UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HATI BERUNTUNG


Pemuda-pemudi harapan!

Adakah hati kalian menepati sifat hati yang beruntung atau sebaliknya?

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”

(QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,

  • menuju jalan kebaikan
  • menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Anak-anakku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah,

Sentiasalah menyedari bahawa orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.

Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu.

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69,

“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Renungi pula syair Arab berikut:

Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,

engkau digelar orang tak berakal dan tidak dihormati,

bila kau turuti nafsu pada setiap ajakan,

ia membawamu kepada keburukan yang haram!

Hawa nafsu itu musuh bagimu,

meingkarinya adalah teman.

Ingatlah anak-anakku,

Pada hakikatnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.

Hawa nafsu jika dibiarkan tidak dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:

  • sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan kerendahan hati dan suara perlahan.
  • sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati menjadi lembut dan patuh.
  • sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya dilakukan berjemaah.
  • sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan solat sunat rawatib.
  • sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Renungi dengan teliti maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,

“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan balasan syurga untuk kehidupan di akhirat. Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.

Tanda-tanda hati yang bersih dan lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:

  • sentiasa mengingati Allah SWT dengan zikrullah.
  • kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
  • hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi larangan-Nya serta menghindari perkara sia-sia.
  • bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
  • tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.

Hendaklah menyakini, setiap sesuatu itu mempunyai pembersihnya. Pembersih hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang masa dan diberi keutamaan.

SIKAP MUKMIN SEBENAR




Sikap orang mukmin yang benar

1.Kenapa aku diuji?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: ‘kami telah beriman’, sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (QS Al-Ankabut: 2-3)

2.Kenapa tidak beroleh yang aku harapkan?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia sangat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia sangat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (QS Al-Baqarah: 216)

3. Kenapa aku diuji seberat ini?

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (QS Al-Baqarah: 286)

4. Aku rasa kecewa…

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman.” (QS Ali-Imran :139)

5. Bagaimana sebaik cara aku menghadapinya?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah sempadan) serta bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (QS Ali-Imran: 200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, kerana sesungguhnya solat itu sangatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (QS Al-Baqarah: 45)

6. Apakah yang aku peroleh daripada semua ini?

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (QS At-Taubah: 111)

7. Kepada siapa patut aku berharap?

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.” (QS At-Taubah:129)

8. Aku tidak dapat bertahan lagi…

“…dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (QS Yusuf: 12)


BERZIKIR DAN BERDOALAH


Pemuda-pemudi harapan!

Betapa pun sibuknya aktiviti kehidupan kita setiap hari, jauh di sudut hati kita perlukan saat-saat bersendiri yang tenang. Namun, awas! Usah dibiarkan hati kita kosong dan mengelamun dengan sia-sia. Keadaan sedemikian memberikan ruang untuk syaitan menyelinap memasuki ruang hati..., membisik dan memperdayakan kita. Nauzubillah! Sewajarnya kalian sentiasa meletakkan hati dalam keadaan peka terhadap ayat-ayat Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang”. (QS Al-Ahzab: 41-42)

Wahai anak-anakku yang sentiasalah berfikir,
Mengapakah kita perlu berzikir?
Ketahuilah, antara faedah berzikir;

1. Diri rasa hampir dengan Allah dan jiwa rasa tenteram,

2. Merasa selamat kerana Allah sentiasa bersama hambaNya yang ingat padaNya,

3. Dengan menyebut salah satu nama dan sifat Allah yang Maha Mulia, meninggalkan kesan istimewa dalam jiwa dan mendorong kita berusaha menghiasi diri dengan sifat-sifat yang menepati asma’ Allah,

4. Apabila berzikir, syaitan lari jauh bersama was-was dan prasangka yang dibawanya,

5. Dengan berzikir kita sentiasa dilimpahi rahmat dan sakinah (ketenangan)


Anak-anakku,
Sekiranya kita terlalai dari berzikir, syaitan akan mendorong kita melakukan maksiat serta berbagaikan kejahatan lain. Sedangkan selagimana kita berzikir, kita dikelilingi malaikat juga di dalam lindungan Allah. Pada hakikatnya, zikir yang kita praktikan tidak sekadar ungkapan di lidah saja, malahan yang utama zikir itu berpusat di hati. Kemudian akan terungkap pada lisan. Seterusnya mengalir pada anggota pancaindera lain secara menyeluruh;

· Lidah akan hanya menyebut perkara yang baik saja.

· Mata hanya akan memandang yang halal dan digalakkan.

· Telinga hanya akan mendengar yang dibolehkan dan diredhai Allah.

· Tangan hanya akan bergerak melakukan kebaikkan.

· Kaki tidak akan bergerak menuju maksiat dan kemungkaran.

· Otak tidak akan memikirkan hal-hal yang diharamkan.

· Hati hanya mengingati Allah dan berazam terus menerus melakukan perkara-perkara yang diredhai Allah.

Pemuda-pemudi yang ibu dikasihi kerana Allah,

Renungkan sedalam-dalamnya... Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menciptakan kita dengan anugerah berbagai bentuk nikmat meliputi langit dan bumi, Disediakan pula petunjuk ke jalan kebenaran dan keredhaanNya. Wajarkah ada sesuatu yang lain yang lebih utama kita sebut dan ingati dalam setiap detik denyutan nadi kita?


Allah sentiasa memuji orang-orang yang beriman di dalam firmanNya;

“Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau di dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata: ya Tuhan kami sesungguhnya tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari siksa neraka”. (QS Al-Imran:191)

Renungi juga firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28:

“Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenteram”.

Justru itu bersungguh-sungguhlah membiasakan lidah kalian dengan zikrullah dalam apa jua keadaan. Sewaktu kalian makan, minum, memakai pakaian, hendak tidur, bangun tidur, dalam perjalanan maupun ketika berlajar atau bekerja. Elakkan satu saat yang berlalu begitu sahaja tanpa zikrullah. Pastikan setiap saat terisi zikrullah demi memperolehi bekalan taqwa serta rahmat dan keampunan Allah.

Seterusnya anak-anakku,

Seperkara lagi yang tidak sepatutnya kita lupa dan abaikan ialah keperluan untuk berdoa. Kerelaan hati kita untuk sentiasa berdoa merupakan bukti kesedaran diri kita yang mengakui fakir dan dhaif juga sangat memerlukan kurnia Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya. Sebaliknya keengganan berdoa menggambarkan kesombongan diri dari pergantungan dan pengharapan kepada Allah. Oleh itu semestinyalah kita sentiasa bersungguh-sungguh dalam memanjatkan doa dengan menyedari segala anugerah dan kekuasaan berada dalam ketentuan Allah. Dengannya kita akan beroleh bekalan berterusan di sepanjang hayat. Salah satu anugerah terbesar dari Allah untuk hamba-hambaNya ialah janjiNya memperkenankan doa , apabila kita berdoa kepadaNya. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60;

“Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka dalam keadaan hina dina”.

Pemuda-pemudi yang sentiasa mengharapkan rahmat Ilahi,
Sentiasa ibu doakan agar kalian terus menerus menjaga hubungan hati dengan Allah demi meraih bekalan yang barakah. Setiap diri yang sentiasa berdoa, akan merasai faedah dan kelebihan yang Allah anugerahkan;

· Mendapat ketenangan jiwa, perasaan dan fikiran.

· Tidak mudah menyerah kalah, rasa kecewa dan putus asa.

· Beroleh perisai diri yang mampu menghadapi berbagai tekanan.

· Sentiasa dipermudahkan menghadapi apa jua masalah.

· Menguatkan iman dan tawakkal kepada Allah.

· Dapat memelihara diri dari perbuatan sia-sia dan berdosa.


Perlu juga kalian merebut peluang memanjatkan doa pada waktu-waktu yang terbaik untuk berdoa;

· Selepas mengerjakan solat fardhu

· Waktu diantara azan dan iqamah

· Ketika bersujud di dalam solat

· Selepas solat subuh Subuh sebelum matahari terbit

· Waktu tengah malam/ sepertiga malam

· Ketika berpuasa

· Sewaktu bermusafir/ dalam perjalanan

· Pada malam Jumaat dan malam Lailatul Qadar

· Waktu di antara dua khutbah.

· Pada waktu kita teraniaya dan dizalimi

Di samping itu setiap kali berdoa sebaik-baiknya menepati adab-adab berdoa;

· Sebelum berdoa sebaiknya dalam keadaan bersih, berwudhu’ dan mengadap kiblat.

· Memulakan doa dan mengakhirinya dengan memuji Allah SWT dan membaca selawat untuk Rasulullah s.a.w.

· Hati mesti hadir, khusyuk, tenang dan penuh berharap Allah mengabulkan doa kita.

· Berdoa dengan suara perlahan dan mengangkat tangan separas hidung. Merapatkan kedua tapak tangan dan setelah selesai berdoa, menyapukan tapak tangan ke muka.

· Doa permohonan itu sebaik-baiknya diulang-ulang sebut sebanyak tiga kali.


Pemuda-pemudi harapan yang dikasihi kerana Allah,
Sesungguhnya zikir dan doa yang diungkapkan sewaktu berseorangan dan sunyi sepi, memberi pengaruh mendalam pada jiwa. Terutama tatkala airmata bercucuran kerana menginsafi kesilapan dan dhaifnya diri di hadapan Allah. Segenap pengharapan memenuhi jiwa memohon limpah hidayah dan rahmat Allah. Keadaan kudus sedemikian membina keyakinan padu serta bekalan yang bermanfaat untuk hari-hari mendatang...

Juga semoga di akhirat nanti kita akan digolongkan di kalangan hamba-hambaNya yang beroleh naungan dari Allah.

Sama-sama kita tangguhkan dengan doa;

“Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu. Hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu. Serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu.

Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna dan keyakinan yang benar-benar mantap.

Ya Allah kurniakalah kami deen (cara hidup) yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka.

Kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami ya Allah , iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa saja yang bersama-sama kami.

Jangan ya Allah, Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walau hanya sekelip mata atau kadar masa lebih singkat dari itu.

Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan, kabulkanlah doa kami”.


Wassalam.

Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.