UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SIAPA IKHLAS?


Siapa Ikhlas?

Menjelaskan lebih lanjut sifat ikhlas dalam setiap tindakan, cuba renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis tazkirah. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?” Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang keterlaluan bagi mereka.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang.

Cuma seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya.

Apakah yang hebat pada diri pemuda ini yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke

syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap redha Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian.

Ikhlas itu begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih daripada segala kepentingan peribadi. Juga dari riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Dapatlah digambarkan dengan jelas suasana subur yang memudahkan lahirnya keadaan-keadaan berikut,

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Pemuda-pemudi harapan!

Sedarilah sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu amalan diterima Allah dan layak mendapat keredhaan Allah. Akhirnya nanti memastikan tempat kembali di akhirat kelak. Syurga ataupun neraka.

Kata Fudhail bin ‘Iyadh:

Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’,

beramal kerana manusia adalah syirik,

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.

Ikhlaskan hati kalian dalam mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta. Ikhlaslah dalam menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat. Juga ikhlas menerima Muhammad SAW sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam menyampai risalah Islam. Ikhlaslah mengambil al-quran sebagai pedoman hidup.

Seterusnya ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Ikhlaslah berubudiyah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah. Mulakan setiap langkah menuju keredhaan Allah daripada diri kalian sendiri. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan seangkatan di atas landasan kebenaran Islam. Terus maju berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Kemenangan dalam peperangan ini bakal menentukan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita tangguhkan dulu dengan doa:

“Wahai Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jadikanlah kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Jadikanlah juga dari keturunan kami orang-orang Islam yang berserah diri kepada-Mu. Tunjukilah kami cara beribadat dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau yang Maha Menerima taubat lagi Maha Mengasihani.” Amin.

ISTIMEWA MAAL HIJRAH 1432

BERGERAKLAH! BINA CITA-CITA BARU

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Taufiq, hidayah, rahmat dan keberkatan sangat-sangat diharapkan, moga sentiasa Allah limpahkan. Kita berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada gangguan syaitan yang terkutuk. Kita yakini Allah sebaik-baik pelindung bagi orang-orang beriman. Dia mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya iman.

Semoga Allah merestui junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda sebagaimana Allah merestui Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Allah sangat berhak dipuji dan diagungkan.

Mensyukuri Kebahagiaan Hakiki

Anak-anakku yang ibu rindui dan kasihi dengan kasihsayang Islam,

Bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan hayat yang sihat. Kesyukuran yang utama dan sentiasa mesti kita rasai adalah mensyukuri nikmat berada dalam agama Islam. Jika sebaliknya yang berlaku…Nauzubillah! Kita di dalam kawah kesesatan dan kehancuran! Tidakkah kalian ngeri, bila heboh diperkatakan dewasa ini…golongan remaja diancam gejala berbahaya iaitu murtad dan menukar agama. Astaghfirullah!.

“La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazh zhalimin”- Tiada Ilah (Tuhan yang disembah) yang hak selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” (QS Al-Anbiya’: 87)

Ketahuilah anak-anakku, gejala tersebut berlaku disebabkan insan muslim sudah jauh terpesong dari hakikat Islam dan iman. Kabur tentang ikatan dan hubungannya dengan Allah rabbul ‘alamin. Juga keliru dalam memilih jalan hidup yang telah dicontohkan oleh Ar-Rasul SAW. Bagi meluruskan pegangan kalian, mari kita teliti ke dalam diri sendiri.

Ingatlah kembali gambaran sewaktu kecil kalian. Kanak-kanak yang baru lahir tidak mengetahui sesuatu apapun, kemudian Allah bekalkan dengan pendengaran, penglihatan dan akal. Semua persediaan ini sesuai dengan keperluannya dalam meneruskan kehidupan.

Hayati firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 78: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati supaya kamu bersyukur.”

Seterusnya anak-anakku,

Bayangkan seandainya kanak-kanak yang dimaksudkan hilang pendengaran, sudah tentu dia akan mengalami kesukaran dalam hidupnya. Dia akan kurang pengetahuan dan tidak boleh bercakap kerana tidak mendengar sebarang bunyi. Sukar juga untuk kita menyampaikan maklumat kepadanya dengan bahasa isyarat.

Manakala kanak-kanak yang hilang penglihatan pula, dia dapat menggunakan pendengaran untuk belajar bercakap. Namun tidak dapat mengetahui bentuk atau warna sesuatu benda. Lebih bermasalah lagi kanak-kanak yang hilang akal atau terencat akal. Sepanjang hidupnya menjadi kelam.

Pemuda-pemudi Islam yang sentiasa berfikir ,

Bagaimana pula hal keadaan kanak-kanak yang hilang ketiga-tiga persediaan hidupnya. Hilang pendengaran, penglihatan dan akal?

Ya…pasti hidupnya sangat susah. Tidak ada apa yang dapat diketahui dan tidak ada apa yang dapat disampaikan. Seolah-olah terputus dari hakikat kehidupan sebenar. Di samping itu, seiring nikmat dan kebahagiaan yang besar melalui persediaan hidup yang Allah anugerahkan, kita juga ada tanggungjawab besar iaitu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

Berbalik kepada persoalan orang yang hilang nikmat hidup secara fizikal, kita cuba pula fikirkan…bagaimana jika hilang nikmat hidup berbentuk kejiwaan? Dengan lain perkataan, hilang perasaan di hati dan hatinya tidak dapat merasai hakikat kebenaran. Sudah tentu keadaannya akan menjadi lebih buruk. Perhatikan dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Al-A’raf, ayat 179,

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda) kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Begitulah anak-anakku, dengan pengamatan ini ibu berharap kalian dapat menilai betapa sebesarnya setiap nikmat yang Allah sediakan. Terutamanya nikmat pancaindera yang sepatutnya digunakan untuk mengenali Allah dan menghambakan diri kepada-Nya.

Ingatlah anak-anakku, sekurang-kurangnya darjat syukur yang mesti ada pada kita adalah untuk taat kepada Allah dan serentak dengan itu menjauhi maksiat. Sepertimana maksud firman Allah dalam surah Al-Isra’, ayat 36, “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu dipertanggungjawabkan di sisi Allah.”

Allah tidak sedikit pun membebani hamba-hamba-Nya dengan tanggungjawab yang diberi. Sesungguhnya semua peranan yang perlu dilaksanakan sesuai dan setara dengan keupayaan yang Allah anugerahkan. Ketahuilah modal utama kehidupan kalian adalah segala anugerah tersebut yang berupa keupayaan pancaindera, kesihatan jasmani dan rohani juga kebebasan akal fikiran. Semua ini begitu tinggi nilainya sehingga tidak dapat dibayar dengan kebendaan. Hanya kita yang kurang menghitung apa yang telah diberikan Allah kepada kita. Keasyikan menyebut perkara-perkara yang tidak diberi kepada kita menjerumuskan kita untuk mengkufuri segala nikmat yang Allah anugerahkan. Seandainya kita sentiasa berfikir dan menggunakan akal, akan terlihatlah bahawa bumi dan langit diciptakan untuk memudahkan kita beribadah. Ayuh! Mari kita mulakan sekarang untuk menggunakan sebaik-baiknya setiap bekalan yang tersedia untuk beramal soleh.

wallahu'alam.