UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SEMANGAT JUANG SEPANJANG HAYAT


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
dimulakan catatan tinta ini demi meraih redha Ilahi.

Dihidangkan istimewa coretan ini untuk semua yang dikasihi,
di serata pelusuk bumi tercinta, samaada se daerah, se negeri maupun se negara,
malah tiada batas geografi yang memisahkan sesama jiwa muslim. Meliputi semua insan yang cintakan kebenaran...

Bagi yang mengenali daku secara pribadi, telah sedia maklum, hidupku banyak dihabiskan mendampingi golongan remaja. Ini juga bermakna aku sangat cintakan golongan remaja...Mengapa?...Kerana aku suka untuk merasa dan bertindak seperti remaja. Mengapa?...kerana zaman remaja penuh semangat juang! Sewaktu remajaku dulu, aku sering dihidangkan berbagai kisah-kisah perjuangan remaja muslim di zaman kegemilangan Islam.
Keadaan itu banyak mendorongku menjadi remaja yang sentiasa bersemangat untuk berjuang melawan kemalasan dan kerehatan...
Kini kurasakan remaja hari ini juga sepatutnya sentiasa bersemangat untuk terus berjuang meningkatkan ketekunan... Agar kemakmuran hari ini dapat ditingkatkan.

Untuk itu dipertemuan kali ini,
Kuhidangkan sebuah kisah yang sangat terkesan di hatiku dan telah menggugah semangatku...
Sewaktu diizinkan Allah aku menjejak kaki di lokasi yang ada kaitan dengan kisah tersebut, jiwaku tambah gementar... dan kisah itu benar-benar menggegar semangatku untuk terus berjuang...dan berjuang! meraih dan menggarap redha Ilahi!...

Kita singkap sejarah silam. Kita renungi dengan teliti bagaimana kegigihan seorang puteri kepada khalifah pertama Islam; ASMA' BINTI ABU BAKAR.
Kegigihan se panjang hayat yang sentiasa mengutamakan keredhaan Allah.
Dari kecil lagi Asma' telah dididik dengan baik oleh bapanya Saidina Abu Bakar. Berkorban sememangnya telah menjadi kebiasaan dalam rumahtangga ayahandanya. Sewaktu kedatangan Islam, Asma' menyertai barisan awal memeluk Islam. Beliau tersenarai sebagai orang ke 18 memeluk Islam. Suasana keimanan yang mendalam yang disuburkan oleh ayahandanya, telah membentuk kepribadiannya menjadi muslimah yang sentiasa bermurah hati, berani dan mempunyai keazaman yang tinggi.

Asma' binti Abu Bakar mula terkenal dalam sejarah Islam semenjak tali pinggangnya dibelah dua untuk mengikat bekalan yang dihantar kepada Rasulullah s.a.w. Peristiwa itu bermula bila ayahandanya menjadi teman Rasulullah berhijrah ke Madinah. Dalam perjalanan hijrah ini, Rasulullah dan Saydina Abu Bakar bersembunyi daalmsebuah gua di bukit Tsuur. Oleh kerana Asma' tidak mempunyai tali untuk mengikat bekalan yang dibawa, beliau telah mengoyakkan tali pinggangnya menjadi dua. Satu untuk mengikat bekal makanan, dan satu lagi untuk menikat bekas simpanan air. Daripada peristiwa itulah, beliau beroleh gelaran Dzatin-Nithaqain yang bermakna, gadis yang mempunyai dua belahan tali pinggang.

Gadis yang gigih ini telah melalui perjalanan yang jauh lagi sukar diantara Makkah dan Bukit Tsuur. Seorang pemuda yang gagah perkasa sekalipun belum pasti mampu melalui lorong berliku dengan intaian musuh merbahaya. Hanya dengan bekalan iman mendalam serta bermatlamat mengharap keredhaan Allah, telah memberi dorongan yang kuat kepada Asma'. Kaki dihayun pantas dan penuh yakin , membawa bekalan dan berita kepada Rasulullah dan ayahandanya.

Dalam perjalanan pulangnya, sebelum sempat tiba di rumah, Asma' telah dihalangi oleh beberapa orang Quraisy. Mereka diketuai oleh Abu Jahal bertujuan untuk mengetahui di mana Rasulullah bersembunyi. Keengganan Asma' memberi jawapan, membuat Abu Jahal naik berang. Dia menampar Asma' dengan kasar menyebabkan terpelanting anting-anting Asma'. sakit kesan tamparan Abu Jahal itu terus dirasakan Asma' beberapa hari. Juga membuat dia tidak dapat melupakannya seumur hidup.

Walaupun terpaksa menghadapi ancaman lebih besar dari yang tersebut, Asma' tetap tidak akan membocorkan persembunyian Rasulullah s.a.w. Meski pun nyawanya terancam, beliau lebih mengutamakan kebenaran dan keredhaan Allah.
Dalam kehidupan Asma' seterusnya, beliau tetap sentiasa rela berkorban. Ini jelas terbukti bilamana beliau telah menerima Az-Zubair al-Awwam sebagai suaminya. Zubair merupakan pejuang Islam yang miskin harta tetapi kaya semangat perjuangan. Asma' sering ditinggalkan sendirian.

Untuk memenuhi keperluan asas hidupnya, Asma' mesti bekerja keras. Dia terpaksa mengusahakan kebun tamar dan binatang ternakan suaminya secara sendirian. Dalam melakukan kerja-kerja bertani tersebut beliau tepaksa berulang alik sejauh tiga batu setiap hari.
Dia sendiri mengisar tepung, mengangkat air dan memberi makan kuda, tapa bantuan sesiapa pun. Asma' sedikit pun tidak mengeluh dengan kesukaran yang dilaluinya. Semuanya pada aggapannya hanyalah sementara. Sebagai ujian terhadap keimanan yang telah dibina. Beliau mengharapkan kesenangan yang kekal abadi di akhirat kelak seperti maksud firman Allah;
"Katakanlah kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa".(QS An-Nisa':77)

Sifat kegigihan dan keberanian Asma' tidak hanya menyeri dirinya, malah telah diwariskan kepada puteranya Abdullah bin Zubair. Abdullah pernah menjadi ketua di Mekah dan Madinah agak lama hingga berlaku rampasan kuasa dan kemenangan Bani Umaiyah. Abdullah menjadi buruan Al-Hajaj,panglima perang Bani Umaiyah. Abdullah dikurung dan dikepung, ramai pengikutnya lari dan mati. Dalam keadaan genting ini Abdullah meminta pendapat ibunya; samaada terus berjuang atau menyerah kalah. Dengan tegas Asma' menasihati anaknya; "Wahai anakku, jika engkau mengetahui dirimu berada di pihak kebenaran, maka teruslah menegakkan kebenaran itu sekali pun engkau terpaksa mati kerananya. Sesungguhnya mati itu lebih mulia daripada hidup yang terpaksa tunduk kepada kezaliman". Semasa kata-kata ini diucapkan oleh Asma', usianya telah mencecah 100 tahun. Meskipun fizikalnya telah uzur, tetapi semangatnya tidak pernah padam. Meski pun menghadapi berbagai cabaran zaman, Asma' tetap gigih mengharapkan keredhaan Allah. akhirnya dia pulang ke rahmatullah pada tahun 73 Hijrah dalam keteguhan iman yang sentiasa segar. semoga Allah meredhainya.

Wahai barisan remaja harapan watan!
Bagaimana tanggapan kalian...? Bukankah usia remaja merupakan usia paling tangkas dan segar,
sesuai berjuang dan berkorban!.
Berkorban melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.
Berjuang mengalahkan bisikan syaitan dan hawa nafsu yang menipu.
Ingatlah selalu maksud firman Allah dalam surah Al-Faathir , ayat 5:
"Hai manusia sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakanmu dan sekali-kali janganlah orang yang pandai memperdayakan kamu tentang Allah".

Wassalam.

SUSAH DAN SENANG TETAP UJIAN

Salam ukhwah dan mahabbah diiringi rahmat dan barakah Ilahi.

Musim cuti datang lagi. Subhanallah! Penyusunan dan rahmat dari Allah...dapat daku melapangkan masa bercuti dengan seisi keluarga. Sudah lama teringinkan sedikit kelapangan begini; seolah-olah Allah beri elaun dari tugas yang panjang...Apa pun keadaannya, aku perlu ingat, susah dan senang atau sihat dan sakit adalah ujian. Sepertimana maksud firman Allah;
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".(QS Al-Mulk: 2)

Awal cuti mengiringi anak-anak ke rumah mertua. Memperlihatkan kepada mereka kehidupan mewah di kampung yang telah dinaik taraf menjadi kawasan bandaraya. Hebat dan menggerunkan! Hebat..., kerana saudara mara yang dahulunya hidup selaku 'orang kampung' kini mampu hidup cara 'orang bandar'. Punya pekerjaan sendiri, mengusahakan industri kecil makanan, pusat rawatan kecatikan juga kontraktor binaan. Pendek kata pelbagai industri kecil boleh diusahakan, asal saja tekun dan gigih. Hati rasa sedikit ngeri! Khuatir gaya hidup materialistik dan individualistik menguasai jiwa 'anak kampong' yang dahulunya kaya budi-bahasa dan mewah sikap gotong-royong serta melimpah ruah rasa kekeluargaan menjadi leka... Kini kesibukan mengejar projek sering mencuri waktu berziarah.
Anak-anak merengek-rengek; kata mereka kampung ayah dah rasa panas, nyamuknya makin ganas...!

Selang 3 hari bercuti di JK,terus menuju ke kampung ibuku di BJ. Tempat damai yang sering kurindui...Sentiasa terkenang hari-hari indah berlari mengejar kupu-kupu di dahan pokok kopi yang rendang. Dari atas titi yang telah dibesarkan, terlihat kelibat ibu duduk di atas tangga, menanti kepulangan cucu-cucu yang lucu. Rumah kampong serba sederhana dengan keindahan rimbunan pepohon serta bunga-bunga desa yang mengharum sentiasa menggamit hati kami sekeluarga. Namun kesibukan perjuangan hidup sering memendekkan waktu percutian kami. Tanpa disedari golongan tua terpaksa hidup dalam kesepian, demi kesejahteraan dan kecemerlangan generasi pelapis dan pewaris. Kita yang muda ini kadangkala lupa..., ganjaran syurga berada hampir di sisi keredhaan hati ayah-bonda. Terlalu jauh cita-cita dan terlalu luas jangkauan perjuangan, hinggakan rintihan sepi orang tua tidak lagi menyentuh hati besar kita.

Hidangan makan malam sekadar tumis air sayur-sayur kampong dan goreng ikan keli berlada sangat menyelerakan berbanding ayam goreng bertepung dari pasar malam yang hiruk-pikuk. Malah lebih 'berkat' kerana dimasak oleh tangan yang mendoakan kita. Bukankah hati kita tandus..., sebabnya termakan hidangan yang kekeringan kasih-sayang. Sebaiknya kita sering makan yang disediakan oleh tangan yang mengasihi kita; dengannya jiwa kita lunak dan mudah melakukan kebaikan.

Keindahan dan bersihnya panorama kampong sepatutnya sering kita renungi..., agar terlihat kebesaran kuasa Allah mencipta alam semesta. Syukur padaMu ya Rabbi, hajat anak-anak ingin melihat keunikan kelip-kelip di malam hari tertunai juga... Bagi anak-anak yang tidak pernah dibesarkan di kampong, memang merasa asing dengan keunikan serangga kelip-kelip atau kunang-kunang. Sejenis serangga kecil seperti lalat mengeluarkan cahaya waktu menggeserkan kedua kepaknya. Kelip-kelip jantan terbang berkumpulan di sekeliling pokok berembang, untuk menarik perhatian kelip-kelip betina. Lokasi yang menjadi tumpuan kelip-kelip banyak di tepi sungai yang ada pokok berembang. Begitulah menurut pendayung sampan yang bertugas memandu pelancung di lokasi pelancungan secara kecil di hujung kampong ibuku. Hutan paya bakau di pinggir sungai juga sudah ditanam semula dan dibinakan jeti untuk tujuan mengindah dan membaik pulih. Nampaknya sedikit demi sedikit kampong pendalaman itu menampakkan potensi industri pelancongan...

Setelah anak-anak melihat secara dekat kehidupan kedua-dua kampong; kampong ayah mereka JK dan kampongku BJ, dua tugasan mesti dipenuhi....menulis cacatan ke dalam buletin keluarga kami dan menjawab soalan 'apa akan dilakukan...jika saya yang akan memajukan kedua-dua kampong tersebut?'. Latihan ini untuk merangsang mereka memikirkan peranan dan tanggungjawab...,apabila mereka ditakdirkan menyertai barisan kepimpinan masa hadapan...!

Apa pun keadaannya...bumi yang terbentang luas ini adalah untuk kita renungi tujuan Allah menciptakannya. Segalanya untuk memudahkan kita beribadah sepanjang hayat. Sewajarnya kita mensyukuri segala nikmat tersebut. Nikmat keindahan, kesejahteraan, keamanaan dan kemakmuran... Kita perlu sentiasa menyedari sekiranya kita bersyukur terhadap nikmat-nikmat yang Allah beri, akan ditambahNya lagi nikmat kepada kita. Telah kita maklumi bersyukur yang Allah kehendaki adalah dengan mentaati perintahNya sekaligus menjauhi laranganNya. Dengan kata lain kita menjadi hamba Allah yang sentiasa melakukan kebaikan dan mengajak orang lain turut berlaku baik. Tidak boleh kita menyuruh orang berbuat baik, tetapi kita sendiri tidak melakukannya malahan berbuat kejahatan.

Sedarilah juga, kita sedang diuji dengan kesenangan. Sedangkan ada saudara seagama kita diuji dengan kesusahan, kemiskinan dan peperangan. Bagaimanapun bentuk ujian itu, kesusahan atau kesenangan, tetap perlukan pengorbanan dan keikhlasan. Juga diiringi kekuatan dan keteguhan iman. Kekuatan iman perlukan usaha khusus untuk membinanya. Sebagai remaja muslim yang sedar, membina kekuatan iman menepati slogan ini: 'Tegakkan Islam dalam dirimu, nanti Islam akan tegak di negaramu'. Umat Islam akan kuat bila kembali kepada ajaran dan cara hidup Islam. Ajaran Islam yang sebenar menuntut penganutnya membebaskan diri dari sebarang bentuk perhambaan kecuali menghambakan diri kepada Allah.

Apabila seseorang remaja menjadi hamba Allah SWT semata-mata, bererti dia menolak segala bentuk perhambaan yang lain. Samaada terhadap manusia, nafsu dan syaitan. Dengannya setiap remaja Muslim akan beroleh kekuatan untuk melepaskan cengkaman negatif seumpama pergaulan bebas, arak, dadah, rempit dan apa jua keburukan yang menjerumuskan kepada maksiat dan kemungkaran. Dengan itu remaja muslim akan terbentuk menjadi insan cemerlang yang terbilang dan berakhlak mulia. Berketerampilan dan menjadi tunggak kekuatan umat.

Ayuh! Kita mulakan langkah mengatasi setiap ujian kesukaran maupun kesenangan. Jadikan kesabaran sebagai penyegar semangat.
Wallahu'alam.

Redha Dia Mengiringi redha mereka


Segala puji dan syukur hanya untukMu ya Rabbi!, tempat pergantungan seluruh makhluk.




Kepantasan waktu belum berhenti.


Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Berbelas tahun menuju puluhan tahun. Dulu kita kanak-kanak, kini muda remaja...


Dalam kesibukan yang tidak berhenti, mari kita luangkan sedikit waktu, menyemak apa yang telah kita perbuat kepada...


"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutuanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-ibu".(QS An-Nisaa':36)




Rasulullah s.a.w bersabda:


"Adakah tidak aku beritahu kepada kamu tentang sebesar-besar dosa?. Baginda mengulanginya tiga kali. Kami berkata; Bahkan tidak ya Rasulullah. Baginda bersabda; Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua ibu-bapa".




Apakah yang dimaksudkan derhaka kepada ibu-bapa?


Soalan ini sering/sentiasa menyentuh perasaanku. Aku terasa gementar setiap kali soalan ini singgah di benakku. Justru itu kukumpulkan jawapan yang boleh memanduku mengetahui apakah yang di maksudkan dengan menderhakai ibu-bapa...


Derhaka di sudut ini bermaksud tidak melaksanakan hak-hak ibu-bapa;


* anak memandang dengan tajam kepada ibu atau ayah ketika marah.


* anak merasa/menganggap ibu-bapa sama taraf dengan dirinya.


* anak mengkagumi dirinya dan tidak menghormati pandangan ibu-bapa.


* anak malu dikenali dengan nama ibu atau ayahnya, terutama jika dia lebih berilmu dan berkedudukan.


* anak tidak memberikan nafkah kepada kedua ibu-bapa apabila telah berharta.


* anak berkasar ketika berkata-kata hingga terkeluar perkataan "aahh".


* anak merasa jemu terhadap kedua ibu-bapa. Tergamak menyombong, menyakiti hati, melukai perasaan han menghina ibu-bapa.




Hati kecilku sentiasa gementar dan khuatir kerana sangat sukar untuk benar-benar membebaskan diri dari perangkap salah satu kederhakaan tersebut. Sedangkan sewaktu kecil, aku terlalu merindui mereka. Menjadi sebesar-besar impianku untuk hidup gembira dan terkumpul dengan kedua ibu-bapa. Namun, setelah menyedari aku telah ditentukan untuk terus terpisah dari mereka, aku pasrah melakukan yang terbaik dan diizinkan Allah. Gementar hati tidak juga berakhir. Allah jua yang mampu memudahkan segala-galanya.




Hati terus dipujuk dan dipujuk untuk tetap melakukan yang Allah perintahkan:


* mentaati perintah ibu-bapa kecuali dalam perkara maksiat.


* berbicara kepada ibu-bapa dengan penuh kelembutan dan kesopanan.


* berdiri menghormati kedua ibu-bapa sewaktu hampir dengan mereka.


* mencium tangan ibu-bapa waktu bersalaman.


* menunaikan keinginan dan hajat ibu-bapa.


* memelihara nama baik ibu-bapa.


* berbincang dengan ibu-bapa dalam apa jua tindakan/keputusan yang kita ambil.


* meraikan tetamu yang mengunjungi ibu-bapa.


* melakukan perkara-perkara yang disukai ibu-bapa tanpa disuruh.


* jangan melaung dan bersuara keras memanggil kedua ibu-bapa.


* jangan keluar rumah tanpa izin kedua ibu-bapa.


* jangan menyampuk ketika ibu-bapa sedang bercakap.

* jangan mencela jika ibu-bapa melakukan perkara-perkara tidak disenangi.

* jangan menganggu ketika ibu-bapa tidur.

* banyak berdoa dan memohon ampun untuk kedua ibu-bapa;

"Ya Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mengasihani dan mendidik aku semasa kecil".


Hal-hal berkaitan tanggungjawab terhadap kedua ibu-bapa tidak akan berakhir. Berkekalan dari dunia hingga ke akhirat. Betapa pun keadaan kita, susah maupun senang, tetap mesti dilaksanakan tanggungjawab tersebut. Semuanya dilakukan demi beroleh keredhaan Allah. Sebagai bukti ketaatan, kepatuhan dan kecintaan terhadap Allah dan Rasul.

Wallahu'alam.