UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MEMBENTUK PEWARIS


Pemudi-pemudi Islam harapan!

Kalianlah pelapis, pewaris dan bakal pemimpin masa hadapan… bagaimana semua ini akan berlangsung secara yang sebaik-baiknya?


Tidak dapat dinafikan kewujudan kalian, bukanlah secara tiba-tiba. Terdahulunya dimulai dengan kewujudan individu muslim. Kemudian muncul gabungan pemuda dan pemudi, membentuk keluarga muslim. Wujudlah kalian selaku pelapis. Nantinya gabungan angkatan kalian akan pula membentuk masyarakat Islam selaku pewaris dan pendokong amar makruf nahi mungkar. Namun, tidak juga dapat dinafikan, perlu ada ikatan kerjasama antara ketiga-tiga unit tersebut. Unit yang dimaksudkan adalah individu, keluarga dan masyarakat.

Lebih mudah jika ketiga-tiga unit itu disebut sebagai ayah, ibu dan anak. Ketiga-tiga anggota berkenaan mesti diikat dengan iman. Dengan ini akan mampu difokuskan kepada mencari keredhaan Allah. Setiap aktiviti kekeluargaan pastinya dalam agenda menegakkan hukum Allah. Di sinilah bermulanya langkah pembentukan pewaris harapan.

Apabila iman yang menjadi asas pembinaan, tonggak yang berdiri akan teguh dan kukuh. Bapa yang menjadi ketua keluarga dibatasi takutkan Allah. Begitu juga isteri dan ibu dalam melaksanakan ketaatan juga peranannya, dikawal oleh rasa takutkan Allah. Seterusnya anak pula dalam ketaatannya terhadap ibu bapa turut dikawal oleh perasaan takutkan Allah. Dengan itu secara keseluruhannya, peranan ketiga-tiga pihak selaku pemimpin, pengurus dan pengikut diikat dengan iman dan perhambaan kepada Allah.

Penelitian yang kita buat ini secara tidak langsung turut menjelaskan sistem kekeluargaan dalam Islam. Di sini jugalah letaknya asas kebahagiaan sesebuah rumah tangga dan keluarga muslim. Setiap hati anggota keluarga yang dihubungkan kepada Allah akan menjurus kepada perasaan tenteram yang luar biasa. Kepuasan akan menyelinap ke seluruh jiwa. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah, “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Raad: 28). Seluruh anggota keluarga yang sama-sama mengingati Allah akan mengamalkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni. Jika iman yang menjadi asas pembentukan sesebuah keluarga, maka mudahlah pangkal itu dirujuk semula apabila berlaku sebarang pergeseran. Bak kata pepatah “sesat di hujung jalan ,pulang ke pangkal jalan.” Ertinya bilamana berlaku sebarang kekusutan, akan mudah diuraikan apabila anggota keluarga berkaitan kembali menyemak pangkal penyatuan mereka iaitu keimanan kepada Allah. Hati-hati yang bersama mengingati Allah akan mudah disatukan. Sebaliknya hati-hati yang terikat dengan sebab-sebab lain, keadaannya kurang mantap. Mudah berlaku pergeseran dan sukar didamaikan. Jika pun mampu berdamai, sifatnya hanya sementara. Pertembungan sering terjadi kerana setiap diri punya kepentingan tersendiri. Justeru itu ikatan iman dan taqwa merupakan simpulan yang teguh bagi mengikat setiap unit keluarga, agar kesejahteraan berkekalan.

Setiap kali kita singkap sejarah silam pada zaman kegemilangan Islam, terpapar contoh-contoh unik. Mari kita renungi cebisan daripada kisah kehidupan Sayidatina Fatimah binti Rasulullah.

Suatu hari Sayidatina Fatimah mendatangi ayahandanya mengadukan kesakitan dan kepenatannya mengurus rumah tangga, hingga tidak tidur lena. Beliau berharap ayahandanya akan berkenan memberinya pembantu rumah bagi meringankan beban. Sebaliknya, Rasulullah SAW memberikan suatu kaedah yang lebih tepat untuk menangani ketegangan yang dihadapi oleh Sayidatina Fatimah. Kepada Fatimah, baginda ajarkan membaca zikir berikut: Subhannallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakhbar 33 kali, sebelum tidur. Dengan mengamalkan zikir ini, dapat menghilangkan tekanan perasaan serta beroleh semangat ketaqwaan.

Suami Fatimah r.a, Sayidina Ali r.a turut mengamalkan zikir tersebut. Beliau mengakui, mereka tidak lagi mengalami keresahan selepas itu. Begitulah hakikatnya kekuatan iman merupakan sumber kebahagiaan sejati. Juga dengannya terbentuk dan lahir barisan pewaris harapan!


SEBARKAN SALAM

Pemuda-pemudi Islam harapan!,
Sentiasalah menyedari maksud firman Allah dalam hadis qudsi;
Kecintaanku hanya untuk orang-orang yang saling menyintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling berkorban kerana Ku. Orang-orang yang menyintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar cahaya. Para nabi, sahabat dan syuhada merasa cemburu terhadap mereka”.(HR Ibnu Hibban dan lain-lain).

Begitulah ganjaran yang bakal diperolehi dari persaudaraan Islam sejati yang dibina di atas iman dan taqwa. Disuburkan pula dengan suasana yang baik (biah solehah). Alangkah besarnya bekalan yang didapati oleh seseorang itu dalam persaudaraan kerana Allah. Mereka hidup bahagia dalam suasana saling bekerjasama dan dilimpahi kasih-sayang Allah. Juga beroleh keampunan dan keredhaan-Nya.

Islam sangat mengambil berat tentang kelangsungan persaudaraan Islam, hinggakan ianya merupakan perkara utama yang Rasulullah SAW selesaikan sewaktu hijrah baginda ke Madinah. Setelah menanamkan iman mendalam kepada setiap muslim mukmin, Rasulullah mempersaudarakan mereka dengan ikatan persaudaran Islam (ukhwah Islamiah).

Anak-anakku!
Ukhwah Islamiah ini sifat keteguhannya juga sepertimana keimanan, ada masa kuat, ada masa lemah. Untuk mengekalkan fungsinya, wajarlah sentiasa disuburkan. Sehubungan ini Rasulullah SAW ada bersabda;

Demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu saling mencintai. Mahukah kutunjukkan amalan yang apabila kamu lakukan kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam sesamamu”.

Dalam hal ini, SEBARKAN SALAM dapat dijelas dengan tiga pengertian;

· Pertama: Ucapan salam bermaksud cinta dan kasih sayang. Apabila menyambut saudara muslim, tunjukkanlah wajah ceria. Hulurkan tangan dengan hangat dan penuh rasa kasih-sayang. Buang rasa berprasangka. Lebih segar dengan meluahkan kata-kata; ‘saudaraku, aku sangat mengasihimu’. Dijawab pula dengan berkata; ‘Semoga Allah mencintaimu yang demi Dia kamu mencintaiku’ Bukankah suasana begini sungguh indah!. Ianya menjadi limpahan kasih dan tautan hati. Akan harum mewangi kehidupan insan dalam redha Ilahi.

· Kedua: Ucapan salam bermaksud memberi salam kepada saudaramu pada awal pertemuan. Hal ini membuat dia merasa aman dan tenang kerana kamu berada bersamanya untuk menyenangkan dan membahagiakannya. Dengan salam bererti kamu tidak akan menyakiti dan membahayakannya. Ia juga bermakna tidak akan berdusta, berbuat jahat, mencaci dan berburuk sangka kepadanya.

· Ketiga: Ucapan salam itu juga bermaksud memberi banyak keberkatan dan kebaikan kepada saudaramu. Memberi jaminan untuk hanya membicarakan yang baik-baik sahaja. Kebaikan tersebut sentiasa diiringi keberkatan dari AllahSWT.


Pemuda-pemudi Harapan!
Bersungguh-sungguhlah berusaha untuk beroleh kedudukan yang telah Allah janjikan…
“Di antara hamba-hamba Allah ada manusia yang tidak termasuk para Nabi dan juga para syuhada’, tetapi pada hari akhirat para nabi dan syuhada’ cemburu kerana kedudukan mereka di sisi Allah”.
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahu kami siapakah mereka?”.
Rasulullah menjawab; “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah dan bukan berdasarkan hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan”.
“Demi Allah, muka mereka itu bercahaya. Mereka berada di atas cahaya. Tidak merasa takut ketika orang lain merasa takut. Tidak berdukacita pada saat orang lain berdukacita”.
Kemudian Rasulullah membacakan firman Allah dalam surah Yunus ayat 62: “Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tidak merasa khuatir dan tidak pula bersedih hati”. (HR Abu Daud, Nasai dan Ibnu Hibban)