UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SETIAP DETIK MEMPERBAIKI DIRI


Anak-anak remajaku yang dikasihi kerana Allah!

Mari sama-sama kita berdoa;
"Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.
Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
KepadaMu kami menyembah
Dan kepadaMu sahajalah kami memohon pertolongan.
Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat,
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai,
Dan bukan jalan orang-orang yang sesat."

Anak-anakku,
Sedarilah satu hakikat yang berlangsung setiap saat...iman itu kekuatannya sering berubah-ubah dan mudah pudar. Sepertimana pakaian, segera lusuh dan buruk. Justru itu kekuatan iman perlukan perhatian serius. Perlu sentiasa dinilai dan dibaiki. Dengan lain perkataan, perlu sentiasa berlangsung muhasabah atau koreksi diri...

Ulamak Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara muhasabah(koreksi diri), telah menggariskan 10 dasar yang praktikal;

1. Qiyamulail - merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat lain.

2. Solat subuh berjamaah - akan mendapat jaminan perlindungan dari Allah seperti maksud hadis:"Siapa yang sembahyang subuh berjamaah, maka dia berada daalm jaminan Allah. allah sekali-kali tidak meminta sesuatu dari kamu kerana jaminanNya."(HR Muslim)

3. Sentiasa mendampingi Al-Quran - Ia penawar dan kita sangat berhajatkan rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya hati tenang dan dapat merasai suasana hening bening. Menghayati ayat-ayatnya sambil berlinangan airmata.

4. Makanan dari sumber halal - pastikan makanan dan rezeki datang dari sumber yang halal dan tidak dicampuri yang haram. Mesti juga diingat, kita makan untuk tujuan beroleh tenaga bagi memudahkan beribadah, bukanya melakukan keburukan.

5. Hindari malas - Islam tidak menyukai pengangguran. Sepatutnya setiap muslim bersungguh-sungguh dalam melakukan sebarang pekerjaan. Di samping sentiasa membersihkan rezeki dengan sedekah dan zakat.

6. Mengawal pandangan dan perasaan - sewaktu berada di khalayak, sentiasalah berwaspada mengawal pandangan dan berhati-hati daripada tergoda dan digoda.

7. Sentiasa memelihara akhlak - laraskan setiap tingkah laku bertepatan akhlak Islam. Sedapatnya menjadi contoh kebaikan kepada orang lain. Sekiranya orang lain beroleh hidayah dari mencontohi pribadi mulia kita, maka kita juga beroleh ganjaran seperti mana orang itu.

8. Sentiasa menuntut ilmu - pastikan setiap detik sepanjang hayatmu di isi dengan kegiatan menambahkan ilmu. Perhatikan maksud hadis: "Pelajarilah ilmu!. Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah taqwa. Menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya jadi sedekah. Mewariskanya kepada ahli keluarga menjadi ibadah kurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan yang halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat di jalanan ahli syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."(Riwayat Ibnu Adil Barri)

9. Melaksanakan tuntutan syarak - sentiasa bertekad dan benar-benar mengutamakan cara hidup Islam.

10. Menunaikan hak jasad - memelihara kesihatan dan kekuatan fizikal. Hindari diri dari aktiviti yang sangat mengganggu ketangkasan badan dan berpada-pada dalam beriadhah secara lasak. Juga bersederhana dalam urusan makan minum.


Begitulah wahai setiap remaja yang dikasihi kerana Allah!
Pada hakikatnya muhasabah diri mesti berlangsung setiap saat dalam denyutan nadi kalian. Ia tidak hanya pada waktu tertentu sahaja. Dengannya iman yang bertapak di hati dapat dikawal keteguhannya. Juga hati yang sifatnya mudah berbolak balik dapat dilaraskan kestabilannya.

Wallahu'alam.
ummu anas.

SAHABAT SEJATI




Salam rindu diiringi kasih sayang Ilahi...,


Istimewa buat seluruh pemuda-pemudi harapan di setiap sudut bumi tercinta.


Ibu kasihi kalian, kerana mengetahui hal itu diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Juga setiap kebahagiaan yang ibu perolehi datang dari Rabbi yang empunya kasih sayang itu. Semestinya bagi mensyukuri nikmat kasih sayang yang melimpah ruah itu..., sebaik-baiknya dan tepat sekali setiap diri kita mengembangkan kasih sayang itu kepada seluruh insan lain. Begitulah juga yang sangat ibu harapkan terlaksana di kalangan kalian. Saling berkasih sayang dan tolong menolong dalam rangka mentaati perintah Allah. Bukannya saling mendorong kepada melakukan keburukan.


Pemuda pemudi yang dikasihi kerana Allah,

Rasulullah SAw ada bersabda; "Kamu tidak akan dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia."


Cuba pula kalian perhatikan maksud syair Arab berikut...


Janganlah menunda pertolongan,

Hanya kerana mengharapkan datangnya bukti,

Tatkala saudaramu ditimpa musibah ,

Yang sangat menghiris hati.

Yakinlah akan balasan dari kebaikan

Yang telah anda perbuat

Kerana Allah tidak akan lupa

Manusia pun punya daya ingatan.


Pemuda-pemudi Harapan!

Ibu juga ingin berkongsi dua buah lagi catatan rakan-rakan kalian yang tempohari ibu

kendalikan bengkel penulisan bersama mereka. Telah ibu berikan latihan untuk mencetuskan idea menggunakan kaedah 'flow writing'. Cuma 10 minit untuk tajuk/isu yang mudah. Sambutan yang diberikan peserta seramai 65 orang itu sungguh menggalakkan! Mereka kelihatan cergas, segar dan kreatif. Terpadam rasa lesu dan mengantuk. Ya! kaedah ini memang efektif...


Harap dapat kalian semak dan beri perhatian terhadap petikan yang ibu selitkan bersama-sama ini...

Sahabat Sejati
oleh: Mohammad Lutfi b. Muhamed

Sahabat berbeza dengan kawan biasa. Sahabat mempunyai kedudukan istimewa bagi diri seseorang. Dia merupakan orang kedua penting selepas ibu bapa kita. Dia memahami segala kekuatan dan kelemahan kita. Sentiasa pula bersedia membantu kita dalam sebarang masalah yang kita hadapi. Susah dan senang dia tetap bersama kita. Jika kita ditimpa musibah, dialah orang pertama menghulurkan bantuan. Begitu juga ketika kita berjaya dan gembira, dia turut gembira dan bersyukur. Tiada iri hatinya melihat apa yang kita perolehi.

Setiap orang walau apa pun bangsa dan agamanya, sangat memerlukan teman sejati. Kerana teman sejati akan sentiasa meperingatkan kita sewaktu kita tersilap, lalai dan cuai. Susah senang dilalui bersama-sama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Sentiasa tolong menolong, umpama aur dan tebing. Setia dan akrab seperti isi dengan kuku. Persahabatan sejati akan lebih bererti jika diikat dengan persaudaraan Islam. Sahabat sejati kita juga merupakan saudara seagama. Ia kekal hingga ke akhirat.


Sahabat Sejati
oleh: Muhammad Hazip Ikmal

Sahabat. Satu perkataan yang membawa 1001 makna. Walau semanis mana diungkapkan. Walau sepanjang mana dihuraikan. Hakikatnya untuk memiliki sahabat sejati bukanlah perkara mudah. Sentiasa dilanda badai ujian. Sentiasa ditusuk duri hasutan. Juga dihalangi berbagai rintangan. Menguji hati yang penuh harapan. Harapan persahabatan akan kekal berpanjangan. suci dan abadi.

Seringkali juga persahabatan kita diuji dengan perpisahan. Kita tercampak berjauhan bagi memenuhi impian dan cita-cita. Mengapa kita kesalkan? Bukankah kita mesti bersikap terbuka. Setiap Muslim itu bersaudara. Jika kita memahami keadaan ini, pasti kita dapat menerima perubahan keadaan. Patah tumbuh, hilang berganti. Tidaklah hanya mengeluh dan menyesali. Semua muslim adalah saudara kita dan selayaknya menjadi sahabat sejati.

Wallahu'alam.

Mari Bermain Di Sisiku




Salam rindu diiringi kasih sayang kerana Allah,
Istimewa buat seluruh pemuda-pemudi di serata pelusuk bumi tercinta.


Dalam kesibukan harian, dan sedang daku mengemas timbunan buku dan catatan...muncul selembar kertas bertaip yang tertera judul seperti yang daku diturunkan di ruangan blog kali ini. Ternyata di dalamnya terdapat sebuah coretan yang berguna untuk kita renungi...


Pada suatu ketika terdapat sebatang pokok jambu yang besar. Seorang kanak-kanak suka bermain di bawah naungannya setiap hari. dia sering memanjat dan memetik buahnya. Kadangkala tertidur nyenyak di situ. Pokok itu semakin mgenali dan memanjakan kanak-kanak tersebut.


Apabila masa berlalu, kanak-kanak tersebut membesar dan tidak lagi bermain di situ setiap hari. Suatu hari kanak-kanak itu datang kembali. Dia sudah remaja sekarang.Pokok terlalu gembira dan berkata; "Mari bermain di sisiku."



Remaja itu menjawab; "Saya bukan lagi kanak-kanak, saya sudah remaja. Saya tidak lagi bermain seperti dahulu. Saya perlukan buku-buku. Saya perlukan wang untuk membelinya."



Pokok itu menjawab; "Saya tidak ada wang. Tapi awak boleh mengambil semua buah jambu dan menjualnya untuk mendapatkan wang."



Remaja itu terlalu gembira dengan pelawaan pokok jambu. Kemudian dia memetik kesemua buah jambu dan menghilang diri kembali. Begitu lama dia menghilang diri sehingga pokok jambu merasa sedih.



Hinggalah suatu hari remaja itu kembali menemui pokok jambu. Pokok jambu terlalu gembira, dan berseru kepada remaja itu; "Mari bermain di sisiku."



Remaja itu telah dewasa, dia menjawab; "Saya sudah dewasa, tiada lagi masa untuk bermain. Saya mesti bekerja untuk menyara keluarga. Saya perlukan rumah."



Pokok menjawab; "Saya tidak ada rumah untuk diberikan kepada kamu. Ambillah dahan-dahan saya untuk membuat rumahmu."



Orang dewasa itu sangat gembira dan memotong kesemua dahan pokok jambu. Dia beredar meninggalkan pokok jambu dengan senang hati.



Pokok jambu pun turut gembira melihatkan orang dewasa itu gembira. tinggallah pokok jambu kembali merindui orang dewasa itu.



Pada suatu hari orang dewasa itu datang kembali. Pokok jambu sangat gembira, lalu mengajak orang itu; "Mari bermain di sisiku."



Orang dewasa itu menjawab; "Saya sudah tidak dapat bermain lagi. Saya sudah semakin tua dan ada banyak masalah. saya perlukan sebuah bot untuk berlayar bagi menenangkan hati. Bolehkah awak dapatkan sebuah bot untuk saya?"



Pokok dengan lapang dada mempelawa; "Ambillah batang kayu saya untuk membuat bot."
Tanpa berlengah, orang tua itu menebang pokok jambu hingga tinggal tunggul. Dibuatnya bot dan dia pun berlayar menghiburkan hatinya. Tinggallah pokok jambu dalam kesedihan merindui orang tua itu.
Agak lama dia meninggalkan pokok jambu yang kian uzur dan tinggal tunggul saja. Sehinggalah orang tua itu datang semula dalam keadaannya yang juga telah kelihatan sanagt uzur. dia merintih meluahkan keluhannya.
Pokok jambu: "Saya sudah tidak ada apa-apa lagi hendak diberikan kepada awak. hanya tinggal tunggul dan akar saja.
Orang tua: "saya tidak perlukan apa-apa lagi, sekadar ingin berehat. Usia saya telah dihabiskan untuk memenuhi hajat yang banyak."
Pokok jambu: "Kalau begitu, berehatlah. Bersandarlah pada tunggulku. Berehatlah di sisiku. Aku sentiasa merinduimu."
Anak-anakku...fikir dan renungi pengajaran yang terkandung dalam sketsa tersebut...
Jika cerita itu diibaratkan pengorbanan ibu bapa, pokok itu umpama ibu bapa. Sedangkan budak itu adalah anak-anak. Ketika kecil kita sangat bergantung kepada ibu bapa. Setelah dewasa dan berasa lebih pintar dan berjaya kita seperti tidak menghiraukan ibu bapa...mengapa? Benarkah kita rela melakukan yang demikian? Bagaimana sepatutnya?
Kita maklum keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa...ayuh kita buktikan taat setia dan kepatuhan kita. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat.