UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SAHABAT SEJATI




Salam rindu diiringi kasih sayang Ilahi...,


Istimewa buat seluruh pemuda-pemudi harapan di setiap sudut bumi tercinta.


Ibu kasihi kalian, kerana mengetahui hal itu diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Juga setiap kebahagiaan yang ibu perolehi datang dari Rabbi yang empunya kasih sayang itu. Semestinya bagi mensyukuri nikmat kasih sayang yang melimpah ruah itu..., sebaik-baiknya dan tepat sekali setiap diri kita mengembangkan kasih sayang itu kepada seluruh insan lain. Begitulah juga yang sangat ibu harapkan terlaksana di kalangan kalian. Saling berkasih sayang dan tolong menolong dalam rangka mentaati perintah Allah. Bukannya saling mendorong kepada melakukan keburukan.


Pemuda pemudi yang dikasihi kerana Allah,

Rasulullah SAw ada bersabda; "Kamu tidak akan dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia."


Cuba pula kalian perhatikan maksud syair Arab berikut...


Janganlah menunda pertolongan,

Hanya kerana mengharapkan datangnya bukti,

Tatkala saudaramu ditimpa musibah ,

Yang sangat menghiris hati.

Yakinlah akan balasan dari kebaikan

Yang telah anda perbuat

Kerana Allah tidak akan lupa

Manusia pun punya daya ingatan.


Pemuda-pemudi Harapan!

Ibu juga ingin berkongsi dua buah lagi catatan rakan-rakan kalian yang tempohari ibu

kendalikan bengkel penulisan bersama mereka. Telah ibu berikan latihan untuk mencetuskan idea menggunakan kaedah 'flow writing'. Cuma 10 minit untuk tajuk/isu yang mudah. Sambutan yang diberikan peserta seramai 65 orang itu sungguh menggalakkan! Mereka kelihatan cergas, segar dan kreatif. Terpadam rasa lesu dan mengantuk. Ya! kaedah ini memang efektif...


Harap dapat kalian semak dan beri perhatian terhadap petikan yang ibu selitkan bersama-sama ini...

Sahabat Sejati
oleh: Mohammad Lutfi b. Muhamed

Sahabat berbeza dengan kawan biasa. Sahabat mempunyai kedudukan istimewa bagi diri seseorang. Dia merupakan orang kedua penting selepas ibu bapa kita. Dia memahami segala kekuatan dan kelemahan kita. Sentiasa pula bersedia membantu kita dalam sebarang masalah yang kita hadapi. Susah dan senang dia tetap bersama kita. Jika kita ditimpa musibah, dialah orang pertama menghulurkan bantuan. Begitu juga ketika kita berjaya dan gembira, dia turut gembira dan bersyukur. Tiada iri hatinya melihat apa yang kita perolehi.

Setiap orang walau apa pun bangsa dan agamanya, sangat memerlukan teman sejati. Kerana teman sejati akan sentiasa meperingatkan kita sewaktu kita tersilap, lalai dan cuai. Susah senang dilalui bersama-sama. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Sentiasa tolong menolong, umpama aur dan tebing. Setia dan akrab seperti isi dengan kuku. Persahabatan sejati akan lebih bererti jika diikat dengan persaudaraan Islam. Sahabat sejati kita juga merupakan saudara seagama. Ia kekal hingga ke akhirat.


Sahabat Sejati
oleh: Muhammad Hazip Ikmal

Sahabat. Satu perkataan yang membawa 1001 makna. Walau semanis mana diungkapkan. Walau sepanjang mana dihuraikan. Hakikatnya untuk memiliki sahabat sejati bukanlah perkara mudah. Sentiasa dilanda badai ujian. Sentiasa ditusuk duri hasutan. Juga dihalangi berbagai rintangan. Menguji hati yang penuh harapan. Harapan persahabatan akan kekal berpanjangan. suci dan abadi.

Seringkali juga persahabatan kita diuji dengan perpisahan. Kita tercampak berjauhan bagi memenuhi impian dan cita-cita. Mengapa kita kesalkan? Bukankah kita mesti bersikap terbuka. Setiap Muslim itu bersaudara. Jika kita memahami keadaan ini, pasti kita dapat menerima perubahan keadaan. Patah tumbuh, hilang berganti. Tidaklah hanya mengeluh dan menyesali. Semua muslim adalah saudara kita dan selayaknya menjadi sahabat sejati.

Wallahu'alam.

1 ulasan:

lovely asiah berkata...

salam ziarah ummi..
ana sahibah dari pantai dalam tinggal kat rumah UM..
i'Allah ade rezeki jumpa nanti~

19 Jun 2010 pada 9:04 PG