Noni, dari tadi aku ikuti dan mendengar dengan baik cerita kau berdua. Semua cerita ni termasuk mengumpat, memfitnah dan gosip semata. Besar dosanya tau, walau lancar je lidah menyebut, tapi hakikat sebenar macam makan bangkai daging manusia."


Ketahuilah apa jua bentuk celaan termasuk mengumpat, mengadu domba dan memfitnah akan memburukkan harga diri seseorang yang boleh disamakan mencemarkan harta dan darahnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Setiap Muslim terhadap yang lainnya adalah haram darahnya, hartanya dan harga dirinya.'

Sabdanya lagi, 'Janganlah kamu saling mendengki, membenci atau berpaling. Janganlah pula setengah kamu mengumpat yang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang saling bersaudara.'


Diceritakan dari Amir bin Dinar: Seorang lelaki Madinah mempunyai seorang adik perempuan. Suatu hari, adikperempuannya itu jatuh sakit, tenat, lalu meninggal dunia. Si abang turut sama mengebumikan jenazah adiknya. Setelah pulang ke rumah, lelaki itu menyedari yang dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur. Dia segera berpatah balik ke tanah perkuburan. Tiada cara lain untuk mendapatkan semula dompetnya kecuali dengan menggali semula kubur adik perempuannya.
Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati api menyala-nyala dari dalam kubur itu. Setelah pulang ke rumah, dia bertanya kepada ibunya mengapa boleh berlaku sedemikian. Ibunya memberitahu, si adik sewaktu hidupnya suka benar pergi ke rumah jiran menceritakan keburukan orang dan menyebar fitnah.


Tabiat buruk itu jelas menyebabkan seksa kubur. Oleh itu, sesiapa yang ingin hidup dan mati dalam keadaan baik, maka hendaklah meninggalkan perbuatan mengumpat dan memfitnah.


"Apa yang kamu semua bualkan ni? Farah, Ida, Noni? Kamu mengumpat ye?"

"Sebenarnya Lia, kami memang ada sebut-sebut pasal kau..."

"Ini mesti pasal aku dengan Farid kan? Aku dah agak sesiapa yang terlihat aku dua tiga hari ini akan menyebut dan tertanya-tanya. Aku sibuk sangat sampai tak sempat cerita apa-apa khabar baru pada kawan-kawan."

"Ada apa halnya Lia? Ceritalah pada kami supaya kami tak buat andaian yang menimbulkan salah faham."

"Sebenarnya, Farid tu sepupu dan juga saudara sesusuan aku. Kamu semua ingat lagi tak? Dulu kan aku pernah cerita yang ayah aku ada seorang saja adik. Mereka tu kembar. Pak cik aku tu guru dan berkahwi dengan guru perempuan yang berasal dari Sarawak. Sepupu aku tu pula anak pertama dan lahir sebulan lebih awal daripada aku. Sewktu ibunya mula bekerja selepas cuti bersalin, dia dijaga oleh nenek aku. Emak aku pun masih dalam pantang selepas kelahiran aku. Farid tu pula tak mau menyusu botol. Jadi ibu aku bersetuju menyusuinya. Jadilah dia saudara sesusuan aku!"

"Jadi kau tak bolehlah bernikah dengan Farid, kan Lia?"

"Kau ni nampak cemas sangat kenapa, Noni?"

"Kan Farid tu tunang Huda, kawan sebilik kau tu."

"Macam mana kamu dua bersaudara ni boleh berpisah begitu lama?"

"Sabar ye, aku ceritakan satu persatu. Umur pak cik aku tu tak panjang. Dia meninggal dunia semasa umur Farid dua tahun. Kemudian Farid dan ibunya pulang ke Sarawak. Sejak itu kami berpisah. Hinggalah minggu lepas, Huda tunjukkan gambar bakal ibu mertuanya yang aku rasa seiras dengan gambar isteri pak cik aku. Sebab tulah dua tiga hari ini aku sibuk bercerita dengan Farid tentang kisah yang berlaku dalam keluarga kami."

"Oh, begitu...Kami semua ni Lia, nak minta maaf daripada kau sebab dah banyak emngumpat kau. Hampir-hampir saja membuat fitnah."

"Tak mengapalah Farah, Ida, Noni. Salah aku juga tak beritahu kamu semua lebih awal tentang ini semua."


Begitulah akibatnya jika sebarang sangkaan cepat dilahirkan dalam bentuk sebutan. Tambahan pula, lidah memang gemar mengatakan keburukan orang lain. Sepatutnya, setiap Muslimah solehah lebih waspada setiap kali ingin meyebut perihal rakan yang tidak hadir bersama. Elakkan juga daripada menyebut keburukan rakan itu.


Lazimnya, umpatan dan fitnah berlaku apabila wujud dua pihak, yang bercerita dan mendengar. Apabila ada orang yang memulakan cerita, maka yang mendengar itu mesti menghindarkan diri dan terus meninggalkan perbualan berkenaan. Sememangnya keadaan sebegini sukar dielakkan. Namun, tindakan tegas mesti dimulakan segera untuk menghindari kemurkaan Allah SWT.

Sibukkan DISIPLIN Diri


Wahai setiap diri yang Allah kasihi,
Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kita.
Sentiasa dianugerahkan taufiq, hidayah dan keimanan mendalam.
Dihiasi ketaqwaan mendalam dan mampu mentaati perintah Allah serentak dengan menjauhi laranganNya.


Dalam berbagai kesibukan dan kegawatan menuju hajat dan cita-cita,
Ambillah sedikit waktu untuk menilai hakikat kejadian insan.
renungi maksud firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 20-21;

"Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?"
Dengan itu Allah memerintahkan supaya kita berfikir berkaitan penciptaan diri kita. Untuk apa kita di ciptakan?


Fikirkanlah juga tentang tanda-tanda kekuasaanNya pada penciptaan makhluk yang lain juga.
Tentang penciptaan bumi dan segala isi yang terkandung di dalamnya.
Tentang lautan yang terkandung di dalamnya khazanah berharga buat manusia.
Tentang penciptaan langit yang menyimpan ribuan rahsia sistem cakerawala.

Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah akan terbit rasa mengagungkan Allah yang tiada tolok bandingan. Ini akan melahirkan keinsafan di hati seterusnya dapat membentuk kita menjadi insan yang sentiasa menyerah dan taat kepada perintah Allah.

Renungi juga firman Allah berikut;
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata:"Ya Tuhan kami! Tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka."(QS Ali-Imran:191)

Oleh itu kita sentiasa perlu menilai kualiti diri, agar tidak menjadi sia-sia atau membazirkan hayat yang dianugerahkan kepada kita. Usah mengingati Allah hanya sewaktu genting dan terdesak saja...Sentiasalah memikirkan tanggungjawab sebagai hamba Allah;

* Adakah seluruh anggota badan telah digunakan untuk mentaati perintah Allah?
* Gunakan semua kurniaan Allah untuk melaksanakan ketaatan kepadaNya.

* Berazam membaiki diri dan tidak mengulangi kesilapan lampau.


Mari kita merenungi sebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad SAW.

Nabi Adam a.s telah berkata;

"Sesungguhnya Allah kuniakan umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

1. Allah menerima taubatku di Mekah sahaja, tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat mereka di mana saja berada.

2. Aku berpakaian,tetapi apabila aku engkar, dijadikanNya aku telanjang. Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat dalam bertelanjang, tetapi Allah terus memberi mereka pakaian.

3. Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku.Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah, tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.

4. aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan aku darinya. Tetapi umat Muhammad melakukan maksiat di luar syurga, dimasukkanNya ke dalam syurga setelah bertaubat.


Betapa MahaPengasih dan Maha Penyayang Allah kepada semua hambaNya. DiciptakanNya kita dalam sebaik-baik bentuk dan keadaan. DitundukkanNya pula segala ciptaanNya seisi alam untuk maslahat kehidupan manusia seluruhnya.

Bagaimana pula tindakan kita mensyukuri segala nikmat Allah itu?

Sewajarnyalah kita menyusun langkah mendisiplinkan diri;

* Merasa diri sentiasa diawasi dan diteliti dalam setiap perkataan yang diucapkan maupun yang dibisikkan di dalam hati. Keraan sesungguhnya Allah mengambil kira setiap perbuatan hambaNya.

* Berwaspada dalam berbicara. Elakkan daripada menuturkan sesuatu yang di luar batasan syariat seperti mengumpat dan memfitnah. Gunakan lidah untuk memberi nasihat, berkata benar dan berzikir.

* Hindarkan hati dari bisikan jahat dan sebarang niat buruk terhadap orang lain.

* Banyakkan doa serta bersangka baik terhadap Allah.

* Ikhlas dalam setiap perbuatan dengan hanya mengharapkan keredhaan Allah.

Akhirnya renungilah sebuah syair Arab;

Berlajarlah,

Sebab manusia itu tidak dilahirkan terus alim,

Dan tiadalah orang alim itu

dapat disamakan dengan orang jahil.

Sesungguhnya seorang ketua kaum,

yang tidak berilmu

Dipandang kecil apabila dikelilingi orang biasa,

yang berilmu.


Wallahu'alam.

Wassalam.

CINTA UNTUK SIAPA?

Menemui hati-hati yang dirahmati dan dilimpahi kasih Ilahi,

Perlu difahami dan dihayati satu hakikat yang dicurahkan oleh Rabbul 'Izzati ke seluruh pelusuk alam dan buat semua insan...

Tahukah anda?
Sesungguhnya CINTA adalah limpahan kasih-sayang YANG MAHA PENCIPTA kepada semua makhluk CIPTAANNYA. Ini juga bermakna CINTA merupakan anugerah ALLAH kepada hambaNya (MANUSIA). Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Thaha ayat 39:
"Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih-sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu."

Ayat di atas menjelaskan peristiwa ketika Allah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s supaya memasukkan bayinya ke dalam peti dan dihanyutkan di Sungai Nil. Sehingga sampai ke istana Firaun yang sangat zalim yang dikenali sebagai musuh Allah. Dia juga merupakan musuh Nabi Musa a.s. Diiringi dan disusuli kakaknya yang menunjukkan kepada Asiyah isteri Firaun, siapa yang sesuai menyusui bayi Musa. Semuanya telah Allah atur begitu rupa menepati maslahat yang baik di sisiNya. Musa diasuh oleh Asiyah yang beriman, di istana Firaun. Dapat pula disusui oleh ibu kandungnya. Begitu besar rahmat Allah. Mengatur begitu rapi demi satu perencanaan besar, untuk tanggungjawab nubuwwah. Bakal menyebar kebenaran bagi seluruh alam...!

Hakikat Lebih Awal.
Pada penciptaan manusia yang pertama lagi; iaitu NABI ADAM a.s, terbukti CINTA itu FITRAH INSAN. Dikatakan demikian kerana pada mulanya Adam yang Allah ciptakan dan lantik sebagai khalifah Allah hidup sendirian. Ketika itu belum ada manusia lain selain dirinya. Dia berasa kesunyian dalam kemewahan hidup di syurga. Kemudian Allah menciptakan pula Hawa menjadi teman dan isteri bagi Adam. Mereka menjadi penghuni syurga buat beberapa ketika. Disebabkan mereka terpedaya dengan hasutan iblis, maka mereka dicampakkan ke dalam kehidupan dunia!. Begitulah bermulanya hidup manusia di mayapada ini. Namun mesti difahami, semuanya telah Allah atur sebaik-baiknya di dalam dakapan KASIH ILAHI lagi HAKIKI. Supaya dengannya kita sentiasa terpimpin ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat kelak.

Sudah Jatuh Cinta?
Sering kita mendengar orang berkata; TAK KENAL MAKA TAK CINTA.
Kini apabila kita ketahui bahawa Allah Yang Maha Bijaksana mencipta dan mengatur seluruh isi alam ini untuk memudahkan kita menikmati limpahan kasihNya, akan terbukalah jalan untuk kita kenali dengan lebih dekat CINTA ILAHI.

Seterusnya kita menyedari pula, segala apa yang kita hajatkan datang dari sisiNya. Bukan dari yang selainNya. Maka akan terbitlah rasa kagum kita terhadap kebesaran dan keagungan Allah .

Cinta Berputik.
Paduan antara KENAL dan KAGUM inilah yang menerbitkan sepenuh rasa CINTA TULUS seorang hamba seiring ketaatan dan kepatuhan kepada Al-Khaliq. Kemudian kesetiaan cinta akan terbukti dengan melaksanakan amal soleh. Inilah cinta hakiki di atas landasan kasih Ilahi. Inilah juga piawaian cinta untuk seisi alam. Semuanya dipersembahkan kepada Rabbul 'Izzati.

Kata Ibnu Qayyim:
"Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada penciptanya kerana;
* Penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya.
* Penciptanya memberi rezeki.
* Penciptanya menghidup dan mematikan.

Cinta kepada Allah adalah;
* Kebahagiaan semua jiwa.
* Makanan setiap hati.
* Cahaya bagi akal dan mata."

Ibnu Taimiyah berkata:
"Hati manusia secara tabie berhajat kepada Allah kerana dua sebab;
1. Untuk beribadat.
2. Untuk berserah diri.
Hati tidak akan jadi baik, bersih, gembira dan tenang selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan sepenuh cintanya berpaut kepada Allah." Inilah cinta pertama dan utama.

Bentuk Sebenar Cinta Ilahi.
Imam Fakhru Al-Razi berkata:
"Orang yang memahami faedah beribadat, akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah."

Rabiatul Adawiyah berkata:
"Kekasihku tiada yang menandingiNya,
Sekali pun Kekasih ku tidak dapat kupandang dengan mata,
Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku.
Dia akan kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku.
Jiwa dan hatiku kupersembahkan hanya untukNya."

Begitulah bentuk cinta Ilahi yang menguasai hati;
Laksana pohon dalam hati.
Akarnya adalah kepatuhan kepada Allah.
Dahannya ialah makrifatullah.
Rantingnya takutkan kemurkaan Allah.
Daunnya adalah malu kepada Allah.
Buahnya ialah istiqomah.
Air dan bajanya adalah zikirullah.

Bukti dan Pengorbanan Cinta.
apabila tautan jiwa si pencinta terhadap yang dicintainya telah begitu teguh dan padu, dia sanggup berkorban dan mengorbankan apa saja yang dimilikinya. Semata-mata memuaskan penerimaan yang dicintainya. Dengan itu, dirinya sendiri juga akan merasa bahagia.

Begitulah juga halnya bagi setiap diri yang teguh cinta dan kepatuhannya kepada Allah, dia akan sedaya-upaya berusaha memenuhi perintah Allah juga menjauhi laranganNya.

Dia tidak akan ragu-ragu dalam memenuhi arahan-arahan berikut;
* Katakanlah(Muhammad): Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Ali-Imran:31)

* "Tidak beriman seseorang dari kamu, sebelum Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada orang lain."(HR Bukhari dan Muslim)

Anugerah Kualiti Cinta.
Semestinya kita yakini Allah berlaku benar di dalam janjiNya. Telah sedaya upaya kita buktikan ikrar cinta terhadap Allah. Iaitu apa jua bentuk ibadah kita adalah semata-mata untuk beroleh redha Allah.
Maka layaklah kita beroleh anugerah dan pengiktirafan;
* "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beraaml soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang."(QS Maryam: 96)

* Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda; "Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru..., Sesungguhnya Allah mencintai Fulan. maka cintailah dia! Maka seluruh penghuni langit mencintainya. Kemudian dijadikan orang-orang yang menyambut cintanya di bumi."

* Rasulullah juga bersabda; "Allah berfirman pada hari qiamat, 'Manakah orang-orang yang saling mencintai dengan keagunganKu? Pada hari ini Aku melindungi mereka di bawah lindunganKu, pada hari yang tiada lindungan selain perlindunganKu."(HR Muslim)

Begitulah hasilnya yang akan kita perolehi sekiranya kecintaan kepada Allah kita beri keutamaan. Segala kebaikan akan mewarnai jalan hidup kita. Semua tahap cinta yang kita lalui, akan mampu kita realisasikan praktiknya dalam batasan yang telah Allah tetapkan...

* Cinta ayah-ibu terhadap anak-anak akan berlangsung sepertimana yang Allah pertanggungjawabkan.

* Cinta anak terhadap ayah-ibu juga dalam rangka ketaatan yang Allah tetapkan.

* Cinta suami-isteri tertakluk kepada peraturan-peraturan dan hak yang Allah perintahkan.

* Cinta sesama saudara muslim semestinya demi mendapatkan keredhaan Allah.

Doa:
"Ya ALLah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMU cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu. Juga cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Allah! Jadikan aku mencintaiMu dengan sepenuh hatiku dan redha kepadaMu dalam segala usahaku.

Ya Allah! Setiap apa ayng aku perolehi dari apa yang aku cintai, jadikanlah ia kekuatan yang Engkau redhai. Setiap yang Engkau singkirkan daku dari apa yang aku cintai, jadikanlah ketenangan dalam hatiku.

Ya Allah! Jadikanlah cinta ku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai.
Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Amiin."

MESEJ dari PENCIPTA


Wahai Hati dan Diri yang diperhati
Bersyukur kepada Allah SWT kerana hingga ke saat ini kita masih lagi diberi peluang untuk menikmati kurniaanNya yang tidak terhingga di sekeliling kita. Khasnya nikmat Islam dan Iman yang tidak ternilai harganya di sisi Allah.

Allah SWT telah berfiman dalam surah Al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud;
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."


Wahai setiap Hati dan Diri yang sentiasa merasai...
Trajedi demi trajedi terpapar di setiap sudut pelusuk alam menjelang alaf baru ini. Samaada bencana alam maupun bencana angkara tangan manusia sendiri, semuanya semakin kerap berlaku. Perkara ini bukan baru sekarang sahaja berlakunya...Telah berlaku berkurun-kurun lamanya dan sentiasa di catatkan dalam sejarah kehidupan manusia. Semenjak banjir besar pada zaman nabi Nuh hingga kini...serata pelusuk dan sudut dunia telah merasai bencana silih berganti...Mengapa ?

Bencana alam yang tidak diduga-duga datangnya dalam sekelip mata, memang sangat menakutkan. Samaada ianya berupa letusan gunung berapi, ombak besar, ribut taufan dan juga banjir besar...semuanya sangat trajis. Ini mengorbankan banyak nyawa. Dapat disifatkan sebagai peringatan betapa lemahnya manusia. Tidak dapat menghalang kekuasaan Allah yang menetapkan berlakunya trajedi seumpama itu. Kesedihan dan kekhuatiran lebih dirasai oleh saudara terdekat yang kehilangan orang tersayang. Bagaimana sekiranya semua ini merupakan petanda semakin hampirnya kiamat?...

Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Semuanya bertujuan untuk manusia mengambil peringatan daripadanya. Manusia dengan sifat insani yang diciptakan lemah dan pelupa..., sangat perlu sering diperingatkan. Ini juga bertujuan agar manusia tidak jauh terpesong dari hakikat diri selaku hamba yang dhaif lagi berhajat pertolongan Allah.

Dari itu banyak hikmah yang diperolehi dari kejadian bencana-bencaan tersebut:

1. Allah memperingatkan manusia tentang kekuasaan Allah melakukan sesuatu pada bila-bila masa jua pun. Allah boleh menggerakkan sebahagian dari maklukNya yang berupa laut, angin, haba , hujan, dan juga gunung-ganang. Ilmu yang ada pada manusia sangat sedikit, tidak mampu meramal secara tepat apa yang akan berlaku.

2. Allah mahu manusia menyedari dirinya sendiri juga mengenali kekuasaan Allah Yang Maha Perkasa. Manusia diingatkan bahawa dunia ini hanya sementara, akhirat akan datang dan
berkekalan.

3. Manusia diperingatkan, pasti akan berlaku kemusnahan menyeluruh. Apabila nanti dunia
mengalami kegoncangan kiamat...semua manusia jadi tidak menentu juga bingung dan akhirnya binasa bersama harta-harta mereka.

4. Peringatan-peringatan itu ditujukan lebih utama kepada manusia yang ingkar dan melengah-lengahkan taubat. Juga meremehkan ajaran Islam dan perintah Allah. Semakin besar kemungkaran, semakin besar bencana yang ditimpakan... Nauzubillah.

Sehubungan dengan hal demikian, kita baru saja dikejutkan dengan kejadian gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada hari Rabu 30 September 2009. Cuma beberapa hari yang lalu. Gempa bumi yang berukuran 7.6 pada bacaan skala Richter banyak berpusat di Padang. Dahsyat! Tergambar runtuhan di sana-sini. Jambatan roboh, jalan raya musnah dan berbagai bangunan semua menyembah bumi. Malah semua musnah terlonggok dan berserpihan. hancur berkecai...

Perkembangan trajedi bencana ini medebarkan dada setiap yang mengikuti , bilamana laporan yang menyebutkan jumlah mangsa yang terkorban meningkat. Ngeri membayangkan banyak masih tersepit di celah runtuhan. Paling ngeri lagi mendengar laporan masih banyak yang tertimbus hidup-hidup.

Bagi diriku sendiri... kejadian bencana ini sangat meruntun hati ku, kerana....

Di Padang aku punya kenalan warga tempatannya yang telah kukenali secara pribadi. Aku juga telah berkunjung ke sana...Jadi hati ini cemas, tergambar yang bukan-bukan.

Juga diriku mengenali beberapa anak-anak Malaysia yang menuntut di Univasitas Andalas dalam jurusan perubatan. Ini yang sangat meruntun hati ku. hanya doa yang dipanjatkan dari kejauhan...

Alhamdulillah..., Allah menyelamatkan kesemua 330 pelajar Malaysia di Padang! Maha Suci Allah lagi Maha Mengasihani hamba-hambaNya yang berada di jalan menuntut ilmu. Juga berkat doa ibu-bapa yang mengasihi ikhlas sepenuh hati. Allah selamatkan aset besar kita selaku pewaris kegemilangan masa depan...

Moga kejadian ini turut mengingatkan kita supaya lebih terikat hati kekuasaan Allah. Juga lebih menyedari hakikat diri selaku hamba yang sangat berhajatkan limpah kasih Allah.

Wassalam.