CINTA UNTUK
SIAPA?
Menemui
hati-hati yang dirahmati dan dilimpahi kasih Ilahi,
Perlu difahami
dan dihayati satu hakikat yang dicurahkan oleh Rabbul 'Izzati ke seluruh
pelusuk alam dan buat semua insan...
Sesungguhnya
CINTA adalah limpahan kasih-sayang YANG MAHA PENCIPTA kepada semua makhluk
CIPTAAN-NYA. Ini juga bermakna CINTA merupakan anugerah ALLAH kepada hamba-Nya
(MANUSIA). Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Thaha ayat 39;
"Dan Aku
telah melimpahkan kepadamu kasih-sayang yang datang daripada-Ku dan supaya kamu
diasuh di bawah pengawasan-Ku."
Ayat di atas
menjelaskan peristiwa ketika Allah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s supaya
memasukkan bayinya ke dalam peti dan dihanyutkan di Sungai Nil. Sehingga sampai
ke istana Firaun yang sangat zalim yang dikenali sebagai musuh Allah. Dia juga
merupakan musuh Nabi Musa a.s. Diiringi dan disusuli kakaknya yang menunjukkan
kepada Asiyah isteri Firaun, siapa yang sesuai menyusui bayi Musa. Semuanya
telah Allah atur begitu rupa menepati maslahat yang baik di sisiNya. Musa
diasuh oleh Asiyah yang beriman, di istana Firaun. Dapat pula disusui oleh ibu
kandungnya. Begitu besar rahmat Allah. Mengatur begitu rapi demi satu
perencanaan besar, untuk tanggungjawab nubuwwah. Bakal menyebar kebenaran bagi
seluruh alam...!
Hakikat Lebih
Awal.
Pada penciptaan
manusia yang pertama lagi; iaitu NABI ADAM a.s, terbukti CINTA itu FITRAH
INSAN. Dikatakan demikian kerana pada mulanya Adam yang Allah ciptakan dan
lantik sebagai khalifah Allah, hidup sendirian. Ketika itu belum ada manusia
lain selain dirinya. Dia berasa kesunyian dalam kemewahan hidup di syurga.
Kemudian Allah menciptakan pula Hawa menjadi teman dan isteri bagi Adam. Mereka
menjadi penghuni syurga buat beberapa ketika. Disebabkan mereka terpedaya
dengan hasutan iblis, maka mereka dicampakkan ke dalam kehidupan dunia!.
Begitulah bermulanya hidup manusia di atas muka bumi ini. Namun mesti difahami,
semuanya telah Allah atur sebaik-baiknya di dalam dakapan KASIH ILAHI lagi
HAKIKI. Supaya dengannya kita sentiasa terpimpin ke arah kesejahteraan hidup di
dunia dan akhirat kelak.
Sudah Jatuh
Cinta?
Sering kita
mendengar orang berkata; TAK KENAL MAKA TAK CINTA.
Kini apabila
kita ketahui bahawa Allah Yang Maha Bijaksana mencipta dan mengatur seluruh isi
alam ini untuk memudahkan kita menikmati limpahan kasihNya, akan terbukalah
jalan untuk kita kenali dengan lebih dekat CINTA ILAHI.
Seterusnya kita
menyedari pula, segala apa yang kita hajatkan datang dari sisiNya. Bukan dari
yang selainNya. Maka akan terbitlah rasa kagum kita terhadap kebesaran dan
keagungan Allah .
Cinta Berputik.
Paduan antara
KENAL dan KAGUM inilah yang menerbitkan sepenuh rasa CINTA TULUS seorang hamba
seiring ketaatan dan kepatuhan kepada Al-Khaliq. Kemudian kesetiaan cinta akan
terbukti dengan melaksanakan amal soleh. Inilah cinta hakiki di atas landasan
kasih Ilahi. Inilah juga piawaian cinta untuk seisi alam. Semuanya
dipersembahkan kepada Rabbul 'Izzati.
Kata Ibnu
Qayyim:
"Tidak ada
yang lebih disukai oleh hati, melainkan suka kepada penciptanya kerana;
* Penciptanya
memelihara dan mentadbir segala urusannya.
* Penciptanya
memberi rezeki.
* Penciptanya
menghidup dan mematikan.
Ibnu Taimiyah
berkata:
"Hati
manusia secara tabie berhajat kepada Allah kerana dua sebab;
1. Untuk
beribadat.
2. Untuk
berserah diri.
Hati tidak akan
jadi baik, bersih, gembira dan tenang selagi belum sepenuhnya beribadah
menyembah Allah dan sepenuh cintanya berpaut kepada Allah." Inilah cinta
pertama dan utama.
Bentuk Sebenar
Cinta Ilahi.
Imam Fakhru
Al-Razi berkata:
"Orang yang
memahami faedah beribadat, akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat
untuk mementingkan orang lain selain Allah."
Rabiatul
Adawiyah berkata:
"Kekasihku
tiada yang menandingi-Nya,
Sekali pun
Kekasih ku tidak dapat kupandang dengan mata,
Namun Dia tetap
hadir bersama degup jantungku.
Dia akan
kusanjung dan kupuja, sekali pun ada orang lain di sampingku.
Jiwa dan hatiku
kupersembahkan hanya untuk-Nya."
Begitulah bentuk
cinta Ilahi yang menguasai hati;
Laksana pohon
dalam hati.
Akarnya adalah
kepatuhan kepada Allah.
Dahannya ialah
makrifatullah.
Rantingnya
takutkan kemurkaan Allah.
Daunnya adalah
malu kepada Allah.
Buahnya ialah
istiqomah.
Air dan bajanya
adalah zikirullah.
Bukti dan
Pengorbanan Cinta.
Apabila tautan
jiwa si pencinta terhadap yang dicintainya telah begitu teguh dan padu, dia
sanggup berkorban dan mengorbankan apa saja yang dimilikinya. Semata-mata
memuaskan penerimaan yang dicintainya. Dengan itu, dirinya sendiri juga akan merasa
bahagia. Begitulah juga halnya bagi setiap diri yang teguh cinta dan
kepatuhannya kepada Allah, dia akan sedaya-upaya berusaha memenuhi perintah
Allah juga menjauhi larangan-Nya.
Hamba Allah yang
taat dan patuh akan perintah-Nya, tidak akan ragu-ragu dalam memenuhi
arahan-arahan berikut;
*
Katakanlah(Muhammad): Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku nescaya Allah akan
mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang." (QS Ali-Imran:31)
* "Tidak
beriman seseorang dari kamu, sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai
daripada orang lain."(HR Bukhari dan Muslim)
Anugerah Kualiti
Cinta.
Semestinya kita
yakini, Allah berlaku benar di dalam janji-Nya. Telah sedaya upaya kita
buktikan ikrar cinta terhadap Allah. Iaitu apa jua bentuk ibadah kita adalah
semata-mata untuk beroleh redha Allah. Maka layaklah kita beroleh anugerah dan
pengiktirafan-Nya;
*
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beraaml soleh, kelak Allah Yang
Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang."(QS
Maryam: 96)
* Dari Abu
Hurairah, r.a Rasulullah SAW bersabda; "Jika Allah mencintai seseorang
hamba, maka Jibril berseru..., Sesungguhnya Allah mencintai Fulan. maka
cintailah dia! Maka seluruh penghuni langit mencintainya. Kemudian dijadikan
orang-orang yang menyambut cintanya di bumi."
* Rasulullah
juga bersabda; "Allah berfirman pada hari qiamat, 'Manakah orang-orang
yang saling mencintai dengan keagungan-Ku? Pada hari ini Aku melindungi mereka
di bawah lindunganKu, pada hari yang tiada lindungan selain perlindungan-Ku."(HR
Muslim)
Begitulah
hasilnya yang akan kita perolehi sekiranya kecintaan kepada Allah kita beri
keutamaan. Segala kebaikan akan mewarnai jalan hidup kita. Semua tahap cinta
yang kita lalui, akan mampu kita realisasikan praktiknya dalam batasan yang
telah Allah tetapkan...
* Cinta ayah-ibu
terhadap anak-anak akan berlangsung sepertimana yang Allah pertanggungjawabkan.
* Cinta anak
terhadap ayah-ibu juga dalam rangka ketaatan yang Allah tetapkan.
* Cinta
suami-isteri tertakluk kepada peraturan-peraturan dan hak yang Allah
perintahkan.
* Cinta sesama
saudara muslim semestinya demi mendapatkan keredhaan Allah.
Doa:
"Ya ALLah!
Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu.
Juga cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cinta-Mu.
Ya Allah!
Jadikan aku mencintai-Mu dengan sepenuh hatiku dan redha kepada-Mu dalam segala
usahaku.
Ya Allah! Setiap
apa ayng aku perolehi dari apa yang aku cintai, jadikanlah ia kekuatan yang
Engkau redhai. Setiap yang Engkau singkirkan daku dari apa yang aku cintai,
jadikanlah ketenangan dalam hatiku.
Ya Allah!
Jadikanlah cinta ku kepada-Mu menguasai seluruh yang aku cintai.
Dengarlah
permohonan hamba-Mu wahai Yang Maha Mendengar. Aamiin."
***