UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BEKALAN YANG LUMAYAN SEPANJANG HAYAT




Pemuda-pemudi Harapan!

Kesejahteraan, limpah rahmat serta keberkatan sentiasa mengiringi jalan hidup kalian selagi mana kalian berada di landasan kebenaran.

Sama-sama kita panjatkan setinggi-tinggi pujian dan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah Rabbul Alamin. Telah dianugerahkanNya nikmat terbesar kepada kita; nikmat berada dalam Islam dan Iman. Semoga dengannya kita sentiasa terpimpin seiring hamba-hambaNya yang beruntung; yang sentiasa saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran.


Sebagai makhluk bernama manusia, kita tidak terlepas dari sifat semulajadi; sukakan harta dan kekayaan. Ingin memiliki longgokkan harta dan senrtiasa berusaha untuk mendapatkannya. Sesetengah manusia hinggakan tergamak menganiaya orang lain demi memperolehi harta yang dihajatinya.Fahami maksud firman Allah berikut;
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.”(QS Al-Ma’arij:19-21)

Justru itu,
Islam datang untuk memperbaiki apa jua keburukan dan perangai jelek manusia. Dengan iman pula manusia akan sentiasa terdorong untuk mentaati perintah Allah. Serentak dengan itu menjauhi laranganNya dengan harapan akan terhindar dari azab Allah yang sangat berat. Sehubungan dengan sifat jelek tersebut, manusia juga diperingatkan dengan ayat-ayat Allah yang bermaksud;
“Sesiapa yang memelihara dari kikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”.(QS AL-Hasyr:9)

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorkannya”.(QS Asy-Syam:9-10)

Pemuda-pemudi harapan,
Dalam membicarakan persoalan membersihkan jiwa ini, kita akan secara langsung terlibat melaksanakan tuntutan rukun Islam yang keempat iaitu zakat. Seiring dengan zakat, sedekah dan infaq( mengorbankan harta pada jalan Allah ) juga dituntut bagi mensucikan jiwa. Dengan lain perkataan, zakat, sedekah dan infaq adalah bukti jiwa yang bersih dan sihat, manakala kikir ,bakhil dan enggan memberi bantuan merupakan tanda jiwa ynag buruk dan sakit. Pada hakikatnya dengan mengeluarkan zakat dan memberi sedekah kita akan beroleh dua bekalan yang besar dan mahal demi sebuah kehidupan yang diredhai Allah sepanjang hayat. Sesuatu yang besar dan mahal itu tentunya tidak begitu mudah untuki diperolehi. Oleh itu mari sama-sama kita meneliti dengan terperinci darihal tuntutan tersebut agar kita melaksanakannya seperti yang Allah tetapkan.

Hikmah dan tujuan tuntutan zakat dan sedekah:
1. Mendidik jiwa meletakkan harta di tempat yang sepatutnya, sebagai melaksanakan amanah Allah.
Menyedari harta yang direzekikan adalah milik Allah. Kita selaku hambaNya hanya wakil untuk menggunakannya sebagai alat menyampaikan risalah kebenaran dan melaksanakan ibadah.

2. Melatih jiwa untuk melawan rasa cinta pada harta dan mampu mengutamakan keperluan orang lain yang berada di dalam kesengsaraan.
Peka dan menyuburkan perasaan tanggungjawab kepada masyarakat dan membantu menyelesaikan masalah ummat Islam.

3. Memelihara diri dari mabuk harta dan menjadi hamba harta yang menyebabkannya sentiasa menghitung harta siang dan malam.
Mengeluarkan zakat dan bersedekah dapat menimbulkan rasa bahawa harta yang diperolehi itu adalah milik Allah yang bukan saja mesti dibelanjakan di jalan Allah, malah cara memperolehinya juga mesti dengan cara yang dibolehkan Islam.

4. Menyedari harta yang Allah rezekikan itu mesti diagihkan dan dibelanjakan mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Ditetap kadar agihan rezeki supaya wujud suasana harmoni yang saling tolong menolong. Tidak berlaku tamak dan mencerobohi hak orang lain.

Pada hakikatnya sifat dermawan berkait rapat dengan iman. Dalam banyak ayat Al-Quran yang menyebutkan tuntutan menafkahkan sebahagian rezeki, ianya dikaitkan dengan sifat orang beriman. Hayati maksud firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 254:
“Hai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat”.


Semestinya jiwa yang telah dibersihkan dari kejelekan dan dipenuhi dengan iman akan sarat pula dengan kebaikan. Jiwa sedemikian tentunya akan mudah mendorong tangan bertindak dermawan. Sedangkan hati yang kotor akan terus kikir dan fakir dari melakukan kebaikan.

Berjihad (berjuang/ menentang) keburukan dengan bantahan hati memang lazim kita lakukan. Berjihad dengan lisan/ kata-kata juga mampu dilakukan oleh sesiapa yang bijak berbicara. Manakala berjihad dengan harta sangat sukar bagi jiwa yang berpaut pada kepentingan dunia. Syaitan dan hawa nafsu pula akan mengancam dengan kefakiran dan kemiskinan.
Demi keredhaan Allah sepanjang hayat dan ganjaran besar yang abadi, yakinlah dengan janji-janji Allah dan sahutlah perintah Allah dengan meletakkan sepenuh kepatuhan kepadaNya sepertimana maksud firman Allah;
“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya. Pada hal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir). Sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dan kurniaanNya. Allah maha luas kurniaan lagi maha mengetahui. Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa yang diberikan hikmah, sungguh telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal. Apa saja yang kamu nafkahkan atau apa saja yang kamu nazarkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang-orang yang berbuat zalim, tidak ada seorang penolong pun baginya. Jika kamu menampakkan sedekahmu, itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan adalah lebih baik bagi kamu. Dan Allah akan menghapuskan kamu sebahagian kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.(QS Al-Baqarah:267-271).

Begitulah pemuda-pemudi harapan, Allah maha suci, Dia tidak menerima melainkan yang suci (baik) saja. Kita diperintahkan supaya memberikan harta yang baik dan yang kita cintai saja. Bukan yang kotor dan buruk. Ini merupakan didikan berkesan untuk melucutkan sifat mementingkan diri sendiri. Seandainya kita telah benar-benar melaksanakan tuntutan menafkahkan rezeki di jalan Allah, kesannya akan kita rasai. Darinya akan kita perolehi kekuatan yang menjadi bekalan berharga sepanjang hayat…

· Berkeyakinan penuh zakat dan sedekah menambah kualiti harta dan barakah.

· Dengan berinfaq di jalan Allah, hati mukmin terasa lapang kerana mengetahui
rezeki yang dinafkahkan itu tersimpan ganjarannya di sisi Allah.

· Memberi kepada orang yang memerlukan dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang ucapan’terima kasih’, akan diganjari keredhaan di sisi Allah.

· Sentiasa berhajat beroleh peluang menafkan rezeki di jalan Allah, kerana merasai sangat berhajat kepada bekalan untuk menghindari siksaan neraka.


Bersegeralah membuktikan rasa syukur di atas nikmat yang melimpah ruah…
Bersegeralah memenuhi kataatan dengan menerima tawaran besar dari Allah;
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak…” (QS Al-Baqarah:245)


DISIPLIN ANAK SOLEH DAN SOLEHAH




Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa mematuhi perintah Allah,

Sewajarnya selaku hamba Allah yang menepati tugas berubudiyah (beribadah) sepanjang hayat, kita mestilah mematuhi garis panduan yang Allah tetapkan. Berikut dipaparkan disiplin yang perlu diberi perhatian oleh anak-anak yang soleh dan solehah,

  • Berlaku ihsan dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa seiring dengan perlaksanaan ibadah sepanjang hayat. “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (QS AN-Nisaa’: 36)
  • Berterimakasih kepada ibu bapa selepas bersyukur kepada Allah. “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Dan ingatlah kepada-Ku tempat kembali.” (QS Luqman:14)
  • Berbakti kepada ibu bapa menduduki tempat kedua terbaik setelah solat tepat pada waktunya. Dari Abdur Rahman bin Mas’ud r.a. katanya, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW: Amal apa yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Saya bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baiklah kepada ibu bapa. Saya bertanya lagi: Selepas itu apa? Baginda menjawab: Berjuanglah di jalan Allah.”
  • Menderhakai ibubapa merupakan dosa besar yang kedua setelah mensyirikkan Allah. Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al’Ash r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah, menderhakai ibu bapa, membunuh orang dan bersumpah palsu.” (HR Bukhari dan Muslim)
  • Keredhaan dan kemurkaan ibu bapa dikaitkan juga dengan keredhaan dan kemarahan Allah. Jika ibu bapa redha, Allah turut redha. Begitu juga, sekiranya ibu bapa murka, Allah juga murka.

Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa mengasihani kedua ibubapa,

Seterusnya wajarlah setiap anak melaksanakan kebaktian berikut dalam rangka mencari keredhaan Allah SWT.

  1. Mentaati perintah ibu bapa, kecuali dalam perkara-perkara maksiat.
  2. Berbicara dengan ibu bapa dengan lembut dan sopan.
  3. Berdiri menghormati ibu bapa semasa mereka menghampiri anak-anak.
  4. Mencium tangan ibu bapa setiap kali bersalaman dengan mereka.
  5. Memuliakan ibu bapa dengan memenuhi hajat dan permintaan mereka yang tidak bercanggah dengan syarak.
  6. Menjaga nama baik, kehormatan dan harta-benda kepunyaan ibu bapa.
  7. Mengajak ibu bapa berbincang pada apa jua perkara yang kita putuskan.
  8. Sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keampunan untuk kedua ibu bapa.
  9. Semasa ibu bapa didatangi tetamu, bantulah mereka melayani para tetamu dengan rela hati.
  10. Melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati ibu bapa tanpa disuruh.
  11. Jangan melaung-laung sewaktu memanggil ibu bapa di muka pintu.
  12. Jangan menyampuk ketika ibu bapa sedang berbicara.
  13. Jangan keluar rumah tanpa izin kedua-dua ibu bapa.
  14. Jangan menganggu sewaktu ibu bapa tidur.
  15. Elakkan mencela ketika ibu bapa melakukan kesilapan dan perkara-perkara tidak menyenangkan.
  16. Tidak mendahului ibu bapa sewaktu makan dan mengambil makanan.
  17. Segera menyahut panggilan ibu bapa dan tidak ketawa di hadapan mereka tanpa sebarang perkara yang munasabah.
  18. Menghormati sahabat-sahabat ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitu juga setelah mereka meninggal dunia.

Wahai pemuda-pemudi Islam yang mentaati ibu bapa.

Awaslah! Jangan sampai kalian menderhakai mereka:

  1. Anak memandang dengan tajam kepada ibu bapa ketika marah.
  2. Anak menganggap dirinya sama taraf kemuliaan dengan ibu bapanya.
  3. Anak malu untuk dikenali dengan nama ayahnya, terutama setelah punya kedudukan mulia dalam masyarakat.
  4. Anak tidak menunaikan hak dan tanggungjawab menyara ibu bapa hingga mereka memohon bantuan para dermawan.
  5. Anak membantah dan membentak hingga terpantul perkataan “ah”.
  6. Anak merasa bosan melayani kedua-dua ibu bapa. Menyombong diri dan menyakiti hati mereka.

Ketahuilah anak-anak yang melakukan penderhakaan kepada ibu bapa, bukan saja mendapat dosa besar, malahan semua amalannya menjadi sia-sia. Diberikan balasan buruk oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.