UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BERJUANGLAH!


Tetap teristimewa untuk kalian,

Wahai pemuda-pemudi Islam harapan!

Begitu pantas masa berlalu, tidak terlengah dan tidak tertunggu-tunggu. Datang dan pergi masa memperingatkan bahawa usia kita kian berkurangan. Namun tindakan belum lagi disegerakan. Bicara ibu kali ini telah sampai ke penghujungnya. Setiap yang bermula, akan berakhir. Namun berakhir saja bicara ini, bermakna satu langkah mesti dilaksanakan. Tidak boleh berhenti dan termangu. Mesti berfikir dan bertindak segera! Dengan itu segeralah menyahut seruan ANAK-ANAKKU BERJUANGLAH!

Anak-anakku,

Sentiasa ibu doakan agar kalian meletakkan puncak tertinggi kecintaan hanya kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Meletakkan sepenuh ketaatan serta kepatuhan kepada titah perintah Allah. Juga menjadikan Ar-Rasul Muhammad SAW sebagai contoh dan ikutan sepanjang hayat.

Anak-anakku,

Ambillah pengajaran daripada sejarah silam mengenai umat terdahulu yang leka dan sering mengabaikan nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan. Kisah umat Bani Israel begitu banyak Allah dedahkan di dalam Al-Quran, berulang kali mereka menderhakai agama Allah. Peluang demi peluang diberikan Allah agar mereka membaiki diri dengan bimbingan para nabi dan rasul. Namun mereka terus-terusan ingkar, akhirnya bencana yang diperoleh zaman demi zaman! Nauzubillah.


Pemuda-pemudi Islam sejati!

Keimanan dan ketaqwaan yang bertapak dalam diri peribadi kalian semestinya mampu membimbing rakan seangkatan membebaskan jiwa daripada perhambaan kepada selain Allah.

Sedarlah!

Di bahu kalian akan terpikul keteguhan ummah dan kemakmuran hidup insan.

Tingkatkan perjuangan!

Usah terleka hingga fikiran kalian dijajah oleh budaya asing yang melenyapkan maruah terpuji. Peliharalah sebaik-baiknya kemerdekaan jiwa kalian yang semata-mata mengabdi diri kepada Allah. Perjuangan dan kemerdekaan tidak dapat dipisahkan kerana ianya saling berkait rapat. Tanpa salah satunya, tidak wujud kedua-duanya. Selagi wujud kehidupan di dunia, perjuangan tetap berterusan. Dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Dengan itu kemerdekaan dapat diletakkan pada tempatnya.


Telah nyata ketentuan Allah bagi umat yang berjuang, pasti beroleh kebahagiaan dan kemakmuran. Bagaimana pendirian kalian? Relakah kalian membiarkan tangan remaja seangkatan yang terkapai-kapai meminta bimbingan tertimbus dalam lumpur kehancuran umat?

Tiada ertinya kehidupan kalian, selain daripada masa-masa yang digunakan untuk beramal sedari kecil hingga denyutan nadi yang terakhir.

Ayuh….. bangun, bergerak dan berjuanglah!

Akhirnya marilah sama-sama kita sudahi dengan doa:

“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Melihat keadaan kami. Tiada sesuatu pun dari urusan kami yang sama bagi-Mu. Kami sangat dhaif dan malu dalam permohonan kami umpama orang yang sangat miskin dan mengharap dalam deraian air mata dan penyerahan hati kepada-Mu.

Ya Allah! Janganlah jadikan kami kecewa dalam berdoa. Kasihanilah kami wahai Rabb yang Maha Memberi dan Maha Mengasihani.” Amin.

MENANAM IMAN


WAHAI SETIAP DIRI YG DIPERHATI,

Hati2lah memerhati diri...

Perlulah sentiasa kita ingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti dan laksanakan bersungguh-sungguh keseluruhan langkah membina iman dan takwa seperti berikut;

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:

  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun dalam segala urusan-Nya.
  • Rabb Yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad pula merupakan penutup para nabi dan rasul dan dianugerahkan Al-Quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita yakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang yang engkar dan tidak mengakui Allah sebagai tuhan yang berhak disembah.
  • Manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan di atas apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Apabila langkah-langkah tersebut mampu kita laksanakan sepenuhnya, kemudian secar beransur-ansur akan kita rasai kesan yang sungguh mendalam di hati. Akan juga jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku kita. Merangsang tindakan dan amal perbuatan sehinggalah kita mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh kereda Ilahi.

Iman yang mendalam dan takwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan takwa saling mendorong kita kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.

Justru itu sewajarnyalah kita sematkan baik-baik dalam hati dan sejajarkan dalam tindakan menepati maksud firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 10-11;

“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.”

LENGKAPKAN AKHLAK

Wahai setiap diri yang sentiasa diperhati oleh Yang Maha Mengetahui...


Sewajarnya setiap muslim mukmin melengkapkan dirinya dengan akhlak al-Quran.

1. Menunaikan dan menepati janji

“Hendaklah kamu menepati janji, sesungguhnya manusia itu akan dipertanggungjawabkan (diperiksa) tentang janjinya.” (QS Al-Isra’: 34)

2. Tidak bercakap atau memperkatakan sesuatu yang tidak jelas diketahui

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati dipertanggungjawabkan (diperiksa).” (QS Al-Isra’: 36)

3. Tidak berlaku sombong dan takbur

”Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana kamu tidak akan sekali-kali dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (QS Al-Isra’:37)

4. Tidak berlaku boros, membazir, tamak dan bakhil (kedekut)

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya, nanti kamu menjadi tercela dan menyesal.” (QS Al-Isra’: 29)

5. Berlaku adil dalam semua keadaan dan terhadap semua orang walaupun kepada musuh dan orang kafir

“Dan apabila kamu berkata, hendaklah kamu berlaku adil meskipun ia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji Allah, yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.” (QS Al-An’am: 152)

6. Bantu-membantu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa

“Tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran, dan bertaqwalah kamu kepada Allah.” (QS AI-Maidah: 2)

7. Menghindari dari melakukan kezaliman dan pendustaan

Kezaliman yang sangat keji ialah melanggar peraturan Allah dan mendustakan ayat-ayat Allah.

“Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang membuat suatu kedustaan terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat keberuntungan.” (QS Al-An’am: 21)

8. Bersabar dalam semua keadaan

Bersabar dalam melakukan ketaatan, bersabar dalam meninggalkan maksiat dan bersabar dalam menghadapi takdir Allah. Dengan bersabar setiap diri muslim akan menjadi baik dan berbuat kebaikan juga mengajak orang lain kepada kebaikan.

“Hai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.”

(QS Ali-Imran: 200)