UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

INDAH DI HATI JELITA DI WAJAH


Wahai setiap hati yang sentiasa diperhati!
Mari meneliti sebuah kisah menyentuh hati...

Telah berlangsung majlis makan di rumah seorang saudagar terkaya kota Basrah, bernama Muslim bin Umran. Dihadiri pembesar dan pegawai tinggi termasuk Ahmad bin Aiman. Turut serta di majlis tersebut kedua-dua putera Muslim bin Umran yang sangat tampan rupa paras dan halus budi bahasa. Semua hadirin kagum terhadap keelokan sifat anak-anak tersebut.

Ahmad bin Aiman: "Subhannallah! Aku belum pernah melihat boneka seindah kedua anak ini. Seakan-akan malaikat yang memberinya pakaian. Pasti ibu kedua-dua anak ini secantik bidadari."

Muslim bin Umran: "Saudara, doakanlah perlindungan Allah untuk anak-anak ini. Usah mengkagumi begitu saja..."

Ahmad bin Aiman menghampiri kedua-dua anak itu sambil mengusap-usap kepala mereka, beserta doa mohon kesejahteraan.

Ahmad bin Aiman: "Anda memang pandai memilih isteri. Lihatlah betapa halusnya budi pekerti mereka. Tentu ibunya puteri kaisar yang membawa didikan dari istana."

Muslim bin Umran: "Kau silap saudara, isteriku bukan begitu. Dia sangat hodoh wajah lagi cacat pula."

Ahmad bin Aiman: "Anda melampau, tergamak menghina isteri sendiri! Tidak mungkin ibu yang hodoh melahirkan anak yang menawan."

Memang sukar bagi Ahmad bin Aiman mempercayai kata-kata Muslim bin Umran. Matanya melihat kecantikan. Tidak mungkin yang indah lahir dari yang hodoh. Untuk meleraikan kekusutan itu, Muslim bin Umran terpaksa membentangkan kisar sebenar bagaimana dia bertemu jodohnya...

Muslim bin Umran: "Semuanya bermula ketika aku memulakan kehidupan sebagai pedagang. Sejak bertolak dari kediaman asal, Ubullah, aku berharap suatu hari nanti akan beroleh isteri jelita lagi solehah.

Hidup sebagai pedagang telah membawaku merantau jauh. Sehingga aku sampai ke Balakh, ibu kota Khurasan. Di sana aku bertemu seorang imam terkenal, Abu Abdullah al-Balakhi. Aku sangat tertarik dengan ceramahnya, menghuraikan maksud sebuah hadis nabi;'Seorang wanita yang hitam lebih baik daripada wanita cantik yang mandul.'

Hitam yang dimaksudkan di sini bukan sekadar warnanya, malah rupa keadaan yan sama sekali tidak menarik pada pandangan lelaki. Hadis itu diungkapkan bertujuan mengangkat nilai martabat wanita. Bermakna wanita dinilai pada kemampuan melahirkan zuriat serta mendidik sebaik-baiknya. Imam Al-Balakhi juga menceritakan, Imam Ahmad bin Hambal sewaktu membuat pinangan untuk dirinya...memilih yang buta tetapi cerdik akal, menolak yang cantik tetapi kurang ilmu. Walaupun pada pandangan umum, kekurangan fizikal itu tidak sepadan...namun kesempurnaan akal akan melengkapkan segalanya. Juga pasangan yang saling memerlukan, itulah yang secocok.

Selepas penjelasan imam tersebut, perasaanku menjadi sangat tenang. Aku mulai menaruh harapan untuk memperoleh isteri yang benar-benar solehah, walaupun cacat.

Lama juga aku merantau dan mencari...tidak juga kutemui calon isteri seperti yang dihajatkan. Hinggalah aku pulang semula ke Basrah. Di sini aku mengetahui ada seorang alim yang mempunyai seorang anak gadis yang menjadi rebutan. Telah banyak yang meminang, tetapi ditolak bapanya. Aku memberanikan diri melamar anak orang alim itu. Ku nyatakan hajat dan pendirianku inginkan jodoh yang solehah,walaupun cacat. Akhirnya pinanganku diterima. Terlalu sangat bahgia rasa hatiku.
Aku dikenakan syarat, hanya boleh melihat jodohku setelah diijab kabulkan.

Aku pasrah...kuserahkan segala ketentuan dalam urusan Allah. Aku yakin Allah akan menentukan yang terbaik untukku. Aku pujuk pandangan mataku untuk tunduk kepada pandangan hatiku. Aku memohon kepada Allah seorang isteri yang membawaku kepada keredhaan Allah.
Setelah bernikah dan diraikan dengan jamuan sederhana, aku pun disuruh menemui isteriku. Aku sangat terkejut!...Hampir saja aku pengsan.Benarlah, isteriku hodoh dan cacat. Makin aku memandangnya...tiada yang terfikir olehku, melainkan kata-kata imam Al-Balakhi....

Sekarang kenyataannya, isteriku memegang tanganku lalu berkata; 'Saya mengerti betapa kecewanya matamu. Begitulah juga yang menyiksakan ku, sekiranya kejelitaan yang dirimu harapkan. Ambillah dua kelebihan dariku:

1. Aku akan sentiasa taat dan menuruti segala kehendakmu.
2. Ambillah hartaku untuk dikau bernikah lagi sekehendakmu, asalkan aku kekal sebagai isterimu.'

Aku nyatakan isi hatiku kepada isteriku: Demi Allah! Percayalah kau akan aku jadikan sebahagian dari duniaku. Akan kusanjung dan kumuliakan. Kau satu-satunya wanita di hatiku. Aku akan menutup rapat mataku dan memalingkan pandanganku daripada wanita lain."

Keyakinan Muslim bin Umran yang sebegitu rupa telah menjadi sebagai limpahan rahmat yang sungguh membahagiakan kehidupannya. Isteri yang hodoh pada pandangan mata orang lain telah menyejukkan pandangan mata Muslim bin Umran sendiri. Diri wanita itu yang dahulunya umpama pohon terbiar seolah-olah menerima siraman hujan rahmat yang menyubur dan menyegarkannya. Perjalanan kehidupan mereka seterusnya membuktikan, wanita itu seorang yang bijak dan cerdas. Kelebihan akalnya menjadi bukti kepada kecantikan hakiki. Perlahan-lahan hodoh di wajah menghilang.Terlihat di mata keindahan tingkah laku. Begitulah hasil pengorbanan yang tinggi, selayaknya beroleh ganjaran luar biasa.

Doa dan harapan isteri Muslim bin Umran berhajat anak-anak yang soleh dan memikat pandangan, di makbulkan Allah. Begitulah tingginya nilai iman dan taqwa. Mampu mengatasi dunia dan seisinya. Segala yang indah pada pandanagn hati berupaya mengalahkan kejelitaan pada pandangan mata.

0 ulasan: