UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

MENANAM IMAN


WAHAI SETIAP DIRI YG DIPERHATI,

Hati2lah memerhati diri...

Perlulah sentiasa kita ingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti dan laksanakan bersungguh-sungguh keseluruhan langkah membina iman dan takwa seperti berikut;

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:

  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun dalam segala urusan-Nya.
  • Rabb Yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad pula merupakan penutup para nabi dan rasul dan dianugerahkan Al-Quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita yakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang yang engkar dan tidak mengakui Allah sebagai tuhan yang berhak disembah.
  • Manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan di atas apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Apabila langkah-langkah tersebut mampu kita laksanakan sepenuhnya, kemudian secar beransur-ansur akan kita rasai kesan yang sungguh mendalam di hati. Akan juga jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku kita. Merangsang tindakan dan amal perbuatan sehinggalah kita mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh kereda Ilahi.

Iman yang mendalam dan takwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan takwa saling mendorong kita kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.

Justru itu sewajarnyalah kita sematkan baik-baik dalam hati dan sejajarkan dalam tindakan menepati maksud firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 10-11;

“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.”

0 ulasan: