UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

KEINDAHAN TAKWA


Wahai Setiap Diri Yang Sentiasa Memerhati dan Diperhatikan!

Mari sama-sama kita merenungi hakikat besar ini...


· Darjat manusia selaku hamba Allah akan tertingkat sekiranya takwa memenuhi jiwa, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”. (QS Al-Hujuraat:13)

· Dengan takwa, manusia beroleh perisai paling kebal dan petunjuk paling jelas bagi menangkis berbagai godaan dan bisikan syaitan, “Sesungguhnya orang yang bertakwa itu apabila ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (QS Al-A’raaf:201)

· Takwa itu sendiri mendapat pengiktirafan mutlak dan tinggi di sisi Allah,

“Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”. (QS Al-Baqarah: 197)

MENGENALI TAKWA

Nabi Muhammad pernah menjelaskan kepada sahabat-sahabat baginda;

Tidak ada kelebihan seorang Arab terhadap seorang Arab yang lain, kecuali takwanya. Begitu juga tidak ada kelebihan orang yang berkulit putih ke atas orang yang berkulit hitam, juga kerana takwanya.

Ciri-ciri Takwa:

1. Takwa adalah hasil dari keimanan yang kukuh dan mendalam yang dipupuk dengan rasa pengawasan Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

2. Takwa menghindarkan setiap mukmin dari melakukan larangan Allah, juga mendorong terlaksananya segala perintah yang dituntut.

3. Takwa dapat mencegah diri mukmin dari azab Allah dengan sentiasa berbuat amal soleh. Juga khuatir terhadap kemurkaan Allah, disamping sentiasa mengharap rahmat dan keredhaan-Nya.

4. Paling penting dalam persoalan takwa adalah bagaimana dapat kita bina takwa dalam diri secara praktik?

Langkah Mempraktikkan Takwa:

1. Mu’ahadah - mengingati perjanjian.
Seseorang mukmin perlu selalu berkhalwat (menyendiri/hanya antara dia dan Allah,) untuk menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah. Ingatlah setiap hari paling minima kita berjanji sebanyak 17 kali dalam solat-solat fardhu sebanyak lima waktu, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hannya untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

2. Muraqabatullah - merasakan pengawasan Allah.
Merasakan Allah sentiasa bersama, melihat dan mengawasi setiap pergerakan hamba-hamba-Nya dalam sembunyi maupun terang-terangan. Oleh itu, setiap kali seorang mukmin ingin melakukan apa jua perkara mestilah dipastikan samaada perlakuan itu semata-mata kerana Allah, atau sebaliknya kerana kepentingan pribadi dan memperoleh pujian manusia.

3. Muhasabah - koreksi diri.
Setiap mukmin hendaklah menghisab/menghitung selepas selesai mengerjakan apa jua amal perbuatan, samaada perlakuannya semata-mata untuk beroleh reda Allah atau dikuasai rasa riya’dan takabbur.

4. Mu’aqabah - menebus dan membersihkan kesalahan.
Setiap kali diri mukmin tergelincir melakukan kesalahan, bersegeralah pula memperbaiki diri dan menebus kesilapan. Usah dibiarkan bertompoknya kesalahan demi kesalahan hingga terperangkap dalam dosa yang menyukarkannya membersihkan maruah diri.

5. Mujahadah - bersungguh-sungguh berjuang untuk beroleh keredaan Allah, terutama melawan hawa nafsu sendiri.
Bilamana seseorang mukmin dikuasai kemalasan, suka istirehat, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab dan perintah Allah tepat pada waktunya, mestilah memaksa diri melakukan segala bentuk amalan lebih banyak dari sebelumnya.

Keistimewaan Orang-orang Yang Bertakwa:

• Diberikan petunjuk yang membezakan antara yang benar dan salah, juga diampuni dosa-dosa.
• Diberikan rahmat dan petunjuk(hidayah).
• Diberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
• Dimudahkan oleh Allah segala urusan.
• Ditutupi Allah segala kesalahannya dan dilipatgandakan pahala.
• Sentiasa beroleh barakah dan ketenangan dalam hidup.

Menurut Khalifah Umar Abdul Aziz;

“Bukanlah takwa itu sekadar melakukan solat sunat di malam hari dan berpuasa sepanjang siang hari. Atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi takwa ialah melaksanakan segala yang diwajibkan-Nya serentak dengan meninggalkan larangan-Nya. Jika diiringi amal-amal soleh yang lain..., maka ia akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.”

Senarai Semak Persiapan Ramadhan

1. Niatkan rasa sukacita dalam hati dengan kedatangan bulan Ramadhan. “Barangsiapa yang hatinya merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan, maka Allah haramkan jasadnya daripada masuk neraka.”(Al-Hadis)

2. Memohon maaf kepada kedua ibu bapa, suami atau isteri, anak, saudara dan para sahabat, juga kaum kerabat. Lupakan segala kesalahan mereka yang sentiasa kita hubungi dan terdekat dengan kita.

3. Bersihkan pakaian takwa kita dari hasad-dengki dan iri hati. Juga tamak haloba, sombong, berdendam, mencela dan berbohong sebelum, semasa dan selepas menjalani ibadah berpuasa.

4. Niatkan dalam hati, akan melaksanakan ibadah puasa dengan kesungguhan dan sepenuh tenaga di samping berbagai ibadah sunat yang lain sepanjang Ramadhan.

5. Tingkatkan iman dan takwa dengan menghadiri majlis Ilmu yang disusun berhampiran kediaman sepanjang Ramadhan.

6. Perbanyakkan membaca dan memahami al-Quran al-Karim. Sedapatnya nmengkhatam sekali sepanjang Ramadhan dan diteruskan lagi sesudah berlalu Ramadhan.

7. Dalam melakukan aktiviti lazim harian, jauhkan perbuatan yang mendatangkan dosa, seumpama mengumpat dan apa jua perbuatan sia-sia yang mengurangi pahala puasa.

8. Tingkatkan amar makruf nahi mungkar, saling nasihat menasihati dan perbanyakkan bersabar.

9. Usahakan sedapatnya banyak melakukan ibadah sunat, bermunajat dan qiyamulail sepanajng 10 hari terakhir Ramadhan.

10. Ingatlah, bukan pakaian baru yang cantik yang Allah beri perhatian bagi menamatkan Ramadhan; tetapi Allah memandang kepada pakaian takwa hasil dari kebagusan ibadah puasa yang kita laksanakan.



HATI BERUNTUNG


Pemuda-pemudi harapan!

Adakah hati kalian menepati sifat hati yang beruntung atau sebaliknya?

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”

(QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,

  • menuju jalan kebaikan
  • menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Anak-anakku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah,

Sentiasalah menyedari bahawa orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.

Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu.

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69,

“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Renungi pula syair Arab berikut:

Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,

engkau digelar orang tak berakal dan tidak dihormati,

bila kau turuti nafsu pada setiap ajakan,

ia membawamu kepada keburukan yang haram!

Hawa nafsu itu musuh bagimu,

meingkarinya adalah teman.

Ingatlah anak-anakku,

Pada hakikatnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.

Hawa nafsu jika dibiarkan tidak dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:

  • sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan kerendahan hati dan suara perlahan.
  • sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati menjadi lembut dan patuh.
  • sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya dilakukan berjemaah.
  • sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan solat sunat rawatib.
  • sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Renungi dengan teliti maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,

“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan balasan syurga untuk kehidupan di akhirat. Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.

Tanda-tanda hati yang bersih dan lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:

  • sentiasa mengingati Allah SWT dengan zikrullah.
  • kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
  • hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi larangan-Nya serta menghindari perkara sia-sia.
  • bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
  • tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.

Hendaklah menyakini, setiap sesuatu itu mempunyai pembersihnya. Pembersih hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang masa dan diberi keutamaan.