UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SUCIKAN HATI


SUCIKAN HATI

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Dalam kesibukan kita memenuhi rutin hidup harian, luangkanlah sedikit masa untuk menilai keadaan hati kita. Adakah ianya dalam keadaan suci bersih dan sihat sejahtera?
Hayati maksud sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, akan baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Itulah hati atau kalbu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pemuda-pemudi harapan!
Adakah hati kita menepati sifat hati yang beruntung atau sebaliknya?

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”
(QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,
  • menuju jalan kebaikan
  • menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa  oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Anak-anakku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah,
Sentiasalah menyedari bahawa orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.
Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan  kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu.

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69,
“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Renungi pula syair Arab berikut:
Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,
engkau digelar orang tak berakal dan tidak dihormati,
bila kau turuti nafsu pada setiap ajakan,
ia membawamu  kepada keburukan yang haram!
Hawa nafsu itu musuh bagimu,
meingkarinya adalah teman.

Ingatlah anak-anakku,
Pada hakikatnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.


Hawa nafsu jika dibiarkan tidak dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:
  • sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan kerendahan hati dan suara perlahan.
  • sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati menjadi lembut dan patuh.
  • sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya dilakukan berjemaah.
  • sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan solat sunat rawatib.
  • sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Renungi dengan teliti maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,
“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan  penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan  balasan syurga untuk kehidupan di akhirat. Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.

Tanda-tanda hati yang bersih dan lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:
  • sentiasa mengingati Allah  SWT dengan zikrullah.
  • kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
  • hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi laranganNya serta menghindari perkara sia-sia.
  • bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
  • tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.


Hendaklah menyakini, setiap sesuatu itu  mempunyai pembersihnya. Pembersih hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang masa dan diberi keutamaan.

0 ulasan: