UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SENTUHAN HATI

Salam Ukhwah dan Mahabbah diiringi limpah kasih Ilahi.


Anak-anak remaja harapan!
Setiap kali daku menatap bening wajah kalian, terasa semakin mendalam perasaan kasih yang tersimpan di sudut hatiku. Bersih dan tulus pandangan mata kalian membuat hatiku damai dan tenang. Justru itu rasanya tidak tergamak untuk diri ini menangguhkan terlalu lama janjiku kepada kalian tempohari...

Anak-anak yang dikasihi kerana Allah,
Telah ditakdirkan Allah kita bertemu di dalam bengkel penulisan yang daku kendalikan pada 2/01/10, beberapa hari yang lalu. Memandangkan usia kalian masih muda dan baru sahaja tamat SPM, latihan-latihan yang kubengkelkan untuk kalian juga ringan sahaja. Daku cuma memperkenalkan kaedah 'flow writing'. Satu kaeadah yang sangat daku gemari untuk diajarkan setiap kali menunjuk cara mencetuskan idea secara pantas.

Dalam salah satu soalan bagi latihan tersebut, ada daku berikan beberapa patah perkataan untuk kalian kembangkan idea. Di kalangan 65 0rang bilangan kalian, kebanyakannya memilih perkataan 'teman sejati'. Mungkin pada pandangan kalian, 'teman sejati' itu besar ertinya dalam hidup kalian. Untuk pengisian blog kali ini daku sedut sedikit petikan hasil tulisan 2 orang dari sahabat kalian. Ahmad Ashraf Ilman dan Aqilah Shamjudin.

Begini sedutan nukilan mereka...

Ahmad Ashraf Ilman;
Kini setelah lama aku bersama dengannya, baru aku rasakan betapa hebatnya sahabatku ini. Barulah aku rasakan betapa besarnya rahmat Allah. Dia menghantarkan seorang sahabat yang tiada ternilai kepadaku! Dia telah menyelamatkan aku daripada kegelapan jahiliyah...
Aku kini mampu mentafsirkan siapakah sahabat sejati. Seorang sahabat yang mencintai kita hanya kerana Allah dan RasulNya. Dia sanggup ketawa dan menangis bersama. Sentiasa pula mengingatkan kita apabila menghampiri godaan
hawa nafsu.


Aqilah Shamjuddin;
Sahabat sejati, tidak hanya bersama kita sewaktu senang sahaja. Malahan dia akan mengingatkan kita apabila kita melakukan kesilapan. Juga menjauhkan kita daripada kemungkaran. Sentiasa pula bersedia mendengarkan masalah kita. Dia sepatutnya seorang yang jujur dan boleh dipercayai menyimpan rahsia. Tidak sepatutnya dia menghebahkan rahsia kita yang diketahuinya. Dia juga mesti sedar persahabatan kita adalah dikira ibadah di sisi Allah.

Anak-anak tercinta,
Memadai dahulu dua potong hasil nukilan teman kalian ini. Secara beransur-ansur akan disiarkan yang lain-lain pula. Ambillah pengajaran yang terkandung disebaliknya. Dalam setiap nukilan, isi yang tertulis berulang-ulang dan tidak jelas, daku potong sebahagiannya.

Wassalam.
ummu anas.

2 ulasan:

Salam persahabatan, bila membaca hasil nukilan ummu terasa sangat nak belajar menulis.Terasa sangat tentang perjuangan itu sifat pelbagai....

21 Januari 2010 pada 9:03 PTG  
Noraini Eslah berkata...

wkmsalam ummiB, ribuan terima kasih kerana ziarah blog sy. Menjadi pendorong kuat bg menggerak semangat dan kesungguhan sy. Maklumlah kita sentiasa bertarung dgn pelbagai urusan...Ya ummiB kkuatan n keupayaan d arena penulisan perlu diterokai lebih mendalam khasnya untuk membina jambatan hati dengan generasi pewaris...
wallahu'alam. Rasa mcm sy kenal je lihat photo ummiB...

22 Januari 2010 pada 4:39 PTG