UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BANGUNLAH Bina Cita-cita Baru



Putera-puteri Islam sejati! Taufik, hidayat, rahmat dan keberkatan sangat-sangat diharapkan semoga sentiasa Allah limpahkan. Kita berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan yang terkutuk. Kita yakini Allah sebaik-baik Pelindung bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya iman. Semoga Allah merestui junjungan kita Nabi Muhammad dan keluarga baginda sebagaimana Allah merestui Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Allah sangat berhak dipuji dan diagugkan.



Putera-puteri yang sangat dirindui dan dikasihi dengan kasih sayang Islam, bersyukurlah kita masih dikurniakan hayat yang sihat. Kesyukuran yang utama mesti sentiasa kita rasai adalah mensyukuri nikmat berada dalam agama Islam. Jika sebaliknya yang berlaku... Nauzubillah! Kita di dalam kawah kesesatan dan kehancuran!






Putera-puteri harapan. Ingatlah kembali gambaran sewaktu kecil kalian... Kanak-kanak yang baru lahir tidak mengetahui sesuatu apa pun, kemudian Allah bekalkan dangan pendengaran, penglihatan dan akal. Semua persediaan ini sesuai dengan keperluannya dalam meneruskan kehidupan. Hayati firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 78:

"Dan Allah mendgeluarkan kamu dari perut ibu-mu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati supaya kamu bersyukur."



Seterusnya putera-puteri, bayangkan seandainya seorang kanak-kanak yang dimaksudkan hilang pendengarannya, sudah tentu dia akan mengalami kesukaran dalam hidupnya. Dia akan kurang pengetahuan dan dan tidak boleh bercakap kerana tidak mendengar sebarang bunyi. Sukar juga untuk kita menyampaikan maklumat kepadanya dengan bahasa isyarat. Manakala kanak-kanak yang hilang penglihatan pula, dapat menggunaka pendengaran untuk belajar bercakap. Namun, dia tidak dapat mengetahui sebarang bentuk atau warna sesuatu benda. Lebih bermasalah lagi kanak-kanak yang yang hilang akal atau terencat akal. Sepanjang hidupnya menjadi kelam.



Putera-puteri Islam yang sentiasa berfifkir, bagaimana pula hal keadaan kanak-kanak yang hilang ketiga-tiga persediaan hidupnya... Hilang pendengaran, penglihatan dan akal? Ya pasti hidupnya sangat susah. Tidak ada apa yang dapat diketahui dan tiada apa juga yang disampaikan. Seolah-olah terputus daripada hakikat kehidupan sebenar. Begitulah keadaan orang yang hilang nikmat hidup secara fizikal. Bagaimana pula jika hilang nikmat hidup berbentuk kejiwaan? Sudah tentu keadaanya akan lebih buruk... Telitilah maksud firman Allah menerusi surah Al-'Araf, ayat 179,

"Dan sesungguhnya kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakkan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunaka untuk melihat (tanda-tanda) kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."



Begitulah putera-puteri Islam harapan, dengan pengamatan ringkas ini ibu harap kalian dapat menilai betapa besarnya setiap nikmat-nikmat yang Allah sediakan. Terutamanya nikmat pancaindera yang sepatutnya digunakan untuk mengenali Allah dan menghambakan diri kepada-Nya.



Ingatlah putera-puteri ibu! Sekurang-kurangnya darjat syukur yang mesti ada pada kita adalah untuk taat kepada Allah dan serentak dengan itu menjauhi maksiat. Seperti mana firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 36:

" Sesungguhnya pendengaran penglihatan dan hati semuanya itu dipertanggungjawabkan di sisi Allah."





Putera-puteri Islam sejati! Secara tabii, kalian sewaktu kecil suka meniru perlakuan orang yang lebih besar dan dewasa.Boleh jadi dorongan ini timbul dengan tujuan diri diri si kecil merasa dilihat besar! Begitu juga dalam masyarakat, setiap orang adalah jasad yang mempunyai hubungan antara satu sama lain. Setiap orang memberi kesan sama ada positif ataupun negatif. Seandainya contoh buruk yang dipaparkan, maka masyarakat menjadi lemah. Manakala contoh baik pula membina masyarakat yang yang teguh. Dalam hal ini, Islam telah menggariskan peranan umat Islam sebagai penyeru kepada yang makruf (kebenaran) dan mencegah mungkar (keburukan). Lihat dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104,

" Hendaklah kamu ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran,merekamitulah orang yang berjaya."



Lagi dalam surah Ali Imran ayat 110, " Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia menyuruh yang makru dan mencegah dari mungkar."



Begitulah istimewanya peranan masyarakat Islam, sebagai agen perubahan umat manusia. Khasnya kalian selaku barisan pemuda pemudi Islam bertanggungjawab mencegah apa jua bentuk kerosakan. Betapa pun beratnya tugas ini, kalian usah dikaburi perasaan putus asa disebabkan banyak ranjau dan duri. Apa jua halangannya, dengan pertolongan Allah kalian akan dapat mengatasinya. Dalam kerja mulia ini kalian perlu mempunyai sifat ilkhlas dan takwa yang tinggi untuk membina masyarakat yang sejahtera.



Menyingkap kembali masyarakat jahiliah di zaman Rasulullah saw tergambar keadaan yang amat dahsyat. Penyembahan berhala, minum arak, berzina, berjudi, membunuh anak perempuan dan berperang hanya kerana perkara kecil. Walaupun begitu, masyarakat tersebut telah berubah menjadi masyarakat yang baik, berkasih-sayang serta mengutamakan hak sesama saudara muslim. Semua ini diasaskan dengan akidah tauhid dan pengabdian diri kepada Allah. Sekiranya kita juga mengambil contoh dari generasi yang dibentuk oleh Rasulullah, pasti dengan pertolongan Allah kita akan berjaya. Masyarakat yang mulai hilang pedoman akan terselamat dati jurang kehancuran. Kalianlah wahai putera puteri Islam yang sepatutnya menjadi agen perubahan generasi kini.



Bangunlah wahai puter-puteri harapan! Sedarilah satu hakikat yang sedang berlaku dihadapan kalian, " Sesungguhnya umat ini telah ditimpa satu keadaan yang mengancam kedudukannya dan menggoncang bangunannya. Pada zahirnya seolah-olah ia sedang dilanda ombak penyakit, hina, dan lemah serta menjadi buruan orang-orang yang tamak. Ia tidak berdaya untuk mempertahankan diri dari pencerobohan budaya. Ada 3 cara untuk mengatasinya, mengenal pasti punca penyakit, sabar menanggung sakit dan bersedia untuk diubati oleh yang pakar sehingga sembuh dari semua gejala serta beroleh kejayaan." (dipetik dari kata-kata pejuang yang telah pergi...) Justeru itu putera-puteri Islam, bangunlah! Bina cita-cita baru demi kebahagiaan hari esok.



Wassalam.

Ibu yang sentiasa mendoakan kejayaan kalian.



















3 ulasan:

saniza berkata...
Noraini Eslah berkata...

Salam berkenalan juga utk saniza.
Terima kasih atas kunjungan anda, sudilah dtg selalu utk saling mmpringatkan.

26 Disember 2009 pada 9:11 PG  
Noraini Eslah berkata...

Salam berkenalan juga utk saniza.
Terima kasih atas kunjungan anda, sudilah dtg selalu utk saling mmpringatkan.

26 Disember 2009 pada 9:17 PG