UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SENTUHAN HATI

Salam Ukhwah dan Mahabbah diiringi limpah kasih Ilahi.


Anak-anak remaja harapan!
Setiap kali daku menatap bening wajah kalian, terasa semakin mendalam perasaan kasih yang tersimpan di sudut hatiku. Bersih dan tulus pandangan mata kalian membuat hatiku damai dan tenang. Justru itu rasanya tidak tergamak untuk diri ini menangguhkan terlalu lama janjiku kepada kalian tempohari...

Anak-anak yang dikasihi kerana Allah,
Telah ditakdirkan Allah kita bertemu di dalam bengkel penulisan yang daku kendalikan pada 2/01/10, beberapa hari yang lalu. Memandangkan usia kalian masih muda dan baru sahaja tamat SPM, latihan-latihan yang kubengkelkan untuk kalian juga ringan sahaja. Daku cuma memperkenalkan kaedah 'flow writing'. Satu kaeadah yang sangat daku gemari untuk diajarkan setiap kali menunjuk cara mencetuskan idea secara pantas.

Dalam salah satu soalan bagi latihan tersebut, ada daku berikan beberapa patah perkataan untuk kalian kembangkan idea. Di kalangan 65 0rang bilangan kalian, kebanyakannya memilih perkataan 'teman sejati'. Mungkin pada pandangan kalian, 'teman sejati' itu besar ertinya dalam hidup kalian. Untuk pengisian blog kali ini daku sedut sedikit petikan hasil tulisan 2 orang dari sahabat kalian. Ahmad Ashraf Ilman dan Aqilah Shamjudin.

Begini sedutan nukilan mereka...

Ahmad Ashraf Ilman;
Kini setelah lama aku bersama dengannya, baru aku rasakan betapa hebatnya sahabatku ini. Barulah aku rasakan betapa besarnya rahmat Allah. Dia menghantarkan seorang sahabat yang tiada ternilai kepadaku! Dia telah menyelamatkan aku daripada kegelapan jahiliyah...
Aku kini mampu mentafsirkan siapakah sahabat sejati. Seorang sahabat yang mencintai kita hanya kerana Allah dan RasulNya. Dia sanggup ketawa dan menangis bersama. Sentiasa pula mengingatkan kita apabila menghampiri godaan
hawa nafsu.


Aqilah Shamjuddin;
Sahabat sejati, tidak hanya bersama kita sewaktu senang sahaja. Malahan dia akan mengingatkan kita apabila kita melakukan kesilapan. Juga menjauhkan kita daripada kemungkaran. Sentiasa pula bersedia mendengarkan masalah kita. Dia sepatutnya seorang yang jujur dan boleh dipercayai menyimpan rahsia. Tidak sepatutnya dia menghebahkan rahsia kita yang diketahuinya. Dia juga mesti sedar persahabatan kita adalah dikira ibadah di sisi Allah.

Anak-anak tercinta,
Memadai dahulu dua potong hasil nukilan teman kalian ini. Secara beransur-ansur akan disiarkan yang lain-lain pula. Ambillah pengajaran yang terkandung disebaliknya. Dalam setiap nukilan, isi yang tertulis berulang-ulang dan tidak jelas, daku potong sebahagiannya.

Wassalam.
ummu anas.

HATI KAYA CINTA


Wahai setiap hati dan diri yang dikasihi kerana Allah,


Ketahuilah sesungguhnya kesejahteraan hidup insan berlangsung secara harmoni dengan adanya limpahan cinta kasih Ilahi. Limpahan dan curahan kasih Ilahi itu pula fitrah semulajadinya yang memenuhi ruang kosong dalam hati. Jika hati yang pada awalnya bersih dan kosong diisi dan dicemari hasad dengki dan dendam kesumat, maka cinta kasih Ilahi akan terhalang dari menyelinap masuk. Maka hati akan rosak dan membusuk...akan musnahlah kebahagiaan hakiki.
Hakikat ini sangat penting kita fahami dan hayati. Dengannya akan terpelihara kesejahteraan hidup insan.

Atas dasar cinta kasih Ilahi jugalah semua makhluk diberi fitrah masing-masing. Cintalah yang menyebabkan seluruh planet bergerak pada garis edarnya. Dengan cinta, jiwa manusia berasa sangat beruntung kerana wujud pengharapan. Puncak kebahagiaan insan tercapai apabila seluruh kecintaan hati diasaskan kepada mencintai Allah dan Rasulullah.

Perhatikan dengan teliti perumpamaan ini...
Cinta itu laksana pohon dalam hati. Akarnya adalah kepatuhan kepada kekasih yang dicintai sepenuh hati. Dahannya adalah mengenali dan memahami kehendak Allah. Rantingnya pula adalah ketakutan kepada murka Allah. Manakala daunya adalah malu kepada Allah. Buahnya ialah ketaatan. Sementara air dan baja adalah zikrullah.

Begitulah hati yang dimiliki hamba kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah pula akan mentautkan antara hati hamba-hamba yang mentaatiNya dengan perasaan saling mengasihi sesama saudaranya. Perasaan ini merupakan puncak tertinggi kasih yang diredhai Allah. Inilah bentuk cinta kasih yang membawa manfaat dan kesejahteraan hidup insan. Jika kecintaan tulus dikotori dengan bisikan syaitan dan desakan nafsu, maka bencana kesengsaraan akan menjerumuskan kita ke lembah maksiat. Nauzubillah!

Wahai setiap diri yang diperhati...
Ketahuilah juga orang yang hatinya kaya dengan cinta kasih Ilahi pasti mampu mendorong orang lain juga untuk turut mentaati Allah dan Rasulullah. Inilah yang dimaksudkan diri kalian selaku 'khair al-nas' - sebaik-baik manusia yang membawa manusia lain kepada manusia lain. Sesungguhnya semua ini tidak berakhir setakat di dunia sahaja. Malahan akan diberi perhatian oleh Allah dalam perhimpunan di akhirat kelak. Setiap mukmin yang berkasih sayang kerana Nya dan dalam mentaati titah perintahNya akan diseru berhimpun di bawah lindungan Allah.

Daripada riwayat Hassan, Rasululullah SAW ada bersabda; "Umatku masuk syurga bukan kerana banyak solat dan puasa, tetapi disebabkan selamatnya hati, kemurahan jiwa dan kasih sayang kepada sesama Muslim."

Lantaran begitu besar ganjaran dari cinta kasih Ilahi, maka berdoalah semoga kalian sentiasa tergolong sebagai hamba-hambaNya yang memiliki hati yang kaya cinta kasih Ilahi. Juga berusahalah meneguhkan ikatan ukhwah dan mahabbah di jalan Allah. Keteguhannya dapat ditingkatkan dengan tertingkanya iman dan taqwa. Jika benar cinta kasih Ilahi yang memenuhi hati kita, pastinya kita sentiasa taat kepada kekasih yang ditaati! Iaitu Allah Rabbul Izzati.

KASIH BERTAUT


Salam Ukwah dan mahabbah lillah wafillah,
Istimewa untuk pemuda-pemudi tercinta di serata pelusuh bumi tercinta...

Tirai tahun baru 2010 yang tersingkap menyerlahkan sinar kasih cerah damai ke hatiku. Muncul saja 1hb Januari, diri ini telah menyusur perjalanan meniti kasih suci membimbing tangan kalian...anak-anak remaja yang dikasihi kerana Allah. Diizinkan Allah, daku dpt bersama-sama mengendalikan bengkel penulisan bagi peserta-peserta progrem JATI RELA di KTD.

Sungguh diri ini sangat terharu di atas sambutan yang diberi. Tumpuan perhatian dan kesungguhan peserta bengkel, 65 orang putra dan putri. Banyak sungguh bahan karya yang dapat kuhimpun dan kubawa pulang. InsyaAllah akan ditambah baikkan dan sebahagiannya akan kusiarkan di ruangan blog ini. Juga akan ku panjangkan ke penerbitan majalah Haluan. Besar harapan semuanya bermanfaat mendidik rakan-rakan remaja seangkatan yang cintakan kebaikan.

Dalam catatan ringkas ini kurakamkan kasih sayang persaudaraan yang diharapkan mengikat hati kita dengan keredhaan Ilahi. Daku akan memulakan perjalanan pulang ke selatan tanahair sebentar lagi. InsyaAllah setelah istirehat, akan dipaparkan himpunan karya anak-anak remaja di bengkel tersebut...secara beransur-ansur. Moga mereka akan terus bersemangat mengasah bakat dan potensi positif.

Ditangguhkan dahulu,
Semoga akan dipermudahkan Allah perjalanan ini.
Dan kasihku yang sentiasa segar buat seluruh putra-putri tercinta...
ummu anas.