SUCIKAN HATI
Pemuda-pemudi Islam sejati!
Dalam kesibukan kita memenuhi
rutin hidup harian, luangkanlah sedikit masa untuk menilai keadaan hati kita.
Adakah ianya dalam keadaan suci bersih dan sihat sejahtera?
Hayati maksud sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya di dalam diri manusia
itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, akan baiklah seluruh jasad. Apabila
ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Itulah hati atau kalbu.” (HR Bukhari
dan Muslim)
Pemuda-pemudi harapan!
Adakah hati kita menepati sifat
hati yang beruntung atau sebaliknya?
“Demi jiwa dan penciptaannya yang
sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan
taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah
orang yang mengotorinya.”
(QS As-Syam: 7-10)
Ayat tersebut menjelaskan, manusia
diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,
- menuju jalan kebaikan
- menuju jalan kejahatan.
Juga dengan rahmat Allah, manusia
dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa
oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih
hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada
kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan
menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.
Anak-anakku yang sentiasa
mengharapkan petunjuk Allah,
Sentiasalah menyedari bahawa orang
yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali
gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.
Manusia yang paling sempurna
perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada
Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah
hati supaya kekal dalam ketaatan kepada
Allah seiring menangkis desakan nafsu.
Hayati maksud firman Allah dalam surah
Al-Ankabut ayat 69,
“Dan orang-orang yang berjihad
untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka
jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat
baik.”
Renungi pula syair Arab berikut:
Apabila nafsu ditaati pada setiap
kenikmatan,
engkau digelar orang tak berakal
dan tidak dihormati,
bila kau turuti nafsu pada setiap
ajakan,
ia membawamu kepada keburukan yang haram!
Hawa nafsu itu musuh bagimu,
meingkarinya adalah teman.
Ingatlah anak-anakku,
Pada hakikatnya Allah menjadikan
hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang
itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan
setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah
menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan
nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia
jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.
Hawa nafsu jika dibiarkan tidak
dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis
desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:
- sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan
kerendahan hati dan suara perlahan.
- sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati
menjadi lembut dan patuh.
- sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya
dilakukan berjemaah.
- sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan
solat sunat rawatib.
- sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan
berakhlak mulia.
Renungi dengan teliti maksud firman
Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,
“Dan orang-orang yang takut kepada
kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat
kediamannya.”
Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya
melimpah ruah. Disempurnakan penciptaan
manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan.
Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan balasan syurga untuk kehidupan di akhirat.
Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang
teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan
menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.
Tanda-tanda hati yang bersih dan
lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:
- sentiasa mengingati Allah SWT dengan zikrullah.
- kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa
menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
- hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi
laranganNya serta menghindari perkara sia-sia.
- bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
- tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.
Hendaklah menyakini, setiap sesuatu
itu mempunyai pembersihnya. Pembersih
hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang
masa dan diberi keutamaan.