UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

HATI OH HATI...


BERSYUKUR

MENSYUKURI NIKMAT, MENYUBUR CINTA ILAHI

Puteri-puteriku yang dikasihi kerana Allah!
Setiap kali seseorang memberikan suatu barang kepada kita, begitu mudah kita lafazkan ucapan terima kasih. Apatah lagi jika yang  diberikan kepada kita sesuatu yang kita sukai atau sangat  diperlukan, bertalu-talu kita luahkan penghargaan. Tetapi, sedarkah kita… Allah Yang Maha Pencipta, yang mengatur dan mentadbir seluruh alam ini dengan menyediakan berbagai nikmat yang tidak terhitung, sangat sedikit ungkapan pujian yang kita curahkan. Sewaktu terlalai…, tergamak kita merasakan nikmat-nikmat tersebut kita perolehi hasil keupayaan ilmu kita sendiri. Astaghfirullah!... Kini sudah tiba masanya kita membina kesedaran berterusan sepanjang hayat semoga kita sentiasa bergerak di landasan kebenaran yang akan membawa kita sampai kepada matlamat keredhaan Allah. Semasa di dunia maupun di akhirat kelak.

Puteri-puteri Islam sejati!
Peruntukkan sedikit waktu untuk merenung dan berfikir…,
1. Tentang nikmat Allah kepada seluruh makhluk.
“Dan Dia telahmemberikan kepadamu keperluanmu dari segala apa yang kamumohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitungnikmat Allah,tidaklah dapat kamumenghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah”.(QS Ibrahim:34)

Antara nikmat-nikmat Allah yang mesti sentiasa diberi perhatian:
* Nikmat sebagai makhluk. (Q.S. 76:1-3)
* Nikmat sebagai manusia. (Q.S.95:4)
* Nikmat sebagai khalifah (Q.S.2:30)
*  Nikmat sebagai Muslim (Q.S.5:3) dan nikmat Mukmin (Q.S. 48:18)
Kedua-dua  nikmat ini merupakan nikmat terbesar antara seluruh nikmat-nikmat Allah.

2. Mengapa Islam dan Iman menjadi nikmat terbesar ?
Hayati maksud Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu dan telah Aku cukupkan nikmatKu atasmu dan Aku redha Islam sebagai agamamu”.

Dengan Islam kita beroleh kebahagian, ketenangan dan ketenteraman. Melalui deen Islam kita beroleh pedoman hidup yang sempurna. Tanpa Islam segala-galanya tidak beerti, malahan bencana akan menimpa diri, anak-anak juga harta benda. Hidup manusia yang tidak beroleh petunjuk Islam sentiasa meraba-raba dalam kegelapan dan kekeliruan .

Manakala dengan Iman pula, kita dianugerahkan taufiq dan hidayah ke jalan ketaatan. Di samping itu kita sentiasa terpelihara dari sebarang kesesatan dan maksiat. Juga dilindungi Allah daripada halangan serta gangguan manusia, jin dan juga syaitan.
Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh mentaati perintah Allah dan menjauhi perbuatan keji. Di samping mengerjakan amal soleh supaya menepati ciri-ciri muslim yang teguh iman.

3. Mengapa kita perlu bersyukur?
*Supaya berkekalan nikmat yang Allah kurniakan. Jika tidak disyukuri nikmat itu akan hilang.
*Supaya nikmat yang kita perolehi akan bertambah.

Sesungguhnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya apabila tidak disyukuri, nikmat akan hilang dan berpindah tempat. Dengan sentiasa bersyukur, nikmat akan bertambah kerana syukur merupakan pengikat nikmat.

4. Bagaimana membina rasa syukur dalam diri?
Pada hakikatnya bersyukur adalah menjaga diri dari perbuatan maksiat, zahir maupun batin.  Secara sembunyi maupun secara terang-terangan. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan.

  • Dengan hati ; berbuat baik kepada semua makhluk.
  • Dengan lidah; melahirkan kesyukuran dengan puji-pujian.
Sabda Rasulullah s.a.w kepada seorang lelaki; “Bagaimana engkau pagi ini?”
Lelaki itu menjawab; “”Aku baik-baik saja”. Lalu Rasulullah mengulangi pertanyaan itu sehingga tiga kali, hingga lelaki itu menjawab; “Baik-baik saja. Aku panjatkan puji dan syukur kepada Allah”. Lalu Rasulullah berkata: “Inilah jawapan yang aku maksudkan dari kamu”.
  • Dengan anggota badan ; menggunakan nikmaat untuk taat kepada Allah.
  • Dengan mata ; menutupi cela orang Muslim lain yang terlihat oleh mata.
  • Dengan telinga ; menjauhi dari mendengar perkara buruk.
Juga dengan lain perkataan, antara tanda terbina rasa syukur ialah ketaatan dan kepatuhan melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Yang Maha Berkuasa.


5. Perhatikan juga kesan/hasil yang diperolehi dari mensyukuri nikmat-nikmat Allah.
Setiap usaha dan pemerhatian kita terhadap nikmat-nimat Allah tidak akan sia-sia, ianya akan menimbulkan kesan mendalam kepada watak, tingkah laku dan jiwa kita.
Antara kesannya;
  • Hati dan jiwa kita menjadi lembut dan mudah merasai dhaifnya diri di hadapan Allah juga mudah meletakkan pergantungan kepada Allah.
  • Menyedari Islam sebagai nikmat terbesar yang disertai ukhwah Islamiah, akan dapat  menghindarkan  hasad dengki dan permusuhan. Dengan itu hidup sesama umat Islam berlangsung dalam suasana harmoni.
  • Menyedari diri kita dipenuhi segala macam nikmat dan kurnia Allah, segenap anggota badan mudah terdorong melakukan ketaatan di samping menjauhi maksiat.

Puteri-puteriku yang sentiasa gigih mengumpul kekuatan,
Dengan menyedari pentingnya hakikat mensyukuri nikmat tersebut, akan memperdalamkan lagi makrifatullah kita terhadap Yang Maha Pencipta. Tersingkap rahsia belas ikhsan serta melimpah ruahnya nikmat Allah kepada seluruh hamba-hambaNya. Maka akan terserlahlah betapa besarnya hajat kita kepada Allah setelah menyedari fakirnya diri kita. Dengan ini akan bertambah subur cinta Ilahi  yang berputik di hati. Inilah juga bekalan yang dapat mendorong kita mengagungkan Allah. MengkagumiNya, menyembahNya dan mentaati titah perintahNya serta bersyukur kepadaNya. Hasilnya kita akan beribadah bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya  demi memperolehi keredhaanNya. Inilah bekalan yang kita hajati sepanjang perjalannan hidup yang bermatlamatkan kejayaan hakiki dan kebahgiaan  akhirat.

Wassalam.
Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.




SUCIKAN HATI


SUCIKAN HATI

Pemuda-pemudi Islam sejati!

Dalam kesibukan kita memenuhi rutin hidup harian, luangkanlah sedikit masa untuk menilai keadaan hati kita. Adakah ianya dalam keadaan suci bersih dan sihat sejahtera?
Hayati maksud sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, akan baiklah seluruh jasad. Apabila ia rosak, akan rosak pula seluruh jasad. Itulah hati atau kalbu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pemuda-pemudi harapan!
Adakah hati kita menepati sifat hati yang beruntung atau sebaliknya?

“Demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan taqwanya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya.”
(QS As-Syam: 7-10)

Ayat tersebut menjelaskan, manusia diciptakan Allah dengan dua persediaan iaitu,
  • menuju jalan kebaikan
  • menuju jalan kejahatan.

Juga dengan rahmat Allah, manusia dilengkapi petunjuk dan bimbingan yang dibawa  oleh para nabi dan rasul dalam usaha mencetuskan keimanan dan meraih hidayah. Dengan yang demikian jalan hidup manusia tersuluh dan terhindar daripada kekaburan yang dibawa oleh syaitan dan hawa nafsu. Keadaan ini juga akan menyelamatkan manusia dari berbagai-bagai kesesatan yang merugikan.

Anak-anakku yang sentiasa mengharapkan petunjuk Allah,
Sentiasalah menyedari bahawa orang yang menjadikan hidupnya untuk memenuhi hawa nafsu akan menjadi hamba nafsu. Sekali gus akan terpesong dari menjadi hamba Allah.
Manusia yang paling sempurna perhambaannya terhadap Allah ialah dia yang seluruh perasaannya tertumpu kepada Allah. Oleh itu sentiasalah bersungguh-sungguh dalam usaha menjuruskan fitrah hati supaya kekal dalam ketaatan  kepada Allah seiring menangkis desakan nafsu.

Hayati maksud firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69,
“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Renungi pula syair Arab berikut:
Apabila nafsu ditaati pada setiap kenikmatan,
engkau digelar orang tak berakal dan tidak dihormati,
bila kau turuti nafsu pada setiap ajakan,
ia membawamu  kepada keburukan yang haram!
Hawa nafsu itu musuh bagimu,
meingkarinya adalah teman.

Ingatlah anak-anakku,
Pada hakikatnya Allah menjadikan hawa nafsu untuk menguji sejauh mana benar dan tulusnya perhambaan seseorang itu kepada Allah. Nafsu sifatnya suka mengambil kesempatan untuk mencemarkan setiap amalan yang dilakukan seseorang. Pada masa yang sama syaitan tambah menyuburkan lagi desakan nafsu dengan menghiasi perbuatan yang dapat memuaskan nafsu. Serentak dengan itu keingkaran menguasai hati dan membawa diri manusia jauh terpesong dari perhambaan terhadap Allah.


Hawa nafsu jika dibiarkan tidak dikawal akan berterusan mengotori hati. Justeru itu bersegeralah menepis desakan nafsu dengan meningkatkan stamina iman dengan:
  • sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Allah dengan kerendahan hati dan suara perlahan.
  • sentiasa merenungi ayat-ayat al-quran, supaya hati menjadi lembut dan patuh.
  • sentiasa menjaga solat-solat fardhu sedapatnya dilakukan berjemaah.
  • sentiasa memperbanyakkan ibadah sunat dan melakukan solat sunat rawatib.
  • sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Renungi dengan teliti maksud firman Allah dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41,
“Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya.”

Sungguh Maha Agong Allah, kasih sayang-Nya melimpah ruah. Disempurnakan  penciptaan manusia dengan dua potensi pilihan. Disediakan petunjuk. Diberi peringatan. Diberi ganjaran sewaktu hidup di dunia, juga disediakan  balasan syurga untuk kehidupan di akhirat. Bersegeralah! Tepis dan tahan nafsu. Usaha ini akan membuahkan ketaatan yang teguh dan mampu menepis sebarang bentuk maksiat. Manakala hati pula akan menjadi suci bersih serta mampu merasai bahagia yang sebenar.

Tanda-tanda hati yang bersih dan lembut dapat dilihat melalui beberapa ciri utama:
  • sentiasa mengingati Allah  SWT dengan zikrullah.
  • kuat berpegang kepada cara hidup Islam. Sentiasa menyampaikan kebenaran dalam apa jua suasana.
  • hati yang takutkan kemurkaan Allah akan menjauhi laranganNya serta menghindari perkara sia-sia.
  • bersih dari hasad dengki, marah dan menipu.
  • tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah.


Hendaklah menyakini, setiap sesuatu itu  mempunyai pembersihnya. Pembersih hati adalah zikrullah. Ini bermakna suasana zikrullah mesti berjalan sepanjang masa dan diberi keutamaan.