UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

BERSIHKAN HATI DAN LIDAH


Buat semua yang dikasihi kerana Allah,

Limpah rahmat, kesejahteraan dan hidayah Allah sentiasa meliputi hidup kita, selagimana perjalanan hidup kita di landasan takwa dan matlamat masa depan berpaksikan iman.

Begitu juga dengan kesihatan jiwa kita, asalnya Allah sediakan keadaan yang tenang dan bersih kepada hati..., bilamana kemudian pancaindera membawa perkhabaran kepada hati yang membuatkan ia tercemar...di sini bermula peranan kita untuk membersihkannya.


Telah kita jalani latihan sebulan menambah bekalan iman yang meningkatkan takwa, telah pula beroleh hadiah eid Mubarak( aidul fitri)...maka kini kita kembali kepada fitrah tangungjawab berterusan sepanjang hayat...selaku hamba dan khalifah Allah.

maka apakah yang sewajarnya kita lakukan?...


1. Bersungguh-sungguh menyempurnakan akhlak kita supaya sentiasa menepati tindakan dan perilaku sebagai khair-al-nas, iaitu sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain.

Semestinya selaras dengan sabda Rasulullah SAW;

"Takutlah kepada Allah di mana jua kamu berada. Gantikanlah keburukan dengan kebaikan dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak mulia."


2. Tidak mencemari tingkah laku dengan penipuan, penyelewengan dan putar belit. Lebih-lebih lagi sebarang perbuatan maksiat.

Rasulullah SAW ada bersabda;

"Akhlak yang buruk boleh merosakkan amal sebagaimana cuka merosakkan susu."


3. Tidak berprasangka sesama muslim. Melontarkan saudara muslim dengan sangkaan buruk akan menjerumuskan kalian kepada dosa kerana telah menggambarkan berbagai kemungkinan tidak pasti.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW;

"Hati-hatilah kamu (jauhi) sangkaan, sesungguhnya sangkaan itu adalah kata-kata paling dusta."


4. Tidak sepatutnya mendedahkan keaiban sesama muslim dengan mengumpatnya. Sedarlah sesuatu rahsia peribadi hanya diketahui dengan benar oleh yang empunya diri. Hanya Allah saja yang berhak mendedahkannya.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 12;

"Hai orang -orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain. Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Apakah kamu suka memakan daging saudaranya yang menjadi bangkai. Tentulah kamu sekalian benci memakannya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."


5. Hati-hati pada setiap kalimah yang diucapkan atau setiap butir tuturkata yang lahir dari lidah kita, semestinya bebas dari unsur yang menyinggung perasaan orang lain. Juga usah hiraukan khabar angin.


SEDARILAH SANGKAAN YANG DIIRINGI UMPATAN AKAN PULA MENJADI HASUTAN YANG MENYEBARKAN KEBURUKAN, KEJAHATAN DAN KEROSAKAN DALAM MASYARAKAT. IA BOLEH MEMUTUSKAN IKATAN KASIH SAYANG DAN KEMESRAAN.


Fahami sabda Rasulullah SAW;

"Sebaik-baik hamba Allah ialah orang yang apabila dilihat, mereka mengingatkan kepada Allah.

Dan seburuk-buruk hamba Allah ialah orang yang berjalan menyebarkan hasutan hingga memecahkan orang yang saling berkasih sayang. Merekalah orang yang melampau yang mencari kesusahan untuk orang yang tidak bersalah."


Wahai diriku dan setiap diri yang dikasihi...

Carilah penawar untuk menghindari gejala hati yang tidak sihat. Yakinlah segala keburukan akhlak dan kejahatan hati yang tidak sihat dapat dipulihkan dengan ilmu, iman dan amalan.


Ada dua cara untuk merawat gejala hati tidak sihat itu;


Pertama : Rawatan segera.

Dengan jelas megetahui bahawa mengumpat dan menghasut akan mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah SWT dan menghapuskan semua kebajikan. Kebajikan itu akan diberi kepada orang yang diumpat. Manakala keburukan diri sendiri yang sedia ada ditambah lagi dengan keburukan orang lain. Kemudian akan berhadapan pula dengan kemurkaan Allah yang boleh menjerumuskan ke dalam azab neraka. Nauzubillah!

Dengan terbayang balasan buruk begini...,akan mematahkan langkah daripada akhlak buruk berkenaan.


Kedua: Rawatan khusus dan terperinci.

*Memperbanyak zikir mengingati dan memuji Allah.(tasbih, takbir dan tahmit).

*Munajat memohon hidayah dan keampunan Allah.

*Muhasabah menilai amal perbuatan dan berusaha menghindar dosa. Melawan desakan nafsu serta bisikan syaitan.


Akhirnya mari kita renungi kata-kata Saydina Umar r.a;

"Selalulah menyebut zikrullah kerana itu penawar kepada dirimu dan awaslah kamu dari penyebut keaiban orang lain kerana yang demikian membawa penyakit kepadamu."


Sama-sama kita berdoa;

"Ya Tuhan kami, tempatkanlah kami pada tempat yang diberkati dan Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat."

Amiin.

2 ulasan:

Semoga kita sentiasa dalam 'pengawasan Allah' muraqabatullah.

24 September 2009 pada 3:20 PTG  
Noraini Eslah berkata...

Ya sungguh atifghazali,
Semestinya kita sentiasa merasai Allah melihat,mengetahui dan mengawasi kita. Ianya akan sentiasa memelihara taqwa kita dlm terang n sembunyi.

25 September 2009 pada 11:01 PTG