UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

5 SEBELUM 5




Salam ukhwah dan mahabbah yang indah,
Untuk semua remaja Muslim di seluruh pelusuk alam.
Sebagai remaja Muslim yang juga merupakan aset terbesar ummah,


Perlu sentiasa menyedari hakikat besar yang Allah tentukan seperti maksud sabda Rasulullah SAW;

"Setiap hamba pada hari qiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara:

*Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?
*Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?
*Tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan bagaimana dia membelanjakannya?
*Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?" (HR Muaz bin Jabal r.a)

Begitulah soal-siasat yang akan diajukan kepada semua manusia pada hari qiamat nanti. Tentang umur yang telah dihabiskannya di dunia, khusus ketika sedang meningkat dewasa. Umur hampir dewasa(remaja) sangat berpotensi berbanding umur kanak-kanak dan umur orang tua yang uzur.

Remaja Muslim yang sepenuh masanya menuntut ilmu,
Semestinya berhati-hati menguruskan masa. Tidak boleh membiarkan masa berlalu dengan sia-sia sehingga beroleh kemurkaan Allah. Hayatilah maksud hadis Rasulullah SAW;

"Rebutlah(pergunakan) lima waktu, sebelum datang lima waktu yang lain..."
*Masa hidup sebelum datang kematian.
*Masa sihat sebelum kena penyakit.
*Masa lapang sebelum dipenuhi kesibukan.
*Masa muda sebelum tua.
*Masa kaya sebelum miskin."

Masa begitu pantas berlalu...Pada saat gembira masa dirasakan begitu cepat meninggalkan kita. Sewaktu sedih , masa dirasa terlalu lambat bergerak. Namun pada hakikat sebenarnya, apabila ajal tiba...,usia yang panjang dirasakan bagai sekelip mata. Dari itu usahlah kita terlalu lalai dengan kehidupn dunia. Setiap detik mestilah digunakan untuk memperolehi keredhaan Allah.

Kesihatan tubuh badan kita juga di dalam ketentuan Allah, di luar jangkaan kita. Selagi badan muda dan sihat, jangan dipersiakan dengan perbuatan terlarang serta meninggalkan perintah Allah. Selalulah berdoa agar Allah kurniakan kesihatan yang baik: "Ya Allah sihatkanlah badanku, sihatkan pendengaranku dan sihatkan penglihatanku."

Sedarilah juga Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai Allah dari mukmin yang lemah. Sewajarnya kita sentiasa memelihara kesihatan jasad, supaya tidak menyesal kerana terlantar sakit.

Seterusnya masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi dan tidak dapat diganti. Oleh itu masa disifatkan sebagai kehidupan. Tiada erti hidup manusia selain daripada masa-masa yang dia beramal hingga ke denyutan nadi terakhir! Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud;

"Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia kabur mata daripada mengawasinya, iaitu masa sihat dan masa lapang."

Dimaksudkan dengan kelapangan masa, iaitu masa-masa yang belum disibukkan dengan bebanan masaalah keluarga, runtunan anak-pinak dan peperangan atau mala-petaka.

Jika di waktu muda belia tidak dibiasakan mentaati Allah dan tekun beribadah, maka nanti apabila dirundung beban keluarga dan runtutan masalah anak-pinak...kita mungkin akan mengambil jalan dangkal dengan terus mengabaikan perintah Allah.

Kelapangan masa dan kesihatan bagaikan modal yang mebolehkan setiap orang yang sedar untuk beramal meraih redha Ilahi. Merekalah yang tergolong orang-orang yang beruntung. Kelapangan mungkin akan menjadi mala-petaka sekiranya tidak diisi dengan perkara bermanfaat. Sekali-kali tidak sepatutnya kita menangguhkan tanggungjawab kerana;


Pekerjaan hari ini jika ditangguhkan ke esok,
Kerana malas,
Bukan sibuk...,
Siapa tahu di hari esok...
Mungkin ajal datang menjengok.

Untuk lebih menyedari hakikat kepantasan peredaran masa, sangat perlu kita renungi dan teliti beberapa perumpamaan yang Allah bentangkan sentiasa berhampiran dengan diri kita;
"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah. Kemudian Dia menjadikan kamu sesudah keadaan lemah itu kuat, kemudian Dia menjadikan kamu sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa."(QS Ar-Rum:54)

Di sisi Allah, usia muda yang kita miliki hanya sebentar...umpama beberapa hari sahaja. Saban hari berlalu bererti dunia kian kita tinggalkan dan akhirnya kubur jua yang kian didatangi. Tubuh yang gagah segak sewaktu muda setiap hari beransur-ansur lemah dan uzur. Sehingga terlalu sedikit ibadah yang mampu kita lakukan. Tulang semakin reput dan mata semakin rabun.

Demikianlah perumpamaan yang telah Allah tetapkan mengenai umur dan kehidupan kita di dunia ini. Kita diberi kehidupan beserta ujian bagaimana mengisinya. Kita tidak boleh merungut kenapa kita dijadikan, kemudian diuji. Semua itu adalah tanda kekuasaan Allah. Dia bersifat iradah, berkehendak. Dia berhak untuk apa saja ke atas diri kita. Dia Al-Khaliq, kita hambaNya. Pergunakanlah segala nikmat berupa kemewahan, kelapangan masa dan kesihatan untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah sebelum semuanya ditarik balik oleh Allah SWT.


Wallahu'alam.

BERSIHKAN HATI DAN LIDAH


Buat semua yang dikasihi kerana Allah,

Limpah rahmat, kesejahteraan dan hidayah Allah sentiasa meliputi hidup kita, selagimana perjalanan hidup kita di landasan takwa dan matlamat masa depan berpaksikan iman.

Begitu juga dengan kesihatan jiwa kita, asalnya Allah sediakan keadaan yang tenang dan bersih kepada hati..., bilamana kemudian pancaindera membawa perkhabaran kepada hati yang membuatkan ia tercemar...di sini bermula peranan kita untuk membersihkannya.


Telah kita jalani latihan sebulan menambah bekalan iman yang meningkatkan takwa, telah pula beroleh hadiah eid Mubarak( aidul fitri)...maka kini kita kembali kepada fitrah tangungjawab berterusan sepanjang hayat...selaku hamba dan khalifah Allah.

maka apakah yang sewajarnya kita lakukan?...


1. Bersungguh-sungguh menyempurnakan akhlak kita supaya sentiasa menepati tindakan dan perilaku sebagai khair-al-nas, iaitu sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain.

Semestinya selaras dengan sabda Rasulullah SAW;

"Takutlah kepada Allah di mana jua kamu berada. Gantikanlah keburukan dengan kebaikan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak mulia."


2. Tidak mencemari tingkah laku dengan penipuan, penyelewengan dan putar belit. Lebih-lebih lagi sebarang perbuatan maksiat.

Rasulullah SAW ada bersabda;

"Akhlak yang buruk boleh merosakkan amal sebagaimana cuka merosakkan susu."


3. Tidak berprasangka sesama muslim. Melontarkan saudara muslim dengan sangkaan buruk akan menjerumuskan kalian kepada dosa kerana telah menggambarkan berbagai kemungkinan tidak pasti.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW;

"Hati-hatilah kamu (jauhi) sangkaan, sesungguhnya sangkaan itu adalah kata-kata paling dusta."


4. Tidak sepatutnya mendedahkan keaiban sesama muslim dengan mengumpatnya. Sedarlah sesuatu rahsia peribadi hanya diketahui dengan benar oleh yang empunya diri. Hanya Allah saja yang berhak mendedahkannya.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 12;

"Hai orang -orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain. Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Apakah kamu suka memakan daging saudaranya yang menjadi bangkai. Tentulah kamu sekalian benci memakannya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."


5. Hati-hati pada setiap kalimah yang diucapkan atau setiap butir tuturkata yang lahir dari lidah kita, semestinya bebas dari unsur yang menyinggung perasaan orang lain. Juga usah hiraukan khabar angin.


SEDARILAH SANGKAAN YANG DIIRINGI UMPATAN AKAN PULA MENJADI HASUTAN YANG MENYEBARKAN KEBURUKAN, KEJAHATAN DAN KEROSAKAN DALAM MASYARAKAT. IA BOLEH MEMUTUSKAN IKATAN KASIH SAYANG DAN KEMESRAAN.


Fahami sabda Rasulullah SAW;

"Sebaik-baik hamba Allah ialah orang yang apabila dilihat, mereka mengingatkan kepada Allah.

Dan seburuk-buruk hamba Allah ialah orang yang berjalan menyebarkan hasutan hingga memecahkan orang yang saling berkasih sayang. Merekalah orang yang melampau yang mencari kesusahan untuk orang yang tidak bersalah."


Wahai diriku dan setiap diri yang dikasihi...

Carilah penawar untuk menghindari gejala hati yang tidak sihat. Yakinlah segala keburukan akhlak dan kejahatan hati yang tidak sihat dapat dipulihkan dengan ilmu, iman dan amalan.


Ada dua cara untuk merawat gejala hati tidak sihat itu;


Pertama : Rawatan segera.

Dengan jelas megetahui bahawa mengumpat dan menghasut akan mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah SWT dan menghapuskan semua kebajikan. Kebajikan itu akan diberi kepada orang yang diumpat. Manakala keburukan diri sendiri yang sedia ada ditambah lagi dengan keburukan orang lain. Kemudian akan berhadapan pula dengan kemurkaan Allah yang boleh menjerumuskan ke dalam azab neraka. Nauzubillah!

Dengan terbayang balasan buruk begini...,akan mematahkan langkah daripada akhlak buruk berkenaan.


Kedua: Rawatan khusus dan terperinci.

*Memperbanyak zikir mengingati dan memuji Allah.(tasbih, takbir dan tahmit).

*Munajat memohon hidayah dan keampunan Allah.

*Muhasabah menilai amal perbuatan dan berusaha menghindar dosa. Melawan desakan nafsu serta bisikan syaitan.


Akhirnya mari kita renungi kata-kata Saydina Umar r.a;

"Selalulah menyebut zikrullah kerana itu penawar kepada dirimu dan awaslah kamu dari penyebut keaiban orang lain kerana yang demikian membawa penyakit kepadamu."


Sama-sama kita berdoa;

"Ya Tuhan kami, tempatkanlah kami pada tempat yang diberkati dan Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat."

Amiin.

Hari Esok Yang Dihadiahkan




Salam Ukhwah dan Mahabbah yang penuh barakah,
mengandungi keampunan dan redha Allah.

Begitulah juga hendaknya esok...yang datang membawa eid al-Mubarak,
Hari Raya Aidil Fitri yang dinanti...,
Moga ianya benar satu hadiah keredhaan dari ilahi,
Untuk setiap diri yang berubudiyyah.


Dari itu..., persiapkanlah diri sebaik-baiknya,
Dengan pakaian taqwa yang indah
Dan iman yang sentiasa menghiasi pribadi...




Makanlah Yang Ada Di Hadapan Mu

IBNU Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Keberkatan itu turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari pinggirnya dan janganlah kamu makan tengahnya." (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, An-Nasa'I, Ibnu Majah dan ibnu Hibban)



Perut Adalah Sumber Penyakit

AL-MIQDAM bin Ma'dikarib r.a berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Bagi anak Adam tidak ada wadah yang lebih buruk untuk dipenuhi daripada perut. Cukup bagi anak Adam beberapa suapan makanan yang dapat menegakkan tulang belakangnya, maka apabila ia harus makan banyak, hendaklah ia menjadikan sepertiga isi perutnya untuk makanan, sepertiganya yang lain untuk minum dan sisa sepertiganya lagi untuk nafasnya."
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)


Mengucap Hamdalah Dan Bersyukur Setelah Makan Dan Minum

IBNU Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah bersabda:
"Keberkatan itu turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari pinggirnya dan janganlah kamu makan dari tengahnya."
(Riwayat Abu Daud, Tirmizi, An-Nasa'I, Ibnu Majah dan ibnu Hibban)








INDAH DI HATI JELITA DI WAJAH


Wahai setiap hati yang sentiasa diperhati!
Mari meneliti sebuah kisah menyentuh hati...

Telah berlangsung majlis makan di rumah seorang saudagar terkaya kota Basrah, bernama Muslim bin Umran. Dihadiri pembesar dan pegawai tinggi termasuk Ahmad bin Aiman. Turut serta di majlis tersebut kedua-dua putera Muslim bin Umran yang sangat tampan rupa paras dan halus budi bahasa. Semua hadirin kagum terhadap keelokan sifat anak-anak tersebut.

Ahmad bin Aiman: "Subhannallah! Aku belum pernah melihat boneka seindah kedua anak ini. Seakan-akan malaikat yang memberinya pakaian. Pasti ibu kedua-dua anak ini secantik bidadari."

Muslim bin Umran: "Saudara, doakanlah perlindungan Allah untuk anak-anak ini. Usah mengkagumi begitu saja..."

Ahmad bin Aiman menghampiri kedua-dua anak itu sambil mengusap-usap kepala mereka, beserta doa mohon kesejahteraan.

Ahmad bin Aiman: "Anda memang pandai memilih isteri. Lihatlah betapa halusnya budi pekerti mereka. Tentu ibunya puteri kaisar yang membawa didikan dari istana."

Muslim bin Umran: "Kau silap saudara, isteriku bukan begitu. Dia sangat hodoh wajah lagi cacat pula."

Ahmad bin Aiman: "Anda melampau, tergamak menghina isteri sendiri! Tidak mungkin ibu yang hodoh melahirkan anak yang menawan."

Memang sukar bagi Ahmad bin Aiman mempercayai kata-kata Muslim bin Umran. Matanya melihat kecantikan. Tidak mungkin yang indah lahir dari yang hodoh. Untuk meleraikan kekusutan itu, Muslim bin Umran terpaksa membentangkan kisar sebenar bagaimana dia bertemu jodohnya...

Muslim bin Umran: "Semuanya bermula ketika aku memulakan kehidupan sebagai pedagang. Sejak bertolak dari kediaman asal, Ubullah, aku berharap suatu hari nanti akan beroleh isteri jelita lagi solehah.

Hidup sebagai pedagang telah membawaku merantau jauh. Sehingga aku sampai ke Balakh, ibu kota Khurasan. Di sana aku bertemu seorang imam terkenal, Abu Abdullah al-Balakhi. Aku sangat tertarik dengan ceramahnya, menghuraikan maksud sebuah hadis nabi;'Seorang wanita yang hitam lebih baik daripada wanita cantik yang mandul.'

Hitam yang dimaksudkan di sini bukan sekadar warnanya, malah rupa keadaan yan sama sekali tidak menarik pada pandangan lelaki. Hadis itu diungkapkan bertujuan mengangkat nilai martabat wanita. Bermakna wanita dinilai pada kemampuan melahirkan zuriat serta mendidik sebaik-baiknya. Imam Al-Balakhi juga menceritakan, Imam Ahmad bin Hambal sewaktu membuat pinangan untuk dirinya...memilih yang buta tetapi cerdik akal, menolak yang cantik tetapi kurang ilmu. Walaupun pada pandangan umum, kekurangan fizikal itu tidak sepadan...namun kesempurnaan akal akan melengkapkan segalanya. Juga pasangan yang saling memerlukan, itulah yang secocok.

Selepas penjelasan imam tersebut, perasaanku menjadi sangat tenang. Aku mulai menaruh harapan untuk memperoleh isteri yang benar-benar solehah, walaupun cacat.

Lama juga aku merantau dan mencari...tidak juga kutemui calon isteri seperti yang dihajatkan. Hinggalah aku pulang semula ke Basrah. Di sini aku mengetahui ada seorang alim yang mempunyai seorang anak gadis yang menjadi rebutan. Telah banyak yang meminang, tetapi ditolak bapanya. Aku memberanikan diri melamar anak orang alim itu. Ku nyatakan hajat dan pendirianku inginkan jodoh yang solehah,walaupun cacat. Akhirnya pinanganku diterima. Terlalu sangat bahgia rasa hatiku.
Aku dikenakan syarat, hanya boleh melihat jodohku setelah diijab kabulkan.

Aku pasrah...kuserahkan segala ketentuan dalam urusan Allah. Aku yakin Allah akan menentukan yang terbaik untukku. Aku pujuk pandangan mataku untuk tunduk kepada pandangan hatiku. Aku memohon kepada Allah seorang isteri yang membawaku kepada keredhaan Allah.
Setelah bernikah dan diraikan dengan jamuan sederhana, aku pun disuruh menemui isteriku. Aku sangat terkejut!...Hampir saja aku pengsan.Benarlah, isteriku hodoh dan cacat. Makin aku memandangnya...tiada yang terfikir olehku, melainkan kata-kata imam Al-Balakhi....

Sekarang kenyataannya, isteriku memegang tanganku lalu berkata; 'Saya mengerti betapa kecewanya matamu. Begitulah juga yang menyiksakan ku, sekiranya kejelitaan yang dirimu harapkan. Ambillah dua kelebihan dariku:

1. Aku akan sentiasa taat dan menuruti segala kehendakmu.
2. Ambillah hartaku untuk dikau bernikah lagi sekehendakmu, asalkan aku kekal sebagai isterimu.'

Aku nyatakan isi hatiku kepada isteriku: Demi Allah! Percayalah kau akan aku jadikan sebahagian dari duniaku. Akan kusanjung dan kumuliakan. Kau satu-satunya wanita di hatiku. Aku akan menutup rapat mataku dan memalingkan pandanganku daripada wanita lain."

Keyakinan Muslim bin Umran yang sebegitu rupa telah menjadi sebagai limpahan rahmat yang sungguh membahagiakan kehidupannya. Isteri yang hodoh pada pandangan mata orang lain telah menyejukkan pandangan mata Muslim bin Umran sendiri. Diri wanita itu yang dahulunya umpama pohon terbiar seolah-olah menerima siraman hujan rahmat yang menyubur dan menyegarkannya. Perjalanan kehidupan mereka seterusnya membuktikan, wanita itu seorang yang bijak dan cerdas. Kelebihan akalnya menjadi bukti kepada kecantikan hakiki. Perlahan-lahan hodoh di wajah menghilang.Terlihat di mata keindahan tingkah laku. Begitulah hasil pengorbanan yang tinggi, selayaknya beroleh ganjaran luar biasa.

Doa dan harapan isteri Muslim bin Umran berhajat anak-anak yang soleh dan memikat pandangan, di makbulkan Allah. Begitulah tingginya nilai iman dan taqwa. Mampu mengatasi dunia dan seisinya. Segala yang indah pada pandanagn hati berupaya mengalahkan kejelitaan pada pandangan mata.

PUASA YANG INDAH

Subhanallah, Alhamdulillah, Laillahailallah, Allahuakhbar!

Sungguh Maha Pengasihi dan Maha Penyayang Allah,
Sebesar-besar kegembiraan bagi diri ini ketika ini,
Dengan izinya dapat kita bersama kembali dalam tautan hati yang sama-sama berhajatkan hidayah dan keredhaan Allah.

Suatu petang yang kian pantas bergerak ke hujung Ramadhan...
Seorang ibu separuh usia duduk menjahit pakaian bersama lima anak gadis remajanya. Mereka tekun membaca pelbagai judul buku mengikut pilihan masing-masing dan telah dipastikan bermanfaat oleh si ayah. Gadis yang bongsu berumur sekitar 11 tahun bertanya, " Semua yang ibu jahit ini baju raya untuk kami kah ibu?" "Yang warna biru muda ini, tentu untuk Cik kan ibu?" tangan lembut gadis manja berumur 12 tahun sambil menarik sehelai baju bercorak bunga-bunga kecil dari sisi ibunya.

"Angah punya tentu yang ungu ni,"gadis manis yang paling pendiam pun dengan pantas menunjukkan sehelai baju tergantung kepada gadis paling sulung. Masing-masing berebut membelek baju yang sedang ibu mereka siapkan. "Sabar dulu semua anak-anak ibu..., memang semua baju ini untuk kamu. Tapi dengan satu syarat!", Si ibu merenung kelima-lima anak gadisnya dengan lembut.

"Syarat apa pula ibu? Kan selalunya. kami rajin berpuasa, ibu beri kami peluang untuk memilih baju mengikut corak yang kami sukai..." Anak gadis ketiga memberanikan diri membela hak adik-beradiknya. "Alhamdulillah, anak-anak ibu memang baik, taat kepada Allah. Cuma ibu ingin kita pastikan kita semua menyempurnakan puasa seperti yang Allah kehendaki. Nanti di akhirat pun kita boleh peroleh ganjaran. Tidaklah hanya gembira di dunia saja." Si ibu menerangkan niat sucinya.

"Oo gitu..." kelima-lima gadis solehah manjawab serentak. "Semalam ada ayah beritahu kami macam mana sepatutnya puasa yang sebaik-baiknya." gadis ketiga cuba memulakan penjelasan.
"Boleh semua sama-sama jelaskan pada ibu, apa yang telah ayah beritahu?" Si ibu cuba menduga ketajaman fikiran dan ingatan anak-anak kesayangannya.
Setiap seorang daripada anak-anak gadis solehah tersebut menjelaskan semula apa yang ayah mereka terangkan...

Anak pertama: :"Hati seorang mukmin mestilah puasa dari rasa sombong dan ujub. Juga berpuasa dari segi iri hati dan dengki. Semua amal kita musnah jika dalam hati terdapat sifat hasad dengki. Rasulullah SAW pernah memberitahu perihal seorang sahabatnya yang tergolong menjadi penghuni syurga. Apabila ditanya tentang amalanya, dia menjawab, "Saya tidak tidur jika dalam hati ada rasa dengki, iri hati dan khianat. Iri hati dan dengkiakan menghalang kita masuk syurga."

Anak kedua:"Lidah juga mesti berpuasa! Puasa lidah adalah dengan terdiamnya lidah dari berbohong, dusta, mencela, mengumpat, dan menyebar fitnah. Juga memperkatakan perkara-perkara yang tidak baik di dengar. Kita mesti ingat lidah boleh menghantar kita ke syurga jika digunakan untuk zikrullah. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk menyebut perkara yang dimurkai Allah, ia akan menjuruskan kita ke neraka. Nauzubillah!"

Anak ketiga: "Mata juga mesti berpuasa. Malahan mesti sentiasa tunduk dan dipalingkandari melihat perkara dilarang Allah. Apabila pandangan dijaga, hati akan gundah gulana. Pernah yang tidak seorang alim berkata, "Aku pernah terlihat perkara yang dilarang, al-Quran yang telah aku hafaz selama 40 tahunhilang dari ingatan...Ingatlah! jika mata dibiarkan sebebasnya ia akan membawa hati kepada kehancuran!"

Anak keempat: "Telinga orang mukmim juga ikut berpuasa. Telinga orang yang berpuasa mesti dijauhkan daripada mendengar perkataan-perkataan jahat dan keji. Telinga mesti digunakan untuk mendengar ucapan yang baik dan nasihat berguna."

Anak kelima: "Sememangnya sewaktu berpuasa perut menahan lapar hingga waktu berbuka. Apabila berbuka, perut hendaklah diisi secara sederhana dan tidak berlebihan. Makanan yang mengisi perut mestilah halal. Begitulah hakikatnya berpuasa yang Allah kehendaki. Tidak ada yang lebih mengetahui sama ada kita betul-betul berpuasa atau sebaliknya."

"Alhamdulillah... anak-anak ibu sudah ciri-ciri puasa yang Allah tuntut. Itu lebih indaj daripada baju cantik yang ibu jahit ini. Apabila ibadah puasa kita sempurnakan dengan sebaik-baiknya, takwa akan memenuhi hati kita. Takwa itulah sebenarnya pakaian cantik untuk orang beriman. Kejayaan sepanjang berpuasa itulah yang akan mengindahkan Syawal yang dinanti-nantikan." Si ibu mengakhiri sambil mengusap lembut kepala anak gadisnya yang bongsu.

10 WASIAT IMAM SYAFIE


Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada murid-muridnya serta umat Islam. Beliau meninggalkan 10 wasiat berikut:
"Barang siapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: Hak Kepada Diri.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: Hak Kepada Malaikat Maut.
Iaitu: Mengada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA: Hak Kepada Kubur.
Iaitu: Menaggalkan tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: Hak Kepada Munkar dan Nakir.
Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

KELIMA: Hak Kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat).
Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

KEENAM: Hak Kepada Sirat (Titian Yang Merentangi Neraka Pada Hari Akhirat).
Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH: Hak Kepada MAlik (Malaikat Penjaga Neraka).
Iaitu: Menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kapada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta bersembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN: Hak Kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga).
Iaitu: Berasa redha kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN: Hak Kepada Nabi SAW.
Iaitu: Berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah.

KESEPULUH: Hak Kepada Allah SWT.
Iaitu: Mengajak manusiake arah kebaikan, mencegah manusia dari keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.