UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

TANGANNYA MENGGEGAR DUNIA


Sering kita mendengar disebut beberapa ungkapan yang menggambarkan keunggulan wanita;
  • “Di sebalik setiap lelaki unggul dan agung, ada wanita yang menjadi tulang belakangnya.”
  • “Sesungguhnya wanita yang menghayun buaian dengan tangan kanannya mampu menggegar dunia dengan tangan kirinya.”
Pemudi-pemudi harapan!
Wanita Islam mampu memberi sumbangan yang sangat besar sekiranya akal dan fikirannya sentiasa ditumpukan untuk membina peribadi bijaksana dan akhlak mulia. Serta terus-menerus mengkaji dan menambah ilmu hinggalah ke akhir hayat. Para salafussoleh dan ulama-ulama terdahulu, memandang bahawa ilmu akan hidup dan berkembang jika kita berterusan mempelajari dan mendalaminya. Kebanyakan ilmu akan kering dan layu apabila ahlinya berhenti membaca dan mengkaji dan matinya pakar ilmu itu.
Imam Ibnu Al-Barri berkata, “Kamu sentiasa menjadi alim (berilmu), selagi mana kamu menjadi pelajar. Apabila kamu merasa cukup, kamu telah menjadi jahil.”
Imam Malik berkata, “Tidak wajar bagi seorang yang berilmu, meninggalkan pembelajarannya.”
Ditanya kepada Ibnu Mubarak, “Sampai bilakah kamu menuntut ilmu?”
Ibnu Mubarak menjawab, “Hingga ke akhir hayat. Boleh jadi ada kalimah yang belum ku tulis lagi.”
Ditanya kepada Imam Sufian, “Siapakah di antara manusia yang paling berhajatkan ilmu?”
Imam Sufian menjawab, “Orang yang paling alim di kalangan mereka.”
Mengambil kira pandangan tersebut, kita perlu secara berterusan menyegarkan semula ilmu yang dimiliki dengan sentiasa mengisi waktu membaca dan meneliti. Sesungguhnya ketokohan barisan muslimah dalam pelbagai bidang ilmu telah sedia ada semenjak zaman awal Islam lagi.
Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a merupakan contoh unggul dan rujukan utama dalam lipatan sejarah yang agung itu. Beliau merupakan ahli fekah wanita yang pertama dalam Islam. Imam Al-Zuhri berkata, “Jika dihimpunkan ilmu ‘Aisyah kepada ilmu semua isteri Nabi Muhammad SAW dan semua ilmu wanita Islam yang lain ketika itu, maka ilmu ‘Aisyah melebihi semua mereka.”
Pandangannya yang tepat dan akalnya yang tajam bukan setakat dalam hal-hal agama saja, bahkan dia`menjangkau dalam meriwayatkan syair, sastera, sejarah, perubatan dan apa jua ilmu yang terdapat pada zamannya. Ulama muslimin, Urwah bin Al-Zubair berkata,
“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih alim dalam bidang fiqh, perubatan dan syair melebihi ‘Aisyah.”
Ummul Mukminin Sayyidah ‘Aisyah r.a adalah seorang yang sangat bersungguh-sungguh mengkaji dan dan sangat cinta kepada ilmu pengetahuan. Setiap kali beliau mendengar sesuatu perkara, dia pasti akan bertanya dan mengkajinya sehingga benar-benar mengetahui dan memahaminya. Kehidupannya bersama Rasulullah SAW menjadikan dia satu wadah yang dipenuhi dengan ilmu. Dalam sebarang perhimpunan tokoh-tokoh ilmu sezaman sahabat-sahabat Rasulullah SAW, ‘Aisyah akan turut sama menyertai perbincangan mereka. Dia juga membantu memperbetulkan dan menunjukkan sebarang kesilapan.
Di samping ilmu yang luas, ‘Aisyah r.a juga seorang yang fasih lidahnya dan ucapannya sungguh bermutu. Apabila beliau berucap di khalayak, beliau mampu menguasai pendengaran umum dan menarik perhatian ramai. Ini membuatkan pengikut-pengikut sahabat Rasulullah SAW menyebut, “Telah dilihat dan didengar khutbah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali juga Khulafa’ selepas mereka tetapi ucapan ‘Aisyah lebih baik dan fasih.”
Setelah wafatnya Rasulullah SAW, para sahabat utama baginda sering bertemu’Aisyah untuk mendengar kata putus tentang masalah agama dan pelbagai perkara yang rumit di dalam al-quran.
Barisan ilmuan muslimah sezaman ‘Aisyah dan selepas beliau muncul dalam barisan yang berterusan. Tidak terputus, malah semakin ramai. Ilmuan yang seangkatan dengan beliau seperti Asy-Syifa’, Raudhah, Nasibah binti Kaab, Asma’ As-Salehan, Hafsah binti Umar dan ramai lagi contoh-contoh yang masyhur. Bahkan begitu ramai bilangan wanita berilmu, hampir tidak terhitung jumlah mereka. Terus-menerus bertambah, mendalami kepakaran pelbagai bidang ilmu. Semua mereka berperanan menyumbang kepada kegemilangan Islam.
Wahai barisan serikandi harapan!
Bangun dan sedarlah… di bahu kalian juga terpikul amanah untuk berjuang demi keredhaan Allah. Setelah dibentangkan lembaran sejarah silam, binalah keazaman dalam diri untuk menambah kecintaan kepada ilmu dan keinginan menguasainya. Ambil dan contohi sifat amanah yang telah mereka wariskan. Dengannya diharapkan supaya kalian mampu menganjurkan kemajuan bagi umat Islam sepanjang zaman.
Wallahu’alam.

2 ulasan:

A-T-I-E-F berkata...

assalamualaikum...

ustaz di sekolah saya pernah berkata, ada seorang hamba Allah yang masyhur namanya(maaf, saya lupa nama beliau) pernah berkata,(ayatnya lebih kurang macam ni la..)

'saya menjadi seorang yang hina ketika menuntut ilmu supaya saya menjadi seorang yang mulia setelah berjaya dalam menuntut ilmu'

sekadar perkongsian..maaf andai ada yang salah,mohon diperbetulkan...

wallahua'lam~

11 Mac 2012 pada 10:47 PG  
Makbonda61 berkata...

Assalamualaikum Ummu Anas,

Puteri saya mengenalkan buku anak-anakmu bangunlah.Dia kata mungkin ada blog penulisnya. Saya cuba cari,dan telah menjumpainya. Saya jatuh cinta,dan link ke rumah saya.Insyaallah sedang menyelongkar post-post sebelum disamping menghadam bukunya.

Semoga Allah membalas kebaikan yang Ummu usahakan.

5 April 2012 pada 6:50 PTG