UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

PUASA BERKUALITI


Wahai Pemuda-Pemudi Harapan!


Pertamanya, mari kita mengucapkan rasa syukur kepada Allah Yang Maha Esa. KepadaNya bergantung segala sesuatu. Segala apa jua nikmat yang kita perolehi adalah kurniaan Allah. Maka hanya bagi Allah segala puji dan syukur. Berlindunglah kepada Allah dari menyekutukanNya dengan sesuatu yang kita ketahui, maupun yang tidak diketahui. Sentiasalah menyedari hakikat diri kita sebagai hamba Allah. Oleh itu cukuplah Allah sebagai pelindung kita dan hanya kepadaNya kita patut bertawakkal.

Kini kita berada dalam dakapan Ramadhan Al-Mubarak. Bersamanya berarak lembayung rahmat dari Allah, seluas langit dan bumi. Sekiranya digambarkan kepada sesuatu yang indah, Ramadhan umpama taman untuk istirehat sebentar bagi musafir dunia yang dalam perjalanan menuju kampung akhirat. Sudah tentu masa istirehat sebentar itu sangat berharga untuk menambah bekalan guna menyambung perjalanan yang jauh.

Pada hakikat sebenarnya, ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak merupakan bekalan penting untuk menjalani kehidupan pada 11 bulan berikutnya. Dengannya nanti seluruh perjalanan hidup terjurus kepada matlamat mencari keredhaan Allah.

Puasa juga merupakan latihan yang dapat meluruskan disiplin diri. Kebiasaan buruk seumpama malas dan suka menangguhkan tanggungjawab juga akan dapat di ubah sekiranya puasa yang dijalani merupakan puasa yang berkualiti.

Perlu kita ingat, diwajibkan ibadah puasa bagi setiap mukmin adalah untuk tujuan besar;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 83)

Taqwa itu sesuatu yang besar peranannya dalam kehidupan setiap diri mukmin sepertimana maksud firman Allah dalam surah At-Thalaq: 2-3); “Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan dan diberi rezeki dari arah yang tidak diduga.”

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW ditanya; “Siapakah manusia yang paling mulia?”
Baginda menjawab; “Yang paling bertaqwa.”

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a , Nabi SAW mengajarkan doa: “Ya Allah aku mohon kepadaMu hidayah, jiwa yang bertaqwa, kesopanan dan kekayaan.”(HR Muslim)

Di bulan yang barakah ini, kejahatan berkurangan di muka bumi kerana seluruh kaum muslimin sedang sibuk menunaikan ibadah puasa yang mengekang hawa nafsu.
Syaitan yang sentiasa sibuk menggoda manusia pula telah dirantai sepanjang bulan mulia ini, seperti maksud sabda rasulullah SAW; “Pintu-pintu rahmat di buka, pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dirantai.”

Setiap diri mukmin yang berpuasa sememangnya mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menyekat kemasukan syaitan melalui aliran darah manusia. Rasa haus dan lapar itu sendiri sebenarnya dapat menimbulkan kesabaran untuk menawan syahwat dalam diri. Sedangkan lazimnya di bulan-bulan lain di mana syaitan bebas berkeliaran, manusia sentiasa terperangkap antara bisikan syaitan dan dorongan syahwat.

Dalam suasana tenang dan penuh barakah di bulan mulia ini, apa jua usaah untuk mendipsiplinkan diri beribadah kepada Allah akan menjadi lebih mudah. Semestinya kesempatan sedemikian digunakan sebaik-baiknya untuk memperoleh puasa berkualiti.
Untuk tujuan itu, puasa mestilah dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi sudut-sudut berikut:

1. Sudut Jasmani
Puasa jasmani tidak hanya menahan rasa lapar dan dahaga, malahan menahan anggota tubuh kita dari sebarang perbuatan buruk dan tidak diredhai Allah. Perkara-perkara buruk yang dimaksudkan lazimnya menguasai lidah, mata dan telinga. Lidah dapat menjurus kita ke syurga sekiranya digunakan untuk zikrullah. Lidah juga boleh menjerumuskan kita ke neraka sekiranya digunakan untuk mengumpat, memfitnah serta menyakiti hati orang lain.

Dari itu sewaktu berpuasa lidah semestinya dicegah dari berbohong, mencela dan berkata kotor.
Pandangan mata pula akan mempengaruhi dan merosakkan hati jika tidak dikawal dan ditundukkan. Tatkala berpuasa, pandangan mata mesti sentiasa diarah melihat perkara-perkara baik. Elakkan dari melihat sebarang bentuk keburukan.

Orang yang berpuasa juga sepatutnya mengarahkan telinganya mendengar ayat-ayat Allah serta kata-kata peringatan dan kebaikan. Usah dibiarkan kata-kata keji dan nyayian yang diharamkan menyelinap masuk pendengaran yang sedang menjalani ibadah puasa.

2.Sudut Rohani
Ibadah puasa mampu menghaluskan perasaan dan memurnikan hati. Juga dapat menimbulkan rasa terikat dan pengharapan yang tinggi terhadap ganjaran dan pertolongan Allah. Setelah menjalani latihan mengekang nafsu secara intensif, iman mudah berfungsi secara amali. Tidak sekadar pengakuan semata-mata.

Di siang hari jiwa mukmin dilatih bersabar menanggung kesusahan dan kekurangan. Juga menghindarkan diri dan jiwa dari terjerumus ke dalam perkara maksiat dan dusta.
Malamnya pula jiwa diteguhkan dengan megerjakan solat-solat sunat. Ditambah lagi dengan keistimewaan dan rahmat malam Lailatul Qadar. Semua ini memantapkan keyakinan dan ketaatan kepada Allah.

Meskipun demikian, hati orang yang berpuasa benar-benar diuji perihal kejujurannya.dalam terang-terangan, maupun sembunyi. Keikhlasan kerana Allah mesti diberi perhatian. Perasaan sombong dan angkuh mesti dihindari. Hal inilah yang sering digalakkan oleh syaitan.

Begitu juga dengan sifat iri-hati dan hasad-dengki, kedua-duanya menghancurkan segala amalan yang telah dilakukan. Dari itu setiap diri mukmin hendaklah membersihkan jiwanya dengan menunaikan ibadah puasa semata-mata untuk beroleh keredhaan Allah.

3. Sudut Akal
Ibadah puasa bukan sekadar mampu membersihkan jiwa mukmin malahan turut dapat menjernihkan akal fikiran mukmin. Dengan itu kita mampu untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Seterusnya mampu berhubung dan mendekatkan diri kepada Allah.

Di samping mampu untuk berterusan berjuang melawan nafsu yang bertentangan dengan sifat sabar. Fikiran yang bersih sewaktu berpuasa dapat menerbitkan pandangan penuh belas kasihan terhadap orang lain yang memerlukan bantuan. Bersedekah akan menjadi mudah kerana fikiran yang sentiasa peka terhadap kesusahan orang lain.

Ketika berpuasa juga, fikiran mudah menghitung kebaikan serta nikmat-nikmat yang Allah berikan. Sebagai mensyukuri segala anugerah Allah, mukmin yang taat akan mengisi masa siang dan malam di bulan Ramadhan dengan membanyakkan zikir dan membaca Al-Quran. Suasana begini berfungsi memelihara akal dari kecenderungan memikirkan perkara yang melalaikan.

Sebagai kesimpulan, semoga pada Ramadhan tahun ini kita mampu menyemak dengan teliti satu-persatu secara menyeluruh sudut-sudut yang berkaitan kesempurnaan ibadah puasa. Semuanya perlulah benar-benar berkualiti;

Bermula dengan sahur hinggalah kepada berbuka yang teratur dengan baik.
Memersihkan pancaindera dari pandangan terlarang,
Pendengaran kepada perkara tidak berguna,
Perkataan dan tindakan sia-sia.

Kemudian perbanyakkanlah;
Zikir dan doa,
Tingkatkan ibadah malam,
Bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan

Wallau'alam.

TAKWA SEBAIK-BAIK PAKAIAN



Wahai setiap remaja muslim yang bertakwa!

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(QS Al-Hadiid: 28)

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.”(QS Ath-Thalaaq: 2-3)

Merenungi makna dua potong ayat di atas, dapatlah kita fahami betapa beruntungnya orang yang bertakwa;

1. Beroleh limpahan rahmat dan kebahagiaan dalam hidup.

2. Dapat membezakan antara yang benar dan yang salah.

3. Sentiasa di jalan kebenaran sepanjang hayatnya dan mampu juga membimbing orang lain kepada kebaikan.

4. Mudah beroleh jalan penyelesaian ketika menghadapi masalah-masalah berat.

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah berkaitan takwa, menggariskan beberapa kekuatan yang terbit dari takwa;

1. Takwa sebagai bekalan sepanjang hayat yang akan menggugah akal dan hati supaya sentiasa waspada dari terpesong kepada kebatilan.

2. Takwa menjadi sumber cahaya yang menyuluh jalan hidup mukmin supaya tidak meraba-raba dalam kejahilan.

3. Takwa menghapuskan dosa dan menerbitkan ketenteraman jiwa.

Takwa yang memenuhi jiwa akan menjadi furqan atau pembedza yang memudahkan usaha memisahkan yang benar dari yang salah. Dengan ini takwa boleh disifatkan sebagai pakaian yang melindungi hati, jiwa dan kalbu setiap mukmin. Takwa sebagai pakaian ruhaniyah akan mampu pula melindungi dari tipu-daya syaitan dan hawa nafsu. Boleh juga dikatakan takwa sebagai satu-satunya perisai yang mampu menyingkirkan desakan nafsu. Sewaktu menjalani ibadah puasa, nafsu akan mudah ditundukkan. Serentak dengan itu takwa terbina dalam kesempurnaannya yang teguh.

Menyedari hakikat takwa sedemikian rupa membuat saya bertekad untuk segera mematuhi tata cara menjalani ibadah puasa dengan sebaik-baiknya. Semoga nanti saya turut beroleh kemampuan mengingatkan rakan-rakan remaja yang lain untukbersungguh-sungguh membina takwa sewaktu berpuasa.

Kembali Kepada Fitrah

Suatu ketika, pernah saya termenung memikirkan perjalanan hidup insan. Kebanyakan orang termasuk juga diri saya sering dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Kadang kala jiwa terasa sangat sepi dan hampir-hampir hilang keyakinan diri. Hidup terasa hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Beginilah lazimnya keadaan kita jika pakaian takwa yang membaluti jiwa tidak kita gunakan dengan sempurna.

Apabila saya pujuk hati untuk bertekad menjadi hamba Allah yang bertakwa, tergambarlah dalam fikiran saya kesan takwa yang menguasai hati;

1. Sudah tentu hamba-hamba Allah yang bertakwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa.

2. Mereka yang kuat takwanya akan sentiasa tenang ketika orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan.

3. Orang yang bertakwa mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain berkeluh-kesah dan buntu fikiran.

Dari sinilah saya mula menginsafi diri untuk mencari cara yang pratik bagi menjalani hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Saya sangat tergugah untuk berkongsi sesuatu yang sangat asas bersama-sama remaja yang lain. Supaya kita bersama-sama berusaha menanamkan kefahaman yang tepat dan tindakan yang berkesan. Sesungguhnya hakikat iman dan takwa perlu dilaksanakan secara praktik, tidak hanya diperbincangkan sahaja.

Mari kita renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Berpandukan maksud ayat tersebut, dapatlah difahami, Islam merupakan deen (peraturan hidup) yang terbaik. Islam menepati keperluan insan dan sentiasa di dalam pengawasan Allah. Dengan itu setiap insan muslim mestilah melahirkan gambaran Islam secara menyeluruh di dalam kehidupannya. meliputi pemikiran dan pentadbiran alam. Ini juga bermakna kita mesti menyempurnakan tugas sebagai khalifah Allah. Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab selaku khalifah Allah di atas muka bumi mesti berterusan sepanjang hayat kita. Inilah fitrah kehidupann insan yang menjadi asas kepada pembentukan iman dan takwa.

Langkah Lengkap Menanam Iman dan Takwa

Perlulah sentiasa kita ingat, apa saja yang dilakukan sama ada pemikiran, perkataan, perbuatan atau tindakan kita mestilah mengikut ketentuan Islam. Hakikatnya, Islam adalah deen yang lengkap dan menyeluruh. Kita mestilah menyesuaikan diri dengan kehendak Islam dalam semua urusan hidup. Bukanlah menyesuaikan pelaksanaan Islam mengikut keselesaan kita. Di sudut praktik Islam, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan sedar dan rela. Bukan melakukannya secara terpaksa dan separuh hati. Mari kita semak dengan teliti dan laksanakan bersungguh-sungguh keseluruhan langkah membina iman dan takwa seperti berikut;

Saya mesti muslim di sudut akidah – saya mesti beriman bahawa:

  • Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun dalam segala urusan-Nya.
  • Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
  • Allah telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad pula merupakan penutup para nabi dan rasul dan dianugerahkan Al-Quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
  • Allah menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
  • Mesti kita yakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang yang engkar dan tidak mengakui Allah sebagai tuhan yang berhak disembah.
  • Manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
  • Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
  • Mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
  • Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
  • Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
  • Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
  • Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan di atas apa jua kesilapan dan dosa.
  • Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

Apabila langkah-langkah tersebut mampu kita laksanakan sepenuhnya, kemudian secar beransur-ansur akan kita rasai kesan yang sungguh mendalam di hati. Akan juga jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku kita. Merangsang tindakan dan amal perbuatan sehinggalah kita mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh kereda Ilahi.

Iman yang mendalam dan takwa tidak sekali-kali mengizinkan syaitan dan hawa nafsu untuk berjalan seiring. Setiap kali syaitan dan nafsu cuba menggoda dan mendesak, iman dan takwa saling mendorong kita kepada kepatuhan terhadap perintah Allah. Begitulah hubungan iman dan fitrah insan, kedua-duanya sentiasa saling memerlukan.

Justru itu sewajarnyalah kita sematkan baik-baik dalam hati dan sejajarkan dalam tindakan menepati maksud firman Allah dalam surah Az-Zumar, ayat 10-11;

“Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia beroleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama.”

KEINDAHAN TAKWA


Wahai Setiap Diri Yang Sentiasa Memerhati dan Diperhatikan!

Mari sama-sama kita merenungi hakikat besar ini...


· Darjat manusia selaku hamba Allah akan tertingkat sekiranya takwa memenuhi jiwa, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa”. (QS Al-Hujuraat:13)

· Dengan takwa, manusia beroleh perisai paling kebal dan petunjuk paling jelas bagi menangkis berbagai godaan dan bisikan syaitan, “Sesungguhnya orang yang bertakwa itu apabila ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (QS Al-A’raaf:201)

· Takwa itu sendiri mendapat pengiktirafan mutlak dan tinggi di sisi Allah,

“Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”. (QS Al-Baqarah: 197)

MENGENALI TAKWA

Nabi Muhammad pernah menjelaskan kepada sahabat-sahabat baginda;

Tidak ada kelebihan seorang Arab terhadap seorang Arab yang lain, kecuali takwanya. Begitu juga tidak ada kelebihan orang yang berkulit putih ke atas orang yang berkulit hitam, juga kerana takwanya.

Ciri-ciri Takwa:

1. Takwa adalah hasil dari keimanan yang kukuh dan mendalam yang dipupuk dengan rasa pengawasan Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.

2. Takwa menghindarkan setiap mukmin dari melakukan larangan Allah, juga mendorong terlaksananya segala perintah yang dituntut.

3. Takwa dapat mencegah diri mukmin dari azab Allah dengan sentiasa berbuat amal soleh. Juga khuatir terhadap kemurkaan Allah, disamping sentiasa mengharap rahmat dan keredhaan-Nya.

4. Paling penting dalam persoalan takwa adalah bagaimana dapat kita bina takwa dalam diri secara praktik?

Langkah Mempraktikkan Takwa:

1. Mu’ahadah - mengingati perjanjian.
Seseorang mukmin perlu selalu berkhalwat (menyendiri/hanya antara dia dan Allah,) untuk menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah. Ingatlah setiap hari paling minima kita berjanji sebanyak 17 kali dalam solat-solat fardhu sebanyak lima waktu, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hannya untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

2. Muraqabatullah - merasakan pengawasan Allah.
Merasakan Allah sentiasa bersama, melihat dan mengawasi setiap pergerakan hamba-hamba-Nya dalam sembunyi maupun terang-terangan. Oleh itu, setiap kali seorang mukmin ingin melakukan apa jua perkara mestilah dipastikan samaada perlakuan itu semata-mata kerana Allah, atau sebaliknya kerana kepentingan pribadi dan memperoleh pujian manusia.

3. Muhasabah - koreksi diri.
Setiap mukmin hendaklah menghisab/menghitung selepas selesai mengerjakan apa jua amal perbuatan, samaada perlakuannya semata-mata untuk beroleh reda Allah atau dikuasai rasa riya’dan takabbur.

4. Mu’aqabah - menebus dan membersihkan kesalahan.
Setiap kali diri mukmin tergelincir melakukan kesalahan, bersegeralah pula memperbaiki diri dan menebus kesilapan. Usah dibiarkan bertompoknya kesalahan demi kesalahan hingga terperangkap dalam dosa yang menyukarkannya membersihkan maruah diri.

5. Mujahadah - bersungguh-sungguh berjuang untuk beroleh keredaan Allah, terutama melawan hawa nafsu sendiri.
Bilamana seseorang mukmin dikuasai kemalasan, suka istirehat, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab dan perintah Allah tepat pada waktunya, mestilah memaksa diri melakukan segala bentuk amalan lebih banyak dari sebelumnya.

Keistimewaan Orang-orang Yang Bertakwa:

• Diberikan petunjuk yang membezakan antara yang benar dan salah, juga diampuni dosa-dosa.
• Diberikan rahmat dan petunjuk(hidayah).
• Diberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
• Dimudahkan oleh Allah segala urusan.
• Ditutupi Allah segala kesalahannya dan dilipatgandakan pahala.
• Sentiasa beroleh barakah dan ketenangan dalam hidup.

Menurut Khalifah Umar Abdul Aziz;

“Bukanlah takwa itu sekadar melakukan solat sunat di malam hari dan berpuasa sepanjang siang hari. Atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi takwa ialah melaksanakan segala yang diwajibkan-Nya serentak dengan meninggalkan larangan-Nya. Jika diiringi amal-amal soleh yang lain..., maka ia akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.”

Senarai Semak Persiapan Ramadhan

1. Niatkan rasa sukacita dalam hati dengan kedatangan bulan Ramadhan. “Barangsiapa yang hatinya merasa gembira dengan kedatangan Ramadhan, maka Allah haramkan jasadnya daripada masuk neraka.”(Al-Hadis)

2. Memohon maaf kepada kedua ibu bapa, suami atau isteri, anak, saudara dan para sahabat, juga kaum kerabat. Lupakan segala kesalahan mereka yang sentiasa kita hubungi dan terdekat dengan kita.

3. Bersihkan pakaian takwa kita dari hasad-dengki dan iri hati. Juga tamak haloba, sombong, berdendam, mencela dan berbohong sebelum, semasa dan selepas menjalani ibadah berpuasa.

4. Niatkan dalam hati, akan melaksanakan ibadah puasa dengan kesungguhan dan sepenuh tenaga di samping berbagai ibadah sunat yang lain sepanjang Ramadhan.

5. Tingkatkan iman dan takwa dengan menghadiri majlis Ilmu yang disusun berhampiran kediaman sepanjang Ramadhan.

6. Perbanyakkan membaca dan memahami al-Quran al-Karim. Sedapatnya nmengkhatam sekali sepanjang Ramadhan dan diteruskan lagi sesudah berlalu Ramadhan.

7. Dalam melakukan aktiviti lazim harian, jauhkan perbuatan yang mendatangkan dosa, seumpama mengumpat dan apa jua perbuatan sia-sia yang mengurangi pahala puasa.

8. Tingkatkan amar makruf nahi mungkar, saling nasihat menasihati dan perbanyakkan bersabar.

9. Usahakan sedapatnya banyak melakukan ibadah sunat, bermunajat dan qiyamulail sepanajng 10 hari terakhir Ramadhan.

10. Ingatlah, bukan pakaian baru yang cantik yang Allah beri perhatian bagi menamatkan Ramadhan; tetapi Allah memandang kepada pakaian takwa hasil dari kebagusan ibadah puasa yang kita laksanakan.