UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SOLAT BEKALAN SEWAKTU SEPI



Telah dimaklumi bahawa solat fardhu lima waktu sehari semalam adalah tiang agama Islam. Setiap muslim yang mendirikannya bermakna dia telah mendirikan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agamanya. Solat juga merupakan amalan paling afdal dan paling agung menepati sabda Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ; Apakah amalan paling afdal/utama? Baginda menjawab; Solat (sembahyang) pada waktunya”.

Dengan mengerjakan solat tepat pada waktu yang ditentukan akan meletakan diri setiap muslim sentiasa berhubung terus kepada Allah. Juga sentiasa di dalam rahmat dan keredhaan Allah kerana dengan bersolat seseorang hamba diampuni dosa dan kesalahannya. Perhatikan dengan teliti maksud sabda Rasulullah,
 “Apakah pandangan kamu, sekiranya ada sebuah sungai di hadapan rumah salah seorang kamu, lalu dia mandi di dalamnya setiap harisebanyak lima kali, apakah masih lekat sebarang kotoran pada tubuhnya?. 
Para sahabat menjawab; Tidak akan ada lagi sebarang kotoran. 
Kata baginda lagi; Begitulah perumpamaan bagi solat lima waktu, Allah menghapuskan segala kesalahan hamba-Nya”. (HR Abu Hurairah)

Daripada Uthman bin Affan r.a katanya; “Aku telah mendengar Rasulullah  bersabda; Tidak ada seorang muslim yang menunaikan solat fardhu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan ruku’nya melainkan ia menjadi kafarah(penghapus dosa) bagi dosanya sebelum itu selagi mana dia tidak melakukan dosa besar dan ini adalah untuk selama-lamanya”.

Pada hakikatnya dalam setiap ibadah yang diperintahkan ke atas setiap muslim, terkandung banyak keistimewaan yang dapat dijadikan bekalan mengatasi berbagai rintangan hidup.Di dalam ibadah solat itu sendiri terkandung hikmah yang perlu kita teliti satu persatu, antaranya:
1. Solat umpama jambatan hati yang menghubungkan kita dengan Allah. Kita menghampirkan diri dengan Allah dalam solat dengan harapan memohon hidayah peningkatan iman.Dalam solat kita dapat meluahkan segala penanggungan dan dapat pula bermunajat. Dengan itu  hilanglah segala kerunsingan.
2. Solat menjadi sumber yang mampu mengalirkan tenaga yang sentiasa baru ke dalam jiwa. Pembahagian lima waktu solat fardhu membolehkan kita terus menerus beroleh bekalan baru pada setiap suasana; aman damai, sibuk, sihat maupun sakit. Di mana jua kita berada meskipun dalam perjalanan dan bermusafir.
3. Apabila kita mulai berdiri untuk menunaikan solat dengan khusyuk dan rendah diri kepada Allah, jasad dan akal kita mendapat kerehatan dan bebas dari kesibukan dunia. Jiwa kita pula bertambah tenang setiap kali membaca ayat-ayat Allah dalam setiap rakaat solat. Hati juga menjadi tenteram setelah memohon ampun dari Allah di hujung solat.
4. Setiap muslim yang menunaikan solat dengan hati yang bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan dilimpahi nur, hidayah, sakinah  dan rahmat serta kesejahteraan. Hati menjadi tabah dan teguh menghadapi sebarang cabaran hidup. Solatnya menjadi perisai menghadapi fitnah, kemungkaran, hasutan syaitan juga desakan nafsu. Dia sentiasa merasai Allah bersama-samanya di mana jua berada.
5. Setiap kali kita ruku’ dan sujud di dalam solat, kita berada pada situasi mengagungkan serta memuliakan Allah. Setiap mukmin hanya tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah. Sentiasa pasrah kepada Allah dan tidak takut kepada sesiapa pun. Sewaktu sujud, hamba berada paling hampir dengan Tuhannya dan merasai suasana penuh kemesraan.
6. Apabila duduk tasyahhud, kita bersimpuh penuh pasrah. Kemudiannya kita berdoa memohon diperkenankan Allah segala permintaan kita. Selesai solat kita keluar menghadapi urusan hidup dengan jiwa yang tenang dan tenteram. Juga jasad yang sihat dan segar.
7. Dengan terus menerus mendirikan solat kita merasa baru saja berbicara dan berdiri di hadapan Allah, dan akan menghadapNya lagi di waktu solat berikutnya. Dengan sentiasa memelihara solat tepat pada waktunya, kita juga sentiasa bernaung di bawah peliharaan Allah. Hampir dengan Allah dan terpelihara dari gangguan syaitan. Keadaan sedemikian memberi dorongan yang kuat untuk kita sentiasa tunduk dan patuh serta bertawakkal kepada Allah.

Sebahagian daripada bekalan yang terkandung di dalam solat lima waktu yang sangat kita hajatkan untuk menyucikan jiwa, menepis tarikan duniawi dan menghindari segala penyelewengan.
Rasulullah  sendiri tatkala menghadapi sesuatu masalah, baginda terus menunaikan solat sunat. Dengan cara itu baginda memperoleh kedamaian,ketenangan dan penyelesaian. Baginda juga sangat menggalakkan umatnya supaya sentiasa melakukan qiyamullail (ibadah malam) dengan melakukan solat-solat sunat. Juga menjadi kebiasaan baginda memanjangkan waktu sujudnya di dalam solat tahajjud.

Sabda Rasulullah, “Seorang hamba itu akan lebih hampirkepada Tuhannya di kala dia sujud”.
Di sinilah letaknya kedudukan paling tinggi seorang hamba Allah; apabila dia benar-benar hampir dengan Tuhannya. Akan dirasai perhambaan hakiki dengan merendahkan diri semata-mata kerana Allah.

Mari kita perhatikanlah dengan baik pesanan Rasulullah,
“Tunaikanlah sembahyang dua rakaat dalam kegelapan malam, demi menghadapi kesunyian kubur”.

Berkaitan dengan pesanan ini Rasulullah juga bersabda,
“Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada Allah, nescaya Allah akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan”.

Rasulullah juga turut menjelaskan hubungan kubur dengan manusia,
“Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari siksanya, maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi kalau dia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu lebih payah”.

Sama-samalah kita teguhkanlah keyakinan dan kesungguhan kalian menghimpun bekalan yang banyak yang terkandung dalam ibadah solat; merangkumi yang wajib dan sunat. Perkemaskan perlaksanaan solat-solatmu untuk menambahbaik bekalan serta ganjaran yang Allah sediakan. Perbanyakkan solat-solat sunat, terutama diwaktu tengah malam. Supaya dengannya kita mampu meraih ganjaran yang dapat melepaskan kita dari siksaan kubur yang sangat gelap lagi sepi.

Untuk hari-hari yang sedang kita hadapi, bekalan solat itu hendaklah kita gunakan sebaik-baiknya dalam rangka mentaati titah perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya. Kita benar-benar mengharapkan kejayaan di dunia serta kejayaan di akhirat. Justru itu kita mestilah sentiasa saling memperingati kepada kebenaran dengan kesabaran. Juga semoga hakikat dan fungsi bekalan yang kita himpun benar-benar terlaksana dalam praktik hidup sepertimana maksud firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Q.S.Al-Baqarah:153)

SEBARKJAN SALAM


Wahai pemuda-pemudi Islam sejati!

Rasulullah SAW ada bersabda;
Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kutunjukkan amalan yang apabila kamu lakukan kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam sesamamu”.

Dalam hal ini, SEBARKAN SALAM dapat dijelas dengan tiga pengertian;

· Pertama: Ucapan salam bermaksud cinta dan kasih sayang. Apabila menyambut saudara muslim, tunjukkanlah wajah ceria. Hulurkan tangan dengan hangat dan penuh rasa kasih-sayang. Buang rasa berprasangka. Lebih segar dengan meluahkan kata-kata; ‘saudaraku, aku sangat mengasihimu’. Dijawab pula dengan berkata; ‘Semoga Allah mencintaimu yang demi Dia kamu mencintaiku’ Bukankah suasana begini sungguh indah!. Ianya menjadi limpahan kasih dan tautan hati. Akan harum mewangi kehidupan insan dalam redha Ilahi.

· Kedua: Ucapan salam bermaksud memberi salam kepada saudaramu pada awal pertemuan. Hal ini membuat dia merasa aman dan tenang kerana kamu berada bersamanya untuk menyenangkan dan membahagiakannya. Dengan salam bererti kamu tidak akan menyakiti dan membahayakannya. Ia juga bermakna tidak akan berdusta, berbuat jahat, mencaci dan berburuk sangka kepadanya.

· Ketiga: Ucapan salam itu juga bermaksud memberi banyak keberkatan dan kebaikan kepada saudaramu. Memberi jaminan untuk hanya membicarakan yang baik-baik sahaja. Kebaikan tersebut sentiasa diiringi keberkatan dari Allah SWT.


Pemuda-pemudi Harapan! yang menjadi tulang belakang ummah;
Bersungguh-sungguhlah berusaha untuk beroleh kedudukan yang telah Allah janjikan…

“Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang tidak termasuk para Nabi dan juga para syuhada’, tetapi pada hari akhirat para nabi dan syuhada’ cemburu kerana kedudukan mereka di sisi Allah”.
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahu kami siapakah mereka?”.
Rasulullah menjawab; “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah dan bukan berdasarkan hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan”.

“Demi Allah, muka mereka itu bercahaya. Mereka berada di atas cahaya. Tidak merasa takut ketika orang lain merasa takut. Tidak berdukacita pada saat orang lain berdukacita”.
Kemudian Rasulullah membacakan firman Allah dalam surah Yunus ayat 62: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tidak merasa khuatir dan tidak pula bersedih hati”. (HR Abu Daud, Nasai dan Ibnu Hibban)


Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendokan ketaqwaan kalian.


Pemuda-pemudi Islam harapan!


Ramadan yang penuh barakah telah disusuli pula oleh Syawal yang dipenuhi keampunan serta keredhaan Allah. Tanggal 1 Syawal dinamakan Id (Hari Raya). Kerana pada hari itu kaum Mukminin telah selesai menunaikan kewajipan berpuasa Ramadan kerana taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Syariat Islam menetapkan supaya bergembira menyambut kemenangan selesai berpuasa itu.


Dari Munabah r.a katanya; “Iblis sangat sedih apabila tiba hari raya, mereka berkumpul lalu berkata:’Wahai pemimpin kami, mengapa engkau marah?’ Pemimpin iblis berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan umat Muhammad pada hari ini. Kamu semua mesti berkerja keras dengan menyibukkan mereka dengan kelazatan dan syahwat!”


Telah diceritakan juga, pada pagi Aidilfitri, Allah mengutuskan para malaikat turun ke bumi untuk berseru dengan suara yang didengari seluruh makhluk kecuali manusia dan jin; “Wahai umat Muhammad keluarlah kepada Tuhan-Mu yang mulia. Dia akan memberikan pemberian yang agung dan mengampuni dosa yang besar.” Ketika mereka telah pergi ke masjid, Allah berkata kepada para malaikat: “Apakah balasan untuk pekerja setelah selesai kerja?” Para malaikat berkata: “Upahnya sesuai pekerjaannya.” Allah berkata kepada para malaikat: “Saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah menjadikan keredhaan dan keampunan-Ku sebagai pahala mereka.”


Pemuda-pemudi yang dikasihi dengan kasih sayang Islam!

Sewajarnya kita telah mengatur langkah seimbang dalam menyempurnakan ibadah puasa Ramadan dan merebut ganjaran keredhaan Allah dalam kegembiraan Syawal. Agar nanti bukan sahaja pakaian takwa di bulan Ramadhan yang selesai dijahit, malahan permaidani keredhaan juga dapat dihamparkan di Syawal yang barakah. Juga semestinya kita sedar terhadap petunjuk agama dan terselamat dari tergelincir ke lembah pembaziran. Roh Islam yang menguasai jiwa, akan sentiasa memandu kita untuk mengambil jalan pertengahan dan tidak berlebih-lebihan maupun menunjuk-nunjuk. Apatah lagi terjerumus ke jurang riya’ dan bemegah.

Begitulah semestinya sifat takwa yang tertanam akan mampu mendorong kita membawa kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.


Pemuda-pemudi harapan!

Berikut beberapa perkara untuk diberi perhatian dalam kemeriahan yang semakin hampir...

1. Jangan lupakan Ramadhan yang baru kita tinggalkan kerana tahun depan belum tentu kita akan bertemu lagi dengannya. Sesungguhnya orang yang soleh itu bersedih dengan pemergian Ramadhan.

2. Jangan lupa bermuhasabah dan memeriksa semula apakah kita telah menghabiskan waktu sepanjang Ramadhan dengan sebaik-baiknya.

3. Jangan lupa membayar zakat fitrah bagi menyempurnakan puasa Ramadhan.

4. Jangan lupa dengan pelbagai nikmat dan rahmat yang dilimpahkan Allah kepada kita dengan bertakbir, bertasbih, bertahmid, bersedekah dan membantu orang lain yang memerlukan pertolongan.

5. Jangan lupa mengikut sunnah Rasulullah dalam berhari-raya seperti mandi sunat raya, berpakaian baru, memakai wangian, makan sedikit sebelum solat sunat raya, pergi dan pulang dari solat raya melalui jalan berbeza.

6. Jangan lupa menjaga batas-batas syarak seperti pergaulan bebas, lelaki dan perempuan. Percakapan sia-sia dan muzik yang melalaikan.

7. Jangan lupakan mereka yang tidak bernasib-baik dan tidak dapat berhari raya dengan gembira, seperti fakir miskin,anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, dan orang-orang tua yang terbiar sendirian.


Begitulah Anak-anakku,

Jika batasan syarak dapat dipatuhi, Aidilfitri tidak sekadar menjadi perayaan adat, bahkan dapat membawa makna besar bagi umat Islam seluruhnya.


BERSIHKAN PAKAIAN IMAN


Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah,

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang paling beriman.”(QS Ali-Imran:139)

Sering benar ayah dan emak memperingatkan saya supaya menjaga keteguhan iman walau di mana berada dan dalam menghadapi apa jua keadaan. Sewaktu di bangku sekolah rendah saya menyangka dengan menghafal Rukun Islam dan Rukun Iman, kita sudah sempurna sebagai seorang muslim yang teguh iman. Setelah memulakan pengajian di IPT, barulah saya memahami pada hakikatnya iman itu merangkumi ikrar dengan lisan, membenarkan dalam hati dan mengerjakan dengan anggota badan. Dengan lain perkataan, iman adalah keyakinan dan amal serta ucapan dan perbuatan. Adakalanya iman meningkat dan ada kalanya menurun bertepatan dengan maksud sabda Nabi Muhammad, “Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Maka perbaharuilah imanmu dengan kalimah Laa ilaaha illallah.”

Manakala hati tempat bersemayamnya iman berkeadaan tidak tetap dan berbolak-balik. Dengan yang demikian kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan iman kita pada satu-satu masa tertentu. Mesti ada dua perasaan, harap dan cemas. Mengharapkan Allah menetapkan kita dalam keimanan yang tinggi sehingga kita dipanggil kembali ke sisi-Nya. Cemas pula, agar kita tidak dimatikan dalam keadaan iman yang lemah. Dari dua perasaan ini akan timbul rasa pergantungan diri dan jiwa kepada kekuasaan dan perhatian Allah. Juga hati akan sentiasa bertekad untuk meneliti keadaan iman kita sepanjang masa.

Kebelakangan ini saya turut mendapat peringatan dari rakan-rakan yang karib; iman itu juga seperti pakaian akan menjadi kotor dan lusuh. Jika demikian hakikatnya, sudah tentu keadaan lusuh dan kotor itu terletak pada hati. Sudah dikenal pasti sebelum ini iman itu berpusat terbitnya dari hati. Pastilah hati yang bersih akan menerbitkan iman yang sempurna.

Mendapat Hati Bersih

Terasa sangat rumit apabila saya fikirkan apakah jawapan yang tepat bagi persoalan hati yang bersih ini. Lebih khuatir lagi jika nanti tahap kebersihan hati akan menjejaskan iman yang lahir darinya. Syukur dengan izin Allah jua tergugah saya apabila sewaktu bersahur pada hari pertama berpuasa, ayah memperingatkan saya dan adik-adik tentang lafaz niat berpuasa. Niat itu tidak hanya diungkapkan di mulut sahaja, malah lebih penting mesti disebut maknanya di dalam hati, “Sahaja aku berpuasa dalam bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.”

Kemudian fahamlah saya, bahawa hati yang bersih itu mengiringi niat melakukan sebarang amal perbuatan ikhlas semata-mata kerana Allah. Tepatlah seperti maksud sabda Rasulullah, “Sesungguhnya Allah tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepada-Nya, dan ditujukan hanya untuk-Nya.” (HR Abu Daud dan An-Nasai)

Al-Bukhari dan Muslim pula merekodkan, “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat, dan setiap urusan dikira dengan niatnya.”

Niat mengikhlaskan perbuatan kerana Allah semata-mata. Dengan meletakkan perbuatan itu di hati yang bersih akan menghindarkan manusia daripada sikap sombong dan riyak.

Menurut Ali bin Abi Talib pula, tanda-tanda riyak itu pula ada empat;

1. Malas ketika bersendirian.

2. Bersemangat ketika berada di khalayak ramai.

3. Bertambah amalannya jika dipuji.

4. Berkurang amalan jika tidak mendapat pujian.

Setelah kita kenali tanda-tanda riyak tersebut, akan mudahlah bagi kita menghindari, menjauhi dan membersihkan hati kita dari tempelan riyak. Seandainya riyak mengotori kebersihan hati kita, bermakna dalam melakukan amal perbuatan, kita menunjuk-nunjuk supaya dilihat dan diketahui orang. Sedangkan dalam ibadah puasa, hal sedemikian tidak patut berlaku. Cuba kita fikirkan dengan teliti, jika pada amalan lain kita boleh sahaja berpura-pura melakukannya. Tetapi berlainan dengan berpuasa yang mengambil masa sepanjang hari untuk menyempurnakannya; mungkin pagi-pagi hari semua orang tahu kita sedang berpuasa, tetapi tiada siapa pun yang tahu jika kita membatalkan puasa kita waktu tengaharinya. Disudut inilah puasa melatih kita memiliki iman yang bersih untuk jangka masa yang panjang dan sepatutnya berterusan selagi ada hayat kita.

Sangat wajar kita hayati maksud yang terkandung di dalam hadis kudsi yang Rasulullah sabdakan, “Allah berfirman: Tiap-tiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Puasa adalah bagi-Ku dan Aku-lah yang akan memberi balasan dengannya. Puasa itu adalah perisai. Maka apabila seseorang itu berpuasa, janganlah dia menyentuh isterinya, dan janganlah dia memaki-maki, janganlah dia berkata tidak menentu, dan janganlah membuat kecohan. Jika dia diserang oleh seseorang dengan kata-kata kesat, hendaklah dia berkata; ‘aku sedang berpuasa.’ Demi Allah dan diri Muhammad yang berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah lebih harum dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa, dua kegembiraan yang akan dicapainya; pada waktu berbuka puasa dan pada waktu bertemu dengan Rabb-nya.”

Siapa Ikhlas?

Bagi melihat dengan lebih jelas dan teliti tentang sifat ikhlas dalam setiap tindakan, mari kita renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis ilmu. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?”

Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang mereka anggap agak melampau. Tidaklah sepatutnya terlalu menghitung tentang balasan yang bakal diterima sesudah beramal. Hal tersebut semestinyalah dalam ketentuan dan hak Allah memutuskan dan menganugerahinya.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang. Tidak pula ramah tamah dalam pergaulan, malah kelihatan sering bersendirian.

Sememangnya dia seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya. Apakah yang hebat pada diri pemuda itu yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap keredaan Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian. Bertolak dari penjelasan Rasulullah tentang pemuda itu, fahamlah sahabat-sahabat baginda tentang maksud sifat ikhlas yang begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih pula daripada segala kepentingan peribadi. Juga tidak dicampuri riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Kemudian akan lahirlah kemakmuran dan kesejahteraan sejagat;

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Selain daripada itu sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu samaada amalan diterima Allah dan layak mendapat keredaan-Nya. Akhirnya nanti akan memastikan tempat kembali di akhirat kelak, samaada beroleh syurga ataupun neraka.

Menurut kata Fudhail bin ‘Iyadh,

“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, beramal kerana manusia adalah syirik.

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.”

Dari itu dapatlah kita fahami, keikhlasan kita mestilah menyeluruhi merangkumi beberapa sudut;

1. Ikhlas mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta.

2. Ikhlas menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat.

3. Ikhlas menerima Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam praktik kehidupan Islam.

4. Ikhlas mengambil Al-Quran sebagai pedoman hidup.

5. Ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

6. Ikhlas beribadah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah.

Mari sama-sama kita mulakan langkah mengikhlaskan semua amal perbuatan semata-mata menuju keredaan Allah. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan remaja lain dan berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Sentiasa mesti diingat perisai yang mesti kita miliki ialah iman dan takwa yang dibaluti keikhlasan.

MEMBENTUK PEWARIS




Pemuda-pemudi Islam harapan!

Kalianlah pelapis, pewaris dan bakal pemimpin masa hadapan… bagaimana semua ini akan berlangsung secara yang sebaik-baiknya?


Tidak dapat dinafikan kewujudan kalian, bukanlah secara tiba-tiba. Terdahulunya dimulai dengan kewujudan individu muslim. Kemudian muncul gabungan pemuda dan pemudi, membentuk keluarga muslim. Wujudlah kalian selaku pelapis. Nantinya gabungan angkatan kalian akan pula membentuk masyarakat Islam selaku pewaris dan pendokong amar makruf nahi mungkar. Namun, tidak juga dapat dinafikan, perlu ada ikatan kerjasama antara ketiga-tiga unit tersebut. Unit yang dimaksudkan adalah individu, keluarga dan masyarakat.


Lebih mudah jika ketiga-tiga unit itu disebut sebagai ayah, ibu dan anak. Ketiga-tiga anggota berkenaan mesti diikat dengan iman. Dengan ini akan mampu difokuskan kepada mencari keredhaan Allah. Setiap aktiviti kekeluargaan pastinya dalam agenda menegakkan hukum Allah. Di sinilah bermulanya langkah pembentukan pewaris harapan.


Apabila iman yang menjadi asas pembinaan, tonggak yang berdiri akan teguh dan kukuh. Bapa yang menjadi ketua keluarga dibatasi takutkan Allah. Begitu juga isteri dan ibu dalam melaksanakan ketaatan juga peranannya, dikawal oleh rasa takutkan Allah. Seterusnya anak pula dalam ketaatannya terhadap ibu bapa turut dikawal oleh perasaan takutkan Allah. Dengan itu secara keseluruhannya, peranan ketiga-tiga pihak selaku pemimpin, pengurus dan pengikut diikat dengan iman dan perhambaan kepada Allah.


Penelitian yang kita buat ini secara tidak langsung turut menjelaskan sistem kekeluargaan dalam Islam. Di sini jugalah letaknya asas kebahagiaan sesebuah rumah tangga dan keluarga muslim. Setiap hati anggota keluarga yang dihubungkan kepada Allah akan menjurus kepada perasaan tenteram yang luar biasa. Kepuasan akan menyelinap ke seluruh jiwa. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah, “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Raad: 28).


Seluruh anggota keluarga yang sama-sama mengingati Allah akan mengamalkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni. Jika iman yang menjadi asas pembentukan sesebuah keluarga, maka mudahlah pangkal itu dirujuk semula apabila berlaku sebarang pergeseran. Bak kata pepatah “sesat di hujung jalan ,pulang ke pangkal jalan.” Ertinya bilamana berlaku sebarang kekusutan, akan mudah diuraikan apabila anggota keluarga berkaitan kembali menyemak pangkal penyatuan mereka iaitu keimanan kepada Allah. Hati-hati yang bersama mengingati Allah akan mudah disatukan.


Sebaliknya hati-hati yang terikat dengan sebab-sebab lain, keadaannya kurang mantap. Mudah berlaku pergeseran dan sukar didamaikan. Jika pun mampu berdamai, sifatnya hanya sementara. Pertembungan sering terjadi kerana setiap diri punya kepentingan tersendiri. Justeru itu ikatan iman dan taqwa merupakan simpulan yang teguh bagi mengikat setiap unit keluarga, agar kesejahteraan berkekalan.


Setiap kali kita singkap sejarah silam pada zaman kegemilangan Islam, terpapar contoh-contoh unik. Mari kita renungi cebisan daripada kisah kehidupan Sayidatina Fatimah binti Rasulullah.

Suatu hari Sayidatina Fatimah mendatangi ayahandanya mengadukan kesakitan dan kepenatannya mengurus rumah tangga, hingga tidak tidur lena. Beliau berharap ayahandanya akan berkenan memberinya pembantu rumah bagi meringankan beban. Sebaliknya, Rasulullah SAW memberikan suatu kaedah yang lebih tepat untuk menangani ketegangan yang dihadapi oleh Sayidatina Fatimah. Kepada Fatimah, baginda ajarkan membaca zikir berikut: Subhannallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakhbar 33 kali, sebelum tidur. Dengan mengamalkan zikir ini, dapat menghilangkan tekanan perasaan serta beroleh semangat ketaqwaan.


Suami Fatimah r.a, Sayidina Ali r.a turut mengamalkan zikir tersebut. Beliau mengakui, mereka tidak lagi mengalami keresahan selepas itu. Begitulah hakikatnya kekuatan iman merupakan sumber kebahagiaan sejati. Juga dengannya terbentuk dan lahir barisan pewaris harapan!


Wahai pemuda-pemudi Islam sejati!

Sama-samalah kita yakini jalan yang Allah tunjuki di dalam ajaran Islam bersifat sempurna. Hanya kepada Allah sajalah tempat kita meletakkan sepenuh pengharapan.

Perkara ini sangat wajar menjadi asas keteguhan hati kalian. Apabila hakikat iman dan takwa menjadi asas pendirian kita, dalam apa juga tindakan yang kita ambil, sentiasa disempadani dan dibatasi nilai-nilai keimanan. Kita sedia maklum, tangan yang menggoncang buaian itulah juga yang akan menggegar dunia!


Justeru itu,

Sentiasalah menyedari peranan besar kalian dalam menyediakan barisan pewaris umat yang Allah redhai. Kini semestinya dimulai daripada diri kalian dahulu, menerapkan warna-warna keunikan Islam yang telah dilakarkan dari zaman kegemilangan yang terdahulu. Seterusnya, terapkan semula warna-warna indah taqwa kepada generasi pewaris berikutnya. Juga pastikan kesinambungan yang berterusan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.


Kesimpulannya, kesinambungan generasi pewaris mesti dipastikan berterusan hingga berakhirnya kehiduapan di dunia ini. Di mana nanti kita semua berhak beroleh balasan syurga Allah!


BERZIKIR DAN BERDOALAH


Pemuda-pemudi harapan!

Betapa pun sibuknya aktiviti kehidupan kita setiap hari, jauh di sudut hati kita perlukan saat-saat bersendiri yang tenang. Namun, awas! Usah dibiarkan hati kita kosong dan mengelamun dengan sia-sia. Keadaan sedemikian memberikan ruang untuk syaitan menyelinap memasuki ruang hati..., membisik dan memperdayakan kita. Nauzubillah! Sewajarnya kalian sentiasa meletakkan hati dalam keadaan peka terhadap ayat-ayat Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang”. (QS Al-Ahzab: 41-42)

Wahai anak-anakku yang sentiasalah berfikir,
Mengapakah kita perlu berzikir?
Ketahuilah, antara faedah berzikir;

1. Diri rasa hampir dengan Allah dan jiwa rasa tenteram,

2. Merasa selamat kerana Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang ingat kepada-Nya,

3. Dengan menyebut salah satu nama dan sifat Allah yang Maha Mulia, meninggalkan kesan istimewa dalam jiwa dan mendorong kita berusaha menghiasi diri dengan sifat-sifat yang menepati asma’ Allah,

4. Apabila berzikir, syaitan lari jauh bersama was-was dan prasangka yang dibawanya,

5. Dengan berzikir kita sentiasa dilimpahi rahmat dan sakinah (ketenangan)


Anak-anakku,
Sekiranya kita terlalai dari berzikir, syaitan akan mendorong kita melakukan maksiat serta berbagaikan kejahatan lain. Sedangkan selagimana kita berzikir, kita dikelilingi malaikat juga di dalam lindungan Allah. Pada hakikatnya, zikir yang kita praktikan tidak sekadar ungkapan di lidah saja, malahan yang utama zikir itu berpusat di hati. Kemudian akan terungkap pada lisan. Seterusnya mengalir pada anggota pancaindera lain secara menyeluruh;

· Lidah akan hanya menyebut perkara yang baik saja.

· Mata hanya akan memandang yang halal dan digalakkan.

· Telinga hanya akan mendengar yang dibolehkan dan diredhai Allah.

· Tangan hanya akan bergerak melakukan kebaikkan.

· Kaki tidak akan bergerak menuju maksiat dan kemungkaran.

· Otak tidak akan memikirkan hal-hal yang diharamkan.

· Hati hanya mengingati Allah dan berazam terus menerus melakukan perkara-perkara yang diredhai Allah.

Pemuda-pemudi yang ibu dikasihi kerana Allah,

Renungkan sedalam-dalamnya... Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menciptakan kita dengan anugerah berbagai bentuk nikmat meliputi langit dan bumi, Disediakan pula petunjuk ke jalan kebenaran dan keredhaan-Nya. Wajarkah ada sesuatu yang lain yang lebih utama kita sebut dan ingati dalam setiap detik denyutan nadi kita?


Allah sentiasa memuji orang-orang yang beriman di dalam firman-Nya;

“Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau di dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata: ya Tuhan kami sesungguhnya tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari siksa neraka”. (QS Al-Imran:191)

Renungi juga firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28:

“Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenteram”.

Justru itu bersungguh-sungguhlah membiasakan lidah kalian dengan zikrullah dalam apa jua keadaan. Sewaktu kalian makan, minum, memakai pakaian, hendak tidur, bangun tidur, dalam perjalanan maupun ketika berlajar atau bekerja. Elakkan satu saat yang berlalu begitu sahaja tanpa zikrullah. Pastikan setiap saat terisi zikrullah demi memperolehi bekalan taqwa serta rahmat dan keampunan Allah.

Seterusnya anak-anakku,

Seperkara lagi yang tidak sepatutnya kita lupa dan abaikan ialah keperluan untuk berdoa. Kerelaan hati kita untuk sentiasa berdoa merupakan bukti kesedaran diri kita yang mengakui fakir dan dhaif juga sangat memerlukan kurnia Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya. Sebaliknya keengganan berdoa menggambarkan kesombongan diri dari pergantungan dan pengharapan kepada Allah. Oleh itu semestinyalah kita sentiasa bersungguh-sungguh dalam memanjatkan doa dengan menyedari segala anugerah dan kekuasaan berada dalam ketentuan Allah. Dengannya kita akan beroleh bekalan berterusan di sepanjang hayat. Salah satu anugerah terbesar dari Allah untuk hamba-hamba-Nya ialah janji-Nya memperkenankan doa , apabila kita berdoa kepada-Nya. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60;

“Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina dina”.

Pemuda-pemudi yang sentiasa mengharapkan rahmat Ilahi,
Sentiasa ibu doakan agar kalian terus menerus menjaga hubungan hati dengan Allah demi meraih bekalan yang barakah. Setiap diri yang sentiasa berdoa, akan merasai faedah dan kelebihan yang Allah anugerahkan;

· Mendapat ketenangan jiwa, perasaan dan fikiran.

· Tidak mudah menyerah kalah, rasa kecewa dan putus asa.

· Beroleh perisai diri yang mampu menghadapi berbagai tekanan.

· Sentiasa dipermudahkan menghadapi apa jua masalah.

· Menguatkan iman dan tawakkal kepada Allah.

· Dapat memelihara diri dari perbuatan sia-sia dan berdosa.


Perlu juga kalian merebut peluang memanjatkan doa pada waktu-waktu yang terbaik untuk berdoa;

· Selepas mengerjakan solat fardhu

· Waktu diantara azan dan iqamah

· Ketika bersujud di dalam solat

· Selepas solat subuh Subuh sebelum matahari terbit

· Waktu tengah malam/ sepertiga malam

· Ketika berpuasa

· Sewaktu bermusafir/ dalam perjalanan

· Pada malam Jumaat dan malam Lailatul Qadar

· Waktu di antara dua khutbah.

· Pada waktu kita teraniaya dan dizalimi

Di samping itu setiap kali berdoa sebaik-baiknya menepati adab-adab berdoa;

· Sebelum berdoa sebaiknya dalam keadaan bersih, berwudhu’ dan mengadap kiblat.

· Memulakan doa dan mengakhirinya dengan memuji Allah SWT dan membaca selawat untuk Rasulullah s.a.w.

· Hati mesti hadir, khusyuk, tenang dan penuh berharap Allah mengabulkan doa kita.

· Berdoa dengan suara perlahan dan mengangkat tangan separas hidung. Merapatkan kedua tapak tangan dan setelah selesai berdoa, menyapukan tapak tangan ke muka.

· Doa permohonan itu sebaik-baiknya diulang-ulang sebut sebanyak tiga kali.


Pemuda-pemudi harapan yang dikasihi kerana Allah,
Sesungguhnya zikir dan doa yang diungkapkan sewaktu berseorangan dan sunyi sepi, memberi pengaruh mendalam pada jiwa. Terutama tatkala airmata bercucuran kerana menginsafi kesilapan dan dhaifnya diri di hadapan Allah. Segenap pengharapan memenuhi jiwa memohon limpah hidayah dan rahmat Allah. Keadaan kudus sedemikian membina keyakinan padu serta bekalan yang bermanfaat untuk hari-hari mendatang...

Juga semoga di akhirat nanti kita akan digolongkan di kalangan hamba-hambaNya yang beroleh naungan dari Allah.

Sama-sama kita tangguhkan dengan doa;

“Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu. Hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu. Serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu.

Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna dan keyakinan yang benar-benar mantap.

Ya Allah kurniakalah kami deen (cara hidup) yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka.

Kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami ya Allah , iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa saja yang bersama-sama kami.

Jangan ya Allah, Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walau hanya sekelip mata atau kadar masa lebih singkat dari itu.

Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan, kabulkanlah doa kami”.


Wassalam.

Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.