UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

TARIKH ITU DATANG LAGI

Tarikh Itu Datang Lagi...

Kini tiba lagi tarikh 12 Rabiul Awwal, tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad. Satu tarikh yang semestinya sangat menyentuh perasaan kita kerana Allah telah berfiman yang bermaksud;
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, sangat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin”.(QS At-Taubah:128)

Dengan merenungi maksud ayat tersebut, sewajarnya kita segera terdorong untuk menyahut seruan serta mencontohi langkah-langkah baginda dalam menunaikan amanah Allah. Mesti sentiasa diingat kita dipertanggung jawabkan dengan peranan berubudiyah sepanjang hayat;
“Beribadahlah menyembah Tuhanmu hingga datang maut menemuimu”.(QS Al-Hajr: 99)

Seiring peranan tersebut, kita juga diperingatkan untuk sentiasa mencontohi risalah yang dibawa oleh Rasulullah;
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah contoh yang baik bagimu (iaitu) orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari qiamat, dan dia banyak menyebut nama Allah”.(QS Al-Ahzab:21)

Begitu sarat bekalan yang terkandung di sepanjang perjalanan perjuangan Rasulullah yang mesti kita hayati dan amalkan. Ianya juga antara sebaik-baik bekalan yang dapat menjamin kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Ketaatan kita kepada perintah Allah dan kepatuhan kita kepada suruhan Rasul akan memperteguhkan ikatan cinta kita kepada Allah. Fahami maksud firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 31;
“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku nescaya Allah menagasihi dan mengampuni dosa-sosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Putera-puteri Harapan Ummat...!!

Sentiasalah kita menyedari hakikat Allah memperteguhkan kecintaan kita kepada-Nya dan kepada Ar-rasul selagi mana kita bersungguh-sungguh mengikuti sunnah Rasulullah. Kesungguhan itu juga akan membawa kita memperoleh darjat iman yang tinggi serta taqwa yang mendalam. Kita telah sedia maklum taqwa merupakan sebaik-baik bekalan yang sangat kita perlukan demi menggarap redha Ilahi serta kebahagiaan hakiki.

Dengan mengikuti sunnah Rasulullah juga membuktikan kecintaan kita kepada baginda. Serentak dengan itu memperkemaskan lagi bekalan kita sepanjang hayat.
Dari itu mari kita teliti bekalan yang akan kita perolehi dari mengikuti sunnah Rasulullah;

1. Rasulullah sentiasa meletakkan hatinya berhubung dengan Allah dalam semua keadaan. Baginda sentiasa memerhatikan setiap bentuk ciptaan Allah serta memuji-muji nikmat Allah.
Begitulah juga sepatutnya diri kita, sentiasa ingatkan Allah dalam keadaan susah maupun senang. Sentiasa pula bertasbih dan berzikir sebagai tanda syukur dan memuji Allah. Tidak lupa beristigfar untuk memohon keampuan Allah. Rasulullah sendiri sentiasa beristigfar siang dan malam sebagai contoh untuk kita ikuti.

2. Rasulullah sentiasa berdoa dalam semua urusan hidupnya agar sentiasa Allah permudahkan dan diberkati.
Kita juga sepatutnya demikian. Dalam apa jua urusan hidup, bermula sebelum lagi kelahiran seseorang bayi, sudah berdoa memohon jodoh yang baik dan keturunan yang baik. Sehingga akan mengakhiri hayat, tetap berdoa agar mati dalam keadaan redha meredhai.
Begitu juga dalam segala urusan lain, kecil dan besar semuanya diiringi doa. Hinggakan keluar masuk tandas juga disertai doa.

3. Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya berhati-hati dengan tarikan dunia. Tidak terpengaruh dan tidak terpedaya tipuan nafsu dan hasutan syaitan. Sehingga sanggup menganiaya orang lain.
Kita semestinya mempamerkan kepribadian Islam yang unggul dan istimewa. Beserta watak kesopanan yang tidak melukai hati sesiapa pun.

4. Rasulullah memperlihatkan contoh munajat dengan beribadah malam hari. Dalam sunyi malam ketika semua leka dibuai mimpi, kita dianjurkan bangun meraih limpah kurnia Allah.
Begitulah juga semestinya kita seandainya benar mencontohi sunnah baginda. Tidak teragak-agak lagi untuk mempraktikan ketaatan dan kepatuhan. Lantas bersegera merebut rahmat Allah.

5. Rasulullah juga diutus Allah sebagai rahmat untuk seluruh alam. Baginda memperlihatkan watak rahmah dan kasih sayang kepada semua makhluk Allah. Hinggakan berlaku belas terhadap haiwan.
Di sudut ini dalam mencontohi Rasulullah, hendaklah kita berlaku sopan sewaktu berbicara dengan orang lain. Beri perhatian dengan hikmah sewaktu orang lain bertutur dengan kita. Jangan berbisik berdua sewaktu ada orang ketiga sedang memperhatikan. Ini supaya tidak mendukacitakan hati sesiapa jua.

Begitulah Putera-puteri Harapan!

Bersegeralah mulakan langkah mencontohi Rasulullah dalam mempraktikan sunnah. Untuk membicarakan secara terperinci, sunnah nabawi memang luas…namun yang lebih utama untuk dijadikan bekalan sepanjang hayat adalah pelaksanaan secara beransur-ansur serta berterusan. Mulanya sedikit dahulu, tetapi berterusan dan ditingkatkan.

Ingatlah...,
Barangsiapa tidak mengikuti sunnah Rasulullah, dia akan mudah terjerumus ke lembah kelalaian dan kelekaan. Sama seperti hidupnya haiwan sekadar memenuhi keperluan makan dan minum juga desakan hawa nafsu semata-mata.

Oleh itu mari kita perkemaskan lagi langkah kita dengan lebih tekun merujuk sunnah Rasulullah di dalam kitab-kitab hadis. Agar nanti terbit perubahan watak yang baik dalam tingkah laku kita bertepatan dengan matlamat Rasulullah diutus untuk menyempurnakan akhlak.

Kita tangguhkan dahulu dengan lafaz doa;
“Ya Allah! Bagimu segala puji seagung kemulian-Mu dan kebesaran kekuasaanMu. Aku telah rela dengan Allah sebagai Tuhan-ku dan dengan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Maha Suci Engkau ya Allah! Dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu”. Aamiin.


MODEL IBU PEJUANG


MODEL WANITA PEJUANG

Wahai wanita Islam sejati, anda adalah mahaguru kepada alam! Anda madrasah yang pertama dalam pendidikan bangsa. Anda guru yang utama dan pertama bagi golongan cendikiawan penerus tamadun.

Seorang penyair Arab, Hafizh Ibrahim mengungkapkan, "Seorang ibu adalah madrasah, bila anda menyediakannya. Anda bermula membina bangsa yang baik keturunan.Seorang mahaguru kepada guru yang unggul. Berkesan berterusan sejauh ufuk."

Di sinilah bermulanya kebahagiaan yang akan menghiburkan hidup setiap wanita Islam sejati dan bijaksana.

Kehidupan pada pandangan wanita Islam yang bijaksana bukanlah menghabiskan waktu dengan kerja rutin semata-mata. Sesungguhnya. keseluruhan kehidupan adalah melaksanakan tuntutan ibadah. Bermatlamatkan keredaan Allah untuk memperolehi balasan syurga di akhirat kelak.



Sesungguhnya amal ibadat yang paling mulia dan patut diberi kutamaan oleh wanita Muslimah ialah membantu agama Allah dalam realiti kehidupan insan. Wanita Islam sejati sedaya upaya menjuruskan segenap kekuatan dan kelebihan untuk membina nilai mulia dalam keluarga, masyarakat dan negara .

Hakikat inilah menyebabkan wanita Islam sejati yang bergelar ibu memberi tumpuan serius dalam mendidik dan membina jiwa teguh serta semangat juang dalam diri anak mereka. Setiap ibu solehah yang mantap semangat pengorbanannya akan menonjolkan pemikiran secara matang di samping mempamerkan akhlak unggul. Mereka sanggup berkorban untuk menegakkan agama Allah seperti juga pejuang lelaki.

Ini merupakan adat kebiasaan wanita Islam pada zaman awal sewaktu Islam tersebar. Mereka turut serta ke medan perjuangan bersama angkatan Rasulullah. Keadaan ini telah menarik minat anak muda untuk berjuang mempertahankan agama Islam. Ini jelas dilihat dalam sejarah kehidupan al-Khansa dengan kesyahidan empat orang puteranya.


Sebelum memeluk Islam, al-Khansa' bt. Amru al-Haris memang dikenali sebagai wanita cantik yang pintar, dan pandai bersyair. Hasil perkahwinannya dengan Rahawah bin Abd Aziz al Sulaimi. Mereka dikurniakan empat anak lelaki yang menjadi kebanggaan kabilah Bani Sulaim. Sesudah memeluk Islam mereka menjadi bahan perbualan dan lambang kebanggaan masyarakat Arab.

Al Khansa' memenuhi tutuntan Islam dengan berjuang meninggalkan adat jahiliyah. Beliau bersungguh-sungguh membimbing anak-anaknya dengan ajaran Islam dan menanamkan keimanan yang teguh. Dia telah menjadi contoh yang jelas sebagai ibu mukminah yang gagah berani. Empat puteranya dipupuk dengan kehalusan syairnya hingga muncul sebagai pejuang yang tangkas. Sewaktu menyertai pertempuran al-Qadisiah, beliau mengumpulkan semua anaknya dan melafazkan kata-kata sebagai pembakar semangat.

"Wahai anak-anakku, kamu telah masuk Islam dengan kerelaan sendiri. Kemudian berhijrah juga dengan kerelaan sendiri. Kamu telah maklum apa yang Allah sediakan untuk kaum Muslimin yang berjuang demi agamanya. Yakinilah, janji Allah itu pasti...balasan syurga dan pahala yang besar. Ketahuilah kampung yang kekal (Akhirat) lebih baik dari kampung yang binasa (dunia). Bilamana esok terjadi perang, maka berangkatlah memerangi musuh! Mohonlah pertolongan Allah! Dalam kecamuk perang, maju ke hadapan. Dengan izin Allah, kamu akan berjaya sama ada membawa pulang rampasan perang ataupun memperolehi syahid."

Semua puteranya lantas menyahut seruan perjuangan itu dengan bekalan dan azimat harapan seorang ibu yang sentiasa terbayang keredhaan Ilahi. Anak yang pertama membuka
langkah juang berkobar-kobar dan bersyair mengingatkan pesan ibunya;
"Wahai saudara-saudaraku, ingatlah pesanan ibu tua yang banyak pengalaman.
Segeralah masuk memerangi golongan yang takut mati. Kelak kamu beroleh keberkatan dan hidup penuh rahmat atau syahid yang beruntung abadi."

Setelah berjuang bermati-matian, anak pertama gugur memenuhi apa yang diidamkannya. Kegigihan begitu rupa telah memberi kesan semangat membara pada diri anak yang kedua lalu berseru;
"Demi Allah kita tidak akan melanggar kata-kata ibu.
Harapannya wajib ditaati dengan rela hati. Segeralah merebut kemenangan hakiki."

Putera kedua juga bertempur dengan bersungguh-sungguh seperti abangnya hingga mendapat syahid. Kesyahidan kedua-dua abangnya tidak melemahkan semangat putera ketiga. Malah semangatnya lebih bersemarak, dengan seruan yang menggegarkan jiwa;
"Begitu ibu tua kita sentiasa kuat azam,
Aku bukan anaknya, jika takut mati.
Ayuh dapatkan kegembiraan hati,
Berani menempuh mati yang mewarisi kehidupan abadi."

Selepas melafazkan kata-kata itu, putera ketiga bertarung ibarat singa hingga gugur syahid. Putera keempat pula mara dengan segenap kekuatan jiwa meyempurnakan perjuangan ibu yang bercita-cita tinggi. Dia juga memperolehi syahid. Akhirnya Peperangan Al-Qadisiyah dimenangi tentera Muslimin. Begitulah kehebatan semangat juang yang ditiupkan oleh ibu mukminah sejati.

Setelah pertempuran reda, ramai kaum muslimin yang datang menyampaikan ucapan simpati kepada Al-Khansa'. Al-Khansa' menerima berita itu dengan tenang, seolah-olah berada di puncak kebahagian yang dihajati; "Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan syahidnya anak-anakku. Agar Dia akan mengumpulkanku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dilimpahi rahmat selama-lamanya."

Demikianlah Al-Khansa' dengan peranannya sebagai ibu yang mampu membina barisan pejuang pada jalan Allah. Dia benar-benar redha dan terhibur dengan kesyahidan empat puteranya yang sangat dikasihi. Bagaimana pula dengan peranan anda..., wahai wanita Islam sejati? Untuk menangani masalah remaja hari ini...

Ingatlah dan sedarlah!
Wahai wanita Islam yang bijaksana...,
Anda berperanan dan perlu berusaha untuk mrngenali jiwa anak anda. Mendalami perasaan dan kecenderungan mereka. Tanamkan dalam jiwa mereka keluhuran akhlak, agar matangnya mereka dalam peribadi tinggi. Curahkan limpahan kasih sayang dengan ketulusan hati. Ikuti panduan dan petunjuk Islam dalam menghadapi perlakuan yang tidak disangka-sangka.
Dengan mata terbuka, awasi pergaulan dan aktiviti mereka. Perhatikan apa yang mereka baca dan tulis. Siapa kawan mereka dan ke mana mereka pergi pada waktu lapang. Sentiasalah berusaha menanamkan kebiasaan melakukan kebaikan. Menepati janji dan menghormati orang lain. Awas.., anda mesti menjadi contoh kepada mereka. Yakinlah Allah sentiasa menolong hamba-Nya yang menolong Islam. Selamat Berjuang!

KINI MUNCUL 2013

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan-ku.

Tiada tuhan selain Engkau.

Engkaulah yang menciptakan segalanya dan aku adalah hamba-Mu.

Aku berada dalam perjanjian dengan-Mu dan ikrar kepada-Mu yang akan aku laksanakan dengan segala kemampuanku.

Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada sebarang kejahatan yang telah aku lakukan.

Aku akui dengan sebenar-benarnya segala nikmat-Mu ke atasku.

Aku juga mengakui dosa-dosa terhadap-Mu.

Maka ampuni aku kerana sesungguhnya tiada yang boleh mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau, ya Allah."