Pemuda-pemudi Islam harapan!
Kalianlah pelapis, pewaris dan bakal pemimpin masa hadapan… bagaimana semua ini akan berlangsung secara yang sebaik-baiknya?
Tidak dapat dinafikan kewujudan kalian, bukanlah secara tiba-tiba. Terdahulunya dimulai dengan kewujudan individu muslim. Kemudian muncul gabungan pemuda dan pemudi, membentuk keluarga muslim. Wujudlah kalian selaku pelapis. Nantinya gabungan angkatan kalian akan pula membentuk masyarakat Islam selaku pewaris dan pendokong amar makruf nahi mungkar. Namun, tidak juga dapat dinafikan, perlu ada ikatan kerjasama antara ketiga-tiga unit tersebut. Unit yang dimaksudkan adalah individu, keluarga dan masyarakat.
Lebih mudah jika ketiga-tiga unit itu disebut sebagai ayah, ibu dan anak. Ketiga-tiga anggota berkenaan mesti diikat dengan iman. Dengan ini akan mampu difokuskan kepada mencari keredhaan Allah. Setiap aktiviti kekeluargaan pastinya dalam agenda menegakkan hukum Allah. Di sinilah bermulanya langkah pembentukan pewaris harapan.
Apabila iman yang menjadi asas pembinaan, tonggak yang berdiri akan teguh dan kukuh. Bapa yang menjadi ketua keluarga dibatasi takutkan Allah. Begitu juga isteri dan ibu dalam melaksanakan ketaatan juga peranannya, dikawal oleh rasa takutkan Allah. Seterusnya anak pula dalam ketaatannya terhadap ibu bapa turut dikawal oleh perasaan takutkan Allah. Dengan itu secara keseluruhannya, peranan ketiga-tiga pihak selaku pemimpin, pengurus dan pengikut diikat dengan iman dan perhambaan kepada Allah.
Penelitian yang kita buat ini secara tidak langsung turut menjelaskan sistem kekeluargaan dalam Islam. Di sini jugalah letaknya asas kebahagiaan sesebuah rumah tangga dan keluarga muslim. Setiap hati anggota keluarga yang dihubungkan kepada Allah akan menjurus kepada perasaan tenteram yang luar biasa. Kepuasan akan menyelinap ke seluruh jiwa. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah, “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Ar-Raad: 28).
Seluruh anggota keluarga yang sama-sama mengingati Allah akan mengamalkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni. Jika iman yang menjadi asas pembentukan sesebuah keluarga, maka mudahlah pangkal itu dirujuk semula apabila berlaku sebarang pergeseran. Bak kata pepatah “sesat di hujung jalan ,pulang ke pangkal jalan.” Ertinya bilamana berlaku sebarang kekusutan, akan mudah diuraikan apabila anggota keluarga berkaitan kembali menyemak pangkal penyatuan mereka iaitu keimanan kepada Allah. Hati-hati yang bersama mengingati Allah akan mudah disatukan.
Sebaliknya hati-hati yang terikat dengan sebab-sebab lain, keadaannya kurang mantap. Mudah berlaku pergeseran dan sukar didamaikan. Jika pun mampu berdamai, sifatnya hanya sementara. Pertembungan sering terjadi kerana setiap diri punya kepentingan tersendiri. Justeru itu ikatan iman dan taqwa merupakan simpulan yang teguh bagi mengikat setiap unit keluarga, agar kesejahteraan berkekalan.
Setiap kali kita singkap sejarah silam pada zaman kegemilangan Islam, terpapar contoh-contoh unik. Mari kita renungi cebisan daripada kisah kehidupan Sayidatina Fatimah binti Rasulullah.
Suatu hari Sayidatina Fatimah mendatangi ayahandanya mengadukan kesakitan dan kepenatannya mengurus rumah tangga, hingga tidak tidur lena. Beliau berharap ayahandanya akan berkenan memberinya pembantu rumah bagi meringankan beban. Sebaliknya, Rasulullah SAW memberikan suatu kaedah yang lebih tepat untuk menangani ketegangan yang dihadapi oleh Sayidatina Fatimah. Kepada Fatimah, baginda ajarkan membaca zikir berikut: Subhannallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakhbar 33 kali, sebelum tidur. Dengan mengamalkan zikir ini, dapat menghilangkan tekanan perasaan serta beroleh semangat ketaqwaan.
Suami Fatimah r.a, Sayidina Ali r.a turut mengamalkan zikir tersebut. Beliau mengakui, mereka tidak lagi mengalami keresahan selepas itu. Begitulah hakikatnya kekuatan iman merupakan sumber kebahagiaan sejati. Juga dengannya terbentuk dan lahir barisan pewaris harapan!
Wahai pemuda-pemudi Islam sejati!
Sama-samalah kita yakini jalan yang Allah tunjuki di dalam ajaran Islam bersifat sempurna. Hanya kepada Allah sajalah tempat kita meletakkan sepenuh pengharapan.
Perkara ini sangat wajar menjadi asas keteguhan hati kalian. Apabila hakikat iman dan takwa menjadi asas pendirian kita, dalam apa juga tindakan yang kita ambil, sentiasa disempadani dan dibatasi nilai-nilai keimanan. Kita sedia maklum, tangan yang menggoncang buaian itulah juga yang akan menggegar dunia!
Justeru itu,
Sentiasalah menyedari peranan besar kalian dalam menyediakan barisan pewaris umat yang Allah redhai. Kini semestinya dimulai daripada diri kalian dahulu, menerapkan warna-warna keunikan Islam yang telah dilakarkan dari zaman kegemilangan yang terdahulu. Seterusnya, terapkan semula warna-warna indah taqwa kepada generasi pewaris berikutnya. Juga pastikan kesinambungan yang berterusan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.
Kesimpulannya, kesinambungan generasi pewaris mesti dipastikan berterusan hingga berakhirnya kehiduapan di dunia ini. Di mana nanti kita semua berhak beroleh balasan syurga Allah!