Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa mematuhi perintah Allah,
Sewajarnya selaku hamba Allah yang menepati tugas berubudiyah (beribadah) sepanjang hayat, kita mestilah mematuhi garis panduan yang Allah tetapkan. Berikut dipaparkan disiplin yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak yang soleh dan solehah,
- Berlaku ihsan dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa seiring dengan perlaksanaan ibadah sepanjang hayat. “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (QS AN-Nisaa’: 36)
- Berterimakasih kepada ibu bapa selepas bersyukur kepada Allah. “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Dan ingatlah kepada-Ku tempat kembali.” (QS Luqman:14)
- Berbakti kepada ibu bapa menduduki tempat kedua terbaik setelah solat tepat pada waktunya. Dari Abdur Rahman bin Mas’ud r.a. katanya, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW: Amal apa yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Saya bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baiklah kepada ibu bapa. Saya bertanya lagi: Selepas itu apa? Baginda menjawab: Berjuanglah di jalan Allah.”
- Menderhakai ibubapa merupakan dosa besar yang kedua setelah mensyirikkan Allah. Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al’Ash r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah, menderhakai ibu bapa, membunuh orang dan bersumpah palsu.” (HR Bukhari dan Muslim)
- Keredhaan dan kemurkaan ibu bapa dikaitkan juga dengan keredhaan dan kemarahan Allah. Jika ibu bapa redha, Allah turut redha. Begitu juga, sekiranya ibu bapa murka, Allah juga murka.
Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa mengasihani kedua ibubapa,
Seterusnya wajarlah setiap anak melaksanakan kebaktian berikut dalam rangka mencari keredhaan Allah SWT.
- Mentaati perintah ibu bapa, kecuali dalam perkara-perkara maksiat.
- Berbicara dengan ibu bapa dengan lembut dan sopan.
- Berdiri menghormati ibu bapa semasa mereka menghampiri anak-anak.
- Mencium tangan ibu bapa setiap kali bersalaman dengan mereka.
- Memuliakan ibu bapa dengan memenuhi hajat dan permintaan mereka yang tidak bercanggah dengan syarak.
- Menjaga nama baik, kehormatan dan harta-benda kepunyaan ibu bapa.
- Mengajak ibu bapa berbincang pada apa jua perkara yang kita putuskan.
- Sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keampunan untuk kedua ibu bapa.
- Semasa ibu bapa didatangi tetamu, bantulah mereka melayani para tetamu dengan rela hati.
- Melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati ibu bapa tanpa disuruh.
- Jangan melaung-laung sewaktu memanggil ibu bapa di muka pintu.
- Jangan menyampuk ketika ibu bapa sedang berbicara.
- Jangan keluar rumah tanpa izin kedua-dua ibu bapa.
- Jangan menganggu sewaktu ibu bapa tidur.
- Elakkan mencela ketika ibu bapa melakukan kesilapan dan perkara-perkara tidak menyenangkan.
- Tidak mendahului ibu bapa sewaktu makan dan mengambil makanan.
- Segera menyahut panggilan ibu bapa dan tidak ketawa di hadapan mereka tanpa sebarang perkara yang munasabah.
- Menghormati sahabat-sahabat ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitu juga setelah mereka meninggal dunia.
Wahai pemuda-pemudi Islam yang mentaati ibu bapa.
Awaslah! Jangan sampai kalian menderhakai mereka:
- Anak memandang dengan tajam kepada ibu bapa ketika marah.
- Anak menganggap dirinya sama taraf kemuliaan dengan ibu bapanya.
- Anak malu untuk dikenali dengan nama ayahnya, terutama setelah punya kedudukan mulia dalam masyarakat.
- Anak tidak menunaikan hak dan tanggungjawab menyara ibu bapa hingga mereka memohon bantuan para dermawan.
- Anak membantah dan membentak hingga terpantul perkataan “ah”.
- Anak merasa bosan melayani kedua-dua ibu bapa. Menyombong diri dan menyakiti hati mereka.
Ketahuilah anak-anak yang melakukan penderhakaan kepada ibu bapa, bukan saja mendapat dosa besar, malahan semua amalannya menjadi sia-sia. Diberikan balasan buruk oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.
2 ulasan:
mohon share ummu..
3 April 2012 pada 11:09 PTGsilakan anakda snhazirah,
4 April 2012 pada 1:49 PTGCatat Ulasan