Wahai setiap hati yang mencari sebuah pengertian,
Fahamilah maksud firman Allah; "Apakah kamu mengira bahawa Kami menjadikan kamu secara sia-sia sahaja dan kamu tidak akan di kembalikan kepada Kami?. Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan yang mempunyai 'Arasy yang mulia".(QS Al-Mukminun:115-116)
Wahai diriku yang kerdil lagi perlu petunjuk kebenaran!,
Sedari dan syukuri betapa selama ini, Allah tidak mebiarkanmu berlaku sesuka hati...
"Apakah manusia menyangka bahawa dia akan dibiarkan begitu saja (tanpa dipertanggungjawabkan)".(QS Al-Qiyamah:36)
Ingatlah sentiasa... kita diciptakan Allah semata-mata untuk beribadah kepadaNya sepanjang hayat kita. Kita akhirnya akan kembali kepadaNya dalam keadaan untuk mempersembahkan sebaik-baik amalan yang telah dilaksanakan.
Bilamana ku kenang semula...36 tahun yang lalu...
Betapa Maha Pengasih lagi Maha Penyayang Allah. Diri kerdil ini yang terkapai-kapai meraih tangan siapa yang sudi membimbing...? Allah beri hidayah melalui hambaNya yang berperanan sebagai guru, dengan penuh belas kasihan menunjukkan jalan kebenaran. Aku diperingatkan bagaimana sepatutnya seorang muslim menunaikan tangungjawabnya. Mesti mentaati segala perintah Allah juga menjauhi laranganNya. Akhlak dan amalan mesti pula seragam. Tidak patut rajin beribadat, tetapi terus-menerus melakukan maksiat.
Ketika itu usiaku 13 tahun, baru menjejakkan kaki di dunia sekolah menengah rendah - di tingkatan peralihan khas (remove class). Juga ketika itu masih dalam kategori awal remaja. Berbagai krisis nilai yang ditemui. Suasana sekolah yang jauh berbeza berbanding semasa di sekolah rendah. Perjalanan dan jarak yang jauh untuk ke sekolah. Berhadapan dengan ramai kawan-kawan dan guru-guru non-muslim dari berbagai tahap ekonomi. Juga yang paling mencabar suasana yang kurang meransang suasana amal islami. Persekitaran persekolahan pula berbentuk 'western'. Semua ini pada awalnya membuat diri kerdil ini hanyut dan leka...mengejar kecemerlangan yang tandus nilai agama.
MasyaAllah!
Baru ku tahu kini...Orang yang berbahagia ialah orang yang telah bertemu dengan pertolonganNya. Orang sedemikian telah didorong kepada cahaya hidayahNya. Bukankah satu keberuntungan jika datang seseorang kepada kita memberitahu kita bahawa matlamat hidup yang sebenar ialah untuk mencapai keredhaan Allah . Dengannya kita juga akan beroleh kebagiaan di akhirat kelak. Dari itu selagi hayat dikandung badan,pintu ibadat dan taubat luas terbuka...sentiasa mengalukan kehadiran kita untuk memenuhi ruang taqwa.
"Maka segeralah kembali mentaati Allah. Sesungguhnya aku(Rasulullah) adalah pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu. Dan janganlah kamu mengadakan tuhan(Ilah) yang lain di samping Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu".(QS Adz-Dzariyat:50-51)
Astagfirullah!
Maha Suci Allah yang telah menyelamatkanku dari terpesong menjauhi jalan kebenaran. Pesanan dan peringatan bersilih ganti dari guru-guruku, seikhlasnya mereka ingin melihat diriku berjaya menjadi orang yang berguna dalam kehidupan beragama. Justru hidupku terumbang -ambing tanpa perhatian ayah-ibu, sepenuh hati mereka luangkan sudut-sudut kasih tulus untuk aku menumpang kasih memenuhi fitrah insani. Sentiasa tanpa jemu, guru-guruku mengajarku tatacara menepis hasutan dan bisikan syaitan. Juga sebaik cara mengekang hawanafsu...
Bersikap tegaslah pada diri sendiri; "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita, tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan".
Bilangan pelajar dan guru Melayu yang juga beragama Islam di sekolahku ketika itu hanya kira-kira sepertiga dari keseluruhan bilangan warga sekolah. Allah jua yang telah memberi hidayah dan menyelamatkan kami!. Hingga kini aku masih beranggapan, semua hidayah itu merupakan ganjaran dari Allah terhadap wujudnya hati-hati yang ikhlas bergantung harap kepada Allah. Pada hakikatnya setiap diri yang melafazkan kalimah syahadah telah Allah tumbuhkan tunas iman. Bilamana disiram dan dibajai dengan ibadah dan amalan, akan suburlah pohon takwa yang jika terus jaga dan dirawat dengan persaudaraan Islam, akan terbitlah hasil buahnya jihad dan pengorbanan.
Sunatullah itulah yang telah berlaku terhadap diriku dan pelajar Melayu lain ketika itu. Guru Melayu dan ustazah bertungkus-lumus mengawasi dan membimbing kami dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim.
Siapa yang mengarah mereka?...
Memang tiada arahan dari sesiapa pun..., semuanya adalah ransangan dari iman di hati. Itulah iman yang hidup dan berfungsi!
Hasilnya sungguh lumayan! Moga saham ini berada di papan teratas di akhirat kelak sebagai peniaga taqwa yang berjaya!
Nuzubillah!
Sentiasalah berwaspada...
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ilah(sembahan) dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya?.Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah membiarkannya sesat? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?".
Maka dari itu...,
Apabila iman bertambah dan ditambah, maka akhlak akan bertambah baik. Seseorang yang kuat imannya tidak akan terjerumus ke dalam akhlak yang hina kerana dia telah mendapat
kekuatan daripada Allah Yang Maha Mulia.
Yakinlah; "Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia, dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu,maka tidak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".(QS Yunus:107).
Golongan remaja merupakan aset besar masyarakat dan negara. Mesti dibangunkan dengan sebaik-baiknya. Semua pihak mesti mengembeling tenaga. Dulu dan kini usah dijadikan alasan yang menghalang tanggungjawab. Kemajuan dan kemakmuran hanya tinggal impian, kiranya seluruh anggota masyarakat bersikap individualistik. Bangunlah bergerak..., pimpin tangan generasi muda harapan, Wariskan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah, bukan hanya menuduh dan menunding jari ke arah orang lain. Sebaik-baiknya perbaiki diri serentak mengajak orang lain berjalan seiring di landasan kebenaran.
Teruslah...,sentiasa menyedari anda tidak dibiarkan sendirian; ada tanggungjawab besar menanti - sebagai khalifah Allah.
Wassalam.
ISTIKHARAH CINTA
ANAK-ANAKKU BERJUANGLAH
Untuk mendapatkan buku ini sila hubungi UMMU ANAS di email (bintul.eslah@gmail.com)
ANAK-ANAKKU BANGUNLAH
Pembaca
Curahan rahmat Ilahi, mahabbah fillah dan ukhwah sejati umpama embun pagi yang mendinginkan jiwa alam.Tanpa semua ini, kehidupan di mayapada menjadi kering dan gersang.Ukhwah (persaudaraan)Islamiah merupakan ikatan kerohanian yang teguh, hasil tertanamnya iman dalam jiwa. Ianya mampu menerbitkan perasaan belas kasihan yang mendalam mengatasi sebarang ikatan lain, hatta ikatan darah dan keturunan. Hakikat ini telah Rasulullah SAW jelaskan dalam sabda baginda yang bermaksud;
"Perupamaan bagi orang-orang yang beriman itu dalam kasih-sayang, belas-kasihan, rahmat-merahmati mereka, umpama jasad. Jika satu anggota mengaduh sakit, akan turut semua anggota merasai sakit dan berjaga malam".
Imam Muslim dalam sahihnya ada meriwayatkan sabda Rasulullah SAW; "Sesungguhnya Allah Taala akan berkata pada hari kiamat: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranKu? Pada hari ini, Aku akan melindungi mereka di bawah lindunganKu. Iaitu hari di mana tiada lindungan lain kecuali lindunganKu".
Lantaran menyedari hasil dan ganjaran dari persaudaraan serta cinta-kasih kerana Allah inilah, masyarakat Islam di sepanjang sejarah kegemilangan bersungguh-sungguh saling bantu-membantu. Mereka saling memelihara hak saudaranya;
* Tidak menganiaya sesama saudara muslim.
* Tidak membuka aibnya.
* Tidak menyerahkannya kepada musuh.
* Mendoakan untuknya walaupun berjauhan.
* Sentiasa berwajah manis ketika bertemu.
* Saling kunjung-mengunjungi/ berziarah.
* Turut bersukacita dalam kegembiraan saudaranya. Begitu juga pada kesedihannya, bersimpati dan membantu meringankan keresahannya.
* Saling memberi hadiah.
* Menziarahinya ketika dia sakit.* Turut mengiringi jenazahnya.
Keadaan kehidupan di serata pelusuk dan penjuru dunia hari ini memberi cabaran yang besar terhadap ukhwah Islamiah. Dua cabaran utama ukhwah Islamiah ialah sifat materialistik dan individualistik. Kedua-duanya ini merupakan karat-karat jahiliyyah yang banyak meracuni ukhwah. Demi memastikan kesejahteraan hidup insan, sewajarnya kita sama-sama berusaha keras memastikan ukhwah dan mahabbah berada dalam keadaan sihat dan subur.
Bagaimana?
Pertama-tamanya, mestilah dibasmi segala gejala yang merosakkan ukhwah:
1. Berprasangka dan curiga terhadap saudara muslim - apa jua bentuk aduan yang memburuk-burukkan diri saudara muslim,mestilah diselidiki dahulu kebenarannya. Kesilapan dalam bertindak, akan meracuni dan membunuh ukhwah.
2. Memperolok-olokkan dan mencela sesama saudara muslim - mempersedakan dan memanggil dengan panggilan yang menyakitkan hati saudara muslim, sama juga seperti mencela diri sendiri. Kerana seseorang muslim itu merupakan cermin kepada saudaranya.
3. Mencari-cari kesalahan dan mendedahkan aib saudara muslim - tidak boleh juga mengumpat dan menyebut kelemahan di belakang saudara muslim. Tutupilah aibnya dan beri dia peluang bertaubat dan memperbaiki diri. Jangan hanya dengan satu kesalahan membunuh banyak lagi kebaikan yang dilakukan oleh saudara muslim.
Keduanya, ukhwah Islamiah mestilah dtaburi dan disirami baja yang berkesan untuk meningkatkan kesuburannya;
1. Taaruf - saling mengenali - mengetahui namanya, bangsanya, keluarganya, dan asal kediamannya.
2. Taaluf - rasa keterikatan dan kesatuan antara orang-orang beriman. Berpegang kepada ikatan agama Islam dan menghindarkan pepecahan.
3. Tafahum - saling memahami. Sentiasa peka dengan keadaan saudara muslim dan segera memberikan bantuan sebelum diminta.
3. Ta'awun - saling membantu dalam hal-hal kebaikan. Juga saling mengingatkan dan menghindari sebarang keburukan dan kemungkaran.
Yakinlah setiap diri muslim yang bersungguh-sungguh memelihara ukhwah akan sentiasa beroleh rahmat dan pertolongan Allah.
"Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Barangsiapa menutup aib seorang muslim, niscaya Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat. Allah selalu menolong seseorang hamba selama dia menolong saudaranya".(HR Muslim)
Sentiasalah berterusan menyuburkan ukhwah dengan kata-kata penyegar yang menyakinkan - beritahu saudara muslim kita bahawa kita sangat mengasihinya kerana Allah.
Juga sentiasalah saling mendoakan saudara muslim di luar pengetahuannya.
Ini bermakna, sewaktu kita berhadapan dengannya kita nyatakan perasaan kita terhadapnya. Manakala di luar kehadirannya, kita sentiasa mendoakan kebaikan untuknya. Dengan itu ukhwah Islamiah berjalan lancar pada setiap detik hayat kita.
Seperkara yang perlu kita fikirkan...UKHWAH ISLAMIAH adalah sesuatu yang tinggi kedudukannya di sisi Allah.
Maka sudah tentu ianya berlangsung dalam BATASAN SYARAK.
Bagaimana sikap kita, ...bukankah praktik ukhwah MESTI: LELAKI dan LELAKI. PEREMPUAN dan PEREMPUAN. Bagaimana bolehkah; LELAKI dengan PEREMPUAN?
Bersama-sama kita renungi seperti yang Allah kehendaki...
Salam sejahtera diiringi limpahkasih Ilahi.
Ditujukan khusus untuk setiap diri yang sentiasa berpaut kepada cinta-kasih Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Wahai diri yang Allah ciptakan...
Ingatlah firman Allah yang bermaksud;
"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok(akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".(QS Al-Hasyr:18)
Berfikirlah wahai semua diri yang Allah kasihi...,
Gunakan setiap detik masa yang dikurniakan untuk menghitung diri, amalan mana yang perlu diperkemas dan dipertingkatkan. Sesungguhnya kita umpama pedagang di dunia ini;
* Iman dan Islam adalah modal.
* Keikhlasan, Ketaatan dan Istiqamah adalah srategi.
* Keredhaan Allah adalah target dan matlamat.
* Pahala dan Keampunan adalah keuntungan hakiki.
Ingatlah pesanan Umar Al-Faruq r.a;
"Hisablah dirimu sebelum engkau dihisab(Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang(Allah) serta bersiap sedialah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar(akhirat)".
Oleh itu fikirkan sedalam-dalamnya...
1. Gerak hatimu yang menimbulkan niat samaada ikhlas atau tidak dalam melakukan sesuatu kerja. Adakah hatimu diserang kuman riak, 'ujub dan takabbur?.
2. Apakah perkara yang sentiasa memenuhi akalmu?.Adakah dirimu hanya memikirkan hal-ehwal dunia hingga melupakan akhiratmu?.
3. Apakah pekerjaanmu mengalihkan tumpuan dari memikirkan perananmu menegakkan deen Allah?
4. Adakah setiap ibadahmu dilakukan sebaik-baiknya?
5. Rezekimu adakah kamu perolehi dari sumber yang halal?
6. Aktiviti dan tugas-tugas harianmu adakah menjurus ke jalan kebaikan dan kebenaran.
Akhirnya laraskan laluan hidupmu di landasan kebenaran Islam agar terbit akhlak mulia lagi terpuji. Sentiasalah merasakan Allah mengawasimu. Dialah Penguasa dan Pemilik segala yang ada di langit dan di bumi. Baik yang kelihatan oleh mata zahir atau yang tidak kelihatan. Yakinlah akan kekuasaanNya. Semoga kita semua beroleh pertunjuk dan rahmat Allah.
Amiin.
Salam ukhwah dan mahabbah diiringi limpah rahmat Ilahi.
Alhamdulillah dengan izin dan perkenan Allah jua, dapat disambung semula janji menulis dari post yang lalu. Jarak masanya telah 3 hari berlalu. Memang masa terlalu pantas bergerak. Kelekaan kita amat merugikan; pepatah Arab menyifatkan masa umpama pedang. Kiranya kita tidak memotong, masa akan memotong kita...
Menyambung semula pengkisahan yang lalu...
Bagaimana diri kerdil ini jatuh cinta dengan dunia penulisan...
...Ada kusebutkan...diri ini telah ketemu seorang yang puitis...itu mulanya daku menyusuri dunia baru sewaktu melangkah ke alam remaja...
Siapa dia itu...? dia sungguh manis, sejuk mata memandang. Habibah namanya. Ya..., seorang anak perempuan yang baik. Bersopan santun dan lemah-lembut wataknya. Gadis Melayu sejati. Aku sendiri ketika itu berusia 12 tahun, kami sama-sama gadis sunti. Kami memang se darjah semenjak di darjah tiga lagi. Cuma aku mulai rapat dengannya setelah di darjah enam. Ketika itu aku sering terlibat dengan persembahan pentomin di sekolah. Begitu juga dengan Habibah. Dia suara latar yang mendeklamasi sajak, manakala aku berlakon membawa watak yang dipersembahkan. Dia memang pandai mendeklamasi sajak. Menurut Habibah dia memang dilatih oleh ayahnya mendeklamasi sajak. Ayah dan ibunya memang berjiwa puitis. Di waktu lapang di sekolah , aku sering memintanya mendeklamasikan sajak khusus untuk kudengar. Dia pun memang terlalu gembira setiap kali aku meminta begitu. Pendek kata minat kami bertemu jodohnya...
Aku sebenarnya punya hobi membaca, apa saja yang kubaca dari akhbar dan majalah berkaitan puisi dan sastera kugunting dan simpan. Adalakalanya kutampal dalam buku catitan. Anak-anak remaja seusiaku dulu sangat gemar menyalin senikata lagu-lagu. Tetapi diriku, sebab tidak pandai menyanyi, lebih suka menyalin puisi dan pantun. Kerana itu apabila berkawan dengan Habibah, kami menjadi rapat kerana punya kecenderungan yang saling menyokong. Lama-kelamaan aku mula cuba-cuba mengarang rangkap-rangkap pantun dan sajak...Itu cuma permulaan. Memang tak berapa indah, tetapi bolehlah dijadikan pendorong dan pembuka jalan... Habibah pula tetap memberiku sokongan, pandai dia mendeklamasi sajak-sajakku. aku jadi asyik. Kebiasaanku dengan watak lasak dan 'tomboy' mulai berkurangan. Aku banyak berlajar tingkah-laku lemah-lembut dari Habibah. Mulalah aku banyak berbaju kurung...walaupun ketika itu agak lucu bila berganding dengan watak lasak.
Kini bila kurenungi kembali kisah yang telah lama berlalu itu.... dan dibuat perbandingan dengan steps/langkah mencetus minat menulis, ianya ada kesinambungan. Untuk memupuk minat menulis..., perlu dimulai dengan minat membaca terutamanya karya-karya satera. Ini fakta yang pernah kukutip dan pelajari dari beberapa kursus penulisan.
1. Membaca dan terus membaca setiap hari.
2. Mencatatkan apa jua maklumat dari bahan bacaan, yang didengar, yang disaksikan dan yang dialami sendiri.
3. Kenal pasti bidang/sudut yang kita minat dan banyak maklumat. Samaada puisi, cerpen atau esei.
4. Mula disiplin menuliskan secara berterusan gaya yang kita suka tulis.
Ayuh! Cubalah... untuk diri anda...berkesankah kaedah ini?...
Kunanti...dan kunanti respon darimu...
Moga Allah berkati!
Mohon tangguh dulu, moga Allah ampuni segala kesilapan dan beroleh keredhanNya.
Wassalam.
Setinggi-tinggi puji dan puja hanya untuk Allah, Tuhan seru sekalian alam.
Selawat dan salam untuk rasul junjungan Muhammad s.a.w. Para sahabat serta seisi keluarga baginda. Juga untuk seluruh pendokong dan pencinta deen Islam.
Syukur tidak terhingga di atas kurnia usia hingga detik ini dari Rabbul'Izzati. Sebesar-besar nikmat yang diperoleli; iman dan Islam. Dengan Islam kita berada dalam keadaan selamat dan terpelihara dari kesesatan. Dengan iman kita dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Setiap detik hayat semestinya dalam rangka mengabdi diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan. Ikhlas itu mesti semata-mata mengharap redha Allah. Usah dibiar rasa ingin dipuji manusia mengotori kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya.
Telah menjangkau masa hampir 2 bulan diri ini menjelajahi dunia menulis di alam maya...masih bertatih menyisih selaput kejahilan; masih berlajar dan menimba pengalaman. Setinggi-tinggi penghargaan untuk semua yang memberi kerjasama dan menunjuk ajar. Menjelajah di alam baru dalam usia 1/2 abad memang umpama si rabun berjalan bertongkat di malam hari..., teguran dan perhatian menjadi penyuluh yang sangat diharapkan. Lazimnya berjalan sambil meneroka akan menemui berbagai pemandangan menarik... Namun diriku tetap perlu menyedari tujuan asal untuk apa menulis di alam maya ini? Hasratku kuat ingin merakamkan pengalaman-pengalaman berkesan sepanjang jalan hidup yang berliku, agar dengannya dapat ditimbang dan dihisab apakah ianya menepati titah-perintah Allah. Juga sangat diharapkan sebarang teguran dan peringatan agar diri ini dapat membaiki kesalahan sebelum tiba detik kembali mengadapNya...
Alam persekolahan rendah bagiku terlalu pantas berlalu...(1967-1972).
Rasanya belum puas bermain teng-teng, batu selemban dan galah panjang sewaktu lebihan masa rehat dan di petang hari sebelum kelas tambahan. Satu bulan sebelum sesi persekolahan akhir tahun selesai, kami murid-murid darjah enam sudah tidak berlajar. Bebas dan sibuk dengan latihan-latihan menyediakan persembahan untuk hari penyampaian hadiah. Aku sendiri ketika itu sibuk berlatih berlakon untuk persembahan pentomin. Pentomin merupakan lakonan yang disertai deklamasi puisi dan sajak. Pelakon watak hanya melakonkan gerak-geri berdasarkan cerita yang disampaikan. Manakala suara latar mendeklamasikan puisi yang berkaitan jalan cerita yang dilakonkan. Persembahan pentomin memang sangat digemari ketika itu. Agak mudah latihannya, tidak perlu menghafal skrip. Orang yang mendeklamasi puisi sebagai suara latar disembunyikan di sebalik tabir. Hanya orang yang melakonkan watak yang kelihatan beraksi di atas pentas. Cuma perlu seiring suara puisi dengan gerak-geri watak. Aku sendiri sangat sukakan pentomin dan dapat menjayakan persembahan dengan baik ketika itu. Keadaan itulah yang membuat aku rapat denagan guru Bahasa Melayu yang ditugaskan melatih murid-murid yang berbakat dalam persembahan pentomin. Keadaan itu juga tiba-tiba membuat aku menulis cita-citaku...ingin menjadi pelakon bila dewasa! Gawat benar jadinya...
"Ain, ustazah panggil awak ke bilik guru",Kamal yang merupakan 'head boy' ketika itu, meyampaikan pesan 'keramat' untukku.
Berdebar dadaku...apalah agaknya yang akan ustazah bebelkan lagi. Aku sudah jarang-jarang menemui ustazah kerana sering asyik menghabiskan masa 'menelaah' novel-novel tebal...
"Ain sibuk lagi dengan latihan pentomin?? Petang semalam saya tertunggu-tunggu Ain datang untuk menguji peserta musabaqah sekolah rendah peringkat daerah...".
Aku rasa serba-salah bila ustazah merenung lembut dengan penuh pengharapkan ke dalam anak mataku... Aku tahu ustazah memang merasa kurang senang aku giat berlakon. Sedangkan aku sendiri begitu cenderung belakon pentomin. Menjadi dilema... Ustazah suka aku melibatkan diri kepada aktiviti keagamaan. Sedangkan aku mulai membina identiti berdasarkan kecenderungan.
"Betul ke Ain nak jadi pelakon bila dewasa nanti?",nampak riak-riak hampa di wajah ustazah. Seolah-olah cita-cita itu tidak bagus untukku teruskan.
"Saya rasa suka sangat berlakon..., tapi Pak Usu saya memang tak setuju. Katanya itu cita-cita yang sia-sia. Dia mahu saya jadi guru, seperti yang ayah saya hajatkan...", kuluahkan segala yang terbuku di hati.Maklumlah ustazah sudah lama mengenaliku, dan aku pun memang agak 'manja' dengannya. Cuma kebelakangan sejak meminati lakonan aku jarang menemui ustazah di bilik guru.
"Gini, Ain. Apa pun cita-cita yang kita pilih biarlah sesuatu yang diharapkan oleh ibu-bapa kita dan membawa kebaikan. Supaya Allah permudahkan dan diberkati. Elakkan dari mengecewakan ibu-bapa. Untuk Ain, harapan Pak Usu tu samalah juga dengan harapan ibu-bapa... Saya pun sentiasa mendoakan Ain jadi manusia berguna bila dewasa kelak...".Ustazah mengenggam kedua-dua tanganku dan diusapnya lembut. Hatiku tiba-tiba sayu melihat redup renungan matanya. Seolah-olah terpancar kasih sejati seorang ibu...
Telah kusimpan sebaik-baiknya pesanan ustazah itu; kusematkan di hati dan terpahat di akal. mengawal langkahku sepanjang jalan berikutnya...Aku meninggalkan sekolah rendah menuju alam sekolah menengah dengan sulaman cita-cita baru...INGIN MENJADI PENULIS.
Ini gara-gara berkenalan dengan
'seorang yang puitis'.
Siapa dia?...ceritanya nanti dulu...
Maafkan diri ini, nampaknya ada tugas yang perlu kusegerakan. Ditangguhkan dulu slot ini dengan mengharapkan keampunan Allah pada apa jua kesilapan. Moga Allah izin untuk disambung sedikit masa lagi...
Wassalam.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
dimulakan catatan tinta ini demi meraih redha Ilahi.
Dihidangkan istimewa coretan ini untuk semua yang dikasihi,
di serata pelusuk bumi tercinta, samaada se daerah, se negeri maupun se negara,
malah tiada batas geografi yang memisahkan sesama jiwa muslim. Meliputi semua insan yang cintakan kebenaran...
Bagi yang mengenali daku secara pribadi, telah sedia maklum, hidupku banyak dihabiskan mendampingi golongan remaja. Ini juga bermakna aku sangat cintakan golongan remaja...Mengapa?...Kerana aku suka untuk merasa dan bertindak seperti remaja. Mengapa?...kerana zaman remaja penuh semangat juang! Sewaktu remajaku dulu, aku sering dihidangkan berbagai kisah-kisah perjuangan remaja muslim di zaman kegemilangan Islam.
Keadaan itu banyak mendorongku menjadi remaja yang sentiasa bersemangat untuk berjuang melawan kemalasan dan kerehatan...
Kini kurasakan remaja hari ini juga sepatutnya sentiasa bersemangat untuk terus berjuang meningkatkan ketekunan... Agar kemakmuran hari ini dapat ditingkatkan.
Untuk itu dipertemuan kali ini,
Kuhidangkan sebuah kisah yang sangat terkesan di hatiku dan telah menggugah semangatku...
Sewaktu diizinkan Allah aku menjejak kaki di lokasi yang ada kaitan dengan kisah tersebut, jiwaku tambah gementar... dan kisah itu benar-benar menggegar semangatku untuk terus berjuang...dan berjuang! meraih dan menggarap redha Ilahi!...
Kita singkap sejarah silam. Kita renungi dengan teliti bagaimana kegigihan seorang puteri kepada khalifah pertama Islam; ASMA' BINTI ABU BAKAR.
Kegigihan se panjang hayat yang sentiasa mengutamakan keredhaan Allah.
Dari kecil lagi Asma' telah dididik dengan baik oleh bapanya Saidina Abu Bakar. Berkorban sememangnya telah menjadi kebiasaan dalam rumahtangga ayahandanya. Sewaktu kedatangan Islam, Asma' menyertai barisan awal memeluk Islam. Beliau tersenarai sebagai orang ke 18 memeluk Islam. Suasana keimanan yang mendalam yang disuburkan oleh ayahandanya, telah membentuk kepribadiannya menjadi muslimah yang sentiasa bermurah hati, berani dan mempunyai keazaman yang tinggi.
Asma' binti Abu Bakar mula terkenal dalam sejarah Islam semenjak tali pinggangnya dibelah dua untuk mengikat bekalan yang dihantar kepada Rasulullah s.a.w. Peristiwa itu bermula bila ayahandanya menjadi teman Rasulullah berhijrah ke Madinah. Dalam perjalanan hijrah ini, Rasulullah dan Saydina Abu Bakar bersembunyi daalmsebuah gua di bukit Tsuur. Oleh kerana Asma' tidak mempunyai tali untuk mengikat bekalan yang dibawa, beliau telah mengoyakkan tali pinggangnya menjadi dua. Satu untuk mengikat bekal makanan, dan satu lagi untuk menikat bekas simpanan air. Daripada peristiwa itulah, beliau beroleh gelaran Dzatin-Nithaqain yang bermakna, gadis yang mempunyai dua belahan tali pinggang.
Gadis yang gigih ini telah melalui perjalanan yang jauh lagi sukar diantara Makkah dan Bukit Tsuur. Seorang pemuda yang gagah perkasa sekalipun belum pasti mampu melalui lorong berliku dengan intaian musuh merbahaya. Hanya dengan bekalan iman mendalam serta bermatlamat mengharap keredhaan Allah, telah memberi dorongan yang kuat kepada Asma'. Kaki dihayun pantas dan penuh yakin , membawa bekalan dan berita kepada Rasulullah dan ayahandanya.
Dalam perjalanan pulangnya, sebelum sempat tiba di rumah, Asma' telah dihalangi oleh beberapa orang Quraisy. Mereka diketuai oleh Abu Jahal bertujuan untuk mengetahui di mana Rasulullah bersembunyi. Keengganan Asma' memberi jawapan, membuat Abu Jahal naik berang. Dia menampar Asma' dengan kasar menyebabkan terpelanting anting-anting Asma'. sakit kesan tamparan Abu Jahal itu terus dirasakan Asma' beberapa hari. Juga membuat dia tidak dapat melupakannya seumur hidup.
Walaupun terpaksa menghadapi ancaman lebih besar dari yang tersebut, Asma' tetap tidak akan membocorkan persembunyian Rasulullah s.a.w. Meski pun nyawanya terancam, beliau lebih mengutamakan kebenaran dan keredhaan Allah.
Dalam kehidupan Asma' seterusnya, beliau tetap sentiasa rela berkorban. Ini jelas terbukti bilamana beliau telah menerima Az-Zubair al-Awwam sebagai suaminya. Zubair merupakan pejuang Islam yang miskin harta tetapi kaya semangat perjuangan. Asma' sering ditinggalkan sendirian.
Untuk memenuhi keperluan asas hidupnya, Asma' mesti bekerja keras. Dia terpaksa mengusahakan kebun tamar dan binatang ternakan suaminya secara sendirian. Dalam melakukan kerja-kerja bertani tersebut beliau tepaksa berulang alik sejauh tiga batu setiap hari.
Dia sendiri mengisar tepung, mengangkat air dan memberi makan kuda, tapa bantuan sesiapa pun. Asma' sedikit pun tidak mengeluh dengan kesukaran yang dilaluinya. Semuanya pada aggapannya hanyalah sementara. Sebagai ujian terhadap keimanan yang telah dibina. Beliau mengharapkan kesenangan yang kekal abadi di akhirat kelak seperti maksud firman Allah;
"Katakanlah kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa".(QS An-Nisa':77)
Sifat kegigihan dan keberanian Asma' tidak hanya menyeri dirinya, malah telah diwariskan kepada puteranya Abdullah bin Zubair. Abdullah pernah menjadi ketua di Mekah dan Madinah agak lama hingga berlaku rampasan kuasa dan kemenangan Bani Umaiyah. Abdullah menjadi buruan Al-Hajaj,panglima perang Bani Umaiyah. Abdullah dikurung dan dikepung, ramai pengikutnya lari dan mati. Dalam keadaan genting ini Abdullah meminta pendapat ibunya; samaada terus berjuang atau menyerah kalah. Dengan tegas Asma' menasihati anaknya; "Wahai anakku, jika engkau mengetahui dirimu berada di pihak kebenaran, maka teruslah menegakkan kebenaran itu sekali pun engkau terpaksa mati kerananya. Sesungguhnya mati itu lebih mulia daripada hidup yang terpaksa tunduk kepada kezaliman". Semasa kata-kata ini diucapkan oleh Asma', usianya telah mencecah 100 tahun. Meskipun fizikalnya telah uzur, tetapi semangatnya tidak pernah padam. Meski pun menghadapi berbagai cabaran zaman, Asma' tetap gigih mengharapkan keredhaan Allah. akhirnya dia pulang ke rahmatullah pada tahun 73 Hijrah dalam keteguhan iman yang sentiasa segar. semoga Allah meredhainya.
Wahai barisan remaja harapan watan!
Bagaimana tanggapan kalian...? Bukankah usia remaja merupakan usia paling tangkas dan segar,
sesuai berjuang dan berkorban!.
Berkorban melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.
Berjuang mengalahkan bisikan syaitan dan hawa nafsu yang menipu.
Ingatlah selalu maksud firman Allah dalam surah Al-Faathir , ayat 5:
"Hai manusia sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakanmu dan sekali-kali janganlah orang yang pandai memperdayakan kamu tentang Allah".
Wassalam.
Salam ukhwah dan mahabbah diiringi rahmat dan barakah Ilahi.
Musim cuti datang lagi. Subhanallah! Penyusunan dan rahmat dari Allah...dapat daku melapangkan masa bercuti dengan seisi keluarga. Sudah lama teringinkan sedikit kelapangan begini; seolah-olah Allah beri elaun dari tugas yang panjang...Apa pun keadaannya, aku perlu ingat, susah dan senang atau sihat dan sakit adalah ujian. Sepertimana maksud firman Allah;
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun".(QS Al-Mulk: 2)
Awal cuti mengiringi anak-anak ke rumah mertua. Memperlihatkan kepada mereka kehidupan mewah di kampung yang telah dinaik taraf menjadi kawasan bandaraya. Hebat dan menggerunkan! Hebat..., kerana saudara mara yang dahulunya hidup selaku 'orang kampung' kini mampu hidup cara 'orang bandar'. Punya pekerjaan sendiri, mengusahakan industri kecil makanan, pusat rawatan kecatikan juga kontraktor binaan. Pendek kata pelbagai industri kecil boleh diusahakan, asal saja tekun dan gigih. Hati rasa sedikit ngeri! Khuatir gaya hidup materialistik dan individualistik menguasai jiwa 'anak kampong' yang dahulunya kaya budi-bahasa dan mewah sikap gotong-royong serta melimpah ruah rasa kekeluargaan menjadi leka... Kini kesibukan mengejar projek sering mencuri waktu berziarah.
Anak-anak merengek-rengek; kata mereka kampung ayah dah rasa panas, nyamuknya makin ganas...!
Selang 3 hari bercuti di JK,terus menuju ke kampung ibuku di BJ. Tempat damai yang sering kurindui...Sentiasa terkenang hari-hari indah berlari mengejar kupu-kupu di dahan pokok kopi yang rendang. Dari atas titi yang telah dibesarkan, terlihat kelibat ibu duduk di atas tangga, menanti kepulangan cucu-cucu yang lucu. Rumah kampong serba sederhana dengan keindahan rimbunan pepohon serta bunga-bunga desa yang mengharum sentiasa menggamit hati kami sekeluarga. Namun kesibukan perjuangan hidup sering memendekkan waktu percutian kami. Tanpa disedari golongan tua terpaksa hidup dalam kesepian, demi kesejahteraan dan kecemerlangan generasi pelapis dan pewaris. Kita yang muda ini kadangkala lupa..., ganjaran syurga berada hampir di sisi keredhaan hati ayah-bonda. Terlalu jauh cita-cita dan terlalu luas jangkauan perjuangan, hinggakan rintihan sepi orang tua tidak lagi menyentuh hati besar kita.
Hidangan makan malam sekadar tumis air sayur-sayur kampong dan goreng ikan keli berlada sangat menyelerakan berbanding ayam goreng bertepung dari pasar malam yang hiruk-pikuk. Malah lebih 'berkat' kerana dimasak oleh tangan yang mendoakan kita. Bukankah hati kita tandus..., sebabnya termakan hidangan yang kekeringan kasih-sayang. Sebaiknya kita sering makan yang disediakan oleh tangan yang mengasihi kita; dengannya jiwa kita lunak dan mudah melakukan kebaikan.
Keindahan dan bersihnya panorama kampong sepatutnya sering kita renungi..., agar terlihat kebesaran kuasa Allah mencipta alam semesta. Syukur padaMu ya Rabbi, hajat anak-anak ingin melihat keunikan kelip-kelip di malam hari tertunai juga... Bagi anak-anak yang tidak pernah dibesarkan di kampong, memang merasa asing dengan keunikan serangga kelip-kelip atau kunang-kunang. Sejenis serangga kecil seperti lalat mengeluarkan cahaya waktu menggeserkan kedua kepaknya. Kelip-kelip jantan terbang berkumpulan di sekeliling pokok berembang, untuk menarik perhatian kelip-kelip betina. Lokasi yang menjadi tumpuan kelip-kelip banyak di tepi sungai yang ada pokok berembang. Begitulah menurut pendayung sampan yang bertugas memandu pelancung di lokasi pelancungan secara kecil di hujung kampong ibuku. Hutan paya bakau di pinggir sungai juga sudah ditanam semula dan dibinakan jeti untuk tujuan mengindah dan membaik pulih. Nampaknya sedikit demi sedikit kampong pendalaman itu menampakkan potensi industri pelancongan...
Setelah anak-anak melihat secara dekat kehidupan kedua-dua kampong; kampong ayah mereka JK dan kampongku BJ, dua tugasan mesti dipenuhi....menulis cacatan ke dalam buletin keluarga kami dan menjawab soalan 'apa akan dilakukan...jika saya yang akan memajukan kedua-dua kampong tersebut?'. Latihan ini untuk merangsang mereka memikirkan peranan dan tanggungjawab...,apabila mereka ditakdirkan menyertai barisan kepimpinan masa hadapan...!
Apa pun keadaannya...bumi yang terbentang luas ini adalah untuk kita renungi tujuan Allah menciptakannya. Segalanya untuk memudahkan kita beribadah sepanjang hayat. Sewajarnya kita mensyukuri segala nikmat tersebut. Nikmat keindahan, kesejahteraan, keamanaan dan kemakmuran... Kita perlu sentiasa menyedari sekiranya kita bersyukur terhadap nikmat-nikmat yang Allah beri, akan ditambahNya lagi nikmat kepada kita. Telah kita maklumi bersyukur yang Allah kehendaki adalah dengan mentaati perintahNya sekaligus menjauhi laranganNya. Dengan kata lain kita menjadi hamba Allah yang sentiasa melakukan kebaikan dan mengajak orang lain turut berlaku baik. Tidak boleh kita menyuruh orang berbuat baik, tetapi kita sendiri tidak melakukannya malahan berbuat kejahatan.
Sedarilah juga, kita sedang diuji dengan kesenangan. Sedangkan ada saudara seagama kita diuji dengan kesusahan, kemiskinan dan peperangan. Bagaimanapun bentuk ujian itu, kesusahan atau kesenangan, tetap perlukan pengorbanan dan keikhlasan. Juga diiringi kekuatan dan keteguhan iman. Kekuatan iman perlukan usaha khusus untuk membinanya. Sebagai remaja muslim yang sedar, membina kekuatan iman menepati slogan ini: 'Tegakkan Islam dalam dirimu, nanti Islam akan tegak di negaramu'. Umat Islam akan kuat bila kembali kepada ajaran dan cara hidup Islam. Ajaran Islam yang sebenar menuntut penganutnya membebaskan diri dari sebarang bentuk perhambaan kecuali menghambakan diri kepada Allah.
Apabila seseorang remaja menjadi hamba Allah SWT semata-mata, bererti dia menolak segala bentuk perhambaan yang lain. Samaada terhadap manusia, nafsu dan syaitan. Dengannya setiap remaja Muslim akan beroleh kekuatan untuk melepaskan cengkaman negatif seumpama pergaulan bebas, arak, dadah, rempit dan apa jua keburukan yang menjerumuskan kepada maksiat dan kemungkaran. Dengan itu remaja muslim akan terbentuk menjadi insan cemerlang yang terbilang dan berakhlak mulia. Berketerampilan dan menjadi tunggak kekuatan umat.
Ayuh! Kita mulakan langkah mengatasi setiap ujian kesukaran maupun kesenangan. Jadikan kesabaran sebagai penyegar semangat.
Wallahu'alam.