UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

AWAS SELALU!


WAHAI SETIAP DIRI YANG SENTIASA DIPERHATI!

WAHAI SETIAP HATI YANG SENTIASA DINILAI!

Awas dan berhati-hatilah...

Kita sentiasa berhadapan dengan sesuatu yang rumit;
berhadapan dengan dengan hasutan syaitan yang tugas utamanya memperdayakan hawa nafsu.


Dalam kitabnya 'Minhajul Abidin', Imam Al-Ghazali menjelaskan 7 langkah yang syaitan gunakan untuk menghasut manusia supaya kita terlalai dalam melaksanakan kebaikan serta mentaati perintah Allah.


Mari sama -sama kita lihat dengan teliti langkah-langkah tersebut supaya dapat kita tepis hasutan syaitan...


Langkah pertama:
Syaitan sentiasa melarang manusia daripada mentaati Allah.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Aku benar-benar mengharapkan pahala daripada Allah. Untuk itu aku mesti sentiasa taat kepada perintah Allah sebagai bekalan menuju ke akhirat."


Langkah kedua:
Syaitan sentiasa memujuk manusia supaya menangguhkan ketaatan kepada Allah.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Kematianku berada dalam ketentuan Allah. Sekiranya aku menunda-nunda amalan hari ke hari esok, bagaimana pula amalan hari esok? Setiap hari aku punya amalan berlainan yang mesti dilaksanakan."


Langkah ketiga:
Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk tergesa-gesa dalam beramal mengerjakan sesuatu kebaikan kononnya boleh mengerjakan kebaikan yang lain.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Amal sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amal yang banyak tapi tidak sempurna."


Langkah keempat:
Syaitan seterusnya memperdaya manusia supaya melakukan amalan secara sempurna agar tidak dicela manusia.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Bagiku cukuplah dengan penilaian Allah. Tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia dan amalan yang dikerjakan kerana selain daripada Allah akan tertolak."


Langkah kelima:
Seterusnya syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal, "Sungguh tinggi darjatmu dapat beramal soleh. Pintar dan cerdik sekali dirimu".

"Orang yang kuat imannya menegaskan:Segala kekuatan itu daripada Allah. Allah yang melimpahkan taufik dan hidayahnya untuk aku beramal ibadat. Tanpa pahala daripada Allah apalah nilainya berbanding nikmat Allah yang luas, sedangkan begitu banyak pula dosa-dosaku."


Langkah keenam:
Dengan gagalnya hasutan syaitan di jalan sebelumnya, dia terus mencuba cara yang lebih halus. Syaitan membisikkan, "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal secara sembunyi, jangan sampai diketahui orang. Nanti Allah jualah yang akan memberitahu kepada orang lain bahawa engkaulah hamba Allah yang ikhlas." Begitulah syaitan cuba mencampur-campurkan amalan seseorang dengan tipu dayanya yang sangat halus sehinggakan terjerumus kedalam bab riya'.

Orang yang kuat imannya menegaskan, "Hai yang dilaknat Allah tidak berhenti-henti engkau merosakkan amalku. Aku adalah hamba Allah dia yang berkuasa ke atasku. Jika Allah berkehendak memperlihatkan mahupun menyembunyikan amalanku itu adalah hak-nya. Aku tidak khuatir manusia tidak mengetahuinya kerana amalku semata-mata kerana Allah."


Langkah ketujuh:
Syaitan tidak pernah putus asa menggoda manusia, berbagai cara dicubanya. Dia cuba pula dengan cara menanam perasaan buruk sangka, "Hai manusia janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sebab jika Allah telah menetapkanmu sejak azali sebagai orang yang akan berbahagia di akhirat nanti, maka meninggalkan ibadat tidak mendatangkan mudharat, engakau akan tetap menjadi orang yang berbahagia. Dan sebaliknya jika Allah menetapkanmu sebagai orang celaka maka tidak ada gunanya engkau beribadat. Nasibmu tetap malang."

Orang yang teguh imannya akan terus tetap pendirian."Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku mentaati perintah Allah. Allah yang menentukan segala-galanya. Walaubagaimanapun ketetapan Allah ke atasku, aku tetap akan beribadat dan taat kepada Allah. Allah tetap menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadanya".


Begitulah sifat syaitan dengan tipu dayanya agar kita terlalai dan gagal melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT. Sentiasalah berhati-hati dalam setiap langkah dan mohonlah pertolongan serta perlindungan Allah, agar terpelihara dari kejahatan syaitan.

0 ulasan: