UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

AWAS! HATI DICEMARI MAKSIAT...



Salam ukhwah dan mahabbah yang dilimpahi rahmat dan barakah,
Istimewa untuk pemuda-pemudi harapan!

Dengan keizinan Allah jua dapat ibu paparkan sekali lagi isu yang menyentuh kesan maksiat ke atas hati. Paparan ini juga sebagai menambah sedikit lagi penjelasan berkaitan kesan maksiat ke atas hati. Lazimnya dalam menyampaikan tazkirah, ibu lebih condong membicarakan hal-hal yang bercorak positif. Pada hakikatnya persoalan berkaitan hati terlalu seni dan sering bertembung isu negatif yang mengganggu kesejahteraan hati. Kerana itu ibu ingin berkongsi satu pemerhatian bersama-sama anak-anak semua...

Semestinya kita sedari,
Maksiat lawan kepada taat.
Taat yang dimaksudkan di sini ialah taat mematuhi perintah Allah. Manakala maksiat sudah tentu gambaran keengkaran manusia terhadap perintah Tuhannya. Maksiat menyerang seluruh anggota jasad. Akal fikiran, perasaan hati, tingkah laku dan adap sopan.

Dalam mencapai kejayaan di dunia ini, semuanya mesti berpaksikan iman dan takwa. Jalannya memperoleh setiap yang dihajati mesti dalam batasan syarak. Fizikal pula sedaya upaya mejauhi maksiat. Tidak leka dalam kemewahan material. Malah tidak hanyut dalam asyikan memenuhi tuntutan beribadah. Penuhi hak Rabb dan hak diri kalian. Juga hak keluarga dan hak masyarakat. Imbangilah antara dunia dan akhirat. Tidak melarikan diri dari hakikat hidup di dunia, , tetapi usah rakus dengan kemewahan dunia. Seumpama anjing berebut tulang.

Pemuda-pemudi harapan!
Jadilah kalian termasuk generasi 'awwabun taibun" - yang sangat takut dirinya bermaksiat kepada Allah. Mereka lebih takut maksiat kalbu berbanding maksiat fizikal. Maksiat kalbu yang dimaksudkan umpama ujub, sombong, riya', angkuh, suka menonjol diri, bersangka buruk serta hasad dengki.

Ketahuilah anak-anakku,
Apabila hati mula dicemari maksiat...,kembalilah kepada ketaatan kepada Allah dengan bertaubat dan beristigfar. Yakinlah Allah tidak akan membiarkan kalian hanyut dalam kegelinciran selagi kalian mengharapkan rahmat Allah. Hayatilah maksud firman Allah dlm surah Ali-Imran, ayat 135-136;
"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka . Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah dan itulah sebaik-baik pahala orang yang beramal."

Pemuda-pemudi yang ibu kasihi kerana Allah,

Perhatikan dengan teliti senarai semak ke atas kesejahteraan hati, agar maksiat tidak mencemari hati!...

* Syirik _ meletakkan selain Allah dalam pemujaan, pengharapan dan kecintaan.
* Dosa_ dosa-doa kecil, bila banyak terhimpun akan mematikan hati.

* Ghoflah_ Lalai dan leka yang sangat disukai nafsu, juga meringankan perkara yang Allah perintahkan.

*Memandang kecil perkara yang Allah sukai.

* Tidak berserah diri dan tidak bergantung harap kepada Allah.

* Tidak puas hati dengan ketentuan Allah.

* Tunduk dan patuh selain daripada Allah.

Apabila anggota jasad mendorong maksiat, hati di anggap berpenyakit dan terganggu kesejahteraannya. Sedaya upaya mesti diusahakan kesembuhannya. Yakinlah ubat paling mujarab ialah tauhid dan taubat. Dengannya hati akan sedar, perjalanan hidup yang dilalui menuju untuk kembali kepada Allah. Kemudian akan tertutup pintu taubat, dan berakhirlah sebuah kehidupan.

Wallahu'alam.

2 ulasan:

Unknown berkata...

tulisan yg baik, mendidik jiwa hamba saya terima kasih semoga ALLAH MERAHMATI MU

25 Februari 2010 pada 11:29 PTG  
Noraini Eslah berkata...

Terima kasih aishahahmad,
hati kita sentiasa terdedah dgn brbagai unsur negatif walau setiap detik kita usahakan kebaikan. Ini cabaran n ujian. Mghadapinya dgn tabah akn mnguatkan cinta Ilahi di dlm jiwa, sekaligus hati teguh di landasan kebenaran. InsyaAllah. Allahuakhbar!

26 Februari 2010 pada 8:45 PG