UMMU ANAS

Jalan-jalan yang kulalui...

Terhibur dengan Syahid Anak

Wahai wanita Islam sejati, anda adalah mahaguru kepada alam! Anda madrasah yang pertama dalam pendidikan bangsa. Anda guru yang utama dan pertama bagi golongan cendikiawan penerus tamadun.

Seorang penyair Arab, Hafizh Ibrahim mengungkapkan, "Seorang ibu adalah madrasah, bila anda menyediakannya. Anda bermula membina bangsa yang baik keturunan.Seorang mahaguru kepada guru yang unggul. Berkesan berterusan sejauh ufuk."

Di sinilah bermulanya kebahagiaan yang akan menghiburkan hidup setiap wanita Islam sejati dan bijaksana.


Kehidupan pada pandangan wanita Islam yang bijaksana bukanlah menghabiskan waktu dengan kerja rutin semata-mata. Sesungguhnya. keseluruhan kehidupan adalah melaksanakan tuntutan ibadah. Bermatlamatkan keredaan Allah untuk memperolehi balasan syurga di akhirat.



Sesungguhnya amal ibadat yang paling mulia dan patut diberi kutamaan oleh wanita Muslimah ialah membantu agama Allah dalam realiti kehidupan insan. Wanita Islam sejati sedaya upaya menjuruskan segenap kekuatan dan kelebihan untuk membina nilai mulia dalam keluarga, masyarakat dan negara .











Hakikat inilah menyebabkan wanita Islam sejati yang bergelar ibu memberi tumpuan serius dalam mendidik dan membina jiwa teguh serta semangat juang dalam diri anak mereka. Setiap ibu solehah yang mantap semangat pengorbanannya akan menonjolkan pemikiran secara matang di samping mempamerkan akhlak unggul. Mereka sanggup berkorban untuk menegakkan agama Allah seperti juga pejuang lelaki.



Ini merupakan adat kebiasaan wanita Islam pada zaman awal sewaktu Islam tersebar. Mereka turut serta ke medan perjuangan bersama angkatan Rasulullah SAW. Keadaan ini telah menarik minat anak muda untuk berjuang mempertahankan agama Islam. Ini jelas dilihat dalam sejarah kehidupan al-Khansa dengan kesyahidan empat orang puteranya.



Sebelum memeluk Islam, al-Khansa' bt. Amru al-Haris memang dikenali sebagai wanita cantik yang pintar, dan pandai bersyair. Hasil perkahwinannya dengan Rahawah bin Abd Aziz al Sulaimi. Mereka dikurniakan empat anak lelaki yang menjadi kebanggaan kabilah Bani Sulaim. Sesudah memeluk Islam mereka menjadi bahan perbualan dan lambang kebanggaan masyarakat Arab.



Al Khansa' memenuhi tutuntan Islam dengan berjuang meninggalkan adat jahiliyah. Beliau bersungguh-sungguh membimbing anak-anaknya dengan ajaran Islam dan menanamkan keimanan yang teguh. Dia telah menjadi contoh yang jelas sebagai ibu mukminah yang gagah berani. Empat puteranya dipupuk dengan kehalusan syairnya hingga muncul sebagai pejuang yang tangkas. Sewaktu menyertai pertempuran al-Qadisiah, beliau mengumpulkan semua anaknya dan melafazkan kata-kata sebagai pembakar semangat.

"Wahai anak-anakku, kamu telah masuk Islam dengan kerelaan sendiri. Kemudian berhijrah juga dengan kerelaan sendiri. Kamu telah maklum apa yang Allah sediakan untuk kaum Muslimin yang berjuang demi agamanya. Yakinilah, janji Allah itu pasti...balasan syurga dan pahala yang besar. Ketahuilah kampung yang kekal (Akhirat) lebih baik dari kampung yang binasa (dunia). Bilamana esok terjadi perang, maka berangkatlah memerangi musuh! Mohonlah pertolongan Allah! Dalam kecamuk perang, maju ke hadapan. Dengan izin Allah, kamu akan berjaya sama ada membawa pulang rampasan perang ataupun memperolehi syahid."

Semua puteranya lantas menyahut seruan perjuangan itu dengan bekalan dan azimat harapan seorang ibu yang sentiasa terbayang keredhaan Ilahi. Anak yang pertama membuka
langkah juang berkobar-kobar dan bersyair mengingatkan pesan ibunya;
"Wahai saudara-saudaraku, ingatlah pesanan ibu tua yang banyak pengalaman.
Segeralah masuk memerangi golongan yang takut mati.
Kelak kamu beroleh keberkatan dan hidup penuh rahmat atau syahid yang beruntung abadi."

Setelah berjuang bermati-matian, anak pertama gugur memenuhi apa yang diidamkannya. Kegigihan begitu rupa telah memberi kesan semangat membara pada diri anak yang kedua lalu berseru;
"Demi Allah kita tidak akan melanggar kata-kata ibu.
Harapannya wajib ditaati dengan rela hati. Segeralah merebut kemenangan hakiki."

Putera kedua juga bertempur dengan bersungguh-sungguh seperti abangnya hingga mendapat syahid. Kesyahidan kedua-dua abangnya tidak melemahkan semangat putera ketiga. Malah semangatnya lebih bersemarak, dengan seruan yang menggegarkan jiwa;
"Begitu ibu tua kita sentiasa kuat azam,
Aku bukan anaknya, jika takut mati.
Ayuh dapatkan kegembiraan hati,
Berani menempuh mati yang mewarisi kehidupan abadi."

Selepas melafazkan kata-kata itu, putera ketiga bertarung ibarat singa hingga gugur syahid. Putera keempat pula mara dengan segenap kekuatan jiwa meyempurnakan perjuangan ibu yang bercita-cita tinggi. Dia juga memperolehi syahid. Akhirnya Peperangan Al-Qadisiyah dimenangi tentera Muslimin. Begitulah kehebatan semangat juang yang ditiupkan oleh ibu mukminah sejati.

Setelah pertempuran reda, ramai kaum muslimin yang datang menyampaikan ucapan simpati kepada Al-Khansa'. Al-Khansa' menerima berita itu dengan tenang, seolah-olah berada di puncak kebahagian yang dihajati; "Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan syahidnya anak-anakku. Agar Dia akan mengumpulkanku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dilimpahi rahmat selama-lamanya."

Demikianlah Al-Khansa' dengan peranannya sebagai ibu yang mampu membina barisan pejuang pada jalan Allah. Dia benar-benar redha dan terhibur dengan kesyahidan empat puteranya yang sangat dikasihi. Bagaimana pula dengan peranan anda..., wahai wanita Islam sejati? Untuk menangani masalah remaja hari ini...

Ingatlah dan sedarlah!
Wahai wanita Islam yang bijaksana...,
Anda berperanan dan perlu berusaha untuk mrngenali jiwa anak anda. Mendalami perasaan dan kecenderungan mereka. Tanamkan dalam jiwa mereka keluhuran akhlak, agar matangnya mereka dalam peribadi tinggi. Curahkan limpahan kasih sayang dengan ketulusan hati. Ikuti panduan dan petunjuk Islam dalam menghadapi perlakuan yang tidak disangka-sangka.

Dengan mata terbuka, awasi pergaulan dan aktiviti mereka. Perhatikan apa yang mereka baca dan tulis. Siapa kawan mereka dan ke mana mereka pergi pada waktu lapang. Sentiasalah berusaha menanamkan kebiasaan melakukan kebaikan. Menepati janji dan menghormati orang lain. Awas.., anda mesti menjadi contoh kepada mereka. Yakinlah Allah sentiasa menolong hambaNya yang menolong Islam. Selamat Berjuang!

2 ulasan:

Unknown berkata...

semoga ramainya seperti mereka.

7 Ogos 2009 pada 10:46 PG  
Noraini Eslah berkata...

Amiin...moga menjadi tulang belakang perjuangan! Setiap kita hamba dan khalifah Allah! Allahuakhbar!

7 Ogos 2009 pada 11:55 PG