UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SIAPA IKHLAS?

WAHAI SETIAP DIRI YANG SENTIASA DIPERHATI!...



Untuk memahami lebih lanjut sifat ikhlas dalam setiap tindakan, cuba renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis tazkirah. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?” Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang keterlaluan bagi mereka.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang.

Cuma seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya.

Apakah yang hebat pada diri pemuda ini yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke

syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap redha Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian.

Ikhlas itu begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih daripada segala kepentingan peribadi. Juga dari riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Dapatlah digambarkan dengan jelas suasana subur yang memudahkan lahirnya keadaan-keadaan berikut,

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu amalan diterima Allah dan layak mendapat keredhaan Allah. Akhirnya nanti memastikan tempat kembali di akhirat kelak. Syurga ataupun neraka.

Kata Fudhail bin ‘Iyadh:

Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’,

beramal kerana manusia adalah syirik,

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.

Ikhlaskan hati kalian dalam mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta. Ikhlaslah dalam menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat. Juga ikhlas menerima Muhammad SAW sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam menyampai risalah Islam. Ikhlaslah mengambil al-quran sebagai pedoman hidup.

Seterusnya ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Ikhlaslah berubudiyah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah. Mulakan setiap langkah menuju keredhaan Allah daripada diri kalian sendiri. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan seangkatan di atas landasan kebenaran Islam. Terus maju berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Kemenangan dalam peperangan ini bakal menentukan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita tangguhkan dulu dengan doa:

“Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jadikanlah kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Jadikanlah juga dari keturunan kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Tunjukilah kami cara beribadat dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.” Amin.

AKU DATANG


Puisi Percubaan

Ummu Anas


Tuhan
Rabbi Rabbul Izzati
Engkau anugerahkan aku kelahiran
aku menangis mencari erti kehidupan
sujud mengharap belas kasihMu
tengadah mengharap hidayahMu

Tuhan
Engkau namakan aku insan
menjawat khalifah di persada bumi
bergelar abdi terikat ibadah
termetri janji beroleh syurga abadi
bersyarat takwa dilengkapi ikhsan

Tuhan
Engkau tunjuki aku jalan
lurus ke kanan bukan ke kiri
jalan orang-orang berjaya
bukan jalan orang-orang gagal
aku pasrah lagi patuh
tanpa ingkar lagi mungkar
aku datang kepadaMu
Allahuakhbar!

10.20 mlm 25/06/10

MENERAPKAN NILAI DALAM PENULISAN


Salam sejahtera dengan limpah rahmat dan kasih Ilahi!

Pembaca budiman, yang dimuliakan;

Saban hari sepanjang kita melalui kehidupan yang masih berjalan,kita semestinya melihat berbagai fenomena yang berlaku. Samaada fenomena alam semulajadi, maupun rentetan peristiwa yang diangkat sebagai isu besar untuk dihebahkan.Pernahkah kita bertanya pada diri sendiri, apakah peranan kita dalam setiap fenomena yang kita lihat? Adakah kita menyedari, sebenarnya kita adalah sebahagian dari fenomena yang berlaku itu? Dengan lain perkataan kita turut bertanggungjawab terhadap apa jua perkara berlaku dalam kehidupan harian insan.


MARI KITA MULAKAN PENELITIAN DARI DIRI KITA SEBAGAI PENULIS.

Apakah sebenarnya peranan kita dalam kehidupan insan yang seterusnya dikaitkan ke dalam semua fenomena yang berlaku? Rumitkah penelitian ini? Bagi diri saya, secara peribadi, tidak rumit! Malah saya merasa bahagia jika saya berupaya menyumbang peranan untuk bertanggungjawab dalam apa jua sudut kehidupan insan. Justru saya sendiri juga tergolong insan. Bukankah begitu juga hakikatnya kepada diri anda semua?
Ya, tepat sekali, selaku insan penulis kita sangat wajar menyedari kita punya peranan besar dalam mencorakkan kehidupan insan sejagat.



Sering benar kita mendengar orang menyebut; kita adalah apa yang kita fikir, kita adalah apa yang kita baca, kita adalah apa yang kita makan....,dan banyak lagi kita menjadi apa yang kita terapkan kepada diri kita. sebutan sedemikian seolah-olahnya menjelaskan bahawa kita akan terbentuk mengikut nilai yang kita terapkan ke dalam
diri. Ini bermakna jika nilai yang baik diterap, kesan yang akan diperolehi juga semestinya baik. Begitu juga jika sebaliknya yang diterapkan, akan berlakulah begitu juga.


Berdasarkan hakikat hal yang baik menerbitkan perkara yang baik, semestinya kita menerapkan nilai baik dalam penulisan kita. Bermakna kita hanya menulis hal-hal yang baik sahaja kerana kita mahu orang yang membacanya menjadi baik. Atau sekurang-kurangnya membina fikiran yang baik kepada semua orang. Begitulah sepatutnya dasar kerja tulis dan sikap kita sebagai penulis. Kita mesti sentiasa menerapan nilai-nilai murni dalam semua bahan dan bentuk penulisan kita. Fikirkanlah dengan teliti, apa kesan dan akibatnya jika kita memasukkan unsur tidak sihat ke dalam penulisan kita?


Seperkara lagi, di samping menerapkan nilai murni dalam masa yang sama kita mesti membenteras/membasmi nilai buruk dan negatif. Kita ambil contoh begini; kita ingin menyubang peranan dalam mengurangkan kadar merokok di kalangan remaja, sebagai contoh. Ini bermakna selain kita mengemukakan teguran supaya tidak merokok, dalam masa yang sama kita tidak sepatutnya mencipta watak merokok dalam penulisan kita. Dengan lain perkataan kita mencadangkan sikap juga aktiviti gantian kepada rokok seiring dengan tidak menyebut langsung tabiat buruk itu. Kaedah demikian bersamaan dengan kita cegah sesuatu penyakit sebelum penyakit itu muncul. Kita telah sedia setuju dengan ungkapan; 'mencegah lebih baik dari mengubati'. Bertitik tolak dari situ, sangat wajar kita membina satu sikap yang lebih jelas; 'menghindari lebih baik dari melarang'. Bagaimana pandangan anda semua kepada saranan saya ini...,setuju? Saya sangat menunggu-nunggu maklum balas anda semua! Diharapkan hal ini akan memberi kesan positif kepada kita semua.


Sebelum mengakhiri bicara saya ini, saya ingin mengajak anda meneliti satu gejala lumrah dan berleluasa berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini, khasnya golongan remaja; gejala sosial dan pergaulan bebas. Kita semua maklum gejala ini membawa kesan sangat besar dan sensitif dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita, malah sangat pula menyedihkan dan membimbangkan. Dalam ruang serba terbatas ini saya hanya ingin menyentuh peranan kita sebagai penulis. Di sinilah sepatutnya kita bawa penerapan nilai murni dengan memaparkan bahan tulis berakhlak mulia. Sedapatnya kita elakkan dari membesarkan malah tidak perlu sama sekali mendedahkan tingkah laku buruk yang berkaitan. Hal ini hanya akan meransang remaja yang semulajadinya angresif untuk melakukan hal yang kita sebut. Hakikat larangan yang ingin kita kemukakan tidak meresap ke hati remaja, tetapi mereka hanya mencedok yang keroh dan kotor saja. Kerana itulah kita perlu masuk terus kepada pokok nilai yang wajar; kita mahu remaja berakhlak mulia, jadi kita hanya perbesarkan dan sebut hal-hal yang baik. Dengan itu secara tabii akan membina sikap positif yang mulia dalam fikiran dan tingkah laku golongan remaja. Ketahuilah hal ini perlu kita halusi dengan lebih mendalam lagi, dari masa ke semasa.


Akhirnya ingin saya tegaskan, sepanjang kita menulis kita mesti peka apa saja yang kita tulis memberi kesan kepada orang yang membacanya. Tanya kepada hati kita, sukakah kita melihat orang yang membaca tulisan kita mengalami/melakukan keburukan?
Tentu kita tidak mahu begitu yang terjadi. Hati kita yang sedia baik ini sangat ingin orang lain beroleh kebaikan dari hasil tulisan kita. Kita akan rasa bahagia jika orang lain menjadi baik setelah membaca bahan penulisan kita. Begitulah sepatutnya yang kita harapkan dan semestinya yang kita lakukan.

SELAMAT MENULISKAN SEGALA KEBAIKAN.

MARI BERFIKIR

WAHAI SETIAP DIRI YANG DIKASHI KERANA ALLAH!

MARI KITA MULAI HARI INI DENGEN MERENUNG DAN BERFIKIR,
AGAR SEPANJANG HARI INI DAN HARI-HARI KEHADAPAN YANG DILALUI AKAN TERPIMPIN KEPADA KEBENARAN.

Berikut satu hakikat yang sangat rapat dengan diri kita...

*Setiap orang yang bertakwa dengan keimanan yang mendalam, pasti memiliki pendirian yang teguh. Orang yang lemah keimanannya, kabur dalam menentukan matlamat hidupnya. Adakalanya terdorong ke kanan, ada kalanya terdorong ke kiri. Dalam jiwanya selalu timbul pertentangan untuk membuat pilihan antara kesesuaian diri dan pandangan umum.


Untuk lebih memahami hakikat ini, mari kita teliti kisah berikut;

Seorang tua,anak lelakinya dan seekor keldai sedang berjalan.
Orang tua itu lantas menaiki keldai, sedangkan anak lelakinya berjalan kaki di belakangnya.

Apabila melintasi kelompok wanita,orang tua itu dicaci kerana dianggap tidak kasihan kepada anaknya. Lalu ditukar anaknya pula menaiki keldai sedangkan orang tua itu berjalan kaki.

Bilamana melintasi kelompok lelaki, anak itu pula yang dicela kerana tidak tahu menghormati orang tua. Kemudian si orang tua dan anaknya kedua-dua sekaligus mengenderai keldai.

Lalu orang yang sangat mengasihani haiwan pula mencela kedua-kedua mereka kerana tiada belas kasihan kepada binatang.Akhirnya si anak mencadangkan kepada bapanya supaya mendokong keldai itu, nanti tidak lagi dicela orang ramai.

Orang tua itu tidak setuju, lantas menjawab:

"Kalau kita dokong keldai itu, nanti kita terlalu letih malahan orang ramai akan mengatakan kita bodoh dan gila! Tidak ada jalan yang dapat kita lakukan untuk memuaskan hati semua orang."


Dari kisah tersebut,
sewajarnya kita fahami;

**Orang yang beriman dan bertakwa akan dapat membebaskan diri dari belenggu keresahan. Dia tidak akan runsing, samaada orang ramai menyenangi atau tidak setiap tindakannya. Perkara yang menjadi tumpuan, semata-mata untuk mencapai reda Allah.
Bukankah ketara berbedza diantara orang yang berpendirian teguh dengan orang yang tidak mempunyai hala tuju dalam hidupnya???

***Bagi orang yang beriman teguh, sepanjang perjalanan hidupnya, tidak ada suatu apa pun yang dianggap sukar.Segala-gala yang pahit dan getir dianggap manis. Apa jua bentuk pengorbanan dirasai ringan.Setiap cabaran dihadapi dengan tenang tanpa rasa takut dan cemas. Semua ini menjadi begitu mudah lantaran jelas dalam pendiriannya, dia hanya beragntung harap kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AWAS SELALU!


WAHAI SETIAP DIRI YANG SENTIASA DIPERHATI!

WAHAI SETIAP HATI YANG SENTIASA DINILAI!

Awas dan berhati-hatilah...

Kita sentiasa berhadapan dengan sesuatu yang rumit;
berhadapan dengan dengan hasutan syaitan yang tugas utamanya memperdayakan hawa nafsu.


Dalam kitabnya 'Minhajul Abidin', Imam Al-Ghazali menjelaskan 7 langkah yang syaitan gunakan untuk menghasut manusia supaya kita terlalai dalam melaksanakan kebaikan serta mentaati perintah Allah.


Mari sama -sama kita lihat dengan teliti langkah-langkah tersebut supaya dapat kita tepis hasutan syaitan...


Langkah pertama:
Syaitan sentiasa melarang manusia daripada mentaati Allah.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Aku benar-benar mengharapkan pahala daripada Allah. Untuk itu aku mesti sentiasa taat kepada perintah Allah sebagai bekalan menuju ke akhirat."


Langkah kedua:
Syaitan sentiasa memujuk manusia supaya menangguhkan ketaatan kepada Allah.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Kematianku berada dalam ketentuan Allah. Sekiranya aku menunda-nunda amalan hari ke hari esok, bagaimana pula amalan hari esok? Setiap hari aku punya amalan berlainan yang mesti dilaksanakan."


Langkah ketiga:
Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk tergesa-gesa dalam beramal mengerjakan sesuatu kebaikan kononnya boleh mengerjakan kebaikan yang lain.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Amal sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amal yang banyak tapi tidak sempurna."


Langkah keempat:
Syaitan seterusnya memperdaya manusia supaya melakukan amalan secara sempurna agar tidak dicela manusia.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Bagiku cukuplah dengan penilaian Allah. Tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia dan amalan yang dikerjakan kerana selain daripada Allah akan tertolak."


Langkah kelima:
Seterusnya syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal, "Sungguh tinggi darjatmu dapat beramal soleh. Pintar dan cerdik sekali dirimu".

"Orang yang kuat imannya menegaskan:Segala kekuatan itu daripada Allah. Allah yang melimpahkan taufik dan hidayahnya untuk aku beramal ibadat. Tanpa pahala daripada Allah apalah nilainya berbanding nikmat Allah yang luas, sedangkan begitu banyak pula dosa-dosaku."


Langkah keenam:
Dengan gagalnya hasutan syaitan di jalan sebelumnya, dia terus mencuba cara yang lebih halus. Syaitan membisikkan, "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal secara sembunyi, jangan sampai diketahui orang. Nanti Allah jualah yang akan memberitahu kepada orang lain bahawa engkaulah hamba Allah yang ikhlas." Begitulah syaitan cuba mencampur-campurkan amalan seseorang dengan tipu dayanya yang sangat halus sehinggakan terjerumus kedalam bab riya'.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Hai yang dilaknat Allah tidak berhenti-henti engkau merosakkan amalku. Aku adalah hamba Allah dia yang berkuasa ke atasku. Jika Allah berkehendak memperlihatkan mahupun menyembunyikan amalanku itu adalah hak-nya. Aku tidak khuatir manusia tidak mengetahuinya kerana amalku semata-mata kerana Allah."


Langkah ketujuh:
Syaitan tidak pernah putus asa menggoda manusia, berbagai cara dicubanya. Dia cuba pula dengan cara menanam perasaan buruk sangka, "Hai manusia janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sebab jika Allah telah menetapkanmu sejak azali sebagai orang yang akan berbahagia di akhirat nanti, maka meninggalkan ibadat tidak mendatangkan mudharat, engakau akan tetap menjadi orang yang berbahagia. Dan sebaliknya jika Allah menetapkanmu sebagai orang celaka maka tidak ada gunanya engkau beribadat. Nasibmu tetap malang."

Orang yang teguh imannya akan terus tetap pendirian."Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku mentaati perintah Allah. Allah yang menentukan segala-galanya. Walaubagaimanapun ketetapan Allah ke atasku, aku tetap akan beribadat dan taat kepada Allah. Allah tetap menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadanya".


Begitulah sifat syaitan dengan tipu dayanya agar kita terlalai dan gagal melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT. Sentiasalah berhati-hati dalam setiap langkah dan mohonlah pertolongan serta perlindungan Allah, agar terpelihara dari kejahatan syaitan.

CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA



oleh: Ummu Anas

Semua pengunjung budiman!

Saya tertunduk malu dengan mata terkedip-kedip bila menatap tajuk di atas; CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA.

Pada hakikatnya, hal itu belum wujud dalam diri saya, hanya sebagai impian yang seindah mimpi...
Oh! Bilakah akan dapat saya capai dan garap?

Pernah saya tanyakan seorang teman penulis yang dalam masa yang sama tenaga pengajar dalam bidang kewartawanan, kata-kata yang diajukan kepada saya benar-benar telah menggugah hati saya. demikian bunyinya:


"Seorang penulis persuasif yang berjaya sentiasa memperkayakan dirinya dengan ilmu dan istilah-istilah baru. Dia tidak hanya berpuas hati dengan hanya pandai membina ayat, tetapi dia menghiasi ayat-ayat yang dibina dengan elemen-elemen daya penarik dan istilah yang boleh memerangkap jiwa dan emosi pembaca."

Aduh!...Terlongo saya mendengarnya dan terkedip-kedip lagi mata saya merenung matanya yang tampak serius dalam bicaranya itu.

Saya beranikan diri bertanya lagi...

Bagaimana cara sebaiknya membina diri dan keupayaan ke arah itu?

Jawapannya:

1. SUKA KEPADA BAHASA
Penulis yang berkesan mesti suka kepada bahasa. Ini bermakna suka kepada pengucapan atau ungkapan-ungkapan yang segar dan meyakinan. Menguasai pertuturan dan sentiasa bertutur dalam sususan bahasa yang betul.

2. SUKA MEMBACA
Penulis tidak boleh terpisah dari bahan bacaan, setiap detik diisikan dengan aktiviti membaca. Baca apa saja bahan bacaan terbaik yang mengukuhkan kecenderungan menulis yang sesuai dengan tabiat dan bentuk penulisan yang kita pilih.


Wah! Setelah mendengar katanya itu, saya bangun berdiri lalu mahu bergerak dan bertindak menepati apa yang sahabat saya sarankan itu..., tiba-tiba beliau menahan saya; ada lagi beberapa perkara yang perlu saya semak selalu dalam diri saya.

Apa dia perkara penting itu....?

* Menulis bererti berkomunikasi, iaitu menyampaikan mesej kepada khalayak sasar/pembaca. Tuliskan perkongsian maklumat dan ilmu bermanfaat, supaya khalayak pembaca terdidik menjadi baik.

* Penulis yang berjaya akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kemampuan bahasanya dengan laras dan lenggok yang sesuai untuk pelbagai kumpulan sasar, kanak-kanak, remaja dan dewasa.


Wow! Saya rasa sungguh banyak yang mesti saya lakukan segera untuk melengkapkan diri ke arah impian saya; menjadi PENULIS YANG BERJAYA!

Saya pun bingkas bangun untuk segera bertindak..., sempat juga saya kerling senyum simpul sahabat saya itu seiring dengan kata-katanya mengakhir sesi pertemuan kami; Anda adalah diri anda, serlahkan keistimewaan bakat dan gaya tersendiri anda. Cungkil dan pupuk bakat berkenaan. Segeralah maju untuk menzahirkannya supaya manusia sejagat akan terdidik berwibawa!

Saya pun ketika itu, tidak lagi menoleh ke belakang..., terus maju laju... menggarap dan mengolah apa yang saya termampu. Kini di mana saya berada??? Sayu hati saya bila merenungi tajuk di atas; CIRI-CIRI PENULIS BERJAYA

Mari bantu saya,...dan seharusnya kita saling bantu-membantu demi kelangsungan bidang penulisan yang sangat berkesan mendidik insan lain kepada kebaikan.

JAGA KESEJAHTERAAN HATI


WAHAI SETIAP HATI YANG DIPERHATI!


Allah SWT telah menyusun kejadian manusia dalam bentuk yang sempurna. Sekiranya kesempurnaan salah satu anggota mengalami kekurangan, maka bahagian anggota tertentu menjadi sakit. Ataupun sekiranya salah satu anggota sakit, kesihatan seluruh tubuh akan turut terjejas. Begitu juga dengan hati yang menjadi induk kepada seluruh anggota tubuh, sebarang gejala yang menyerangnya akan mengganggu kesejahteraan diri seluruhnya.


Mari kita renungi dengan teliti...

FUNGSI HATI:

* Mengenal Allah yang menciptakan

* Mengasihi Allah dengan mentauhidkanNya

* Redha dengan setiap ketentuan Allah

* Bertawakkal kepada Allah

* Mengasihi dan membenci kerana Allah.


KESEJAHTERAAN dan FUNGSI HATI akan TERGANGGU jika;


* syirik - meletakkan selain Allah dalam pemujaan, pengharapan dan kecintaan.

* dosa - dosa-dosa kecil bila banyak terhimpun akan mematikan hati.

* ghoflah - lalai dan leka yang sangat disukai nafsu, juga meringankan perkara yang Allah perintahkan.

* memandang kecil perkara yang Allah redhai.

* tidak berserah diri dan tidak bergantung harap kepada Allah.

* tunduk dan patuh kepada selain Allah.

* tidak puas hati dengan ketentuan Allah.

* ragu-ragu terhadap janji-janji Allah berkaitan syurga dan neraka.


WAHAI SETIAP HATI YANG INGIN DIKASIHI OLEH YANG MAHA PENGASIH!


Apabila hati kita diserang penyakit dan teragnggu kesejahteraannya, sedaya upaya mesti diusahakan kesembuhan. Ubatnya yang utama ialah tauhid dan Taubat.

Dengan tauhid(iman) hati akan bebas dari belenggu ilah(sembahan) selain Allah.

Dengan taubat pula hati akan sedar perjalanan hidup yang dilalui menuju untuk kembali kepada Allah. Kemudian akan tertutuplah pintu kejahatan dan desakan nafsu.


Menurut Ibnu Qayyim;

"Hawa nafsu adalah sebesar-besar penyakit kepada hati. Dengan melawan hawa nafsu, ia menjadi sebesar-besar ubat. Nafsu itu asalnya jahil dan zalim. Nafsu akan melawan ayat -ayat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Inilah jiwa yang zalim, menjadikan penyakit sebagai ubat."

LANGKAH MENUJU KEBAHAGIAN

Wahai setiap diri yang sentiasa diperhati dan dinilai oleh Yang Maha Pengasih lagi Maha


Penyayang!


Sesungguhnya Allah, tiada Tuhan selain Dia yang hidup kekal lagi terus-menerus mengurus

makhlukNya.


Bersegeralah melangkah kepada kebahagiaan hakiki...


1. Segeralah bertindak selaras dengan maksud hadis Rasulullah SAW:

"Jika pagi tiba, jangan menunggu petang. Jika petang tiba, jangan menunggu esok."


2. Lupakan masa lalu, sebab perhatian yang terpaku kepada masa lalu adalah sia-sia.


3. Usah panjang angan-angan untuk masa yang belum pasti, sediakan diri untuk menghadapi apa jua keadaan.


4. Jangan mudah tergoncang dengan kritikan. Teguhkan pendirian dan ambil peluang dari kritikan untuk meningkatkan harga diri.


5. Sentiasa teguh iman dan beramal soleh.


6. Perbanyakkan zikir untuk memperoleh ketenangan dan berlapang dada terhadap semua yang berlaku.


7. Redha dengan qada dan qadar dan persiapkan diri menghadapi kemungkinan di luar dugaan.


8. Jangan mengharap terima kasih dari orang lain.


9. Yakinlah jika berlaku musibah, pasti ia punya hikmah. Dengan musibah hati akan bergerak untuk berdoa. Musibah menajamkan nurani dan menguatkan hati.


10. Sesungguhnya selepas kesusahan akan ada kemudahan. Dari masa ke semasa akan ada jalan keluar dari sebarang masalah. Sentiasalah berusaha dan berdoa menghapuskan bencana dan keburukan.


11. Semua yang Allah kurniakan dan yang kita miliki juga lebih baik daripada apa yang dimiliki oleh orang lain. Dari itu berfikirlah dengan tenang tentang nikmat-nikmat Allah lalu bersyukurlah.


12. Ketahuilah jika Allah mencintai suatu golongan atau kaum, maka Dia akan memberi cubaan kepada mereka. Segeralah melakukan kebaikan dan dan tinggalkanlah kealpaan dan membuang masa.


Segeralah wahai pemuda-pemudi harapan!


Bertindak menyahut serua...

Allah tidak akan mengubah kita kepada kejayaan sehingga kita sendiri berusaha mengubahnya!

Wallahu'alam.
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.