Innasholati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi robbil'alamin - Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam.
Lafaz tersebut merupakan sebahagian dari bacaan doa iftitah. ianya berupa ikrar yang diucapkan oleh setiap diri muslim yang menunaikan solat fardhu lima waktu sehari semalam. Secara minima kita melafazkan ikrar ini lima kali dalam sehari. Akan bertambah lagi sekiranya turut dilakukan solat-solat sunat yang lain.
Sedarkah kita apa juga perkataan yang disebut berulangkali akan meninggalkan kesan di jiwa... dan ianya juga memandu jasad melakukan sesuatu seiring yang dilafazkan. Jika direnung kandungan makna dalam lafaz ini - solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanya untuk Allah; ianya memang unggul dan indah. Satu pengakuan dan azam yang sungguh unik, yang dengan izin Allah akan menghasilkan kejayaan sungguh besar! Di dunia dan akhirat.
Bagi diriku sendiri, aktiviti menunaikan solat bermula lama dahulu...sewaktu berusia sekitar sembilan tahun...kira-kiranya tahun 1969. Tetapi cerita di sebalik bagaimana aku mula bersolat agak ganjil...hampir agak ngeri.
Seperti kanak-kanak lain ketika itu, bersolat bagi kanak-kanak perempuan memang agak lemah... Kanak-kanak lelaki waktu itu sepertinya lebih mudah terlihat bersolat kerana mereka mengikuti orang lelaki dewasa solat berjemaah di masjid dan surau.
Pada waktu subuh terutamanya, aku yang berada di bawah jagaan pak cikku sering dimarahi dan dipaksa bangun solat subuh. Lebih rumit lagi disebabkan aku budak perempuan, aku tidak boleh diheret untuk solat ke surau ketika itu. Pendek cerita pak cikku ada caranya sendiri untuk memastikan aku bangun bersolat subuh...
Bila saja mendengar azan subuh aku menarik seluruh selimut menutupi sekujur tubuhku. Pakcik apa lagi naik beranglah dia..."Hei, macam hantu bungkus... nanti bangun kain telekung kamu menerpa dan angkat kamu ke lubang kubur"!
Ya Allah! Apa lagi aku pun bingkas bangun. Mendengar di takutkan dengan hantu kanak-kanak di zamanku memang sungguh takut. Tidak pernah pun melihat dengan sah tentang apa yang disebutkan... tetapi perasaan takut menguasai diri kami kanak-kanak ketika itu. Perkara itu mungkin kesan dari sebutan yang sentiasa diulang-ulang. Pendeknya aku bersegera bangun menunaikan solat ketika itu adalah kerana takut hantu. Bukan kerana tahu Allah yang memerintahkan solat, apatah lagi memahami hakikat solat sebagai 'tiang agama' Islam.
Bagaimana untuk kita hari ini? Sesuaikah lagi cara menakut-nakutkan begitu digunakan dalam mendidik generasi pewaris? Kini belangsung peranan kita pula untuk mencorakkan anak bangsa dengan cara yang menepati fitrah insan. Walaupun kita masih menggunakan kaedah mengulang-ulang perkataan dan perbuatan, namun isi yang disampaikan mestilah tepat dan benar. Supaya barisan pewaris benar-benar matang dan berwibawa tidak pengecut dan menyeleweng.
Pada hakikatnya sepanjang hayat kita, masa kehidupan adalah merupakan modal yang Allah sediakan untuk kita layari hidup ini. Setiap insan secara tabii dilengkapi potensi yang berbentuk 'fujuraha wa taqwaha' - samaada kesesatan/keburukan atau taqwa/kebaikan. Terpulanglah bagi kita untuk melaraskan bersesuaian dengan perintah Allah dari keadaan 'tepuk dada tanya selera' kepada 'ketuk hati tanya iman'. Kita tidak bersalah dalam melakukan anjakkan paradigma, asal saja ianya untuk menepati hakikat ubudiyyatillah- perhambaan kepada Allah.
Mulai saat ini saya berhajat menambahbaikkan amalan saya dan mengajak diri anda semua untuk saling ingat memperingatkan supaya kita sama-sama melakukan amar maaruf nahi munkar. Sepanjang menyusuri jalan-jalan yang telah dilalui..., kita perbaiki ianya supaya generasi pewaris dapat berjalan di jalan yang benar dan diredhai Allah.
0 ulasan:
Catat Ulasan