UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

PERKARA BAIK BAGI MANUSIA


Wahai setiap diri dan hati yang diperhati,

Marilah sama-sama kita fikir dan teliti...


Luqman al-Hakim pernah ditanya oleh seorang anaknya,


"Wahai ayahku, apakah perkara yang baik bagi manusia?"


Luqman al-Hakim menjawab, "Beragama."


Anak: Kalau ia dua perkara?


Luqman: Beragama dan berharta.


Anak: Kalau tiga?


Luqman: Beragama, berharta dan malu.


Anak: Kalau empat?


Luqman: Beragama, berharta, malu dan baik hati.


Anak: Kalau lima?


Luqman: Beragama, berharta, malu, baik hati dan dermawan.


Anak: Kalau enam?


Luqman menjawab,


"Wahai anakku, jika pada diri seseorang itu terkumpul lima perkara tadi, maka ia adalah orang yang bersih lagi bertakwa. Maka ia adalah penegak kepada agama Allah dan terhindar serta berjaya menumpaskan pengaruh syaitan."


TEKUN BERIBADAH SEWAKTU REMAJA


Sirri al-Qabti adalah seorang tokoh sufi terkemuka di Baghdad pernah berkata, "Beribadatlah ketika anda muda dan gagah, jauhkanlah diri anda dari tetangga kaya yang jahat, dan hindarkanlah diri anda dari ulama-ulama dunia yang menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah."


Zaman remaja yang dilalui merupakan saat penting untuk diisi dengan aktiviti berfaedah. Remaja hendaklah menggunakan kesempatan yang diberikan Allah SWT ini untuk melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh. Kesempatan hidup di dunia ini adalah peluang yang hadir hanya sekali dalam hidup seorang insan.


Lantaran itu, remaja hendaklah menggunakan usia berharga ini untuk berbakti kepada diri, keluarga, agama, masyarakat dan negara. Semua yang dilakukan menjadi ibadah di sisi Allah SWT.


Janganlah disia-siakan dengan perbuatan yang tidak berfaedah dan membuang masa. Binalah benteng dalaman yang kukuh serta jati diri yang tinggi agar maruah umat Islam dapat dijulang ke persada kejayaan di dunia dan di akhirat.

Wallahu'alam.

GURAUAN atau TEGURAN?



Salam ukhwah dan mahabbah diiringi rahmat ilahi,


Wahai setiap diri yang dikasihi dan dirindui kerana Allah,


Suasana Ramadhan sangat tenang, juga sangat sesuai untuk merenung dan berfikir...


Menyingkap kisah dan tauladan.


Ini lazimnya akan membuat kita berfikir, membaca, mendengar mahupun melihat jenaka lucu yang membuat kita terhibur, jenaka ataupun gurauan memadai sesekali untuk menghilangkan kebosanan. Isi gurauan yang dibolehkan cara hidup Islam pun sepatutnya mengandungi kebenaran. Juga mendatangkan kebaikan kepada orang yang mendengarnya. Islam tidak mnggalakkan gurauan yang berunsur pembohongan dan perbuatan dusta, kerana ia seumpama penganiayaan.


Selaku anak muda, kita cenderung kepada hidup disulami keriangan dan jenaka yang menghiburkan. Terlalu serius dan berat berfikir akan membuat jiwa kita kaku dan akal buntu. Hidup orang muda jadi indah apabila diisi dengan suasana riang dan ceria. Kalaupun perlu memberi teguran, sebaiknya dalam irama gembira dan terbukti benarnya!


Menyingkap sepotong dari kisah hidup Ratu Balqis dan Nabi Sulaiman mungkin dapat menjelaskan pada hakikat suatu gurauan itu. Di zaman Nabi Sulaiman, raja yang berpengaruh dan berkuasa diukur berdasarkan keluasan jajahan takluk dan kekuatan angkatan tentera. Sebagai nabi dan raja Bani Israil, Nabi Sulaiman telah Allah kurniakan mukjizat yang sesuai dan tepat pada masa itu. Baginda dapat melihat khazanah di dasar laut termasuk intan, mutiara dan permata berharga.


Malah, semua golongan jin dapat diarah dan diperintahkan oleh Nabi Sulaiman menjadi pekerjanya. Apa jua kekayaan dan perhiasan dapat digali. Dibina istana dan gedung dengan menggunakan kekuatan daripada kalangan jin. Nabi Sulaiman dapat menguasai angin yang dapat menguasai angin yang dapat memudahkannya pergi ke merata ceruk jajahan pemerintahannya. Semua binatang, kecil mahupun besar, termasuk semut tertakluk dalam pemerintahannya. Ini juga bermakna, baginda boleh memahami bahasa semua binatang.


Meskipun nampak begitu hebat kuasa pemerintahan yang Allah anugerahkan kepadanya, baginda tetap berada dalam ketaqwaan yang tinggi. Tugasnya ialah menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah. Hati baginda sentiasa khusyuk dan tawaduk demi mengagungkan kuasa Allah. "Semua ini adalah kurniaan Allah untuk mengujiku, apakah aku dapat bersyukur atau aku kufur," kata Nabi Sulaiman.


Suatu hari burung Hud-hud yang diperintahkan Nabi Sulaiman untuk mencari kawasan yang mudah untuk memperoleh air kembali kepada baginda dengan membawa laporan luar biasa...


Burung Hud-hud: Di sana, ada satu negeri bernama Saba' yang jauh dari negeri Tuanku ini dan tanpa tuanku ketahui ada sebuah kerajaan. Istananya besar, rakyatnya juga besar dan gagah. Tetapi yang memerintah mereka adalah seorang ratu dan mereka menyembah matahari.


Nabi Sulaiman: Benarkah kata-kata mu ini? Aku akan selidiki hal sebenar. Ambil surat ini dan sampaikan kepada ratu yang memerintah negeri Saba' itu.


Burung Hud-hud segera melaksanakan perintah Nabi Sulaiman. Ia terbang menuju ke istana Ratu Balqis. Menyusup masuk ke jendela bilik ratu itu dan menggugurkan surat tersebut tepat di hadapan Ratu Balqis. Dalam keadaan agak terkejut ratu itu mengambil dan terus membaca surat dari Nabi Sulaiman yang berbunyi, "Surat ini dari Nabi Sulaiman. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Janganlah kamu meninggikan diri terhadapku dan dan hendaklah kamu datang kepadaku dengan menganut agama Allah."


Sebaik selesai membaca surat tersebut, Ratu Balqis mengumpulkan menteri dan pembesarnya bagi mencari jalan cara menjawab surat dan permintaan Nabi Sulaiman. Setelah semua sepakat, Ratu Balqis menghantar wakilnya untuk berunding dan memberi hadiah kepada Nabi Sulaiman. Disertakan juga surat balasan kepada permintaan Nabi Sulaiman. Burung Hud-hud segera pulang membawa perkhabaran itu.


Di pihak Nabi Sulaiman, baginda membuat persiapan yang difikirkan sesuai untuk menyambut wakil dari Ratu Balqis. Diperintahkan semua jin membina istan daripada segala jenis perhiasan dan permata perut bumi dan dasar lautan. Dalam waktu yang singkat sebuah istana paling indah dan besar yang belum pernah wujud di muka bumi ini berjaya dibina. Ini sebagai bukti kebesaran kerajaan yang telah Allah kurniakan kepada Nabi Sulaiman. Supaya di pihak Ratu Balqis mengerti mengapa memerintahkan mereka tunduk kepada agama Allah. Nabi Sulaiman tidak bertujuan menonjolkan kehebatannya, tetapi hanyalah semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah swt.


Rombongan wakil Ratu Balqis yang dinanti-nanti pun tiba. Disambut dengan begitu meriah sekali. Mereka kagum dengan kebesaran dan kekayaan kerajaan Nabi Sulaiman. Kiriman dari Ratu Balqis yang mereka bawa amat kecil berbanding segala yang dimiliki Nabi Sulaiman.


"Maafkan aku, aku tidak berhajat kepada hadiah yang diberi oleh Ratu Balqis. Segalanya yang berupa kerajaan dan kekayaan yang Allah anugerahkan kepadaku sudah mencukupi. Aku harap kamu semua akan patuh dan menyembah Allah. Seandainya kamu enggan, aku akan menghantar bala tentera memerangi kamu semua," Nabi Sulaiman menegaskan hasrat yang dikehendakinya daripada Ratu Balqis.


Setelah pulang menghadap Ratu Balqis, wakil yang pergi menceritakan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman dan perintah supaya mereka beriman. Setelah berfikir, dengan tenang Ratu Balqis menjawab, "Tidak ada daya dan usaha lain, kecuali kita tunduk mengikut ajaran Nabi Sulaiman." Ratu Balqis turut membuat keputusan yang dia sendiri akan pergi menghadap Nabi Sulaiman untuk menyatakan persetujuannya.



Sebaik sahaja mendapat tahu Ratu Balqis akan datang, Nabi Sulaiman membuat persiapan yang akan mengejutkan sang ratu. Baginda memerintahkan Jin membawa istana Ratu Balqis ke hadapannya. Untuk menyambut Ratu Balqis, baginda membina sebuah mahligai indah daripada kaca.


Apabila Ratu Balqis sampai, Nabi Sulaiman menunjukkan istana yang berada di hadapan mereka. "Adakah ini istanamu?"


Dengan sangat terperanjat Ratu Balqis menjawab, "Ya, benar!"


Kemudian Nabi Sulaiman mengajak Ratu Balqis memasuki mahligai kaca yang dibina khas untuknya. Ratu Balqis menyangka ada air di atas lantai mahligai berkenaan lantas menyingsing kainnya. Alangkah malunya dia! Sangkaannya jelas meleset, bukannya air tetapi kaca. Adakah ini satu gurauan untuk memperkecilkan Ratu Balqis? atau untuk menonjolkan kehebatan Nabi Sulaiman? Tidak! Semua ini satu teguran dan peringatan supaya Ratu Balqis menyedari satu hakikat sesungguhnya kekuasaan Allah Maha Besar dan Maha Luas.


Semua yang berlaku dan yang dilihatnya telah membuat Ratu Balqis insaf, "Ya Allah, sudah lama aku tersesat. Tidak mengenali-Mu dan tidak menyembah-Mu. Kerana tamak harta dunia, aku menyangka kebahagiaan terletak pada kekayaan. Ampunilah aku, Ya Allah! Aku bertaubat dan menerima agama yang dibawa Nabi Sulaiman. Engkaulah Ya Allah yang memberi ampun dan menerima taubat."


Begitulah hakikat dan kesan yang berlaku dari satu gurauan yang bersifat teguran. Disebabkan dasarnya adalah berlandaskan kebenaran, hasilnya akan memberikan manfaat. Setelah memahami, sepatutnya setiap gurauan kita mampu menjurus kepada kesedaran di dalam hati rakan-rakan. Bukannya sesuatu yang sia-sia ataupun menyakitkan hati!

RAMADHAN datang peluang suburkan TAQWA


Salam rahmat dan barakah yang melimpah-ruah!
Wahai setiap diri yang sentiasa mengecapi kasih sayang Ilahi...
Lihat dan renungilah perjalanan hidup insan hari ini yang terpapar di hadapan mata kita...
Berbagai ragam dan corak diiringi isu yang silih berganti.
ADAKAH MENEPATI KEHENDAK ALLAH?
Kita diberikan Allah keupayaan untuk berfikir. Sewajarnya kita berfikir mengikut neraca kebenaran. hayati maksud firman Allah;
"Maha Suci Allah yang di tanganNya segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa di antaramu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun"(QS Al-Mulk:1-2)
Sedarilah! Hakikat keimanan memerlukan kepada bukti pengorbanan dan perjuangan. Jalannya panjang, memenuhi sepanjang hayat. Setiap diri mukmin dalam meniti jalan berliku ini sangat memerlukan perlindungan Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melindungi hambaNya yang berhubung terus kepadaNya, yang bertawakkal kepadaNya, yang berpegang kepada kitabNya dan yang mengikuti sunah NabiNya. Juga pada hakikatnya jalan ke Syurga dipenuhi kesusahan, manakala jalan ke Neraka dihiasi keindahan hawa nafsu. Rasulullah SAW telah menegaskan di dalam sabdanya yang bermaksud;
"Orang-orang mukmin sentiasa di ambang lima dugaan yang susah:
* mukmin yang dengki kepadanya,
* munafik yang benci kepadanya,
* kafir yang memeranginya,
* syaitan yang menyesatkannya,
* nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya."
Ketahuilah!
"Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa."(QS Al-Baqarah: 97)
Pintalah kepada Allah semoga dengan bekalan taqwa, kita akan berjaya dan selamat daripada segala yang ditakuti. Juga berjaya mencapai segala yang dicita-citakan. Bekalan ini juga mampu melindungi kita dari segala bentuk penyelewengan yang boleh memesongkan kita dari jalan kebenaran dan keredhaan Allah.
Kini RAMADHAN DATANG LAGI...
Ia satu bulan istimewa dan dahulunya sangat dinantikan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Kawajipan berpuasa pula telah Allah hubung kaitkan dengan bulan Ramadhan. Hayati maksud firman Allah;
"Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelummu, agar kamu bertaqwa."(QS Al-Baqarah: 183)
jadi puasa itu akan meningkatkan taqwa setiap mukmin. Juga menjadi perisai yang mampu melindungi kita dari sebarang kejahatan.
Dahulunya...Jika disebut saja Ramadhan, sahabat-sahabat Rasulullah seolah-olah diperingatkan dengan sebuah taman bunga yang harum semerbak baunya. Dijadikan tempat persinggahan untuk berehat sebentar dan menambah perbekalan...Dalam perjalanan melalui padang pasir kehidupan yang panas dan meletihkan. Allah telah menjadikan hikmah yang cukup banyak dalam bulan Ramadhan. Seandainya setiap muslim mukmin mengetahui semua keistimewaan dan ganjaran pada bulan Ramadhan, pasti kita semua berhajat supaya sepanjang tahun menjadi seperti bulan Ramadhan. Dari itu, marilah sedapatnya kita bersungguh-sungguh melipat gandakan bekalan dan menambah kesempurnaan ibadah puasa. Mari kita jadikan puasa Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
Mari kita teliti satu persatu kesan yang sepatutnya kita perolehi dalam melaksanakan ibadah puasa, menepati yang Allah kehendaki;
1. Puasa menyuburkan sifat ikhlas kepada Allah serta cinta kepadaNya semata-mata. Puasa itu rahsia di antara Allah dan hambaNya. Orang yang berpuasa menahan dorongan nafsu sepanjang hari bulan Ramadhan. Ini memberikan kita latihan mendisiplinkan diri sepanajng masa dan dalam apa jua keadaan.
2. Puasa menerbitkan sifat sabar dalam diri orang yang berpuasa. Sifat sabar ini mampu menolong melintasi segala halangan dan meneruskan hidup tanpa rasa lesu dan malas.
3. Puasa menghias orang yang berpuasa dengan sifat hilm - sifat penyantun. Sifat penyantun mampu menberi kekuatan untuk menahan marah. Setiap orang yang berpuasa akan menahan marahnya dengan mengucapkan, 'aku ini sedang berpuasa.'
4. Puasa juga menyuburkan sifat pengasih. Puasa akan menjadikan perut ringan dan meninggikan jiwa. Hati menjadi jernih dan bersinarlah caahya kejujuran pada wajah orang yang berpuasa. Nurani yang bersih pula mudah bersimpati kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan bantuan. Bersedekah pun menjadi mudah sepanjang waktu berpuasa.
5. Puasa menerbitkan rasa bersyukur dan gembira dalam hati orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang berpuasa itu mendapat dua kegembiraan, sekali di waktu berbuka dan sekali lagi pada waktu bertemu dengan Tuhannya."
6. Puasa memperkuat ikatan sesama kaum muslimin dengan rasa persaudaraan. Seluruh umat Islam di serata pelusuk dunia serentak berpuasa pada bulan Ramadhan. Dengan ini memberi rasa kesatuan yang tidak mengira warna kulit dan bangsa.
Yakinlah!
Puasa adalah satu latihan kerohanian yang berkesan untuk memperkuatkan kemahuan dan kesungguhan. Puasa memastikan dorongan iman dan taqwa sebagai penguasa kepada keperluan dan tindakan jasad. Dengan demikian, jasad menuruti arahan taqwa dari hati yang teguh. Pada masa yang sama dapat mengawal desakan nafsu yang sentiasa mesti diluruskan dengan iman. Oleh itu rebutlah sebanyak mungkin peluang meningkatkan taqwa. Agar nanti kita sentiasa beroleh redha Allah.
Wassalam.

IMAN NAIK TURUN


"Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, maka perbaharuilah imanmu dengan LAA ILAA ILLALLAH" (HR. Ibnu Islam)
Kehidupan manusia dimana lingkungannya jauh dari keadaan islamik, dapat membawanya kepada penurunan kadar keimanan. Penurunan kadar tersebut akan menjadi lebih mudah lagi apabila manusia tersebut tidak mengetahui sifat-sifat keimanan.
Keimanan dalam Islam, bukanlah dengan hanya angan-angan dan bukan pula hanya dengan kata-kata dan dakwaan semata-mata. Keimanan adalah sebuah keyakinan yang menghujam di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.
Keimanan adalah penggerak yang mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perbuatan. Baik buruknya perbuatan seseorang adalah tergantung baik buruknya keimanan seseorang. Keadaan/tahap keimanan yang buruk akan menghasilkan perbuatan yang buruk dan sebaliknya, keadaan yang baik menghasilkan perbuatan yang baik.
Keimanan yang berteraskan kalimah Laa Ilaaha IllaLlah, jika tertanam baik dalam hati manusia, akan memotivasi manusia untuk melaksanakan tuntutan-tuntutannya.LAA ILAAHA ILLALLAH, bererti menjadikan Allah sebagai satu-satunya tempat pengabdian. Pengabdian sangat erat hubungannya dengan pembuktian dalam 'amal-amal' soleh. Dengan mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya maka akan menjadikan keimanan kita tetap terjaga. Dengan bersegera dan berterusan melaksanakan amal, akan menjadikan kita semakin dekat denganNya.
Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah terkejut, tatkala mendapati seutas tali yang terikat di dua buah tiang di masjidnya. "Tali apa ini?" tanya Rasulullah kepada para sahabat. Para sahabat menjelaskan: "Wahai Rasul, ini adalah tali milik Zainab. Ia mengikatkan tali ini agar dapat bergantung apabila terasa malas dalam dirinya...." Rasul tersentak mendengar keterangan para sahabat, kemudian ia perintahkan mereka melepaskan tali tersebut seraya berkata. "Lakukanlah solat selama anda masih kuat melaksanakannya. Akan tetapi apabila kamu letih, hendaklah tidur..."
Diriwayatkan bahawa Amirul mu'minin Umar bin Abdul Aziz selesai salat fajar, pernah dilihat mengelilingi halaman rumahnya. Raut wajahnya menggambarkan sedihan, penuh kekhuwatiran dan harapan. Meski tidak dilantunkan dengan secara keras, namun ungkapannya jelas terdengar, berulang kali beliau memantulkan kalimat yang sama:"...bagaimana mata ini dapat terkatup dan pejam...sedang dia tidak tahu, di mana kelak dia akan kembali di antara dua tempat..." begitu seterusnya.
Demikianlah para sahabat dan orang-orang soleh, mereka selalu ingin mendekatkan dirinya kepada Allah. Hingga mereka terkadang memaksa diri untuk melakukannya. Suatu hal yang patut kita contohi, di mana pada saat ini banyak di antara kita yang baru saja melakukan sedikit 'amal-amal' soleh sudah merasa letih dan lelah bahkan berkeluh kesah.
Manusia beriman akan tergetar hatinya apabila menyebut nama Allah. Aqalnya akan sentiasa memikirkan kebesaran-kebesaranNya. Jasadnya pula akan selalu bergerak melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.
Marilah kita mohon kepada Allah agar kita selalu diberiNya kekuatan untuk dapat menjaga dan mengingatkan keimanan kita kepadaNya. Segenap ruang dalam hidup kita Allah anugerahkan untuk meneguhkan iman, supaya nanti kita pulang ke sisiNya dalam keadaan redha meredhai.
Wallahu'alam

URUS MASA HIDUP SEBAIKNYA.

Semua yang dikasihi kerana Allah,
Didoakan moga sentiasa dilimpahi rahmat serta keberkatan. Juga menjadi sebaik-baik insan yang membawa kebaikan orang lain.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran".(Al-Asr: 1-3)
Berpandukan ayat berkenaan, setiap mukmin semestinya mengisi seluruh masa hidup dengan amalan kebaikan. Juga perlu memberi perhatian serius dalam menghargai masa. Tidak membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Mahupun menghabiskan masa dengan amal perbuatan yang dilarang dan dimurkai Allah SWT.

Juga ingatlah!
Rasulullah SAW bersabda; "Rebutlah(pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain;
Masa hidup sebelum datang kematian,
Masa sihat sebelum datang penyakit,
Masa lapang sebelum dipenuhi kesibukan,
Masa muda yang kuat sebelum tua, dan
Masa kaya sebelum fakir".

Perhatikan juga maksud sabda Rasulullah SAW;
"Setiap hamba pada hari kiamat, tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-amna selagi belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara;
Tentang umurnya, di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dulu?
Tentang masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian ketika itu?
Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan bagaimana membelanjakannya?
Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?" (HR Muaz bin Jabal r.a)

Begitulah soal-siasat yang akan diajukan kepada semua manusia pada hari kiamat kelak. Setiap diri akan ditanya tentang masa dan umur yang telah dihabiskan sewaktu hidup di dunia. Khusus waktu umur sedang meningkat dewasa, kerana umur remaja sangat berpotensi dibandingkan setelah usia lanjut dan keadaan menjadi uzur.

Usia remaja disifatkan peringkat kekuatan dan kemampuan yang teguh, kerana ia di pertengahan hayat manusia. Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 54;
"Allah, Dialah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, Dia menjadikan sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian selepas kuat itu lemah kembali dan beruban..."

Jika demikian, usia remaja adalah peringkat kesatriaan yang gigih menanggung sebarang beban dan ujian. Terutama bagi remaja Muslim yang sepenuh masa menuntut ilmu, semestinya berhati-hati mengurus masa.

Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi dan tidak mungkin dapat dicari ganti. Masa itu disifatkan sebagai kehidupan. Tiada erti hidup manusia, selain daripada masa-masa yang dia beramal sejak lahir hingga ke denyutan nadi terakhir!

Ilmu yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh pula mestilah menepati tanggungjawab untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya mukmin yang berilmu lebih mudah memahami perintah Allah. Dengan itu setiap detik masa akan mampu diisi aktiviti ketaatan kepada Allah.

Masa begitu pantas berlalu, seminggu rasa sehari...,setahun bagai sebulan. Benar menurut pepatah Arab; 'Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotong, ia akan memotong kamu!'

Dari itu, barisan pemuda dari kalangan generasi awwal Islam sentiasa bersegera melakukan sebarang ibadah bagi meningkatkan prestasi iman. Mereka berpegang teguh dengan prinsip, Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Hari esok lebih baik dari hari ini. Hingga ada dari kalangan mereka yang berkata; "Siapa yang hari-hari esoknya masih kurang baik dari hari-hari yang telah lalu, maka dia masih dan rugi!"

Rasulullah SAW pernah menjelaskan mengikut apa yang disebutkan dalam kitab Nabi Ibrahim a.s;
"Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, hendaklah dia membahagikan masanya kepada empat waktu:
Waktu untuk dia bermunajat dan berzikir.
Waktu untuk bermuhasabah dan menghitung dirinya.
Waktu untuk dia berfikir tentang segala ciptaan Allah.
Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluan dirinya, rezeki/nafkahnya."

Sebenarnya ketidak matangan mengurus masa harian lebih berbahaya daripada tidak matang dalam mengurus harta-benda.

Dalam realiti hidup kini, masa umpama saham permodalan sepanjang hayat. Masa lebih bernilai dari wang ringgit dan intan permata. Jangan bila ajal sudah hampir tiba, baru menyesali masa keemasan yang telah hilang. Awas! Elakkan keadaan buang masa, kerana itu satu penganiayaan kepada diri sendiri!

Wallahu'alam.

Terhibur dengan Syahid Anak

Wahai wanita Islam sejati, anda adalah mahaguru kepada alam! Anda madrasah yang pertama dalam pendidikan bangsa. Anda guru yang utama dan pertama bagi golongan cendikiawan penerus tamadun.

Seorang penyair Arab, Hafizh Ibrahim mengungkapkan, "Seorang ibu adalah madrasah, bila anda menyediakannya. Anda bermula membina bangsa yang baik keturunan.Seorang mahaguru kepada guru yang unggul. Berkesan berterusan sejauh ufuk."

Di sinilah bermulanya kebahagiaan yang akan menghiburkan hidup setiap wanita Islam sejati dan bijaksana.


Kehidupan pada pandangan wanita Islam yang bijaksana bukanlah menghabiskan waktu dengan kerja rutin semata-mata. Sesungguhnya. keseluruhan kehidupan adalah melaksanakan tuntutan ibadah. Bermatlamatkan keredaan Allah untuk memperolehi balasan syurga di akhirat.



Sesungguhnya amal ibadat yang paling mulia dan patut diberi kutamaan oleh wanita Muslimah ialah membantu agama Allah dalam realiti kehidupan insan. Wanita Islam sejati sedaya upaya menjuruskan segenap kekuatan dan kelebihan untuk membina nilai mulia dalam keluarga, masyarakat dan negara .











Hakikat inilah menyebabkan wanita Islam sejati yang bergelar ibu memberi tumpuan serius dalam mendidik dan membina jiwa teguh serta semangat juang dalam diri anak mereka. Setiap ibu solehah yang mantap semangat pengorbanannya akan menonjolkan pemikiran secara matang di samping mempamerkan akhlak unggul. Mereka sanggup berkorban untuk menegakkan agama Allah seperti juga pejuang lelaki.



Ini merupakan adat kebiasaan wanita Islam pada zaman awal sewaktu Islam tersebar. Mereka turut serta ke medan perjuangan bersama angkatan Rasulullah SAW. Keadaan ini telah menarik minat anak muda untuk berjuang mempertahankan agama Islam. Ini jelas dilihat dalam sejarah kehidupan al-Khansa dengan kesyahidan empat orang puteranya.



Sebelum memeluk Islam, al-Khansa' bt. Amru al-Haris memang dikenali sebagai wanita cantik yang pintar, dan pandai bersyair. Hasil perkahwinannya dengan Rahawah bin Abd Aziz al Sulaimi. Mereka dikurniakan empat anak lelaki yang menjadi kebanggaan kabilah Bani Sulaim. Sesudah memeluk Islam mereka menjadi bahan perbualan dan lambang kebanggaan masyarakat Arab.



Al Khansa' memenuhi tutuntan Islam dengan berjuang meninggalkan adat jahiliyah. Beliau bersungguh-sungguh membimbing anak-anaknya dengan ajaran Islam dan menanamkan keimanan yang teguh. Dia telah menjadi contoh yang jelas sebagai ibu mukminah yang gagah berani. Empat puteranya dipupuk dengan kehalusan syairnya hingga muncul sebagai pejuang yang tangkas. Sewaktu menyertai pertempuran al-Qadisiah, beliau mengumpulkan semua anaknya dan melafazkan kata-kata sebagai pembakar semangat.

"Wahai anak-anakku, kamu telah masuk Islam dengan kerelaan sendiri. Kemudian berhijrah juga dengan kerelaan sendiri. Kamu telah maklum apa yang Allah sediakan untuk kaum Muslimin yang berjuang demi agamanya. Yakinilah, janji Allah itu pasti...balasan syurga dan pahala yang besar. Ketahuilah kampung yang kekal (Akhirat) lebih baik dari kampung yang binasa (dunia). Bilamana esok terjadi perang, maka berangkatlah memerangi musuh! Mohonlah pertolongan Allah! Dalam kecamuk perang, maju ke hadapan. Dengan izin Allah, kamu akan berjaya sama ada membawa pulang rampasan perang ataupun memperolehi syahid."

Semua puteranya lantas menyahut seruan perjuangan itu dengan bekalan dan azimat harapan seorang ibu yang sentiasa terbayang keredhaan Ilahi. Anak yang pertama membuka
langkah juang berkobar-kobar dan bersyair mengingatkan pesan ibunya;
"Wahai saudara-saudaraku, ingatlah pesanan ibu tua yang banyak pengalaman.
Segeralah masuk memerangi golongan yang takut mati.
Kelak kamu beroleh keberkatan dan hidup penuh rahmat atau syahid yang beruntung abadi."

Setelah berjuang bermati-matian, anak pertama gugur memenuhi apa yang diidamkannya. Kegigihan begitu rupa telah memberi kesan semangat membara pada diri anak yang kedua lalu berseru;
"Demi Allah kita tidak akan melanggar kata-kata ibu.
Harapannya wajib ditaati dengan rela hati. Segeralah merebut kemenangan hakiki."

Putera kedua juga bertempur dengan bersungguh-sungguh seperti abangnya hingga mendapat syahid. Kesyahidan kedua-dua abangnya tidak melemahkan semangat putera ketiga. Malah semangatnya lebih bersemarak, dengan seruan yang menggegarkan jiwa;
"Begitu ibu tua kita sentiasa kuat azam,
Aku bukan anaknya, jika takut mati.
Ayuh dapatkan kegembiraan hati,
Berani menempuh mati yang mewarisi kehidupan abadi."

Selepas melafazkan kata-kata itu, putera ketiga bertarung ibarat singa hingga gugur syahid. Putera keempat pula mara dengan segenap kekuatan jiwa meyempurnakan perjuangan ibu yang bercita-cita tinggi. Dia juga memperolehi syahid. Akhirnya Peperangan Al-Qadisiyah dimenangi tentera Muslimin. Begitulah kehebatan semangat juang yang ditiupkan oleh ibu mukminah sejati.

Setelah pertempuran reda, ramai kaum muslimin yang datang menyampaikan ucapan simpati kepada Al-Khansa'. Al-Khansa' menerima berita itu dengan tenang, seolah-olah berada di puncak kebahagian yang dihajati; "Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan syahidnya anak-anakku. Agar Dia akan mengumpulkanku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dilimpahi rahmat selama-lamanya."

Demikianlah Al-Khansa' dengan peranannya sebagai ibu yang mampu membina barisan pejuang pada jalan Allah. Dia benar-benar redha dan terhibur dengan kesyahidan empat puteranya yang sangat dikasihi. Bagaimana pula dengan peranan anda..., wahai wanita Islam sejati? Untuk menangani masalah remaja hari ini...

Ingatlah dan sedarlah!
Wahai wanita Islam yang bijaksana...,
Anda berperanan dan perlu berusaha untuk mrngenali jiwa anak anda. Mendalami perasaan dan kecenderungan mereka. Tanamkan dalam jiwa mereka keluhuran akhlak, agar matangnya mereka dalam peribadi tinggi. Curahkan limpahan kasih sayang dengan ketulusan hati. Ikuti panduan dan petunjuk Islam dalam menghadapi perlakuan yang tidak disangka-sangka.

Dengan mata terbuka, awasi pergaulan dan aktiviti mereka. Perhatikan apa yang mereka baca dan tulis. Siapa kawan mereka dan ke mana mereka pergi pada waktu lapang. Sentiasalah berusaha menanamkan kebiasaan melakukan kebaikan. Menepati janji dan menghormati orang lain. Awas.., anda mesti menjadi contoh kepada mereka. Yakinlah Allah sentiasa menolong hambaNya yang menolong Islam. Selamat Berjuang!

ANAK-ANAKKU BANGUN DAN BERJUANGLAH!


Salam ukhwah dan mahabbah,
untuk semua yang dikasihi kerana Allah.

Dua hari lepas, saya bercuti untuk menziarahi saudara-mara saya di suatu tempat..., maklumlah sekarang ada lagi saki baki musim buah. Jadi kami sekeluarga bercuti untuk makan buah-buahan tempatan yang sungguh lazat!




Tidak patut juga kami datang dengan kosong tangan...Oleh itu saya bawa sedikit buah tangan! Buah tangan ni tak boleh dimakan gunakan mulut...Tetapi mesti ditelan dan hadam dengan hati!
Luarbiasa bunyinya kan?
Inilah dia buah tangan tu...

ANAK-ANAKKU BANGUN DAN BERJUANGLAH!
Hakikat Kewujudan Kita
1.Beribadah/Menyembah Allah.

* "Sesungguhnya Kami(Allah) telah mempelawakan amanah (tugas beribadah) kepada isi langit dan bumi serta bukit bakau, semuanya enggan memikul bebannya dan merasa takut hendak memikul; tetapi manusia sanggup memikulnya." (QS Al-Ahzab: 72)

* "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu." (QS Az-Dzariyat: 56)

2. Memakmurkan bumi/ Menjadi Khalifah Allah.

* "Dan Allah menjadikan kamu khalifah di bumiNya, maka Allah akan melihatbagaimana perbuatanmu." (QS Al-A'raaf: 129)

* "Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah keampunanNya." (QS Huud: 61)

3. Menyeru Kebenaran dan Mencegah Kemungkaran

* "Adalah kamu sebaik-baiknya umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh mengerjakan kebaikan dan meralang memperbuat kajahatan." (QS At-Taubah: 71)

Keistimewaan Anak Muda
Usia remaja merupakan puncak kematangan dan kekuatan pada hayat manusia. Lihat sinaran matahari di waktu tenggahari, sinarnya lebin terik dan panas dari sebelumnya. Begitu juga dengan usia remaja, ia merupakan peringkat kesatrian yang mampu menanggung bebanan. Masa istimewa ini hanya datang sekali saja dalam hidup insan. Sewaktu baru lahir kita merupakan bayi yang lemah. Apabila lanjut usia kita akan tua dan akan kembali lemah. Sedangkan di usia remaja kecergasan, kecerdasan dan kematangan yang stabil. Keupayaan sebegini paling baik dan berjaya dalam menunaikan amanah selaku khalifah Allah.

Melalui kisah-kisah perjuangan para nabi dan rasul yang terkandung dalam Al-Quran, disebutkan mereka terdiri dari kalangan pemuda. Juga tersebut beberapa kisah yang khusus berlaku dalam kalangan pemuda seumpama kisah Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud. Di dalam Rasulullah SAW sendiri, baginda membina kekuatan ummah yang terdiri dari kalangan remaja. Sebagai contoh; Saydina Ali r.a telah memeluk Islam pada usia 10 tahun. Dan merupakan antara yang awal dan muda beriman. Begitu juga dengan Bilal bin Rabbah, Mus'ab bin Umair dan Ammar bin Yaser.

Kita juga tahu dari sejarah kegemilangan Islam, telah tercatat kisah pembukaan Constantinople oleh Sultan Muhammah al-Fateh yang ketika itu berumur 19 tahun. Begitulah kualiti remaja Islam mampu terbukti mampu menjana kegemilangan menepati maksud Firman Allah; "Sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhannya dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk." (QS Al-Kahfi: 13)

Imam Al-Ghazali memeberi nasihat dan wasiat kepada golongan remaja; "Ada tiga perkara yang apabila diberikan kepada pemuda sesungguhnya dia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat iaitu;

  • Hati yang sentiasa bersyukur.
  • Lisan yang berzikir.
  • Jasad yang sentiasa sabar.
Jika setiap remaja menepati ciri dari nasihat tersebut, akan jadilah pemuda yang dicintai Allah pada hari kiamat kelak.


Persediaan dan Kekuatan Kita

Lihatlah ke dalam diri kita. Apa yang telah Allah anugerahkan? Telitilah setiap sudut yang Allah sediakan. Pada fizikal, akal dan jiwa. Semua itu disusun untuk mencapai tahap sama ada taqwa atau fasiq. Ini bertetapan dengan firman Allah dalam surah asy-Syams ayat 8-10 yang bermaksud;
"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."

Ini bermakna, kita telah disediakan pilihan; Sama ada memilih taqwa ataupun fasiq?

  • Taqwa dikaitkan dengan mensucikan jiwa.
  • Fasiq dikaitkan dengan mengotori jiwa.
Jika setiap jiwa diisi ketaqwaan(kebaikan) ianya akan beruntung kerana bebas dan bersih dari sebarang naluri jahat.
Sebaliknya jiwa yang dipenuhi kefasikan(kejahatan) akan rugi kerana dikotori dan dibelengu hawa nafsu.

Kemudian sedarilah telah menjadi satu ketetapan, kehidupan menjadi medan ujian. Ini bertetapan dengan maksud firman Allah dalam surah Al-Mulk, ayat 2;
"Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.Dan Dia Maha perkasa lagi Maha Bijaksana."

Dengan itu seluruh hidup mesti menjurus kepada mentaati Allah serta menghindari laranganNya. Juga menepati peranan selaku khalifah Allah. Semua ini mesti semata-mata untuk beroleh keredhaanNya.

Tawaran Istimewa

1. Dari Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda: "Wahai manusia ambillah taqwa kepada Allah sebagai perniagaan, maka rezeki akan datang kepadamu tanpa barang dan tanpa perniagaan. Kemudian Rasulullah membaca surah At-Talaq ayat 2-3; "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

2.Kepada orang-orang yang bertaqwa (muttaqin), Allah menawarkan keistimewaan seperti dalamfirmanNya; "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kamu furqan (petunjuk) yang dapat membezakan antara yang haq dan yang batil dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (QS Al-Anfaal: 29)

3. Orang-orang beriman yang menyeru kebenaran juga akan diberi keistimewaan seperti yang Rasulullah SAW sabdakan; "Barangsiapa menunjuk kepada kebaikan maka akan mendapat pahala orang yang memperbuatnya."

4.Orang bertaqwa yang mengajak kepada kebenaran akan diganjari sebagaimana sabda Rasulullah SAW; "Demi Allah, jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui kamu, itu lebih baik bagimu daripada beroleh unta merah."

Sikap dan Tindakan
  • Melaksanakan ketaatan dengan menjauhi larangan.
  • Sentiasa redha dengan ketentuan Allah, sama ada yang berupa anugerah maupun ujian. Sabar dan tenang dalam semua keadaan.
  • Berusaha memperbaiki setiap tindakan selaras dengan hakikat kebenaran. Segera bertaubat setiap kali membuat kasalahan.
  • Memiliki jiwa bebas dari sifat kikir dan rakus. Probadi sentiasa dihiasi sifat kemuliaan dan dermawan.
  • Tidak terikat dengan desakan hawa nafsu serta bisikan syaitan. Jelas terpancar sifat muraqabah(merasa diawasi Allah) serta sentiasa ikhlas memohon pertolongan Allah.
  • Sentiasa jujur dan benar dalam perkataan yang bathil. Sentiasa ikhlas memohon pertolongan Allah.
  • Sentiasa jujur dan benar dalam perkataan. Terhindar dari memperkatakan yang bathil. Sentiasa berusaha memenuhi dan menepati janji.
  • Bersikap saling memaafkan sesama Muslim. Tidak membalas keburukan tingkah laku orang dengan keburukan. Berlaku adil dalam semua perkara dan kepada semua orang.
  • Sentiasa cenderung menuntutdan memperdalami ilmu pengetahuan bermanfaat.

Pesanan

Berikut adalah pesanan dan wasiat Hassan Al-Basri khusus untuk pemuda-pemudi Islam;
1. Mulakan harimu dengan penuh ceria dan penuhkan dengan aktiviti mendekatkan diri kepada Allah dan mencintai Rasulullah. Juga mendampingi dan berlajar dari orang alim dan soleh.
2. Jangan biarkan diri terjerumus kepada perbuatan buruk yang merencatkan fungsi akal fikiran yang muda lagi bersih.
3. Jangan berlebih-lebihan dalam bersenda-gurau dan bersantai kerana akan melalaikan tanggungjawab terhadap Allah.
4. Sibukkan dirimu dengan aktiviti yang menumbuhkan akal, kecergasan dan menguatkan iman. Nescaya akan memetik kecemerlangan di hari tua dan kejayaan di akhirat.
5. Banyakkan membaca seerah RasulullahSAW dan sejarah orang-orang soleh untuk mencontohi bagaimana mereka melalui hari-hari dalam kehidupan semenjak kanak-kanak, remaja dan tua. Jadikan ianya sebagai panduan agar tersenarai sebagai anak muda soleh yang redhai.


AYUH BANGUNLAH! MULAI BERGERAK...

Wallahu'alam.
Ummu Anas.
1/8/09