"Barangsiapa menempuh suatu jalan menuntut ilmu, akan Allah mudahkan baginya jalan ke syurga".(HR Muslim)
Pasti setiap kita ada cerita tersendiri sewaktu memulakan alam persekolahan. Fenomena hari ini dibandingkan 40 tahun yang lalu jauh berbeza...Apa jua pengalaman yang telah dilalui, itulah sebenarnya yang berperanan memudahkan atau menyukarkan jalan untuk kita garap ilmu yang dihajati. Bagaimana pada pandangan anda ada benarkah kenyataan ini?...
Masih lagi kuingati detik-detik aku akan memulakan alam persekolahan dulu...hujung tahun 1966;
"Betul Ain kau akan sekolah di Kuala Lumpur?", Idah bertanya lagi entah untuk kali yang keberapa. Bila dia melihat aku bermain di halaman, pasti dia datang mendapatkan aku dan bertanya soalan yang sama. Hari itu dia datang bersama Nani, seperti mahu memberitahu sepupuku itu tentang keputusanku.
"Betul, Pak Usu kata kami akan pindah ke Kuala Lumpur. Dia kerja di sana. Aku akan ke sekolah batu. Tak nak sekolah kayu di kampong", lancar saja kata-kataku ketika itu.
Melopong mulut Idah. Dia memang suka sangat bertanya apa saja padaku. Setiap hari dia akan ke rumahku kerana kami berjiran dan kami pun dua pupu. Kami sama-sama senasib, ditinggal ayah dan ibu dan diasuh oleh nenek masing-masing.
"Kau tak nak sekolah, macam aku?", tanya Nani pada Idah. Nani sudah masuk darjah satu ketika itu. Setiap hari ayahnya berbasikal menghantar Nani ke sekolah.
"Atok kata aku budak perempuan, tak sekolah pun tak apa. Tapi mesti pandai menjahit," Idah berkata dengan nada sedih. Hidup datuk dan neneknya agak susah, mereka menoreh getah di kebun sendiri yang hanya 1 ekar. Makan setiap hari ala kadar saja. Emak dan ayahnya telah bercerai dan masing-masing telah berkahwin lain. Sebab itu Idah ditinggal dibawah jagaan datuk dan nenek sebelah ibunya.
"Kau jangan sedih, bila cuti sekolah, bila musim buah, aku balik kampong. Jumpa kau," Itu janjiku pada Idah.
Sebulan kemudian aku dibawa pindah oleh Pak Su dan Nenek Chik ke Petaling, bukannya Kuala Lumpur. Aku memulakan alam persekolahanku pada awal tahun 1967, di Sekolah Ren.Keb.Petaling, ketika itu. Aku telah berada agak jauh dari kampong asalku, Jeram, Kuala Selangor. Walaupun aku budak perempuan, hatiku agak keras ketika itu. Kalau jatuh dan terluka kutahan saja dan cuba untuk tidak menangis. Kegemaran ku memanjat pokok. Aku bercita-cita ingin menjadi polis, kerana akan mudah mencari ibuku yang kuanggap telah hilang ketika itu.
Begitulah kisah permulaan aku melakar dunia masa depanku... Semua itu seizin Allah telah memberi kesan sepanjang jalan yang kulalui hingga kini. Aku menjalani hidupku berkembara dan merantau, juga ilmu masih kuburu...
Kembali ke alam perjuangan ilmu masa kini...bagaimana dengan anda semua wahai anak-anak muda bangsaku juga saudara-saudari seagama... Apa tujuan dan matlamat ilmu yang dicari? Telah dilaraskan untuk beroleh redha Ilahi?...agar mudah berlari menuju syurga yang tak bertepi dan kekal abadi.