UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...


Pemuda-pemudi Islam harapan!


Ramadan yang penuh barakah telah disusuli pula oleh Syawal yang dipenuhi keampunan serta keredhaan Allah. Tanggal 1 Syawal dinamakan Id (Hari Raya). Kerana pada hari itu kaum Mukminin telah selesai menunaikan kewajipan berpuasa Ramadan kerana taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Syariat Islam menetapkan supaya bergembira menyambut kemenangan selesai berpuasa itu.


Dari Munabah r.a katanya; “Iblis sangat sedih apabila tiba hari raya, mereka berkumpul lalu berkata:’Wahai pemimpin kami, mengapa engkau marah?’ Pemimpin iblis berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mengumpulkan umat Muhammad pada hari ini. Kamu semua mesti berkerja keras dengan menyibukkan mereka dengan kelazatan dan syahwat!”


Telah diceritakan juga, pada pagi Aidilfitri, Allah mengutuskan para malaikat turun ke bumi untuk berseru dengan suara yang didengari seluruh makhluk kecuali manusia dan jin; “Wahai umat Muhammad keluarlah kepada Tuhan-Mu yang mulia. Dia akan memberikan pemberian yang agung dan mengampuni dosa yang besar.” Ketika mereka telah pergi ke masjid, Allah berkata kepada para malaikat: “Apakah balasan untuk pekerja setelah selesai kerja?” Para malaikat berkata: “Upahnya sesuai pekerjaannya.” Allah berkata kepada para malaikat: “Saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah menjadikan keredhaan dan keampunan-Ku sebagai pahala mereka.”


Pemuda-pemudi yang dikasihi dengan kasih sayang Islam!

Sewajarnya kita telah mengatur langkah seimbang dalam menyempurnakan ibadah puasa Ramadan dan merebut ganjaran keredhaan Allah dalam kegembiraan Syawal. Agar nanti bukan sahaja pakaian takwa di bulan Ramadhan yang selesai dijahit, malahan permaidani keredhaan juga dapat dihamparkan di Syawal yang barakah. Juga semestinya kita sedar terhadap petunjuk agama dan terselamat dari tergelincir ke lembah pembaziran. Roh Islam yang menguasai jiwa, akan sentiasa memandu kita untuk mengambil jalan pertengahan dan tidak berlebih-lebihan maupun menunjuk-nunjuk. Apatah lagi terjerumus ke jurang riya’ dan bemegah.

Begitulah semestinya sifat takwa yang tertanam akan mampu mendorong kita membawa kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.


Pemuda-pemudi harapan!

Berikut beberapa perkara untuk diberi perhatian dalam kemeriahan yang semakin hampir...

1. Jangan lupakan Ramadhan yang baru kita tinggalkan kerana tahun depan belum tentu kita akan bertemu lagi dengannya. Sesungguhnya orang yang soleh itu bersedih dengan pemergian Ramadhan.

2. Jangan lupa bermuhasabah dan memeriksa semula apakah kita telah menghabiskan waktu sepanjang Ramadhan dengan sebaik-baiknya.

3. Jangan lupa membayar zakat fitrah bagi menyempurnakan puasa Ramadhan.

4. Jangan lupa dengan pelbagai nikmat dan rahmat yang dilimpahkan Allah kepada kita dengan bertakbir, bertasbih, bertahmid, bersedekah dan membantu orang lain yang memerlukan pertolongan.

5. Jangan lupa mengikut sunnah Rasulullah dalam berhari-raya seperti mandi sunat raya, berpakaian baru, memakai wangian, makan sedikit sebelum solat sunat raya, pergi dan pulang dari solat raya melalui jalan berbeza.

6. Jangan lupa menjaga batas-batas syarak seperti pergaulan bebas, lelaki dan perempuan. Percakapan sia-sia dan muzik yang melalaikan.

7. Jangan lupakan mereka yang tidak bernasib-baik dan tidak dapat berhari raya dengan gembira, seperti fakir miskin,anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, dan orang-orang tua yang terbiar sendirian.


Begitulah Anak-anakku,

Jika batasan syarak dapat dipatuhi, Aidilfitri tidak sekadar menjadi perayaan adat, bahkan dapat membawa makna besar bagi umat Islam seluruhnya.


BERSIHKAN PAKAIAN IMAN


Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah,

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang paling beriman.”(QS Ali-Imran:139)

Sering benar ayah dan emak memperingatkan saya supaya menjaga keteguhan iman walau di mana berada dan dalam menghadapi apa jua keadaan. Sewaktu di bangku sekolah rendah saya menyangka dengan menghafal Rukun Islam dan Rukun Iman, kita sudah sempurna sebagai seorang muslim yang teguh iman. Setelah memulakan pengajian di IPT, barulah saya memahami pada hakikatnya iman itu merangkumi ikrar dengan lisan, membenarkan dalam hati dan mengerjakan dengan anggota badan. Dengan lain perkataan, iman adalah keyakinan dan amal serta ucapan dan perbuatan. Adakalanya iman meningkat dan ada kalanya menurun bertepatan dengan maksud sabda Nabi Muhammad, “Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Maka perbaharuilah imanmu dengan kalimah Laa ilaaha illallah.”

Manakala hati tempat bersemayamnya iman berkeadaan tidak tetap dan berbolak-balik. Dengan yang demikian kita tidak boleh berpuas hati dengan keadaan iman kita pada satu-satu masa tertentu. Mesti ada dua perasaan, harap dan cemas. Mengharapkan Allah menetapkan kita dalam keimanan yang tinggi sehingga kita dipanggil kembali ke sisi-Nya. Cemas pula, agar kita tidak dimatikan dalam keadaan iman yang lemah. Dari dua perasaan ini akan timbul rasa pergantungan diri dan jiwa kepada kekuasaan dan perhatian Allah. Juga hati akan sentiasa bertekad untuk meneliti keadaan iman kita sepanjang masa.

Kebelakangan ini saya turut mendapat peringatan dari rakan-rakan yang karib; iman itu juga seperti pakaian akan menjadi kotor dan lusuh. Jika demikian hakikatnya, sudah tentu keadaan lusuh dan kotor itu terletak pada hati. Sudah dikenal pasti sebelum ini iman itu berpusat terbitnya dari hati. Pastilah hati yang bersih akan menerbitkan iman yang sempurna.

Mendapat Hati Bersih

Terasa sangat rumit apabila saya fikirkan apakah jawapan yang tepat bagi persoalan hati yang bersih ini. Lebih khuatir lagi jika nanti tahap kebersihan hati akan menjejaskan iman yang lahir darinya. Syukur dengan izin Allah jua tergugah saya apabila sewaktu bersahur pada hari pertama berpuasa, ayah memperingatkan saya dan adik-adik tentang lafaz niat berpuasa. Niat itu tidak hanya diungkapkan di mulut sahaja, malah lebih penting mesti disebut maknanya di dalam hati, “Sahaja aku berpuasa dalam bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.”

Kemudian fahamlah saya, bahawa hati yang bersih itu mengiringi niat melakukan sebarang amal perbuatan ikhlas semata-mata kerana Allah. Tepatlah seperti maksud sabda Rasulullah, “Sesungguhnya Allah tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepada-Nya, dan ditujukan hanya untuk-Nya.” (HR Abu Daud dan An-Nasai)

Al-Bukhari dan Muslim pula merekodkan, “Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat, dan setiap urusan dikira dengan niatnya.”

Niat mengikhlaskan perbuatan kerana Allah semata-mata. Dengan meletakkan perbuatan itu di hati yang bersih akan menghindarkan manusia daripada sikap sombong dan riyak.

Menurut Ali bin Abi Talib pula, tanda-tanda riyak itu pula ada empat;

1. Malas ketika bersendirian.

2. Bersemangat ketika berada di khalayak ramai.

3. Bertambah amalannya jika dipuji.

4. Berkurang amalan jika tidak mendapat pujian.

Setelah kita kenali tanda-tanda riyak tersebut, akan mudahlah bagi kita menghindari, menjauhi dan membersihkan hati kita dari tempelan riyak. Seandainya riyak mengotori kebersihan hati kita, bermakna dalam melakukan amal perbuatan, kita menunjuk-nunjuk supaya dilihat dan diketahui orang. Sedangkan dalam ibadah puasa, hal sedemikian tidak patut berlaku. Cuba kita fikirkan dengan teliti, jika pada amalan lain kita boleh sahaja berpura-pura melakukannya. Tetapi berlainan dengan berpuasa yang mengambil masa sepanjang hari untuk menyempurnakannya; mungkin pagi-pagi hari semua orang tahu kita sedang berpuasa, tetapi tiada siapa pun yang tahu jika kita membatalkan puasa kita waktu tengaharinya. Disudut inilah puasa melatih kita memiliki iman yang bersih untuk jangka masa yang panjang dan sepatutnya berterusan selagi ada hayat kita.

Sangat wajar kita hayati maksud yang terkandung di dalam hadis kudsi yang Rasulullah sabdakan, “Allah berfirman: Tiap-tiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Puasa adalah bagi-Ku dan Aku-lah yang akan memberi balasan dengannya. Puasa itu adalah perisai. Maka apabila seseorang itu berpuasa, janganlah dia menyentuh isterinya, dan janganlah dia memaki-maki, janganlah dia berkata tidak menentu, dan janganlah membuat kecohan. Jika dia diserang oleh seseorang dengan kata-kata kesat, hendaklah dia berkata; ‘aku sedang berpuasa.’ Demi Allah dan diri Muhammad yang berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah lebih harum dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa, dua kegembiraan yang akan dicapainya; pada waktu berbuka puasa dan pada waktu bertemu dengan Rabb-nya.”

Siapa Ikhlas?

Bagi melihat dengan lebih jelas dan teliti tentang sifat ikhlas dalam setiap tindakan, mari kita renungi cebisan kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah.

Suatu ketika sahabat-sahabat Rasulullah berada di dalam majlis ilmu. Baginda menatap wajah setiap yang hadir dengan tenang. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, “Siapakah di antara kami yang akan menjadi ahli syurga?”

Sahabat-sahabat yang lain terkejut dengan soalan yang mereka anggap agak melampau. Tidaklah sepatutnya terlalu menghitung tentang balasan yang bakal diterima sesudah beramal. Hal tersebut semestinyalah dalam ketentuan dan hak Allah memutuskan dan menganugerahinya.

Namun Rasulullah kelihatan tenang dan perlahan-lahan menjawab, “Lihatlah ke pintu, sebentar lagi orang yang dimaksudkan akan muncul.”

Lalu setiap mata tertumpu memandang ke pintu. Sebentar kemudian muncul seorang

pemuda yang diketahui tidaklah terkenal. Juga bukan dari kalangan sahabat-sahabat

yang unggul dan kuat berjuang. Tidak pula ramah tamah dalam pergaulan, malah kelihatan sering bersendirian.

Sememangnya dia seorang pemuda yang sederhana penampilannya serta pendiam.Tidak pernah bersuara jika tidak ditanya. Apakah yang hebat pada diri pemuda itu yang membuat dia tersenarai untuk masuk ke syurga…? Setiap sahabat Rasulullah tertanya-tanya pada diri masing-masing.

Rasulullah bersabda, “Setiap gerak-geri dan perbuatannya hanya diikhlaskan semata-

mata mengharap keredaan Allah. Itulah yang menyebabkan Allah menyukainya.”

Terpegun sahabat-sahabat Rasulullah mendengar penjelasan sedemikian. Bertolak dari penjelasan Rasulullah tentang pemuda itu, fahamlah sahabat-sahabat baginda tentang maksud sifat ikhlas yang begitu istimewa, indah dan luar biasa. Bersih pula daripada segala kepentingan peribadi. Juga tidak dicampuri riya’, ujub dan sombong.

Dalam kehidupan bermasyarakat, ikhlas akan memberi kesan besar dalam kehidupan sejagat. Masyarakat yang dipimpin dan dianggotai oleh orang-orang yang ikhlas akan mampu mewujudkan suasana aman tenteram dari kejahatan dan penyelewengan. Serta tercapai kestabilan dan kesejahteraan. Kemudian akan lahirlah kemakmuran dan kesejahteraan sejagat;

  • membenarkan yang benar
  • meluruskan yang lurus
  • membatilkan yang batil
  • menyebarkan kebaikan
  • menegakkan keadilan
  • menghapuskan kezaliman
  • membersihkan kehidupan dari sebarang keburukan
  • membina persefahaman dan perpaduan antara individu atas dasar kasih sayang dan tolong-menolong.

Selain daripada itu sesungguhnya niat yang ikhlas merupakan nyawa kepada ibadah. Juga penentu samaada amalan diterima Allah dan layak mendapat keredaan-Nya. Akhirnya nanti akan memastikan tempat kembali di akhirat kelak, samaada beroleh syurga ataupun neraka.

Menurut kata Fudhail bin ‘Iyadh,

“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, beramal kerana manusia adalah syirik.

Ikhlas beramal adalah yang selamat dari keduanya.”

Dari itu dapatlah kita fahami, keikhlasan kita mestilah menyeluruhi merangkumi beberapa sudut;

1. Ikhlas mengakui Allah sebagai pencipta, pemilik, pemelihara, penguasa dan pemerintah alam semesta.

2. Ikhlas menjadikan Allah satu-satunya tempat pergantungan dan pengharapan yang ditakuti, dicintai, ditaati dan disembah sepanjang hayat.

3. Ikhlas menerima Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang dipatuhi dalam praktik kehidupan Islam.

4. Ikhlas mengambil Al-Quran sebagai pedoman hidup.

5. Ikhlas menerima amanah Allah selaku hamba-Nya yang menunaikan peranan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

6. Ikhlas beribadah sepanjang hayat semata-mata kerana Allah dan memenuhi perintah Allah.

Mari sama-sama kita mulakan langkah mengikhlaskan semua amal perbuatan semata-mata menuju keredaan Allah. Seiring dengan itu bergerak membimbing tangan rakan remaja lain dan berganding bahu dalam berjuang memerangi hawa nafsu! Inilah pertempuran paling sengit dalam kehidupan insan. Sentiasa mesti diingat perisai yang mesti kita miliki ialah iman dan takwa yang dibaluti keikhlasan.