UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

5 SEBELUM 5




Salam ukhwah dan mahabbah yang indah,
Untuk semua remaja Muslim di seluruh pelusuk alam.
Sebagai remaja Muslim yang juga merupakan aset terbesar ummah,


Perlu sentiasa menyedari hakikat besar yang Allah tentukan seperti maksud sabda Rasulullah SAW;

"Setiap hamba pada hari qiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju ke mana-mana selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara:

*Tentang umurnya di manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?
*Masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu?
*Tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan bagaimana dia membelanjakannya?
*Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmu itu?" (HR Muaz bin Jabal r.a)

Begitulah soal-siasat yang akan diajukan kepada semua manusia pada hari qiamat nanti. Tentang umur yang telah dihabiskannya di dunia, khusus ketika sedang meningkat dewasa. Umur hampir dewasa(remaja) sangat berpotensi berbanding umur kanak-kanak dan umur orang tua yang uzur.

Remaja Muslim yang sepenuh masanya menuntut ilmu,
Semestinya berhati-hati menguruskan masa. Tidak boleh membiarkan masa berlalu dengan sia-sia sehingga beroleh kemurkaan Allah. Hayatilah maksud hadis Rasulullah SAW;

"Rebutlah(pergunakan) lima waktu, sebelum datang lima waktu yang lain..."
*Masa hidup sebelum datang kematian.
*Masa sihat sebelum kena penyakit.
*Masa lapang sebelum dipenuhi kesibukan.
*Masa muda sebelum tua.
*Masa kaya sebelum miskin."

Masa begitu pantas berlalu...Pada saat gembira masa dirasakan begitu cepat meninggalkan kita. Sewaktu sedih , masa dirasa terlalu lambat bergerak. Namun pada hakikat sebenarnya, apabila ajal tiba...,usia yang panjang dirasakan bagai sekelip mata. Dari itu usahlah kita terlalu lalai dengan kehidupn dunia. Setiap detik mestilah digunakan untuk memperolehi keredhaan Allah.

Kesihatan tubuh badan kita juga di dalam ketentuan Allah, di luar jangkaan kita. Selagi badan muda dan sihat, jangan dipersiakan dengan perbuatan terlarang serta meninggalkan perintah Allah. Selalulah berdoa agar Allah kurniakan kesihatan yang baik: "Ya Allah sihatkanlah badanku, sihatkan pendengaranku dan sihatkan penglihatanku."

Sedarilah juga Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai Allah dari mukmin yang lemah. Sewajarnya kita sentiasa memelihara kesihatan jasad, supaya tidak menyesal kerana terlantar sakit.

Seterusnya masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi dan tidak dapat diganti. Oleh itu masa disifatkan sebagai kehidupan. Tiada erti hidup manusia selain daripada masa-masa yang dia beramal hingga ke denyutan nadi terakhir! Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud;

"Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia kabur mata daripada mengawasinya, iaitu masa sihat dan masa lapang."

Dimaksudkan dengan kelapangan masa, iaitu masa-masa yang belum disibukkan dengan bebanan masaalah keluarga, runtunan anak-pinak dan peperangan atau mala-petaka.

Jika di waktu muda belia tidak dibiasakan mentaati Allah dan tekun beribadah, maka nanti apabila dirundung beban keluarga dan runtutan masalah anak-pinak...kita mungkin akan mengambil jalan dangkal dengan terus mengabaikan perintah Allah.

Kelapangan masa dan kesihatan bagaikan modal yang mebolehkan setiap orang yang sedar untuk beramal meraih redha Ilahi. Merekalah yang tergolong orang-orang yang beruntung. Kelapangan mungkin akan menjadi mala-petaka sekiranya tidak diisi dengan perkara bermanfaat. Sekali-kali tidak sepatutnya kita menangguhkan tanggungjawab kerana;


Pekerjaan hari ini jika ditangguhkan ke esok,
Kerana malas,
Bukan sibuk...,
Siapa tahu di hari esok...
Mungkin ajal datang menjengok.

Untuk lebih menyedari hakikat kepantasan peredaran masa, sangat perlu kita renungi dan teliti beberapa perumpamaan yang Allah bentangkan sentiasa berhampiran dengan diri kita;
"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah. Kemudian Dia menjadikan kamu sesudah keadaan lemah itu kuat, kemudian Dia menjadikan kamu sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa."(QS Ar-Rum:54)

Di sisi Allah, usia muda yang kita miliki hanya sebentar...umpama beberapa hari sahaja. Saban hari berlalu bererti dunia kian kita tinggalkan dan akhirnya kubur jua yang kian didatangi. Tubuh yang gagah segak sewaktu muda setiap hari beransur-ansur lemah dan uzur. Sehingga terlalu sedikit ibadah yang mampu kita lakukan. Tulang semakin reput dan mata semakin rabun.

Demikianlah perumpamaan yang telah Allah tetapkan mengenai umur dan kehidupan kita di dunia ini. Kita diberi kehidupan beserta ujian bagaimana mengisinya. Kita tidak boleh merungut kenapa kita dijadikan, kemudian diuji. Semua itu adalah tanda kekuasaan Allah. Dia bersifat iradah, berkehendak. Dia berhak untuk apa saja ke atas diri kita. Dia Al-Khaliq, kita hambaNya. Pergunakanlah segala nikmat berupa kemewahan, kelapangan masa dan kesihatan untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah sebelum semuanya ditarik balik oleh Allah SWT.


Wallahu'alam.

2 ulasan:

sinar_islami berkata...

doakn agr peluang2 yg Allah berikan dimanfaatkan...
dn amal yg mengisi tidak jadi debu2 berterbgn...

1 Oktober 2009 pada 1:12 PG  
Noraini Eslah berkata...

Amiin. InsyaAllah. Juga moga Allah tetapkan hati kita dlm ikhlas berubudiyyah untuk redhaNya

1 Oktober 2009 pada 4:33 PTG