UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

SEBARKAN KEBENARAN DENGAN CONTOH UNGGUL


Putera-puteri Islam sejati! Semoga sentiasa dalam limpah rahmat, keberkatan serta redha Ilahi. Didoakan agar kalian tetap dan terus saling ingat-mengingati untuk menetapi kebenaran. Juga saling memperingatkan kepada kesabaran. Dengan demikian kalian akan tergolong sebagai manusia yang bahagia dan beruntung.
Putera-puteri harapan watan! Kalian kini sudah menjejaki alam kedewasaan. Kalian yang diharapkan membawa kebaikan kepada manusia lain. Khasnya untuk golongan muda seangkatan yang sedang gigih menimba ilmu. Di mana pun sudut dunia ini, pemuda-pemudi sedemikian menjadi harapan setiap bangsa. Mereka juga dikenali sebagai golongan kelas menengah yang terdidik, mampu mempengaruhi masyarakat awam di semua peringkat. Justeru itu, golongan muda diberikan tumpuan untuk dibentuk menjadi pewaris keunggulan sesuatu bangsa.
Sedarilah! Wahai putera-puteri yang dididik dengan iman dan Islam; Pada hakikatnya untuk manusia seluruhnya, mesti ada aqidah (pegangan dan keyakinan) yang disifatkan sebagai roh umat itu. Dengannya, umat itu dikira hidup dan berfungsi. Selaku umat Islam kita wajib meyakini Islam sebagai ad-deen (cara hidup) merupakan roh yang Allah tetapkan untuk manusia seluruhnya.Islamyang memberi hayat umat ini dan menyelamatkan dari kematian dan kesesatan jahiliah. Islam yang mempersatukan umat yang bercerai-berai. Islam yang mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya dan Islam juga yang menjadikan kita sebaik-baik umat untuk manusia seluruhnya; "Adalah kamu sebaik-baik umat, yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh mengerjakan kebaikan dan melarang dari berbuat kejahatan." (Ali Imran; 110)
Putera-puteri ku yang dikasihidengan kasih sayang Islam! Mulailah mengorak langkah sekarang! Jadilah angkatan muda yang sentiasa punya semangat tinggi dan keperbadian kreatif. Tidak larut dalam lumpur maksiat dan hanyut dalam arus perdaya syaitan. Jadilah barisan anak muda yang membimbing tangan rakan-rakan muda seluruhnya kepada keredhaan Ilahi. Peranan sedemikian merupakan penerusan dari tugas para rasul yang telah diutus untuk menyeru dan mengajak manusia menerima Islam sebagai cara hidup. Dengan itu, contoh keperibadian yang diikuti juga semestinya yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Ini bermaksud, tindakan menyeru manusia ke jalan kebenaran mesti berakhlak dengan akhlak Islam seperti berikut;
Pertama:Bersifat benar dalam cita-cita, perkataan maupun perbuatan. Dalam cita-cita: melaksanakan hasrat yang menepati syarak dan mengharapkan keredhaan Allah. Dalam perkataan: Lidahnya menuturkan kebenaran dan menjauhi dari kebatilan. Dalam perbuatan: berbuat sesuatu sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah.
Kedua; Sentiasa sabar menahan dan mencegah diri dari sirat terburu-buru. Meliputi sabar dalam ketaatan, sabar menjauhi maksiat dan sabar menghadapi kesukaran. Dalam ketaatan: sentiasa taat dan ikhlas mengerjakan yang ditetapkan syarak. Menahan kemaksiatan: meninggalkan maksiat dan kejahatan kerana cinta yang mendalam kepada Allah serta takut akan kemungkaran-Nya. Dalam menghadapi kesukaran: menjauhi rasa benci dan keluh-kesah dalam menghadapi berbagai ujian. Hanya bergantung kepada pertolongan Allah.
Ketiga; Kasih-sayang iaitu memiliki yang lembut serta dipenuhi rasa kasih-sayang terhadap manusia. Memberi nasihat dengan baik serta mengharapkan orang lain berada dalam kebenaran dan keimanan.
Keempat; Tawaduk' yakni merendah diri yang menjadi lawan sifat takbur. Memandang semua manusia mempunyai hak yang sama untuk dibimbing. Tidak sama-sekali merasa diri mulia dan memandang rendah terhadap orang lain. Mereka hidup di dunia dengan kalbu akhirat. Meletakkan dunia tangan, tidak di hati. Cita-cita utamanya kejayaan di akhirat dan keredhaan Allah.
Kelima; Terasing, tetapi bergaul dengan orang lain, beradadalam kelompok umat hari ini, tetapi memiliki jiwa dan semangat generasi terdahulu yang gemilang. Menjadi model yang mudah dicontohi masyarakat dan sentiasa tampil meleraikan umat.
Wahai putera-puteri harapan! Kini telah jelas ciri-ciri yang sepatutnya kalian sediakan untuk memampukan diri menyeru generasi muda hari ini ke jalan kebenaran hakiki. Hanya ciri-ciri tersebut yang mampu melahirkan contoh peribadi yang unggul. Di tangan generasi harapan inilah akan tersebar semula perikemanusiaan yang telah ar-Rasul SAW kembangkan di zaman kegemilangan Islam dahulu. Diharapkan terbit semula sifat belas-kasihseperti mana yang Rasulullah perlihatkan, di mana seorang musuh menjadi seorang yang soleh.
Seorang yang sangat kuat memusuhi Islam dan membenci Nabi Muhammad telah berniat untuk membunuh baginda sewaktu sedang tawaf. Orang yang dimaksudkan ialah Fadhalah bin Umair. Ketika dia menghampiri Nabi Muhammad, baginda bertanya; "Wahai Fadhalah, apakah yang tersembunyi di hatimu?" Fadhalah menjawab; "Tidak ada apa-apa yang tersembunyi di hatiku, hanya zikir kepada Allah" Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata Fadhalah. Baginda membaca astaghfirullah lalu meletakkan ke dada Fadhalah. Berkat kemuliaan bafginda, Fadhalah terasa tenang serta hilang rasa benci terhadap Rasulullah. Fadhalah sendiri mengaku; "Demi Allah! Tidaklah baginda mengangkat tangannya dari dada ku, kecuali Allah telah menjadikan di hatiku perasaan cinta yang mendalam kepada baginda."
Lihatlah putera-puteri Islam sejati! Bagaimana niat jahat yang dihadapi Rasulullah dapat di tundukkan dengan kelembutan dan kebaikan serta keyakinan kepada kekuasaan Allah. Sewajarnyalah kalian juga meyakini pertolongan Allah sentiasa hampir kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh menyebarkankebaikan demi meraih keuntungan di dunia dan kejayaan di akhirat. Justeru itu, lintasilah penyakit'wahan'-takut mati dan cinta dunia. Melangkahlah dengan yakin ke tahap kekuatan dan pembangunan! Sebar luaskan sebaik mungkin tingkah laku penuh hikmah dalam bergaul dengan manusia.
Berpegang teguhlah dengan pedoman Al-Quran; "Serulah manusia ke jalan Rab-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Sesungguhnya Rab-mu, Dia-lah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."(An-Nahl:125).
Wassalam
Ummu Anas
Ibu yang sentiasa mendoakan kejayaan kalian.

0 ulasan: