GERIMIS KASIH
Sudah lebih enam bulan Angah menganggur di rumah. Tidak ada sebarang tawaran menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Maupun surat temuduga untuk sebarang pekerjaan. Rutin harian Angah penuh dengan berkurung di bilik membaca pelbagai novel remaja dan dewasa.
Namun kali ini jasad ibu benar-benar lelah. Diasak jiwa yang resah. Hati juga berkecamuk. Tidak dapat ibu bendung dengan berdiam diri. Telah ibu curahkan dalam rukuk dan sujud. Terungkai luruh dalam derai airmata. Deras membanjiri sejadah. Tekanan yang terperangkap di kepala telah dilepaskan. Kesugulan di hati telah diluahkan. Terasa ringan dan lapang jiwa. Ibu melelapkan mata buat melepaskan lelah dari kamar hati… Jelas wajah Angah di depan mata ibu. Muka bundar dengan dahi lebar. Mata hitam galak seperti bercelak. Hidung sederhana mancung. Rambut ikal hitam berkilat. Berkulit kuning langsat tanpa jerawat di pipi.
“Ibu masih penat?”. Lembut sapaan dari wajah manis berlesung pipit di kedua-dua pipi dan bertahi lalat di penjuru kanan bibir bawah. Wajah ayu mendamai jiwa, anak gadis harapan ibu.
Kak Long memang banyak membantu ibu menguruskan adik-adik. Juga menjadi teman setia ibu berkongsi sebarang masalah. Sedih dan gembira mereka lalui bersama. Sakit pening ibu pun banyak yang Kak Long bantu uruskan. Beruntung ibu mempunyai anak perempuan yang ringan tulang.
“Eh…Shafiqah…Lama ibu tertidur tadi? Kepala ibu masih pening dan berdenyut-denyut.” Ibu bangun perlahan-lahan sambil memegang kepalanya. Entah mengapa dada ibu juga terasa sengal dan berdebar-debar. Nafasnya pula pendek-pendek. Seperti akan diserang semput rasanya. Bertambah risau ibu.
“Tidak lama sangat pun. Tapi tadi Pak Su dan Angah ada menelefon…”.Pantas tangan Kak Long mmembantu ibu melipat telekung dan sejadah.
Belum sempat Kak Long menghabiskan kata-katanya, ibu menyampuk; “Pak Su dan Angah menelefon? Ibu tak perasan tadi…”
“Ya. Mula-mula Angah, kemudian Pak Su pula…” Kak Long memberi tahu, mereka menelefon sewaktu ibu tertidur.
“Alhamdulillah.” Terpacul kata-kata syukur ibu. Resah gelisah hati ibu telah Allah leraikan…
Pak Su mengajak Angah mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Pengkalan Chepa tempat Mak Su mengajar. Seorang guru Bahasa Inggeris diperlukan. Sekolah itu ada dua guru Bahasa Inggeris. Seorang daripadanya telah pulang bertugas ke Sabah. Seorang lagi ialah Mak Su sendiri. Mak su pula dijangka akan mulai cuti bersalin awal Februari. Sedangkan sesi persekolahan akan bermula tiga minggu saja lagi.
“Angah dicadangkan menjadi guru Bahasa Inggeris? Setujukah dia?” Berkerut dahi ibu mendengar penjelasan apa yang telah berlaku semasa ibu tertidur tadi.
“Kata Angah, dia berminat juga. Hendak cuba dahulu. Sebab ada peluang sambung belajar”. Kak Long cuba menjelaskan dengan tenang supaya ibu tidak salah faham. Semalam Angah menolak cadangan ibu. Hari ini Angah menerima pula cadangan Pak Su dan Mak Su.
“Ibu izinkan Angah menerima cadangan Pak Su?” Kak Long cuba mendapatkan kepastiaan dari ibu.
“Ibu setuju saja jika Angah sudah buat keputusan dengan niat yang baik. Jadi guru memang baik, satu tugas mulia”.Terasa terlerai kekusutan di kotak fikiran ibu. Dada ibu yang terasa sesak dan sebak tiba-tiba terasa lapang dan tenang.
Di sudut hati ibu berdoa; ‘Ya Allah, Engkau jadikanlah anak-anakku penenang hati dan penyejuk pandangan. Jadikanlah mereka sebaik-baik manusia yang membawa kebaikkan kepada manusia lain’.
Perlahan-lahan daun pintu bilik sembahyang Kolej Kediaman Siswi A terbuka. Wajah bujur sirih Ucu muncul mencari ibu dan Kak Long. Kelihatan riak muram di wajah lembut anak manja ibu. Begitulah biasanya apabila akan ibu tinggalkan di asrama, wajah manja itu sentiasa menagih simpati. Ibu rela Ucu menuntut di daerah yang jauh, berlatih untuk hidup lebih matang. Anak bongsu maupun anak sulung, tetap akan memikul tanggungjawab yang sama di hadapan Allah. Sebagai anak soleh dan solehah yang taat Allah dan patuh kepada ibu-bapa. Juga melakar jasa sepanjang hayat. Tiga beranak itu berjalan beriringan ke kereta Proton Saga berwarna biru muda metalik, model terbaru. Kereta sulung Kak Long yang Allah rezekikan berkat kegigihannya membantu perniagaan ayah.
ISTIKHARAH CINTA
ANAK-ANAKKU BERJUANGLAH
Untuk mendapatkan buku ini sila hubungi UMMU ANAS di email (bintul.eslah@gmail.com)
ANAK-ANAKKU BANGUNLAH
Pembaca
Wahai semua yg dikasihi kerana Allah!...
Telah dimaklumi bahawa solat fardhu lima waktu sehari semalam adalah tiang agama Islam. Setiap muslim yang mendirikannya bermakna dia telah mendirikan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agamanya. Solat juga merupakan amalan paling afdal dan paling agung menepati sabda Rasulullah s.a.w, seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a:
“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w ; Apakah amalan paling afdal/utama? Baginda menjawab; Solat (sembahyang) pada waktunya”.
Dengan mengerjakan solat tepat pada waktu yang ditentukan akan meletakan diri setiap muslim sentiasa berhubung terus kepada Allah. Juga sentiasa di dalam rahmat dan keredhaan Allah kerana dengan bersolat seseorang hamba diampuni dosa dan kesalahannya. Perhatikan dengan teliti maksud sabda Rasulullah s.a.w;
“Apakah pandangan kamu, sekiranya ada sebuah sungai di hadapan rumah salah seorang kamu, lalu dia mandi di dalamnya setiap harisebanyak lima kali, apakah masih lekat sebarang kotoran pada tubuhnya?. Para sahabat menjawab; Tidak akan ada lagi sebarang kotoran. Kata baginda lagi; Begitulah perumpamaan bagi solat lima waktu, Allah menghapuskan segala kesalahan hambaNya”. (HR Abu Hurairah r.a.)
Daripada Uthman bin Affan r.a katanya; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang muslim yang menunaikan solat fardhu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan ruku’nya melainkan ia menjadi kafarah(penghapus dosa) bagi dosanya sebelum itu selagi mana dia tidak melakukan dosa besar dan ini adalah untuk selama-lamanya”.
Istimewa yg gigih membersihkan jiwa…,
Pada hakikatnya dalam setiap ibadah yang diperintahkan ke atas setiap muslim, terkandung banyak keistimewaan yang dapat dijadikan bekalan mengatasi berbagai rintangan hidup.Di dalam ibadah solat itu sendiri terkandung hikmah yang perlu kita teliti satu persatu, antaranya:
1. Solat umpama jambatan hati yang menghubungkan kita dengan Allah. Kita menghampirkan diri dengan Allah dalam solat dengan harapan memohon hidayah peningkatan iman.Dalam solat kita dapat meluahkan segala penanggungan dan dapat pula bermunajat. Dengan itu hilanglah segala kerunsingan.
2. Solat menjadi sumber yang mampu mengalirkan tenaga yang sentiasa baru ke dalam jiwa. Pembahagian lima waktu solat fardhu membolehkan kita terus menerus beroleh bekalan baru pada setiap suasana; aman damai, sibuk, sihat maupun sakit. Di mana jua kita berada meskipun dalam perjalanan dan bermusafir.
3. Apabila kita mulai berdiri untuk menunaikan solat dengan khusyuk dan rendah diri kepada Allah, jasad dan akal kita mendapat kerehatan dan bebas dari kesibukan dunia. Jiwa kita pula bertambah tenang setiap kali membaca ayat-ayat Allah dalam setiap rakaat solat. Hati juga menjadi tenteram setelah memohon ampun dari Allah di hujung solat.
4. Setiap muslim yang menunaikan solat dengan hati yang bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah, akan dilimpahi nur, hidayah, sakinah dan rahmat serta kesejahteraan. Hati menjadi tabah dan teguh menghadapi sebarang cabaran hidup. Solatnya menjadi perisai menghadapi fitnah, kemungkaran, hasutan syaitan juga desakan nafsu. Dia sentiasa merasai Allah bersama-samanya di mana jua berada.
5. Setiap kali kita ruku’ dan sujud di dalam solat, kita berada pada situasi mengagungkan serta memuliakan Allah. Setiap mukmin hanya tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah. Sentiasa pasrah kepada Allah dan tidak takut kepada sesiapa pun. Sewaktu sujud, hamba berada paling hampir dengan Tuhannya dan merasai suasana penuh kemesraan.
6. Apabila duduk tasyahhud, kita bersimpuh penuh pasrah. Kemudiannya kita berdoa memohon diperkenankan Allah segala permintaan kita. Selesai solat kita keluar menghadapi urusan hidup dengan jiwa yang tenang dan tenteram. Juga jasad yang sihat dan segar.
7. Dengan terus menerus mendirikan solat kita merasa baru saja berbicara dan berdiri di hadapan Allah, dan akan menghadapNya lagi di waktu solat berikutnya. Dengan sentiasa memelihara solat tepat pada waktunya, kita juga sentiasa bernaung di bawah peliharaan Allah. Hampir dengan Allah dan terpelihara dari gangguan syaitan. Keadaan sedemikian memberi dorongan yang kuat untuk kita sentiasa tunduk dan patuh serta bertawakkal kepada Allah.
Begitulah,
Sebahagian daripada bekalan yang terkandung di dalam solat lima waktu yang sangat kita hajatkan untuk menyucikan jiwa, menepis tarikan duniawi dan menghindari segala penyelewengan.
Rasulullah s.a.w sendiri tatkala menghadapi sesuatu masalah, baginda terus menunaikan solat sunat. Dengan cara itu baginda memperoleh kedamaian,ketenangan dan penyelesaian. Baginda juga sangat menggalakkan umatnya supaya sentiasa melakukan qiyamullail (ibadah malam) dengan melakukan solat-solat sunat. Juga menjadi kebiasaan baginda memanjangkan waktu sujudnya di dalam solat tahajjud.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Seorang hamba itu akan lebih hampirkepada Tuhannya di kala dia sujud”.
Di sinilah letaknya kedudukan paling tinggi seorang hamba Allah; apabila dia benar-benar hampir dengan Tuhannya. Akan dirasai perhambaan hakiki dengan merendahkan diri semata-mata kerana Allah.
Seterusnya…,
Perhatikanlah dengan baik pesanan Rasulullah s.a.w;
“Tunaikanlah sembahyang dua rakaat dalam kegelapan malam, demi menghadapi kesunyian kubur”.
Berkaitan dengan pesanan ini Rasulullah s.a.w juga bersabda;
“Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada Allah, nescaya Allah akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan”.
Rasulullah s.a.w juga turut menjelaskan hubungan kubur dengan manusia;
“Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat dari siksanya, maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi kalau dia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu lebih payah”.
Dari itu, ayuh!
Perteguhkanlah keyakinan dan kesungguhan kalian menghimpun bekalan yang banyak yang terkandung dalam ibadah solat; merangkumi yang wajib dan sunat. Perkemaskan perlaksanaan solat-solatmu untuk menambahbaik bekalan serta ganjaran yang Allah sediakan.Perbanyakkan solat-solat sunat, terutama diwaktu tengah malam. Supaya dengannya kita mampu meraih ganjaran yang dapat melepaskan kita dari siksaan kubur yang sangat gelap lagi sepi.
Untuk hari-hari yang sedang kita hadapi, bekalan solat itu hendaklah kita gunakan sebaik-baiknya dalam rangka mentaati titah perintah Allah serta menjauhi segala laranganNya. Kita benar-benar mengharapkan kejayaan di dunia serta kejayaan di akhirat. Justru itu kita mestilah sentiasa saling memperingati kepada kebenaran dengan kesabaran. Juga semoga hakikat dan fungsi bekalan yang kita himpun benar-benar terlaksana dalam praktik hidup sepertimana maksud firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Q.S.Al-Baqarah:153)
Wassalam.
Ummu Anas.
