UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BEKALAN YANG LUMAYAN SEPANJANG HAYAT




Pemuda-pemudi Harapan!

Kesejahteraan, limpah rahmat serta keberkatan sentiasa mengiringi jalan hidup kalian selagi mana kalian berada di landasan kebenaran.

Sama-sama kita panjatkan setinggi-tinggi pujian dan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah Rabbul Alamin. Telah dianugerahkanNya nikmat terbesar kepada kita; nikmat berada dalam Islam dan Iman. Semoga dengannya kita sentiasa terpimpin seiring hamba-hambaNya yang beruntung; yang sentiasa saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran.


Sebagai makhluk bernama manusia, kita tidak terlepas dari sifat semulajadi; sukakan harta dan kekayaan. Ingin memiliki longgokkan harta dan senrtiasa berusaha untuk mendapatkannya. Sesetengah manusia hinggakan tergamak menganiaya orang lain demi memperolehi harta yang dihajatinya.Fahami maksud firman Allah berikut;
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.”(QS Al-Ma’arij:19-21)

Justru itu,
Islam datang untuk memperbaiki apa jua keburukan dan perangai jelek manusia. Dengan iman pula manusia akan sentiasa terdorong untuk mentaati perintah Allah. Serentak dengan itu menjauhi laranganNya dengan harapan akan terhindar dari azab Allah yang sangat berat. Sehubungan dengan sifat jelek tersebut, manusia juga diperingatkan dengan ayat-ayat Allah yang bermaksud;
“Sesiapa yang memelihara dari kikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”.(QS AL-Hasyr:9)

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorkannya”.(QS Asy-Syam:9-10)

Pemuda-pemudi harapan,
Dalam membicarakan persoalan membersihkan jiwa ini, kita akan secara langsung terlibat melaksanakan tuntutan rukun Islam yang keempat iaitu zakat. Seiring dengan zakat, sedekah dan infaq( mengorbankan harta pada jalan Allah ) juga dituntut bagi mensucikan jiwa. Dengan lain perkataan, zakat, sedekah dan infaq adalah bukti jiwa yang bersih dan sihat, manakala kikir ,bakhil dan enggan memberi bantuan merupakan tanda jiwa ynag buruk dan sakit. Pada hakikatnya dengan mengeluarkan zakat dan memberi sedekah kita akan beroleh dua bekalan yang besar dan mahal demi sebuah kehidupan yang diredhai Allah sepanjang hayat. Sesuatu yang besar dan mahal itu tentunya tidak begitu mudah untuki diperolehi. Oleh itu mari sama-sama kita meneliti dengan terperinci darihal tuntutan tersebut agar kita melaksanakannya seperti yang Allah tetapkan.

Hikmah dan tujuan tuntutan zakat dan sedekah:
1. Mendidik jiwa meletakkan harta di tempat yang sepatutnya, sebagai melaksanakan amanah Allah.
Menyedari harta yang direzekikan adalah milik Allah. Kita selaku hambaNya hanya wakil untuk menggunakannya sebagai alat menyampaikan risalah kebenaran dan melaksanakan ibadah.

2. Melatih jiwa untuk melawan rasa cinta pada harta dan mampu mengutamakan keperluan orang lain yang berada di dalam kesengsaraan.
Peka dan menyuburkan perasaan tanggungjawab kepada masyarakat dan membantu menyelesaikan masalah ummat Islam.

3. Memelihara diri dari mabuk harta dan menjadi hamba harta yang menyebabkannya sentiasa menghitung harta siang dan malam.
Mengeluarkan zakat dan bersedekah dapat menimbulkan rasa bahawa harta yang diperolehi itu adalah milik Allah yang bukan saja mesti dibelanjakan di jalan Allah, malah cara memperolehinya juga mesti dengan cara yang dibolehkan Islam.

4. Menyedari harta yang Allah rezekikan itu mesti diagihkan dan dibelanjakan mengikut kadar yang telah ditetapkan.
Ditetap kadar agihan rezeki supaya wujud suasana harmoni yang saling tolong menolong. Tidak berlaku tamak dan mencerobohi hak orang lain.

Pada hakikatnya sifat dermawan berkait rapat dengan iman. Dalam banyak ayat Al-Quran yang menyebutkan tuntutan menafkahkan sebahagian rezeki, ianya dikaitkan dengan sifat orang beriman. Hayati maksud firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 254:
“Hai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat”.


Semestinya jiwa yang telah dibersihkan dari kejelekan dan dipenuhi dengan iman akan sarat pula dengan kebaikan. Jiwa sedemikian tentunya akan mudah mendorong tangan bertindak dermawan. Sedangkan hati yang kotor akan terus kikir dan fakir dari melakukan kebaikan.

Berjihad (berjuang/ menentang) keburukan dengan bantahan hati memang lazim kita lakukan. Berjihad dengan lisan/ kata-kata juga mampu dilakukan oleh sesiapa yang bijak berbicara. Manakala berjihad dengan harta sangat sukar bagi jiwa yang berpaut pada kepentingan dunia. Syaitan dan hawa nafsu pula akan mengancam dengan kefakiran dan kemiskinan.
Demi keredhaan Allah sepanjang hayat dan ganjaran besar yang abadi, yakinlah dengan janji-janji Allah dan sahutlah perintah Allah dengan meletakkan sepenuh kepatuhan kepadaNya sepertimana maksud firman Allah;
“Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya. Pada hal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir). Sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dan kurniaanNya. Allah maha luas kurniaan lagi maha mengetahui. Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa yang diberikan hikmah, sungguh telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal. Apa saja yang kamu nafkahkan atau apa saja yang kamu nazarkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya. Orang-orang yang berbuat zalim, tidak ada seorang penolong pun baginya. Jika kamu menampakkan sedekahmu, itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan adalah lebih baik bagi kamu. Dan Allah akan menghapuskan kamu sebahagian kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.(QS Al-Baqarah:267-271).

Begitulah pemuda-pemudi harapan, Allah maha suci, Dia tidak menerima melainkan yang suci (baik) saja. Kita diperintahkan supaya memberikan harta yang baik dan yang kita cintai saja. Bukan yang kotor dan buruk. Ini merupakan didikan berkesan untuk melucutkan sifat mementingkan diri sendiri. Seandainya kita telah benar-benar melaksanakan tuntutan menafkahkan rezeki di jalan Allah, kesannya akan kita rasai. Darinya akan kita perolehi kekuatan yang menjadi bekalan berharga sepanjang hayat…

· Berkeyakinan penuh zakat dan sedekah menambah kualiti harta dan barakah.

· Dengan berinfaq di jalan Allah, hati mukmin terasa lapang kerana mengetahui
rezeki yang dinafkahkan itu tersimpan ganjarannya di sisi Allah.

· Memberi kepada orang yang memerlukan dengan ikhlas tanpa mengharap sebarang ucapan’terima kasih’, akan diganjari keredhaan di sisi Allah.

· Sentiasa berhajat beroleh peluang menafkan rezeki di jalan Allah, kerana merasai sangat berhajat kepada bekalan untuk menghindari siksaan neraka.


Bersegeralah membuktikan rasa syukur di atas nikmat yang melimpah ruah…
Bersegeralah memenuhi kataatan dengan menerima tawaran besar dari Allah;
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak…” (QS Al-Baqarah:245)


0 ulasan: